Ads

Bantal Bayi: Bahaya Tersembunyi Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Bantal bayi sering dianggap sebagai aksesori penting yang boleh membantu si kecil tidur dengan lebih selesa. Namun, ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa penggunaan bantal untuk bayi sebenarnya boleh mengundang risiko keselamatan yang serius, terutama pada tahun pertama kehidupan mereka.

Saat menyambut kelahiran cahaya mata, ramai ibu bapa pasti mahu menyediakan segala yang terbaik. Dari katil bayi, selimut, tilam hinggalah bantal comel yang direka khas untuk si manja, semuanya dibeli dengan penuh kasih sayang.

Malah, ada ibu bapa yang beranggapan bayi akan tidur lebih lena jika menggunakan bantal yang lembut dan empuk seperti orang dewasa. Tidak kurang juga yang membeli bantal berbentuk khas kononnya untuk membantu membentuk kepala bayi agar tidak menjadi leper.

Namun, tahukah anda bahawa pakar perubatan sebenarnya tidak menggalakkan penggunaan bantal untuk bayi, terutamanya pada tahun pertama kehidupan mereka?

Walaupun bantal sering dikaitkan dengan keselesaan ketika tidur, ia boleh menjadi antara faktor yang meningkatkan risiko kemalangan tidur dan masalah pernafasan dalam kalangan bayi.

Kenapa Bantal Bayi Tidak Diperlukan?

Bagi orang dewasa, bantal berfungsi menyokong leher dan kepala supaya badan lebih relaks ketika tidur. Namun, keadaan ini berbeza bagi bayi.

Struktur tulang belakang dan leher bayi masih dalam proses perkembangan. Mereka tidak memerlukan sokongan tambahan seperti orang dewasa. Malah, penggunaan bantal boleh menyebabkan kedudukan kepala dan leher menjadi tidak sesuai serta mengganggu pernafasan.

Lebih membimbangkan, bantal yang terlalu lembut boleh menyebabkan muka bayi tenggelam ke dalam permukaannya. Keadaan ini boleh menyukarkan bayi bernafas, terutama ketika mereka mula belajar meniarap dan bergerak sendiri.

Bantal Bayi dan Risiko SIDS Yang Ramai Tidak Tahu

Salah satu sebab utama pakar tidak menggalakkan penggunaan bantal adalah kerana kaitannya dengan Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) atau Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut.

Ads

SIDS merujuk kepada kematian bayi secara tiba-tiba ketika tidur tanpa sebab yang jelas. Walaupun punca sebenar masih dikaji, pelbagai faktor risiko telah dikenal pasti, termasuk penggunaan bantal, selimut tebal dan persekitaran tidur yang tidak selamat.

Bantal yang lembut dan empuk boleh menyebabkan saluran pernafasan bayi terhalang apabila mereka secara tidak sengaja membenamkan muka ke dalam bantal tersebut.

Semasa empat bulan pertama selepas kelahiran, risiko ini dianggap lebih tinggi kerana bayi masih belum mempunyai kekuatan untuk mengangkat atau memusingkan kepala mereka dengan baik apabila berdepan kesukaran bernafas.

Bantal Karipap Untuk Bayi, Benarkah Perlu?

Hari ini terdapat pelbagai jenis bantal bayi dijual di pasaran, termasuk bantal berbentuk U atau lebih dikenali sebagai bantal karipap.

Ramai ibu bapa membelinya dengan harapan dapat mengelakkan kepala bayi menjadi leper atau tidak simetri. Namun sehingga kini, tiada bukti saintifik yang benar-benar menunjukkan penggunaan bantal mampu membentuk kepala bayi dengan berkesan.

Sebaliknya, pakar lebih menyarankan ibu bapa menukar posisi kepala bayi secara berkala ketika mereka berjaga dan memberi peluang kepada bayi melakukan tummy time di bawah pengawasan.

