Mendidik anak-anak supaya suka makan sayur memang boleh menjadi satu cabaran yang besar. Bagaimanapun ada beberapa cara yang boleh dicuba bagi menggalakkan anak-anak untuk suka makan sayur. Ingatlah, setiap anak berbeza, jadi cuba beberapa cara berbeza dan lihat apa yang berfungsi untuk mereka.

Jangan memaksa anak makan sayur. Ini boleh mencetuskan keengganan. Beri mereka masa dan ruang untuk menerima sayur. Bersabarlah dalam proses ini. Anak-anak mungkin perlu beberapa percubaan sebelum benar-benar menerima sayur.

Berikut dikongsikan tip bagi ibu bapa untuk mendidik anak-anak supaya suka makan sayur. Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat, Norazizah Ruslan berkongsi tip yang boleh ibu bapa lakukan untuk mencapai matlamat ini.

Didik Anak Makan Sayur, Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat Kongsi Tip
Kredit foto: Freepik

Didik Anak Makan Sayur

“Ibu bapa kena tahu, anak akan menyukai sayur apabila mereka kenal dengan sayur tersebut. Memperkenalkan sayur kepada anak memang antara cabaran kepada ibu bapa. Tidak hanya sekadar mengulang kebaikan sayuran tetapi ada langkah-langkah yang boleh dicontohi.”

Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat Kongsi Tip

10 TIP DIDIK ANAK SUKA MAKAN SAYUR

1. Pendedahan sewal usia amat penting. Sebaik sahaja boleh diberi makanan pencerai susu, perkenalkan rasa sayur-sayuran dahulu sebelum makanan lain. Jus dan puri adalah cara yang terbaik dan boleh dicampur dengan susu ibu yang anak sudah terbiasa. Anak yang menyusu ibu lebih mudah menerima rasa sayur sekiranya ibunya juga makan sayur.

Didik Anak Makan Sayur, Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat Kongsi Tip

2. Beri anak mainan berkonsepkan sayur. Biar mereka kenal nama sayur melalui permainan dan pembacaan. Terdapat rancangan televisyen, video dan di media sosial yang menerapkan konsep sebegini.

IKLAN

3. Biar anak terlibat sama dalam proses mendapatkan sayur. Cara untuk dapatkan sayur adalah menanam sendiri sayur yang hendak dimakan. Ibu bapa juga boleh mulakan dengan projek membuat taugeh atau menanam sayur yang cepat mendapat hasil. Misalnya kangkung, bayam dan tomato. Hasil tanaman boleh dimasak mengikut cita rasa mereka.

Didik Anak Makan Sayur, Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat Kongsi Tip
Sayur dimasukkan dalam lauk ayam.

4. Selain tanam, ibu bapa perlu bawa anak ke pasar. Tujuannya adalah biar mereka memilih sendiri sayur untuk dimakan. Misalnya mulakan dengan baca buku mengenai lobak merah. Kemudian ajak mereka ke pasar beli lobak merah. Teruskan dengan masak lobak merah itu di dapur dan nikmati sama-sama. Mereka tentu seronok.

5. Untuk menggalakkan anak suka makan sayur, ibu bapa juga haruslah menunjukkan teladan yang baik iaitu ibu bapa juga suka makan sayur. Jadi, makanlah sayur di hadapan mereka. Jadikan sayur termasuklah ulam sebagai satu hidangan wajib ada di atas meja makan.

“Setiap langkah di atas perlu diulang berkali-kali sehingga berjaya. Tekankan kebaikan makan sayur kepada mereka seperti menjadikan mereka lebih sihat, kulit yang lebih mulus, kurang mendapat penyakit dan berjiwa besar. Jangan kedekut dengan pujian jika mereka berjaya menjamah walaupun sedikit.”

6. Pelbagaikan jenis sayur di rumah. Tidak terhad kepada yang berdaun dan berbuah sahaja. Kenalkan dengan sayur berasaskan ubi dan akar seperti kentang, keledek dan lobak merah. Sayur dalam bentuk batang juga sedap untuk dicuba seperti asparagus dan celery. Sayur daripada keluarga bunga seperti bunga kobis dan brokoli juga mudah menarik selera anak.

Didik Anak Makan Sayur, Penceramah Pemakanan Dan Gaya Hidup Sihat Kongsi Tip
Sayur bening atau sayur air memang digemari oleh kanak-kanak.

7. Teknik memasak juga perlu dipelbagaikan. Tidak terhad kepada sup atau goreng. Sayur boleh dijadikan jus dan dibekukan menjadi aiskrim seperti jus lobak merah yang dicampur dengan susu. Brokoli boleh dijadikan sup berkrim dan dimakan bersama roti. Kentang yang dipanggang bersama daging cencang berserta sos keju juga sedap untuk dicuba. Piza sayur-sayuran yang dibuat sendiri. Mereka pasti suka membantu menabur sayur-sayuran di atas piza itu nanti.

IKLAN

8. Sayur perlu disediakan dengan pelbagai jenis supaya mereka boleh memilih apa yang mereka suka dulu. Hal ini memang memerlukan kesabaran. Banyak cubaan demi cubaan sebelum mereka terbiasa. Contohnya, masak nasi goreng Cina dengan campuran jagung, kiub lobak merah dan kacang pis. Sup telur juga boleh digabungkan hirisan kobis, tomato, brokoli, seleri dan cendawan. Lihat anak suka makan yang mana satu.

9. Hidang sayur dengan gaya menarik. Misalnya dipotong bentuk bunga, bintang atau dicucuk seperti sate. Gunakan pinggan mangkuk yang istimewa untuk masakan berasaskan sayuran.

10. Ada masakan yang mengandungi sayur tersembunyi seperti sandwich, kek lobak merah, kuih talam keladi dan bingka ubi. Hidangan seperti ini juga lebih mudah menarik selera anak untuk makan sayur tanpa sedar.

Nota: Artikel ini diolah daripada majalah Rasa

IKLAN

Kredit foto: Freepik

Baca artikel berkaitan di sini: Anak ‘Berdrama’ Di Kedai Makan, Bungkus Dan Baliklah, Di Rumah Lebih Aman

Anak Comel Model Minuman Kordial, Rupanya Kini Sudah 24 Tahun & Cantik Orangnya!

Anak Selesema, Sakit Tekak & Batuk, Mama Boleh Beri Minum Teh Bunga Raya

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI