Ayu Raudhah Terpaksa Hentikan Penyusuan Baby, Susu Dipam Berwarna Hijau Dan Sudah Jadi Racun Kerana Sakit

Share

Pelakon Ayu Raudhah terpaksa menghentikan penyusuan baby nya yang baru berusia tujuh bulan pada Januari lepas. Bukan sengaja tapi terpaksa kerana susunya yang dipam berwarna hijau kebiruan dan sudah jadi racun kesan daripada pengambilan ubat dan antibiotik akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas menjalani pembedahan apendiks.

“Lepas operation ingatkan dah ok tapi rupanya masih sakit. Bila check balik doktor kata demam. Check darah dan x-ray, doktor kesan ada jangkitan pada paru-paru. Bacaan CRP Ayu dah 30, normal patutnya 5. Terus kena tahan kat wad HDU sebab tak boleh bernafas dan dada rasa ketat sangat.”

Ayu duduk wad selama 11 hari termasuk di wad HDU, kena tebuk, makan antibiotik untuk rawat jangkitan kuman kat paru-paru. Kira dalam tempoh tu dah settle la rawatan. Bila bacaan CRP dah turun jadi 19 , Ayu dah boleh balik rumah. Kira dah sihatlah.

Lepas balik rumah lima hari, tiba-tiba rasa sakit semula. Rasa macam nak jatuh. Tak boleh berdiri, tak boleh berjalan. Pergi hospital balik, doktor check buat CT scan kat perut, everything semua clear cuma infection tu baru nak pergi. Kira tak teruk lagi. Jadi kena tahan wad lagi seminggu untuk makan antibiotik.

Tu yang anak tak boleh menyusu sebab masa tu susu dah jadi racun. BILA pam susu jadi warna hijau kebiru-biruan sebab macam-macam ubat masuk dalam badan kita,” ceritanya tentang punca terpaksa menghentikan penyusuan Laura

Walaupun sedih sebab terpaksa menghentikan penyusuan susu ibu pada si kecil dan menggantikan dengan susu formula tetapi Ayu bersyukur kerana sepanjang tempoh dia sakit, bayinya mudah untuk minum susu formula sebagai gantian.

“Sampai sekarang dah tak boleh menyusu sebab lepas keluar wad, Ayu masih lagi kena sambung makan antibiotik. Lepas habis antibiotik, susu badan dah kering sebab hampir sebulan tak menyusukan baby kan.”

Penyakit Bagi Pengajaran Berguna!

Rupanya Ayu bukan sekadar kena penyakit apendiks biasa tetapi selepas pembedahan membuang apendiksnya yang sudah pecah dia bertarung nyawa pula kerana terkena  jangkitan kuman pada paru-paru dan terpaksa menghentikan penyusuan bayinya.

Menurut ibu kepada tiga cahayamata, Aisy Qaiser, Aisy Aryan dan Laura Zuleykha, penyakit apendiks yang dihidapinya dikesan secara tiba-tiba sahaja tanpa sebarang petunjuk.

“Satu hari tu tiba-tiba Ayu rasa sakit perut dan mual-mual. Ingatkan pregnant sebab rasa nak muntah. Lepas tu bila muntah teruk sangat sampai keluar muntah hijau.

Zaquan ajak pergi klinik, bila check doktor bagi ubat angin je. Bila rasa makin sakit terus pergi hospital dan dihantar ke wad emergency. Doktor terus suruh admit sebab detect ada apendiks yang dah pecah. Esoknya baru buat operation,” cerita Ayu yang menjalani pembedahan pada 11 Januari lalu dan keluar dari hospital pada awal Februari lepas.

Siapa sangka pelakon jelita Ayu Raudhah baru sahaja sembuh daripada kesakitan yang dirasakan seperti berada di ambang maut.

“Masa sakit tu Ayu terfikir kalau Allah nak ambik kita, bila-bila masa je dia ambik. Kesihatan kita atau apa-apa pun milik kita. Kita tak mampu dan tak berdaya nak buat apa dah. Ini semua hanya pinjaman je,” ujarnya yang bersyukur masih diberi peluang untuk bernafas lagi.

Bila diberi ujian sakit, Ayu rasa insaf apatah lagi dia yang sebelum ini sihat dan tiada sebarang tanda sakit tiba-tiba ditahan masuk hospital dan terus tiada keupayaan.

Katanya dia memang tidak berkongsi masalah sakit yang dihadapi di laman Instagram peribadinya kecuali selepas sembuh. Itupun kerana dia mahu berkongsi dengan pengikutnya kelebihan bila mempunyai insurans peribadi kerana kos rawatan untuk penyakit di hospital swasta sekarang amatlah tinggi.

“Pentingnya ada insurans untuk diri sendiri dan anak-anak terutamanya. Jumlah kos pembedahan Ayu dan rawatan jangkitan paru-paru di hospital hari tu lebih daripada RM50,000. Alhamdulillah Ayu ada insurans yang cover semua,” katanya yang turut lega dan boleh fikir tentang diri sendiri bila ibunya sendiri yang membantu menjaga anak-anaknya.

Ayu yang ditemui dalam majlis pelantikan kakanya selebriti Rozita Che Wan sebagai duta produk serum Nell Aesthetica di sebuah hotel di ibu negara semalam, sempat berpesan kepada semua peminatnya supaya segera pergi berjumpa doktor di hospital kalau sakit. Jangan pandai-pandai makan ‘painkiller’ sendiri sebab itu cuma untuk tahan sakit seketika sahaja.

Sumber: Ayuraudhah_7

IKLAN