Ayah hebat tak semestinya garang. Tapi cara membentuk sikap postif dalam diri anak lelaki yang penting.
Setiap perkara yang dilakukan oleh seorang bapa bukan saja akan menjadi ikutan anak, malah emosi yang ditunjukkan oleh mereka juga cepat ditiru dan mempengaruhi pertumbuhan mental mereka.
Seorang bapa juga seharusnya sedar bahawa mereka adalah karakter yang penting di mata anak-anak. Maka, cuba ambil peluang untuk menyuntik perkara positif dalam diri anak-anak.
Berikut adalah cara didik anak lelaki yang patut seorang bapa praktikkan kepada anak.
Lelaki Tak Semestinya Kasar
Perkara pertama, seorang bapa perlu menerima seorang anak seadanya. Walaupun lelaki selalu dikaitkan dengan kekuatan, ia tidak semestinya berunsurkan kekasaran.
Malah, anak-anak lelaki perlu tahu bahawa ‘gentleman’ sebenar adalah mereka yang bijak menghormati orang tua, mampu menahan kemarahan, dan tidak menggunakan kekerasan sesuka hati.
Jangan Takut Luahkan Perasaan
Oleh kerana anak lelaki sinonim dengan sifat maskulin, Papa jangan lupa bahawa mereka juga mempunyai emosi yang perlu difahami. Malah, sebuah kajian mendapati bahawa anak lelaki sebenarnya lebih sensitif berbanding anak perempuan. Cuma, mereka mempunyai kebolehan yang agak terhad untuk meluahkan perasaan tersebut.
IKLAN
Maka, ajarkan kepada anak cara untuk berterus-terang, mengawal emosi, dan menguruskan perasaan tersebut. Tidak salah bagi seorang lelaki untuk berasa sedih, marah, kecewa, dan mungkin menangis kerana setiap manusia dianugerahkan dengan perasaan.
Belajar Memberi, Bukan Hanya Menerima
Sebagai seorang lelaki, mereka perlu dibiasakan dengan tanggungjawab. Ini kerana, lelaki secara semulajadinya adalah seorang pemimpin dalam sebuah keluarga.
Walaubagaimanapun, seorang ketua bukanlah seorang yang hanya mengarah dan mengharapkan anak buahnya. Sebaliknya, merekalah yang perlu turut menjadi pendengar dan peka terhadap keperluan orang yang lebih memerlukan. Biasakan anak melawat orang susah, menghadiri majlis ilmu, dan membuat kerja amal agar mereka dibesarkan sebagai seorang ketua yang penyayang.
Lelaki Sebenar Boleh Buat Kerja Rumah
Seorang lelaki tidak seharusnya menganggap kerja-kerja rumah sebagai ‘kerja perempuan’. Malah, anak-anak lelaki patut diberitahu bahawa melakukan kerja rumah adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah.
IKLAN
Setidak-tidaknya kemahiran mengurus diri dapat memanfaatkan masa hadapan mereka dan dapat berdikari tanpa menyusahkan orang lain.
Menyayangi Dan Menghormati Wanita
Sehubungan dengan perkara di atas, anak lelaki juga patut diajar untuk menyayangi serta menghormati kaum perempuan. Contoh terdekat yang boleh kita anjurkan adalah melalui adab dengan ibu dan seterusnya adik-beradik atau saudara-mara perempuan.
Jika usia anak masih kecil, cukuplah suami menunjukkan betapa mereka menghargai dan melayani isteri mereka dengan penuh santun dan sabar. Secara tidak langsung, ia akan menjadi ikutan anak anda!
IKLAN
Cara Menghadapi Kekalahan
Orang selalu cakap – anak lelaki mesti berani. Anak lelaki mesti kuat. Anak lelaki tak boleh menangis. Sebenarnya, setiap individu mempunyai kelebihan tertentu.
Sungguhpun anak lelaki terlihat kuat dan berani, ada masanya anak lelaki perlu juga menerima kekalahan dan melakukan kesilapan. Ajarkan mereka untuk bangun dan terus berjuang kerana yang penting adalah usaha. Bukannya hasil semata-mata.
Jadi Diri Sendiri
Akhir sekali, galakkan anak lelaki anda untuk meneroka potensi diri mereka. Tak perlu jadi stereotaip. Bangkitkan kreativiti dalam diri mereka dan biarlah mereka menikmati zaman kanak-kanak dengan riang.
