“Hari-hari saya menangis. Padahal semua okay. Anak sihat, suami tolong jaga, tapi hati ni kosong. Saya rasa macam ibu yang gagal…”
Luahan ini mungkin biasa didengar dari mulut ibu yang baru melahirkan cahaya mata. Malangnya, ia sering dianggap sebagai perkara remeh. “Biasalah tu, hormon tak stabil…” “Kau kena kuat, semua ibu lalui benda yang sama…”
Hakikatnya, emosi yang tidak stabil selepas bersalin bukan sekadar soal ‘tak cukup tidur’ atau ‘terlalu penat’. Ia mungkin petanda kemurungan selepas bersalin, atau lebih dikenali sebagai Postpartum Depression (PPD).
Menerusi perkongsian Pakar Motivasi Diri, Keluarga & Organisasi, Dr Hajah Azuraida Shahadan membincangkan kesihatan ibu berpantang dan emosi ibu bersalin yang seharusnya diberikan lebih perhatian.
Baby Blues
Baby blues adalah gangguan emosi ringan yang biasanya dialami dalam tempoh beberapa hari hingga dua minggu pertama selepas bersalin. Ia berlaku akibat perubahan hormon secara drastik selepas melahirkan anak. Antara simptom biasa:
* Mudah menangis tanpa sebab
* Rasa cemas atau panik
* Cepat marah atau tertekan
Ads
* Rasa tak cukup bagus jadi ibu
* Susah tidur walaupun bayi tidur
Kebanyakan ibu akan pulih dengan sokongan keluarga dan masa rehat yang cukup. Tetapi bila perasaan itu berlarutan lebih dari dua minggu, ia mungkin bukan lagi baby blues.
Postpartum Depression
Postpartum Depression (PPD) adalah kemurungan serius yang boleh berlaku dalam tempoh minggu ke-2 hingga beberapa bulan selepas bersalin. Ia bukan sesuatu yang boleh “dikuatkan hati” atau “dibiarkan reda sendiri”.
Antara simptom PPD:
Ads
* Rasa putus asa, kosong, tak berdaya
* Sukar berhubung dengan bayi sendiri
* Tiada selera makan atau makan berlebihan
* Tak mampu tidur langsung atau terlalu banyak tidur
* Fikiran gelap: “Kalau aku tak ada, semua orang lebih bahagia…”
PPD boleh menyerang sesiapa, termasuk ibu yang kelihatan ‘kuat’. Ia bukan soal iman lemah atau tak bersyukur. Ia adalah keadaan perubatan yang perlu dirawat.
Ramai ibu yang memilih untuk mendiamkan diri dan menahan segala emosi yang ada kerana bimbang dikatakan manja. Ibu seharusnya belajar untuk berkongsi masalah, kepenatan atau apa jua perasaan kepada orang-orang terdekat bagi mengelakkan adalah emosi dalaman yang bercelaru.
Emosi yang bercelaru ini jika dibiarkan akhirnya ramai ibu yang terpaksa bertarung sendiri dalam senyap. Dan itu sangat membahaya.
Buat Ibu:
* Cakap dan luah dengan seseorang. Suami, kawan, atau kaunselor. Jangan pendam.
* Jangan paksa diri untuk jadi ‘perfect’. Jadi ibu adalah satu proses, bukan perlumbaan.
* Dapatkan rawatan. Jangan takut jumpa doktor atau pakar psikiatri. Rawatan seperti terapi dan ubat-ubatan selamat dan membantu.
* Cari keseronokkan diri dan terapi dengan cara selamat. Jadikan momen bersalin, berpantang dan mengenal anak dalam tempoh berpantang ini sesuatu yang membahagiakan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mungkin ada sesetengah wanita yang akan menjalani pembedahan untuk melahirkan merasa pelik kerana doktor menyuruh mereka untuk berpuasa sekurang-kurangnya enam jam sebelum ke OT. Saranan ini bukan diberikan untuk suka-suka, ada sebabnya dari segi perubatan yang melibatkan keselamatan nyawa si ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.
