Bila anak sedang tantrum, ayah tolonglah jangan mengamuk sama. Tindakan menengking dan terus memarahi anak yang sedang mengamuk hanya akan memburukkan lagi keadaan. Si kecil akan bertambah marah dan berterusan mengamuk.
Menurut Dr. Norharlina Bahar, Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak & Remaja, tantrum adalah perkara yang biasa di kalangan kanak-kanak berusia 18 – 48 bulan. Tantrum adalah sesuatu yang normal tetapi mencabar kesabaran ibu bapa.
Tantrum boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan, dan tingkah laku yang mencabar. Anak anda boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang, berkelakuan ganas dan kadangkala, menahan nafas mereka.
Pada umur lebih kurang dua tahun, kanak-kanak akan menguji had kesabaran ibu bapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara dari pandangan orang lain. Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa atau guru-guru meletakkan had tertentu kerana keselamatan atau sebab-sebab lain.
Jika ini berlaku, mereka merasa kecewa kerana mereka mahu lakukan apa yang mereka mahu. Apabila mereka kecewa, mereka menunjukkan kekecewaan dan kemarahan mereka dengan menangis, memukul dan menjerit. Mereka belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam cara lain.
Oleh itu, tantrum adalah peluang yang baik untuk kanak-kanak belajar bagaimana mengendalikan kekecewaan dan kemarahan.
Selalunya, kanak-kanak akan hentikan tantrum bila mereka dapat apa yang mereka mahu. Tingkah laku dan reaksi ibu bapa juga menyumbang kepada berapa kerap tantrum akan berlaku. Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibu bapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibu bapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkah laku yang negatif.
Gambar hiasan
Lihat tantrum secara positif!
Dr. Norharlina turut memberitahu yang tantrum adalah peluang baik bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana menguruskan kekecewaan dan kemarahan, dan juga peluang yang baik bagi ibu bapa untuk mengajar anak-anak mengenai kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi kekecewaan dan kemarahan.
Bagaimana mengendalikan kanak-kanak dengan tantrum?
Ketika anak anda sedang melakukan tantrum, pastikan perkara-perkara dibawah:
1. Pastikan anak anda selamat.
Ads
2. Pastikan anda sentiasa tenang, dan jangan beri perhatian kepada tingkah laku tersebut.
3. Jangan hukum anak anda.
4. Jangan berikan ganjaran.
5. Jika boleh, asingkan anak anda.
6. Jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi bagaimana anda memberi tindakbalas kepada tantrum itu.
Kawal tantrum daripada jadi lebih teruk
Menghukum kanak-kanak kerana tantrum, dengan menjerit atau memukul; akan menyebabkan tantrum menjadi lebih teruk dalam jangkamasa pendek dan menyebabkan tingkah laku tantrum kekal dalam jangkamasa panjang.
Ads
Jika ibu bapa berikan apa yang anak mahukan sebagai satu cara untuk menghentikan tantrum, tantrum akan menjadi lebih teruk lagi. Jika ibu bapa melakukan perkara ini, ibu bapa sebenarnya mengajar anak-anak untuk menggunakan tantrum untuk memanipulasi keadaan, dan menyebabkan tingkah laku ini berterusan hingga ke dewasa.
Gambar hiasan
Abaikan tantrum. Ini adalah cara yang terbaik untuk mengendalikan tantrum. Ibu bapa akan mengajar anak-anak bagaimana untuk mengendalikan kemarahan dan kekecewaan. Cari punca apa yang menyebabkan tantrum. Dengan mengetahui apa puncanya, ibu bapa boleh bertindak sebelum anak-anak gagal mengawal emosi mereka.
Ibu bapa boleh menggunakan ‘time-out’ jika anak-anak berumur dua tahun atau lebih. ‘Time-out’ adalah cara terbaik jika mereka yang faham mengapa ia digunakan. ‘Time-out’ akan menjauhkan kanak-kanak dari situasi yang sukar dan akan memberi masa untuk dia bertenang. Ia juga mengajar kanak-kanak bahawa tantrum adalah satu tingkah laku yang tidak boleh diterima.
Apa yang perlu ibu bapa dilakukan jika tantrum berlaku di rumah?