Yang penting, mereka meletakkan kepercayaan pada ibu bapa untuk sentiasa berada bersama mereka dan menyokong setiap usaha mereka.
Ternyata, ada banyak unsur positif yang boleh pupuk dalam cara didik anak lelaki masing-masing. Jadi, manfaatkanlah masa berkualiti bersama mereka.
Dalam masa yang sama, kita juga tentu dapat belajar banyak perkara daripada mereka tanpa disangka-sangka.
Sumber: zuriat.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sepatutnya umur berapa anak saya akan mula bersedia nak menyambung ayat? Ini antara yang ramai ibu bapa nak tahu kan. Di awal usia anak setahun, biasanya anak akan mula mengeluarkan satu patah perkataan.
Perkembangan ini dah dianggap normal. Contohnya mama, papa, susu, makan, tidur, bola, baby dan sebagainya.
Menurut Patologis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassim untuk kanak-kanak bersedia menyambung ayat, anak-anak perlu ada ciri ini.
✅ Menggunakan pelbagai jenis perkataan – kanak-kanak perlu tahu menggunakan/menyebut lebih daripada kata nama (nama-nama objek, orang dan tempat). Apabila kanak-kanak mula menggunakan perkataan seperti kata kerja/perbuatan (bagi, nak, jom), kata sifat (panas, besar, cepat) dan posisi (atas, dalam, luar), mereka sudah mempunyai asas untuk menggabungkan perkataan bersama.
✅ Menyatakan 2 idea – sebelum kanak-kanak menyatakan 2 idea dalam bentuk ayat, mereka biasanya akan menggunakan gesture terlebih dahulu. Contohnya seperti mereka menyebut “Mama” sambil tangan menunjuk kepada susu, mereka sedang menyatakan 2 idea iaitu: mereka nak ibu memberikan susu. Atau kanak-kanak membuat aksi “besar” menggunakan tangan sambil menunjuk kepada kereta: mesej yang disampaikan mempunyai 2 idea iaitu kereta yang besar.
Biasanya, kanak-kanak akan menyambung ayat bila berusia hampir dua tahun, Jika dua tahun masih belum sambung ayat lagi, bolehlah tengok skil yang diterangkan sama ada dah ada ke belum.
Jika semua ini dah lengkap, proses itu akan berlaku secara semulajadi dan anak akan faham dengan sendirinya.
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seronoknya mama papa bila dengar perkataan pertama si kecil tersayang. Ada yang siap rekodkan video bila anak sebuat perkataan pertama dan ada juga tulis dalam jurnal untuk dijadikan sebagai kenangan bila mereka besar nanti.
Kemahiran anak untuk bercakap merupakan perkara penting dalam tumbesaran si kecil, jadi untuk mendidik mereka supaya cekap bercakap ada beberapa perkara yang boleh dibuat oleh mama papa sendiri.
Seperti yang disebutkan dalam penulisan Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN. Ketahui lebih lanjut dalam artikel di bawah:
8 PETUA MENDIDIK SI KECIL UNTUK CEKAP BERCAKAP
Kemahiran berbahasa atau bercakap merupakan suatu kemahiran yang penting, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun (tahun-tahun sebelum pendidikan formal bemula di sekolah rendah kelak). Kita semua manusia yang hidup dalam dunia sosial sama ada dalam unit keluarga, komuniti atau masyarakat. Kemahiran berbahasa atau bercakap dapat membina jambatan antara si kecil dengan dunia sekeliling seawal usianya.
Untuk memahami betapa pentingnya kemahiran komunikasi lisan ini, anda sebagai papa dan mama hanya perlu membayangkan kepayahan yang dihadapi oleh seorang anak kecil yang tidak boleh bercakap kerana dilahirkan dalam keadaan kurang upaya atau yang lambat bercakap kerana faktor fisiologi, psikologi dan sebagainya. Dalam keadaan seperti, walaupun ia tidaklah bererti dunia sudah pun berakhir, banyak kepayahan yang perlu dihadapi sebelum si kecil dalam memahirkan diri dengan bahasa isyarat misalnya.
Oleh itu, memandangkan betapa pentingnya kemahiran berbahasa atau bercakap dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia sebelum pendidikan praformal bermula, pada bulan ini izinkan saya berkongsi dengan mama, papa dan pendidik prasekolah semua lapan petua yang boleh dicuba supaya si kecil akan cekap bercakap.