Jangan mengeluh dan rasa yang doktor menyusahkan. Yalah, mengandung lepas tu diminta berpuasa pula. Mana tahan nak tunggu sampai 6 jam. Jangan ambil ringan soal ini dan kemudian makan senyap-senyap tanpa pengetahuan doktor!
Melahirkan anak sama ada secara pembedahan atau normal kedua-duanya mempunyai risiko dan prosedur tersendiri. Pembedahan elektif caesarean biasanya dijadualkan dan ibu-ibu akan diminta untuk berpuasa. Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan ia ada kaitan dengan bius yang bakal diberikan.
“Kebiasaannya ibu yang menjalani pembedahan caesarean akan diberikan bius separuh badan. Namun ada keadaan di mana bius separuh badan ini tidak berkesan. Keadaan ini memerlukan ibu berkenaan dibius penuh (bius am).
“Jika ibu tidak berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam seperti yang diminta, terdapat risiko isi kandungan dalam perut akan regurgitated (terkeluar) dan boleh memasuki paru-paru semasa pemberian bius penuh.
“Ikut peraturan. Kalau doktor dah suruh puasa kol 12 tengah malam, tu follow je. Kalau suruh puasa pukul 3 pagi ke 2 pagi pun follow je. Bukannya curi-curi makan bila dia suruh puasa. Ada pulak orang suruh puasa dia pegi telan nasi lemak kol 6 pagi. Macam mana nak buat operation? Barang-barang peribadi yang berharga serahkan pada keluarga, jangan tinggalkan dalam wad. Apa pun ikut peraturan. Lain tempat lain cara.”
INFO: Bius am akan menyebabkan otot-otot di saluran pencernaan dan saluran pernafasan tidak dapat berfungsi untuk mengawal makanan dan asid daripada bergerak dari perut ke dalam paru-paru. Sentiasa ikuti arahan doktor untuk mengelakkan makanan dan minuman sebelum pembedahan. Puasa biasanya diperlukan bermula enam jam sebelum pembedahan. Sumber: mayoclinic.org
5 TIPS MENEMPUHI PEMBEDAHAN CAESAREAN
Siapa kata tidak berdebar, walau pun ia mungkin kali kedua atau ketiga ibu dibedah untuk bersalin. Tenangkan diri dan lakukan perkara penting yang dicadangkan doktor ini.
Selain berpuasa mengikut prosedur yang ditetapkan, 5 perkara yang boleh para ibu lakukan sebagai persediaan menempuhi pembedahan ialah seperti berikut;
Kebiasaanya ini pesanan-pesanan saya bila buat round malam pada ibu-ibu yg akan menjalani apa-apa prosedur di dewan bedah ( contohnya pembedahan caesar ) pada keesokkan hari;
#1: SOLAT HAJAT Malam-malam tu buat solat hajat. Selagi boleh solat tu buatlah. Minta bantuan dari Allah. Minta jauhkan segala ketakutan. Segala perjalanan pembedahan tak aan berjalan lancar tanpa izin Allah. Doktor hanya bantu sahaja. Kalau tak mampu nak solat, mengaji pun ok sangat dah. Bukan pegi kat katil orang lain membawang sana sini.
#2: MOHON MAAF DARIPADA SUAMI & IBU BAPA Mintak maaf pada suami, mak dan ayah. Kalau depa ni jauh, apa guna henfon mahal-mahal kan ? Call dorang mintak maaf atas salah silap dan mintak dorang doakan segalanya berjalan lancar. Ni penting. Kalau redha sesama manusia kita dapat, Allah akan redha dgn kita. Semua urusan akan mudah.
#3: LANGSAIKAN HUTANG Selesaikan hutang-hutang yg ada. Kalau ada berhutang dengan orang pegi settlekan. Takpayah kalut, online banking kan ada?
