Keibubapaan

Bahaya Kencing Malam Pada Kanak-kanak: Ibu Ayah Wajib Ambil Tahu Punca & Cara Atasi

Share

Ramai ibu ayah menganggap masalah kencing malam dalam kalangan kanak-kanak sebagai perkara biasa yang akan hilang apabila mereka semakin membesar. Walaupun keadaan ini sering berlaku terutama pada usia kecil, ibu ayah tetap perlu lebih peka kerana bahaya kencing malam yang berlarutan boleh memberi kesan kepada emosi, keyakinan diri dan kesihatan anak.

Kencing malam bukan berpunca daripada sikap malas atau kenakalan anak. Ia berlaku secara tidak sengaja ketika tidur dan boleh membuatkan kanak-kanak berasa malu, rendah diri serta takut untuk tidur di rumah saudara atau menyertai aktiviti bermalam bersama rakan-rakan.

Dalam kebanyakan kes, masalah ini akan pulih secara semula jadi apabila perkembangan tubuh dan sistem saraf kanak-kanak semakin matang. Namun begitu, terdapat juga situasi tertentu yang memerlukan perhatian lanjut kerana bahaya ini kadangkala boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan fizikal atau gangguan emosi serta psikologi.

Apa Itu Kencing Malam?

Kencing malam atau bedwetting ialah keadaan apabila kanak-kanak membuang air kecil tanpa sedar ketika sedang tidur. Ia biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak bawah usia enam tahun dan semakin berkurangan apabila umur meningkat.

Dianggarkan sekitar 15 hingga 20 peratus kanak-kanak berusia lima tahun mengalami masalah ini. Jumlah tersebut menurun kepada sekitar lima peratus pada usia 10 tahun dan kurang daripada satu peratus apabila dewasa.

Masalah ini lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan dan kebanyakannya bukanlah disebabkan penyakit serius.

Faktor Penyebab Bahaya Kencing Malam Pada Anak

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak lebih cenderung mengalami masalah kencing malam.

1. Faktor keturunan

Jika ibu atau bapa pernah mengalami masalah yang sama ketika kecil, anak juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalaminya.

2. Tidur terlalu nyenyak

Sesetengah kanak-kanak tidur terlalu lena sehingga tidak sedar pundi kencing mereka sudah penuh.

3. Perkembangan saraf yang lambat

Ada kanak-kanak yang masih belum mampu mengenali isyarat pundi kencing penuh dengan baik.

4. Tekanan emosi dan psikologi

Konflik keluarga, tekanan di sekolah atau trauma tertentu boleh menjadi pencetus kepada masalah ini.

5. Masalah kesihatan tertentu

Dalam sebilangan kecil kes, kencing malam mungkin berkait dengan:

  • Jangkitan saluran kencing
  • Kencing manis
  • Sembelit
  • Cacing
  • Masalah buah pinggang
  • Pundi kencing kecil
  • Gangguan saraf tunjang

Bahaya Kencing Malam Jika Berlarutan

Walaupun ramai menganggap ia perkara biasa, bahaya kencing malam yang berpanjangan sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada emosi dan perkembangan anak jika tidak ditangani dengan baik.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal Jiwadamai Shah Alam, Tasneem Anisa Azmi, masalah kencing malam boleh berkait rapat dengan tekanan emosi dan trauma yang dialami oleh kanak-kanak.

“Stres melampau boleh jadi punca”

Tasneem berkata, terdapat kanak-kanak yang mengalami kencing malam akibat tekanan emosi yang terlalu berat untuk dipendam pada usia mereka.

“Memang ada kanak-kanak yang mengalami kemurungan atau kegelisahan melampau contohnya tekanan di sekolah atau di rumah yang di luar kawalan mereka,” katanya.

Menurut beliau lagi, ada juga kes membabitkan kanak-kanak yang menjadi mangsa buli namun terlalu takut untuk berkongsi dengan guru atau ibu bapa sehingga tekanan tersebut dipendam terlalu lama.

“Konflik itu akhirnya menyebabkan kanak-kanak itu terlalu stres dan memberi implikasi kepada gejala kencing malam,” jelasnya lagi.

Tambah Tasneem, tekanan emosi dan trauma yang berpanjangan boleh menyebabkan tubuh kanak-kanak menjadi terlalu sensitif sehingga mengganggu corak tidur, hormon dan kawalan pundi kencing mereka.

“Apabila stres yang tinggi dan terlalu trauma, keadaan itu boleh membuatkan badan menjadi terlebih peka dan overactivated,” katanya.

Kesan Bahaya Kencing Malam Kepada Kanak-kanak

Jika masalah ini berlarutan, ia boleh memberi beberapa kesan kepada anak seperti:

  • Hilang keyakinan diri
  • Malu dan rendah diri
  • Takut tidur di luar rumah
  • Mudah stres atau murung
  • Hubungan sosial terganggu
  • Prestasi sekolah terjejas akibat tekanan emosi

Sebab itu ibu ayah perlu mengelakkan daripada memarahi atau memalukan anak kerana keadaan ini berlaku di luar kawalan mereka.

Cara Ibu Ayah Boleh Membantu Anak

Beri sokongan emosi

Anak perlu diyakinkan bahawa mereka bukan sengaja melakukannya dan masalah ini boleh dirawat.

Elakkan memarahi anak

Tindakan menghukum hanya akan membuatkan anak lebih tertekan dan memburukkan keadaan.

Hadkan minuman sebelum tidur

Kurangkan pengambilan air dua hingga tiga jam sebelum tidur tetapi pastikan anak cukup minum pada waktu siang.

Elakkan minuman berkafein

Teh, kopi, minuman berkarbonat dan coklat boleh meningkatkan keinginan untuk membuang air kecil.

Biasakan anak ke tandas sebelum tidur

Galakkan anak membuang air kecil dua kali sebelum tidur bagi memastikan pundi kencing kosong.

Gunakan penggera kencing malam

Bagi kanak-kanak berusia lebih tujuh tahun, penggunaan penggera khas boleh membantu melatih mereka bangun apabila pundi kencing penuh.

Pastikan anak tidak sembelit

Sembelit juga boleh memburukkan masalah kencing malam dan perlu dirawat segera.

Bila Perlu Jumpa Doktor?

Dapatkan pemeriksaan doktor sekiranya anak:

  • Masih kencing malam selepas usia tujuh atau lapan tahun
  • Kencing malam pada waktu siang
  • Mengadu sakit ketika kencing
  • Mengalami demam atau bengkak pada badan
  • Kencing malam semula selepas lama pulih
  • Sukar membuang air kecil atau aliran air kencing lemah

Pemeriksaan awal penting bagi memastikan tiada masalah kesihatan serius yang berlaku.

Ibu Ayah Jangan Pandang Ringan Bahaya Kencing Malam

Bahaya kencing malam bukan hanya memberi kesan kepada keadaan fizikal anak, malah boleh menjejaskan emosi, keyakinan diri dan perkembangan sosial mereka jika berlarutan tanpa perhatian yang sewajarnya.

Sebagai ibu ayah, elakkan memarahi atau memalukan anak kerana keadaan ini berlaku di luar kawalan mereka. Sebaliknya, berikan sokongan, galakan dan perhatian supaya anak berasa lebih tenang dan selamat.

Jika masalah kencing malam masih berterusan terutama selepas usia tujuh tahun atau disertai simptom lain, jangan berlengah mendapatkan nasihat doktor atau pakar. Tindakan awal sangat penting bagi mengelakkan kesan lebih besar kepada kehidupan dan emosi anak.

Sumber: kidneyeducation & Harian Metro

Published by
Nor Yusoff