Pertama: Cuba gunakan bahasa orang dewasa dalam percakapan seharian
Memang benar, tujuan proses komunikasi lisan ialah untuk memastikan kita memahami maksud yang disampaikan oleh orang lain dan kita dapat pula menyampaikan hasrat, maksud atau menzahirkan perasaan yang kita rasai. Walaupun papa atau mama mahu si kecil memahami anda dengan cepat lagi mudah, itu tidak bermakna anda tidak boleh memasukkan perkataan orang dewasa ke dalam perbendaharaan kata mereka.
Sesekali gunakan perkataan, frasa atau ayat yang anak anda mungkin tidak faham, tetapi yang sering digunakan dalam perbualan orang dewasa. Pastikan anda galakkan si kecil anda untuk meminta penjelasan apabila dia tidak memahami sesuatu dan pastikan anda bersedia memberi penerangan. Penggunaan bahasa bayi (baby talk) memang comel tetapi bila dibiarkan hanya akan menjengkelkan dan mungkin memalukan si kecil anda kelak.
Dua: Berhenti membaca cerita dan minta si kecil anda untuk mula bercerita
Mungkin anda antara mama dan papa yang beruntung kerana dapat membaca cerita dongeng setiap malam kepada anak anda atau bergiliran berbuat demikian. Sudah tentu, ini cara terbaik untuk mengembangkan kemahiran membaca dan berbahasa si kecil. Apa kata selepas ini, anda simpan sahaja buku cerita si kecil dan minta si kecil anda pula untuk merekacipta kisah dongengnya sendiri, dengan bantuan anda pastinya.
Aktifkan skema minda (schema activation) si kecil dengan menunjukkan gambar, permainan atau apa sahaja bahan yang boleh membuatkan dia mula berfikir lantas berimaginasi. Pastikan anda bertanya soalan retorik semasa si kecil bercerita untuk memperkenalkan perkataan dan konsep baharu. Hasilnya kelak, bukan sekadar kemahiran komunikasi lisan si kecil yang akan berkembang maju tetapi juga kemahiran berfikirnya.
Tiga: Banyakkan percakapan bukan sama-sama menatap telefon pintar / tablet
Hari ini kita semua rata-rata seperti tidak boleh hidup tanpa telefon pintar atau tablet, lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini. Memang benar, si kecil boleh belajar berbahasa, menyanyi malah berjoget apabila menonton video di atas talian. Namun, kemahiran bahasa si kecil kesayangan anda sebenarnya lebih cepat meningkat apabila anak anda dan anda bercakap lebih banyak.
Maka, mulakanlah perbualan dengan lebih kerap sebelum si kecil comel anda ke peringkat usia remaja dan dia semakin ‘malas’ bersembang dengan anda. Kanak-kanak pada usia pendidikan praformal sentiasa menyerap semua yang mereka dengar. Semakin mereka mendengar anda bercakap, semakin banyak anda boleh mengajar mereka dan berkongsi masa dan luahan rasa dengan penuh bermakna.
Empat: Cuba main alat permainan bahasa yang sudah sedia ada
Kita semua tahu tentang permainan Sahibba atau Scrabble. Maka, jika ada pendapatan lebih silakan dibeli permainan bahasa seperti ini untuk dimainkan bersama-sama si kecil anda yang lebih tua sekitar usia 5-6 tahun. Untuk yang lebih muda, ada banyak permainan kata lain yang boleh anda cuba dengan si kecil comel anda. Hari ini, aplikasi telefon pintar atau tablet boleh dimuat turun untuk pembelajaran bahasa yang lebih bermakna dan percuma.
Cuma pastikan anda menghadkan masa yang digunakan untuk gajet dan aplikasi elektronik lain. Tidak dapat kita nafikan bahawa si kecil zaman ini teramat suka bermain dengan telefon pintar atau tablet. Oleh sebab itu, petua keempat ini memperkenalkan aplikasi belajar bahasa dengan santai sebagai helah untuk menarik tangan dan minda si kecil ke alam pengajaran dan pembelajaran tanpa dia sedari.