#4: YAKIN Last, yakin sepenuhnya dengan doktor yang akan bedah korang esok. Saya akan jumpa pesakit yang akan saya bedah biasanya malam sebelum pembedahan, nak bagitau pesakit bahawasanya sayalah doktor bedah dorang esok, sambil borak-borak ringkas. Tak ade lah pesakit terpinga-pinga tertanya-tanya doktor mana yg akan buat operation kan?
#5: BERSELAWAT & DOA Biasanya saya akan mulakan segala macam prosedur dan pembedahan dengan ucapan Bismillahirrahmanirrahim. Sebelum korang ‘ditidurkan’ oleh doktor bius selawat pada Nabi dan doa buat kali terakhir untuk dipermudahkan. Ingat, doa adalah senjata utama kita. Doa dan terus berdoa. Jangan pernah berhenti berharap.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apa yang anda makan semasa tempoh berpantang akan mencerminkan kesihatan anda kemudian hari. Oleh itu, anda perlu mengetahui amalan pemakanan yang betul semasa menjalani tempoh berpantang.
Melalui perkongsian dari Kak Engku Bidan Bersalin, pemakanan antara aspek yang amat penting dalam rawatan semasa pantang bersalin. Keperluan ini perlu diutamakan kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon dalam badan anda. Jika tidak dikawal dan dijaga pemakanan dalam tempoh berpantang, anda akan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan mengganggu penyembuhan dalaman dan luaran anda.
Lazimnya pada awal minggu pertama, digalakkan makan makanan yang kering untuk tujuan mengecutkan rahim. Pastikan waktu makan anda tepat untuk mengelak perut masuk angin. Jika anda mengambil nasi, makan semasa nasi masih panas dan ambil dalam kadar yang sederhana.
Jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Jika masih lapar, anda boleh makan secara kerap. Untuk minum petang pula, anda boleh makan biskut tinggi serat (elakkan mengambil roti kerana kandungan yis yang tidak elok untuk proses pengecutan rahim).
Apabila memasuki minggu kedua dan seterusnya, anda sudah boleh mulai makan makanan yang berkuah seperti sup ikan, sup sayur dan buah-buahan supaya anda mendapat khasiat yang seimbang dalam pemakanan anda.
Semasa dalam pantang juga makanan yang dilarang makanan adalah bersifat sejuk, berangin, gatal dan berbisa. Minuman berais tidak dibenarkan. Ini adalah antara amalan pantang larang yang mesti dilakukan semasa berpantang untuk menyembuhkan dan menyegarkan kembali badan selepas menjalani proses bersalin.
Elakkan Makanan Berlemak
Semasa berpantang kuantiti dan kualiti makanan yang diambil akan memberi impak besar terhadap berat badan dan kesihatan anda. Jadi, anda dilarang untuk mengambil makanan yang boleh menggemukkan sewaktu berpantang. Anda disyorkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman di samping masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus yang terbukti dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan masalah berat badan yang anda alami ketika ini.
Melancarkan Proses Penghadaman
Halia dipercayai memiliki sifat panas dan kering. Sekiranya anda kerap mengambil makanan yang mengandungi banyak halia sepanjang berpantang, anda sebenarnya telah membantu diri untuk memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.
Atasi Masalah Kemurungan
Salah satu jenis ulam-ulaman yang terkenal di kalangan ibu berpantang ialah daun pegaga. Daun ini disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan dan menambahkan ingatan. Antara kelabihan lain yang ada pada daun pegaga ialah ia dapat mengatasi kemurungan yang mungkin timbul disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
Pembuang Angin
Bagi masyarakat india, sayur sawi menjadi keutamaan bagi wanita india yang berpantang. Ini kerana pengambilan sayur sawi bertujuan untuk membuang angin. Sebaik-baiknya sayur ini dicelur terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.
Penambah Pengeluaran Susu
Pengambilan peria, pegaga, lobak putih dan cekur manis oleh ibu berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar dan menambah penghasilan susu ibu. Sekiranya kerap diamalkan ia dapat membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
Kecantikan Wajah
Dalam usaha mengekalkan kesegaran tubuh, makanlah ikan haruan dan tenggiri sebagai makanan tambahan (boleh dibuat sup). Selain dapat melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ia terjadi hasil daripada kandungan asid amino dan lemak yang ada pada kedua-dua jenis ikan ini. Apa yang lebih menarik ialah daging ikan-ikan ini yang bebas kolesterol akan membuatkan wajah kelihatan lebih berseri.