Apabila kanak-kanak melakukan tantrum di rumah, ibu bapa perlu tenang. Bawa anak anda ke tempat yang selamat untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan bilik, tutup pintu, dan datang semula hanya jika anak tersebut kembali tenang.
Jika anda bimbang untuk tinggalkan anak anda berseorangan, anda boleh duduk berhampiran dengannya tetapi jangan berikan sebarang tindakbalas terhadapnya. Jangan pandang anak anda. Bila dia kembali tenang, bercakap dan berbincang dengan anak anda mengenai kelakuannya.
Apa yang perlu ibu bapa lakukan apabila tantrum berlaku di tempat awam?
Ads
Bawa anak anda keluar dari kawasan awam sekiranya boleh. Bawa dia ke tempat yang ada privasi. Tempat terbaik adalah di dalam kereta, di tempat duduk bayi. Anda boleh berdiri berhampiran kereta atau duduk di dalam kereta tanpa memberi sebarang bertindak balas kepada kelakuan itu.
Apabila tantrum reda, bercakap dengan anak anda mengenai kelakuannya. Jika tantrum berlaku di tempat yang anda tidak boleh bawa anak ke tempat yang lain seperti di dalam kapal terbang, pastikan anda tenang dan abaikan kelakuan anak anda. Sebaik sahaja anak anda tenang, bercakap dengannya mengenai kelakuannya.
Kanak-kanak akan belajar cara yang lebih sihat untuk mengendalikan emosi. Walau bagaimanapun, jika tantrum berterusan, dia mungkin perlu bantuan untuk mengatasi kemarahan.
Rancangan realiti keibubapaan edutainment, Rockstar Junior Arrian dan Andra di saluran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) setiap Rabu, jam 9 malam bermula 11 Oktober 2017 menampilkan kehidupan Tomok, isteri dan anak-anaknya termasuk interview eksklusif, tip keibubapaan dan cabarannya. Ia juga memuatkan perjalanan bagaimana Tomok mencipta single pertama yang diinspirasikan daripada anak-anaknya.
#RockstarJr #ArrianAndra
Sumber: doktorbudak.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Apa ni lubang-lubang kat depan telinga anak saya ni, doktor? Setiap dua tiga bulan aje mesti bengkak, merah, sakit.. risau saya.”
Jangan risau!
Ia bukan tanda-tanda kanser atau ketumbuhan yang perlu ibu bapa bimbangkan.
Menurut Doktor Telinga, Hidung Dan Tekak, Dr Ezairy M.Sallih, preauricular sinus atau cyst merupakan salah satu ‘congenital anomaly’ yang berlaku semenjak lahir ketika pembentukan embrio lagi. Kajian menunjukkan hampir 1% bayi lahir mengalami masalah ini, dan populasi di Afrika lebih ramai berbanding di Asia.
Jadi, kenapa ia boleh membengkak, merah dan sakit?
Akibat adanya cyst, sinus atau kantung… apabila berlakunya jangkitan di situ, ia akan menyebabkan berlakunya gejala seperti kemerahan, sakit dan pengumpulan nanah boleh berlaku!
Jika ini terjadi, ubat antibiotik perlu diberi bagi menghentikan jangkitan dan pembedahan kecil mengeluarkan nanah perlu dilakukan.
Adakah ia akan selesai?
Tidak. Pembedahan untuk membuang keseluruhan sinus dan kantung tersebut perlu dilakukan sebaik sahaja jangkitan tiada bagi memastikan tiada lagi serangan berulang.
Okey, lepas ni boleh check kat anak-anak. Ada tak lubang seperti ini pada telinga mereka?
Bila cerita mengenai anak tidak pandai membaca, memang risau. Lebih-lebih lagi bila anak-anak kawan umur empat tahun sudah boleh membaca. Suruh anak-anak membaca, terus lari ambil permainan. Memang menuntut kesabaran.
Namun perkongsian Puan Emalin Mohd, seorang Ibu kepada 3 orang cahaya mata ini ada benarnya apabila beliau tidak risau apabila anak umur empat tahun tidak boleh membaca. Jom ikuti cara Puan Emalin ini semoga menjadi panduan bersama untuk mendidik anak-anak menjadi lebih cemerlang.