Lima: Tampal label-label untuk memberi nama kepada barangan di rumah
Hujung minggu ini, silakan ambil masa untuk mencetak atau menulis dengan cantik-cantik nama-nama barang rumah dan tampal sebanyak mungkin untuk manfaat si kecil kesayangan anda. Melekatkan label di atas item isi rumah anda ialah suatu cara yang hebat untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada perbendaharaan kata baharu, tidak kira usia mereka. Namun usaha ini amat baik untuk si kecil 0-3 tahun yang baru belajar bercakap.
Lebih menarik lagi, tidak kira usia anak anda walaupun dia masih belum boleh bercakap atau masih pelat dalam percakapan, label-label seperti ini dapat membantu si kecil itu mengaitkan perkataan bertulis dengan item atau barang tertentu. Pastikan papa dan mama sama-sama menyemak setiap item dengan si kecil sambil menyebut, kemudian sama-sama mengeja (apabila dia semakin cekap berbahasa).
Enam: Pantau perbendaharaan kata si kecil dan perkembangan bahasanya
Tidak ada alasan lagi, mama dan papa perlu mengambil peranan proaktif supaya si kecil dapat cepat lagi cekap bercakap serta berkomunikasi. Sekiranya papa dan mama mahu kemahiran berbahasa si kecil menjadi lebih elok dalam tempoh masa yang pendek, sila pantau perbendaharaan katanya secara serius, lebih-lebih lagi untuk si kecil 4-6 tahun yang sedang bersedia untuk memulakan pendidikan secara formal di sekolah rendah.
Apabila si kecil kesayangan anda bertanya tentang sesuatu perkataan yang telah didengar olehnya, pastikan anda mengambil peluang itu untuk mengajar definisi dan sebutan yang betul. Lakukan yang terbaik untuk memudahkan pemahaman definisi berkenaan, tetapi berikan butiran dan contoh yang banyak. Sekiranya anda ditanya oleh si kecil, “Papa, apa maksud ‘raksasa’?” Berilah jawapan dan gambaran yang lebih daripada ‘besar.’ Buat perbandingan misalnya gajah amat ‘besar’ jika dibandingkan dengan manusia, tetapi gajah adalah ‘raksasa’ jika dibandingkan dengan semut.
Tujuh: Tidak perlu diperbetulkan semua kesilapan si kecil dalam percakapan
Memang suatu yang semulajadi bagi kanak-kanak untuk tersalah cakap atau salah dalam penggunaan perkataan baharu. Yang paling utama, anda janganlah pula terus-menerus menegur atau terlalu cepat memperbetulkan anak kecil anda apabila dia membuat kesilapan yang tidak terlalu serius.
Sebaliknya, beri pujian dan sokong usaha si kecil anda itu. Tunjukkan perkataan yang dia sebut dengan betul, kemudian semak cara yang lebih tepat untuk menggunakan atau mengucapkan perkataan tersebut. Semakin menyeronokkan dan positif pengalaman yang dirasai, semakin tinggi minat si kecil untuk bercakap dan berkomunikasi!
Lapan: Banyakkan bersabar dalam mendidik si kecil anda untuk cekap bercakap
Mama dan papa mungkin perlu mengulang perkataan dan makna beberapa kali sebelum si kecil memahami konsep itu. Ini perkara normal dalam peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun. Selanjutnya, jika anak jiran atau anak saudara yang sebaya dengan anak kecil anda sudah boleh bersembang seperti seorang pembaca berita lagaknya, ingatlah bahawa mendidik si kecil bukan suatu peraduan!
Kanak-kanak berkembang maju mengikut acuan dan kadar mereka sendiri. Hormati dan imbangi keperluan mereka supaya pembelajaran tidak menjadi suatu penyeksaan! Walaupun anda mahu si kecil kesayangan anda maju, anda tentu tidak mahu dia merasai perasaan negatif atau tekanan yang tidak wajar, bukan?
Penyelidikan di Universiti Arizona, Amerika Syarikat membuktikan bahawa pendedahan kepada buku, pendedahan kepada bahasa, penjelasan tentang dunia sekeiling – semua ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk cekap bercakap kelak. Apabila papa dan mama melihat si kecil manja lagi comel anda bertambah cekap berbahasa kelak, anda pasti akan lega dan puas hati dengan segala-gala usaha yang dilakukan selama ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemahiran motor halus kena asah sejak anak usia tiga tahun lagi atau seawal mungkin melalui aktiviti-aktiviti playtime supaya anak terus lupa gajet.