Lawas Buang Air Besar
Dengan mencampurkan perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang, ia dapat memudahkan anda untuk membuang air besar selain daripada menyegarkan tubuh anda.
Hindari Kembung
Seelok-eloknya setiap hidangan dimakan bersama nasi putih yang baru sahaja dimasak. Tujuannya ialah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Oleh itu, elakkan daripada memakan nasi sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kembung perut.
Minuman Penambah Tenaga
Bagi mengembalikan semula tenaga tubuh, anda digalakkan untuk minum air rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan meminum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan anda akan kembali menjadi ringan dan tambah bertenaga.
Caesarean : Kurangkan Lada Hitam
Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah untuk memanaskan badan. Namun yang demikian, bagi ibu berpantang yang melahirkan anak secara ceaserean, anda kurang digalakkan untuk mengambil lada hitam dalam kuantiti yang banyak.
Anti Oksidan
Terdapat pelbagai jenis ulaman berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang antaranya daun pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daum kesum seta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan untuk menyegarkan dan membuang toksin dalam badan.
Pengambilan Cecair
Wanita selepas bersalin tidak dibenarkan mengambil air dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim, faraj mudah longgar serta berair terutama jika minum air sejuk atau air batu. Pengambilan air dibenarkan secara kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air penting untuk proses penyembuhan dan mengalakkan pengeluaran susu ibu.
Pemakanan Ikan
Makan ikan segar dan tidak gatal seperti haruan dan ikan sardin yang segar (bukan dalam tin). Ikan haruan juga dipercayai dapat memulihkan luka luaran dan dalaman (bersalin caesarean). Elakkan juga ikan berbisa dan gatal seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam, terubuk dan parang. Kesannya menyebabkan kegatalan, timbulnya reaksi alahan dan boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Pengambilan Sayuran Dan Buahan
Setiap buah-buahan pula, ia mempunyai khasiat tersendiri antaranya buah oren yang mengandungi banyak vitamin C yang membantu pemyembuhan luka disamping fiber untuk melawaskan air besar. Manakala elakkan makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, bayam, kacang panjang, petola, petai, jering dan terung.
Minuman seperti tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, nangka, cempedak dan pisang nangka, antara minuman jenis yang sejuk dan tajam. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
Kecutkan Rahim
Kunyit yang sering diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu yang berpantang berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.
Kehamilan adalah satu pengalaman hidup yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja untuk anda atau pasangan anda, bahkan untuk ahli keluarga terdekat yang lain. Ianya pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya kehamilan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan diusahakan sekian lama, khususnya jika anda dan pasangan anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata.
Ianya satu nikmat tuhan yang perlu disyukuri, bahkan satu keajaiban bagi anda dan pasangan khususnya jika anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan atau penyakit-penyakit tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah. Keadaan-keadaan kesihatan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis (PID) dan juga polycystic ovarian syndrome adalah contoh penyakit-penyakit yang berupaya untuk mengganggu kesuburan dan fungsi reproduktif normal wanita sekali gus mempengaruhi peluang untuk wanita mengandung.
Justeru, kegembiraan akan jelas terserlah apabila mengetahui bahawa zuriat yang dinanti-nantikan semakin dekat dengan realiti. Namun yang demikian, timbul pula soalan-soalan berkaitan proses bersalin yang bakal tiba. Adakah anda bersedia? Adakah ianya akan menyebabkan kesakitan yang teruk? Jika ya, apakah pula doa mudah bersalin atau tip-tip lain yang boleh anda praktikan untuk mendapatkan proses bersalin yang selamat dan lancar?
Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak aspek-aspek berkaitan keadaan anda dan juga proses kelahiran anda bergantung kepada penjagaan di hospital oleh doktor dan juga jururawat. Namun, terdapat juga beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi menyediakan diri anda. Artikel ini akan membincangkan doa mudah bersalin (khususnya untuk penganut agama islam) serta tip-tip lain yang boleh anda amalkan bagi menyediakan diri anda untuk proses bersalin, sekali gus menjadikan ianya lebih lancar dan kurang menyakitkan.
Komplikasi yang boleh berlaku ketika bersalin
Proses bersalin bukanlah tanpa sebarang komplikasi. Oleh yang demikian, pesakit yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi akan diberikan perhatian yang lebih ketika mereka bersalin di hospital. Berikut adalah komplikasi-komplikasi yang lazimnya, atau boleh berlaku ketika bersalin.
Bahu bayi tersekat
Keterjadian bahu bayi tersekat ketika proses menyambut kelahiran bayi tersebut adalah satu mimpi ngeri bukan sahaja untuk si ibu, malahan untuk para doktor dan jururawat di sekelilingnya. Ianya adalah salah satu komplikasi popular ketika proses kelahiran (labour) berlangsung. Apa yang lebih merisaukan adalah ianya merupakan komplikasi yang tidak boleh diduga, justeru tidak boleh dibendung. Definisi keadaan ini adalah apabila pergerakan-pergerakan tambahan diperlukan (berbanding pergerakan biasa) untuk mengeluarkan bahu bayi tersebut. Ini terjadi apabila bahu bayi tersebut tersangkut pada simfisis pubis ibu atau bahagian unjuran/promontori sacrum. Lazimnya, satu tanda yang diperhatikan berlaku apabila insiden bahu tersekat ini terjadi dan tanda tersebut disebut sebagai ‘turtle sign’, merujuk kepada keadaan kepala bayi yang, apabila sudah terkeluar sedikit, ianya termasuk semula ke dalam, seolah-olah melekat pada perineum si ibu.
Keterjadian bahu bayi tersekat ini membawa komplikasi lain yang tidak terhad untuk ibu sahaja, bahkan untuk bayi tersebut. Untuk bayi yang ingin dilahirkan, komplikasi yang mungkin berlaku, dan cukup digeruni adalah kecederaan brachial plexus dan juga kecederaan hipoksisk-iskemik otak. Bagi si ibu pula, komplikasi yang berupaya untuk berlaku adalah pendarahan selepas bersalin (post-partum haemorrhage), luka melecet pada dinding faraj, kekoyakan perineum dan juga kekoyakan rahim (uterine rupture).
Bahagian muncul bayi yang tidak normal (Malpresentation)
Komplikasi ini merujuk kepada bahagian pertama yang muncul atau keluar daripada faraj si ibu. Beberapa minggu sebelum anda sudah cukup bulan untuk bersalin, kedudukan bayi dalam rahim anda adalah dalam posisi di mana kepala mereka akan berada di bahagian bawah rahim (paling dekat dengan faraj), dagu bertemu dada, dan punggung dan kaki mereka berada di bahagian atas (menunjuk ke arah dada ibu), bersedia untuk masuk ke dalam bahagian pelvis. Dengan posisi ini, bahagian kepala bayi yang paling kecil mendahului penurunan ke dalam pangkal rahim, sebelum keluar melalui faraj. Posisi ini dikenali sebagai verteks (kepada bawah) occiput anterior (OA).
Memandangkan bahagian kepala bayi adalah bahagian yang paling besar dan paling fleksibel, posisi ini adalah posisi yang terbaik untuk bayi tersebut keluar. Dengan cara ini, risiko badan bayi untuk tersekat atau terhalang ketika ingin dilahirkan, dapat dikurangkan ke paras yang minimum. Posisi ini juga mengurangkan risiko untuk kekoyakan faraj/perineum pada darjah yang lebih tinggi.