Ads

Kaedah ini jauh lebih selamat dan membantu perkembangan otot leher bayi tanpa meningkatkan risiko sesak nafas.

Apa Kata Pakar Mengenai Bantal Bayi?

National Institute of Child Health and Human Development (NICHD) menyarankan agar bayi di bawah usia setahun tidak menggunakan bantal ketika tidur.

Malah, American Academy of Pediatrics (AAP) turut mengesyorkan bayi dibaringkan di atas tilam yang rata dan kukuh tanpa sebarang aksesori tambahan seperti bantal, selimut tebal, bantal peluk atau bantal golek.

Menurut penyelidik di Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Carrie Shapiro-Mendoza, objek lembut di kawasan tidur bayi boleh menghalang pernafasan mereka dan meningkatkan risiko kejadian yang tidak diingini.

Bahaya Yang Mungkin Berlaku

  • Sesak nafas akibat muka tertutup atau terbenam pada bantal.
  • Risiko tersedak jika bayi muntah ketika berbaring.
  • Bayi sukar memusingkan kepala apabila berada dalam kedudukan tertentu.
  • Meningkatkan risiko SIDS.
  • Menghalang aliran udara yang baik ketika tidur.

Lebih membimbangkan, tanpa pengawasan ibu bapa, kejadian seperti ini boleh berlaku dalam masa yang sangat singkat.

Ads

Bilakah Bayi Boleh Mula Menggunakan Bantal?

Kebanyakan pakar menyarankan ibu bapa menangguhkan penggunaan bantal sekurang-kurangnya sehingga bayi berusia 18 bulan.

Malah, ramai kanak-kanak sebenarnya tidak menunjukkan keperluan untuk menggunakan bantal walaupun selepas usia tersebut.

Apabila anak mencapai usia sekitar dua tahun, ibu bapa boleh mula memperkenalkan bantal secara berperingkat. Pada usia ini, perkembangan fizikal dan kawalan pergerakan mereka lebih matang, sekali gus mengurangkan risiko berkaitan keselamatan tidur.

Jika Masih Mahu Menggunakan Bantal

  • Pilih bantal khas untuk kanak-kanak yang kecil dan kukuh.
  • Gunakan sarung bantal daripada kain kapas yang lembut dan mudah bernafas.
  • Elakkan bantal yang mempunyai manik, labuci, renda atau hiasan yang boleh tertanggal.
  • Jangan gunakan bantal yang terlalu tebal atau terlalu empuk.
  • Sentiasa pastikan bantal berada dalam keadaan bersih dan tidak koyak.
  • Jangan gunakan bantal ketika bayi berada di dalam buaian.
  • Jangan memberi susu atau makanan kepada bayi dalam keadaan berbaring di atas bantal.

Jika bayi tertidur bersama bantal, ibu bapa digalakkan mengalihkan bantal tersebut secara perlahan setelah memastikan keadaan selamat.

Keselamatan Tidur Lebih Penting Daripada Keselesaan

Sebagai ibu bapa, kadangkala kita beranggapan sesuatu yang selesa untuk orang dewasa pasti baik untuk bayi. Hakikatnya, keperluan tidur bayi jauh berbeza.

Persekitaran tidur yang paling selamat untuk bayi ialah tilam yang rata, kukuh dan bebas daripada objek tambahan yang boleh mengganggu pernafasan mereka.

Bantal mungkin kelihatan kecil dan tidak berbahaya, namun dalam dunia penjagaan bayi, perkara yang paling penting bukanlah keselesaan semata-mata tetapi keselamatan. Kadangkala, tidur tanpa bantal adalah pilihan terbaik untuk melindungi nyawa si kecil yang kita sayangi.

Sumber: Hellodoctor

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Fattah Amin, Amira Othman Timang Cahaya Mata Sulung, “Jadi Anak Soleh...

tahniah diucapkan buat pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman yang kini selamat menimang cahaya mata sulung mereka. Menerusi perkongsian di media sosial, Fattah memaklumkan...