Ibubapa menghantar anak ke tadika swasta dengan yuran yang mahal namun setelah 6 bulan berlalu, anak yang berumur 4 tahun di tadika tersebut masih belum pandai membaca. Perlu ke ibubapa risau?
Berapa umur anak patut pandai membaca sebenarnya?
Menghantar anak ke tadika swasta mahal mana sekalipun sebenarnya bukan jaminan sebenar untuk anak pandai membaca seawal umur 4 tahun. Namun, tidak dinafikan promosi yang dilakukan tadika swasta berkenaan semasa mendaftar menyebabkan ibubapa mengharapkan anak sudah pandai membaca seawal umur 4 tahun.
Jadi ibubapa tak perlu risau ke anak tak boleh membaca ketika umur 4 tahun?
Eh, boleh risau dan bagus ibubapa risau. Itu bermaksud ibubapa mengambil tahu perkembangan anak. Namun, bukan setakat risau sahaja. Ada peranan besar lain yang ibubapa boleh mainkan peranan untuk membantu anak pandai membaca.
Ini yang patut ibubapa lakukan dalam merangsang anak untuk membaca.
TIPS UNTUK MEMBANTU ANAK PANDAI MEMBACA
1) Kenali sifat dan sikap anak sendiri
Walaupun jumlah pelajar di tadika hanya 10 -15 untuk sekelas, namun mengharapkan guru tadika semata-mata tidak memadai. Setiap anak malah kita sendiri mempunyai cara belajar yang berbeza. Ada yang boleh fokus duduk membaca (visual), ada yang suka mendengar (audio) dan ada juga yang suka ada pergerakan (kinesthetic). Dan kebanyakan cara pembelajaran adalah banyak menggunakan audio visual. Bayangkan jika anak kita adalah jenis kinesthetic? Bukankah sukar untuk anak tersebut duduk mendengar dan fokus apa yang diajar oleh guru?
Jadi apabila ibubapa sendiri tahu gaya pembelajaran anak, lebih mudah untuk membuat berbincang dengan guru dan ibubapa membuat inisiatif sendiri mengajar anak di rumah.
Cuba ajar anak di rumah.. Lihat fokusnya. Ada kah boleh duduk diam selama 10 minit untuk sama-sama belajar dengan ibubapa? Atau tak sapai satu minit membaca dah mula untuk bangun atau kepala melilau ke sana ke mari?
2) Belajar di rumah
Ini sebenarnya faktor yang amat penting. 10-15 minit sehari Insyaallah mencukupi. Tambahan pula fokus anak tak berapa lama. Jadi, tak perlu peruntuk masa sampai 1 jam untuk mengajar anak. Nanti anak gelisah.
Kalau pun cuba untuk peruntukkan 1 jam pada satu-satu masa, kena pelbagaikan aktiviti. Jangan buat aktiviti menulis huruf A – Z dalam masa 30 minit. Pelbagaikan aktiviti. Ringkas pun tak apa seperti mewarna, menyanyi dan menulis.
Untuk ibu yang tiada masa, ambil masa sebelum tidur untuk bercerita (story telling) dengan anak. Pilih buku berwarna-warni dengan huruf yang besar. Sambil bercerita boleh ajar anak mengenal huruf. Jika ada gadget, boleh pilih apps yang sesuai untuk sesi pembelajaran ringkas.
3) Waktu belajar di mana-mana
Tidak semestinya duduk bersama untuk mengajar anak. Semasa menghantar dan mengambil anak pun boleh jadikan sesi belajar bersama-sama. Boleh meghafal surah lazim, boleh menyanyi lagu ringkas yang mendatangkan faedah seperti lagu A-Z, lagu vokal AEIOU dan boleh mengenal warna sepanjang perjalanan.
Atau jadikan sesi bercerita.
Dan ada baiknya sepanjang perjalanan radio ditutup agar menjadi sesi interaktif dan ibu tak syok sendiri mendengar radio.
4) Bahan bacaan di mana-mana
Sekarang ada banyak bahan bacaan anak yang murah yang boleh digunakan untuk mengajar anak. Tidak semestinya menghadkan satu bilik untuk dijadikan bilik belajar.