Namun yang demikian, sesetengah bayi tidak berada dalam posisi ini ketika dalam proses kelahiran (labour). Sebaliknya, mereka boleh berada dalam posisi di mana punggung atau kaki mereka yang masuk menuju ke dalam pelvis. Ini disebut sebagai ‘breech presentation’. Lazimnya, kedudukan sebegini akan dilihat melalui ujian pengimejan ultrasound ketika tempoh-tempoh awal janji temu berkala dengan doktor namun majoriti mereka akan mengambil kedudukan verteks OA semula apabila menghampiri tempoh cukup bulan untuk dilahirkan. Malangnya, segelintir daripada mereka akan mengalami keadaan di mana bayi tersebut tidak berada dalam posisi verteks OA apabila semakin dekat dengan tempoh bersalin.
Breech presentation ini berupaya untuk membawa kepada komplikasi lain yang boleh mengancam nyawa si ibu dan juga si bayi. Antara komplikasi yang berkait rapat dengan keadaan ini, dan berupaya menyebabkan kematian sekitar proses bersalin (perinatal mortality) adalah prolaps tali pusat, asfixia ketika bersalin dan juga kepala bayi tersekat.
Pendarahan pasca-bersalin
Pendarahan pasca-bersalin adalah salah satu komplikasi yang cukup digeruni oleh pakar perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), keadaan ini adalah punca kematian utama ibu di dunia, dengan anggaran 35% daripada keseluruhan kematian ibu mengandung disebabkan olehnya. Menurut WHO lagi, dianggarkan seramai 14 juta wanita menghidap PPH setahun, dengan kadar kematian majoritinya berlaku dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara dan akronim yang digunakan untuk pengelasan punca-punca pendarahan pasca-bersalin adalah ‘4T.’ 4T merujuk kepada Tone, Trauma, Thrombin dan juga Tissue. Tone di sini merujuk kepada tona rahim, khususnya ketiadaan tona rahim (uterine atony). Ini adalah punca utama mengapa terjadinya pendarahan pasca-bersalin dan ketiadaan tona rahim menyebabkan ianya tidak mampu untuk mengecut, atau tidak mampu untuk mengecut dengan cepat. Pentingnya untuk ia mengecut adalah untuk menutup kebocoran salur darah selepas uri dipisahkan daripada dinding rahim. Punca di bawah tajuk Trauma pula merujuk kepada mana-mana bahagian sistem reproduktif yang terlibat dalam proses bersalin, yang tercedera sehingga pendarahan banyak berlaku. Tissue pula merujuk kepada uri atau cebisan uri yang mungkin tertinggal di dalam rahim dan tidak habis dikeluarkan. Memandangkan ianya kaya dengan salur darah, kewujudannya dalam rahim secara berterusan akan menyebabkan pendarahan terus-menerus berlaku. Akhir sekali, Thrombin di sini merujuk kepada masalah-masalah atau keadaan kesihatan yang berkait rapat dengan faktor darah pesakit, khususnya jika pesakit mempunyai keadaan kesihatan atau penyakit yang menyebabkan proses penutupan luka dan pemberhentian pendarahan mereka terjejas. Contoh keadaan yang dimaksudkan adalah Haemophilia.
Kekoyakan faraj/perineum darjah tinggi
Kekoyakan perineum akibat proses bersalin adalah sesuatu yang sangat lazim berlaku. Malahan, kekoyakan ini, dalam kebanyakan kes, adalah perlu untuk memudahkan pengeluaran bayi tersebut. Untuk tujuan itu, doktor mungkin akan melakukan guntingan episiotomi bagi membuka ruangan untuk bayi tersebut keluar. Namun yang demikian, kekoyakan perineum melalui guntingan episiotomi adalah sesuatu yang terkawal dan pada darjah koyak yang lebih rendah. Darjah kekoyakan perineum ini terbahagi kepada 4 dan darjah 4 adalah yang paling teruk, membabitkan kekoyakan yang mencapai lapisan epitelium anus, sehingga terbentuknya laluan antara epitelium faraj dan juga epitelium anus.