Malah, tak perlu tunggu anak usia enam tahun untuk asah motor halusnya, takut nanti jejas pembelajarannya di tadika. Ini kerana kemahiran motor halus ini penting untuk anak-anak belajar menulis, zip baju, guna gunting dan sebagainya yang melibatkan pergerakaan jari.
Penguasaan skil motor halus amat penting untuk si kecil untuk menguasai pelbagai kemahiran sebelum ke sekolah. Mama dan papa boleh lakukan pelbagai 10 aktiviti ini di rumah untuk membantu mereka.
Penguasaan kemahiran motor halus amat mustahak untuk melakukan melibatkan penggunaan halus otot kecil yang mengawal tangan, jari dan ibu jari. Dengan perkembangan kemahiran ini, si manja dapat menyelesaikan tugas-tugas penting seperti menulis, memotong menggunakan gunting, menyuap makanan sendiri, membutangkan pakaian sendiri dan zip.
Mama dan papa boleh melakukan aktiviti rangsangan yang disarankan ini untuk membantu anak menguasainya. Lebih awal dilakukan maka lebih baik.
1.BERMAIN PASIR
Pasir sama ada pasir kinetik atau pasir biasa merangsang jari-jemari dan tapak tangan si kecil. Sediakan alatan yang lain seperti penceduk, trak kecil untuk mengangkut pasir dan acuan. Selain itu, isikan pasir ke dalam dulang dan biarkan si manja melakar di atasnya. Anda juga boleh membawa si kecil ke pantai dan ajaknya untuk membina istana pasir. Tentu dia seronok!
2.DOH MAINAN
Doh mainan memang sesuai untuk tujuan sensori motor halus. Dia bebas menguli, memicit, mencubit doh pelbagai warna. Ini adalah latihan yang baik untuk jari dan ibu jarinya. Berikan penggelek dan acuan untuk menjadikan permainan lebih menarik.
3.MENAMPAL
Menampal kertas mahu pun pelekat boleh menggalakkan si manja menggunakan tangannya. Anda boleh ajaknya membuat kolaj pelbagai bentuk seperti buah epal, payung dan sebagainya.
4.MENGKATEGORIKAN OBJEK KECIL
Objek kecil seperti butang, pompom, klip kertas dan tutup botol pelbagai warna boleh dimanfaatkan sebagai permainan si kecil. Anda boleh menyuruh si kecil mengasingkannya mengikut warna atau bentuk yang berlainan.
5.BUSY BOARD
Bermain dengan busy board ialah aktiviti yang bagus untuk si kecil. Ia menggalakkan penguasaan si manja untuk membutangkan baju, membuka tombol, membuka ikatan, memasang zip dan sebagainya.
6.MENYUSUN MENGIKUT BENTUK
Ambil sekeping kadbod dan lukis dua garisan iaitu zigzag dan berombak. Sediakan juga objek seperti kacang atau butang. Minta si manja untuk menyusun objek mengikut garisan-garisan ini. Penggunaan hujung jari untuk mengambil objek melenturkan otot jari dan tangan mereka.
7.MENJAHIT
Sediakan kadbod mengikut bentuk yang anda sukai dan tebuk lubang pada sekelilingnya. Berikan anak benang kasar atau tali dan minta mereka masukkan tali ke dalam lubang pada sekeliling kadbod. Ketika tangan memasukkan tali ke dalam lubang, mereka telah menggunakan jari dan serta koordinasi mata-tangan.
8.RANTAI PASTA
Sediakan semangkuk pasta penne dan seutas benang kasar yang bersaiz besar. Ajak anak untuk memasukkan benang ke dalam lubang pasta sehingga membentuk rantaian panjang. Anda boleh mewarnakan penne menggunakan pen penanda untuk efek yang lebih cantik dan menarik.
9.MENGGUNAKAN PENYEPIT
Anda boleh menyediakan objek seperti pompom, bebola kecil atau pasta penne berwarna dan biarkan si manja mengasingkannya mengikut warna menggunakan penyepit. Selain itu, boleh juga ajak si manja bermain air menggunakan syringe. Ia boleh menggalakkan penggunaan jari dan tangan.
10.MELAKAR MENGIKUT GARISAN
Melakar atau tracing adalah aktiviti yang baik untuk motor halus. Ia boleh dilakukan dengan membiarkan si manja melakar dengan meniru garisan yang telah anda buat pada kertas. Buku yang mempunyai latihan menyambungkan titik juga adalah saranan yang baik.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!