Letakkan bahan bacaan di sudut-sudut rumah tertentu agar pada bila-bila masa anak boleh melihatnya dan ibubapa boleh mencari masa mengajar anak.
5) Ambil tahu dan selesaikan masalah anak di tadika
Kenal pasti guru dan kawan anak di tadika. Ada kalanya anak susah untuk belajar di rumah kerana tidak serasi dengan sesetengah guru atau kawan tertentu.
Sama seperti kita orang dewasa. Prestasi kerja pun boleh menurun jika bos tak ‘best’ atau ada rakan-rakan yang tak berapa ngam.
Ambil tahu dan cuba selesaikan dengan cara berbincang dengan guru sekiranya anak mengadu berulang kali tak nak ke sekolah.
Selalunya anak takkan terus memberitahu ibubapa punca tak nak ke sekolah. Jadi, ibubapa kenalah pandai mengorek cerita.
6) Jadikan masa pembelajaran masa yang menggembirakan
Sesi belajar bersama anak sebaiknya ketika ibu tidak stress dan tenang. Ini kalau mengajar dengan suara bak halilintar dan tangan ibubapa cepat sahaja memukul anak atas ketidakupayaan anak memahami apa yang diajar, agak-agak lagi anak nak belajar atau sebaliknya?
Belajar bukan bermaksud hanya duduk bersama-sama mengadap antara satu sama lain secara one-to-one. Mungkin keadaan ini agak membosankan bagi anak tersebut. Menyanyi dan bermain dengan warna serta melukis atau menconteng boleh menceriakan suasana. Atau boleh membuat origami bersama-sama. Lakukan pelbagai aktiviti agar tidak membosankan.
Perlu atau tidak untuk ibubapa risau jika anak tidak pandai membaca semasa umur 4 tahun lebih kepada harapan (expectation) ibubapa sendiri.
Apa objektif ibubapa yang sebenar semasa menghantar ke tadika?
Adakah perkembangan anak selama ini mengikut garis panduan yang diberikan?
Hanya ibubapa sendiri yang mengetahui jawapannya. Pada masa yang sama, berikan DHA dan nutrisi lain yang mencukupi untuk perkembangan sihat anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai ibu bapa nak biasakan anak dengan al-Quran tapi tak sedar ada kesalahan yang dibuat hingga membunuh jiwa anak kecil dari mencintai al-Quran.
Pengalaman ibu ini, Siti Aminah Sulaiman berjumpa beratus ibu-ibu yang ajar sendiri anak al-Quran dirumah, komplen mereka ialah makin mereka rajin nak ajar anak, tapi anak jadi makin liat atau tak nak langsung baca Al Quran !
Rupanya bila dikaji semula, ada beberapa kesalahan yang biasa kita lakukan tanpa sedar
1) MARAH ATAU ROTAN
Kadang-kadang niat kita baik, nak anak pandai baca al-Quran dari kecil.
Kita tak nak ulang lagi kesilapan kita yang buta huruf masa kecil dulu.
Jadi kita halalkan rotan bila ajar anak mengaji al-Quran. Silap sikit tertukar huruf, habis dihambur anak tu ‘lembap’ sebab tertukar huruf antara (jim) dan (kho)
Kesian anak tu..agak-agaknya dah besar nanti dia suka ke baca al-Quran? Kalau mungkin dulu kita pernah rasa sakitnya dirotan atau disebat masa mengaji, tolong jangan ulang lagi rasa sakit tu pada anak kita.
Izinkan mereka jatuh cinta dengan al-Quran. Zaman kecil kita sudah berlalu, yang lepas tu biarlah.
Marah atau rotan anak ketika mengaji al-Quran hanya akan mampu lahirkan anak boleh baca al-Quran dalam masa singkat kerana TAKUT tapi tidak akan berjaya lahirkan anak yang cinta al-Quran.
2) REWARD
Kaedah ini memang sangat cepat. Saya pun pernah tertipu bila guna kaedah reward untuk umpan anak baca dan hafaz al-Quran.