Untuk kekoyakan darjah satu atau dua, komplikasi jangka masa panjang adalah sangat jarang berlaku. Untuk kekoyakan perineum darjah tiga dan empat pula, 60 hingga 80% daripada wanita tidak mengalami apa-apa simtpom atau komplikasi dalam masa 12 bulan pertama. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah tidak lawas membuang air besar, rasa sakit di bahagian tersebut ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan dan juga rasa sakit perineum yang kronik. Namun yang demikian, walaupun tidak lazim keterjadian komplikasi-komplikasi ini, ianya boleh kekal selama-lamanya pada pesakit, khususnya rasa sakit kronik di bahagian perineum.
Bagaimana untuk mengurangkan darjah kekoyakan faraj yang tinggi ketika bersalin?
Beberapa faktor yang meningkatkan risiko koyakan vagina yang teruk termasuklah berat bayi berlebihan, bayi dilahirkan pada kedudukan posterior (muka), episiotomi, waktu bersalin yang lama dan penggunaan alat bantuan waktu bersalin, terutamanya alat forsep. Pun begitu, risiko tersebut boleh dikurangkan melalui beberapa langkah untuk anda cuba:
Kekal sihat – Amalkan diet yang sihat demi memastikan bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk tisu kulit anda menjadi kuat dan fleksibel. Bersenam secara konsisten untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa waktu untuk meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki. Si ibu juga harus belajar teknik pernafasan untuk mencegah tekanan semasa bersalin. Adalah penting untuk mengekalkan berat yang sihat sebelum dan semasa hamil kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.
Urutan perineum – Ibu hamil disyorkan untuk cuba melakukan urutan perineum (kawasan faraj/vagina hingga dubur) sekali atau dua kali sehari dari minggu ke-34 kehamilan dan seterusnya. Cara paling berkesan adalah dengan menggunakan pelincir kulit seperti minyak mineral, vitamin E atau minyak kelapa. Urutan perineum adalah cara yang cepat dan mudah untuk meningkatkan fleksibiliti lantai pinggul anda. Dengan itu, anda dapat mengurangkan risiko berlaku koyakan teruk.
Menggunakan alat Epi-No – Kaedah ini melibatkan kemasukan alat boleh kembung seperti belon ke dalam vagina seminggu sebelum bersalin untuk memastikannya meregang pada tahap tertentu untuk meningkatkan fleksibiliti. Walaupun mungkin kedengaran aneh, tetapi kaedah ini telah terbukti lebih berkesan dan lebih selesa untuk ibu hamil berbanding penggunaan urutan perineum tradisional.
Pastikan perineum anda hangat – Suhu hangat meningkatkan aliran darah, melembutkan dan mengendurkan tisu kulit pada bahagian yang dihangatkan. Sebelum bersalin, anda boleh meminta bidan menekan tuala hangat dan basah dengan lembut pada kawasan tersebut atau anda boleh bersalin dalam tab mandi yang mengandungi air suam atau sedikit hangat.
Persediaan untuk melalui kelahiran normal
Kebanyakan ibu yang sedang hamil akan berasa risau mengenai apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dilakukan sebelum melahirkan bayi dan ini adalah normal. Jika anda bercadang untuk bersalin secara normal, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Ketahui peringkat kelahiran
Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walau bagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:
Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.
Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Melahirkan bayi sememangnya satu proses atau prosedur yang akan mendatangkan kesakitan kepada para ibu. Namun begitu, selain berzikir, beristighfar dan membaca doa mudah bersalin, terdapat teknik lain yang yang boleh anda lakukan, misalnya hypnobirthing.
Dicipta oleh seorang pakar hipnoterapi dari Harvard University Ford Foundation iaitu Marie “Mickey” Mongan, hypnobirthing adalah sejenis teknik meditasi yang dilakukan oleh ibu hamil untuk tujuan melahirkan bayi dengan lebih mudah. Teknik ini dilakukan dengan menggunakan metode hipnosis bagi membantu ibu hamil berasa lebih relaks secara mental, fizikal dan rohani. Selain itu, teknik ini juga dilakukan untuk membantu mereka melawan perasaan takut dan mengurangkan rasa sakit serta rasa letih ketika melahirkan bayi. Berbanding menggunakan perkataan seperti sakit atau letih, teknik ini akan menggantikannya dengan perkataan tekanan. Kontraksi pula akan digantikan dengan perkataan seperti pusuan atau gelombang.