Tapi akhirnya anak hanya mengaji bila dapat reward. Perlahan-lahan saya berhenti guna kaedah reward ni dan saya sendiri mula lazimi dan rutinkan al-Quran setiap hari.
Saya perasan anak saya mula rajin baca al-Quran tanpa perlu disuruh lagi. Pernah anak kedua saya datang ketika saya sedang membaca al-Quran dan bertanya:
“Mak suka baca al-Quran eh?”
Saya mengangguk dan sambung semula baca..tak lama lepas tu anak 4 tahun saya bawa juga al-Quran dia dan baca sebelah saya.
Indah sekali momen tu..tak mampu dibeli dengan segunung duit pun. Kita perlu mula dulu menjadi CONTOH kepada anak, mereka sangat mudah mengikut.
3) COMPARE / PERBANDINGAN ANTARA ANAK
Ini juga kesalahan yang kerap ibu ayah lakukan. Saya juga hampir jatuh dalam kesilapan ini tapi suami saya berjaya selamatkan saya.
Bila kita ada anak lebih dari seorang, kita kan melihat pelbagai pattern cara belajar anak. Ada anak yang cepat baca, ada yang lambat.
Di sini kita akan mudah bandingkan kelebihan mereka. Anak pertama saya sangat cepat belajar baca al-Quran, umur 3 tahun dah boleh baca sendiri al-Quran.
Bila mengandung anak kedua, saya sangat yakin anak kedua ni boleh baca lebih laju dari abangnya. Rupanya yang berlaku adalah sebaliknya.
Allah Al Mussawwir menciptakan mahluknya dalam pelbagai rupa dan kelebihan. Anak kedua ni lambat tangkap skil membaca tapi mempunyai daya hafazan yang luar biasa.
Suami minta saya FOKUS kepada KELEBIHAN anak-anak
dan lebihkan BERSYUKUR. Jangan bandingkan anak-anak, setiap anak ada fasa belajar mereka sendiri yang penting mereka ENJOY momen belajar al-Quran mudah mereka membesar menjadi Pencinta al-Quran.
4) PAKSA
Jangan dipaksa anak menghafaz al-Quran kalau mereka tidak berminat. Kenal pasti kenapa anak jadi tidak berminat?
Ada sebab mereka tak nak mengaji atau hafaz al-Quran. Suburkan cinta dan minat secara semula jadi. Tapi bagaimana?
Disinilah kita perlu banyakkan bercerita kisah-kisah dalam al-Quran. Kisah ajaib seperti kisah pemuda al Kahfi, kisah-kisah nabi, kisah pemuda yang tidur 100 tahun dan banyak lagi kisah lain pasti akan buatkan anak teruja untuk mendalami sendiri al-Quran.
SubhanaAllah. inilah kehebatan dan mukjizat al-Quran. Saya sudah pernah cuba kaedah ini kepada sekumpulan anak kecil..
Saya tidak paksa mereka hafaz surah Al Kahfi, saya mulakan dengan bercerita dulu kisah pemuda yang tidur dalam gua selama 309 tahun. Kemudian anak-anak ini yang MINTA SENDIRI untuk hafaz ayat dalam surah al Kahfi.
Ingat, jangan PAKSA anak hafaz, tapi tanamkan benih cinta dulu. Proses menghafaz akan jadi lebih mudah.
5) LUPA DOA PADA ALLAH
Sering kita tertipu bila anak pandai baca al-Quran, kita rasakan semuanya atas hasil usaha kita sendiri. Dalam hati selalu bisik ” pandai aku ajar anak aku..” Buang perkataan ‘AKU’ tukar pada ‘DIA’
DIA= ALLAH
Kita tidak akan mampu ajar anak al-Quran tanpa pertolongan Allah. Allah yang beri kita sihat supaya dapat ajar anak..kalau sakit mampu ke kita ajar?
Allah izinkan kita ada masa untuk ajar anak..kalau kita sibuk ada masa ke nak ajar? Semua berlaku dengan IZIN ALLAH
Dan untuk dapat anak yang CINTA al Quran,perlu minta pada ‘DIA’. Sangat perlu minta pada DIA kerana dia yang pegang hati setiap hambaNya.