Teknik ini akan melibatkan penggunaan muzik, visual, perkataan dan pemikiran yang positif untuk tujuan merelakskan badan, mengawal pernafasan serta sensasi ketika melahirkan bayi. Ia boleh dilakukan secara sendiri atau mendapatkan bantuan daripada pakar hipnoterapi. Namun begitu, mereka ini mungkin tidak akan berada di sisi ketika proses bersalin hampir dekat, oleh itu, anda disarankan untuk mempelajarinya sendiri.
Uruskan bulu ari-ari anda
Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama. Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran. Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin. Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.
Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi
Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi. Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin. Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda. Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:
-Tanda-tanda kelahiran
-Progres kelahiran yang normal
-Teknik menghadapi kesakitan
-Bagaimana pasangan anda boleh membantu
-Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat
-Tanpa mengira keputusan anda untuk bersalin di rumah, di pusat bersalin atau hospital, perkara-perkara asas ini akan membantu anda bersedia untuk bersalin secara normal.
-Anda juga boleh menghadiri kelas agama berkaitan proses bersalin. Kelas seperti ini akan mendidik anda tentang bersuci serta tip-tip dan doa mudah bersalin bagi memudahkan proses kelahiran.
Doa mudah bersalin serta aspek spiritual lain yang boleh membantu semua wanita yang mengandung inginkan proses bersalin yang lancar serta selamat. Untuk seorang muslim, doa adalah senjata utama mereka dalam mengharungi pancaroba kehidupan. Justeru, mengamalkan doa mudah bersalin dan amalan-amalan lain adalah digalakkan bagi mendapatkan proses bersalin yang mudah.
Terdapat dua jenis doa yang dianjurkan oleh alim ulama dan ahli agama yang sesuai dijadikan amalan, ia bukan sahaja boleh digunakan sebagai doa mudah bersalin, bahkan doa untuk memperoleh keselamatan dan zuriat yang baik. Koleksi doa mudah bersalin ini boleh dibaca oleh ibu yang menunggu saat melahirkan anak dan oleh mereka yang menunggu kelahiran bayi seperti suami atau ibu bapa. Senarai doa mudah bersalin di bawah ini adalah berdasarkan ayat-ayat daripda kitab suci Al-quran.
Doa mudah bersalin yang boleh ibu amalkan ketika ingin bersalin
“Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, apa yang kurang sempurna, dan apa yang bertambah dalam rahim. Dan setiap sesuatu ada kadar ukuran di sisi-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 8)
“Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah kemudian daripada air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya. Dan tidak dipanjangkan umur seseorang dan tidak pula dikurangkan umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Luh Mahfuz). Sesungguhnya, yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah Al-Nahl, ayat 78)
Doa mudah bersalin yang dibaca oleh orang menunggu ibu bersalin (suami sangat digalakkan baca doa ini)
“Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu” (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
“Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya.” (Surah Al-Zalzalah, ayat 1-2)
InsyaAllah, jika sering diamalkan, doa mudah bersalin di atas mampu untuk memberi kekuatan kepada anda dan juga keluarga anda. Doa mudah bersalin di atas juga dapat dijadikan sumber pahala dan taqwa kepada tuhan. Kalau anda sedang menunggu hari untuk bersalin, belajarlah menjadi lebih positif untuk melalui pengalaman melahirkan anak.
Sememangnya, ianya adalah pengalaman yang ditakuti oleh semua wanita hamil tetapi pahala daripada-Nya pasti diberikan kepada si ibu.
El Niño dijangka mempengaruhi cuaca Malaysia sehingga 2027. Ketahui risiko cuaca panas terhadap kanak-kanak, dewasa dan warga emas serta langkah perlindungan yang disarankan MET Malaysia.