Ini namanya ulat buku! Seorang pelajar berusia 13 tahun telah mendapat anugerah pemimjam buku terbanyak di Selangor selepas meminjam 1378 naskah sepanjang tahun lepas.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, Klang yang menerima anugerah itu di Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 di Pustaka Tun Raja Uda, Seksyen 13.
Tidak seperti remaja lain yang gemar bermain gajet, anak penghantar makanan, Alif Zachary Mohd Arif, 13, berkata, minat terhadap buku mendorongnya menjadikan Perpustakaan Awam Selangor Sungai Udang, Klang sebagai ‘rumah kedua’ sejak tujuh tahun lepas.
“Jarak perpustakaan dengan rumah kira-kira 30 meter. Sejak berusia enam tahun, saya sudah berjinak-jinak dengan pelbagai jenis genre bahan bacaan dan sehingga kini saya masih berulang-alik ke situ bagi menghabiskan masa terluang membaca serta mendapatkan buku-buku yang diminati.
Ads
“Biasanya lepas pulang dari sekolah saya akan berehat seketika sebelum membaca. Waktu malam pula saya akan sambung membaca selepas menyiapkan tugasan sekolah.
Remaja ini yang bercita-cita menjadi seorang pendidik membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 selepas menerima anugerah bagi kategori kanak-kanak.
“Saya mendapat kepuasan apabila dapat membaca sambil menyentuh buku secara fizikal. Ia mudah meresap ke dalam minda dan diterjemahkan semula kepada orang di sekeliling saya.
Ads
“Saya anak tunggal, jadi saya banyak habiskan masa dengan buku berbanding melakukan aktiviti lain termasuk meluangkan masa bersama rakan-rakan sebaya di kawasan rumah saya,” katanya.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (tengah) bergambar bersama penerima anugerah peminjam buku terbanyak bagi tahun 2024 (dari kiri) Nur Jamilatussyukriyyah Abdullah, Alif Zachary Mohd Arif dan Nik Hasrol Hafiz Hashim pada Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 di Pustaka Tun Raja Uda, Seksyen 13 di sini hari ini. Foto Bernama
Sementara itu, Nik Hasrol Hafiz Hashim, 39, dianugerahkan penerima bagi kategori dewasa dengan jumlah pinjaman 674 bahan bacaan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.
Ads
Pengurus peruncitan di sebuah syarikat swasta itu berkata, beliau dan isterinya menjadikan budaya membaca sebagai satu kemestian dalam keluarga, terutama buat dua orang anaknya.
“Selain minat membaca, saya mahu anak-anak saya juga terdedah dengan minat sama meskipun masing-masing baru berusia lima dan dua tahun enam bulan.
“Saya kurang galakkan mereka untuk menghabiskan masa dengan gajet, tambahan pula tiada televisyen di rumah saya. Jadi dari 674 naskah buku, ada juga buku untuk mereka berdua,” katanya.
Karnival Jom Baca Bersama 10 Minit adalah program tahunan anjuran Kerajaan Selangor di bawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), yang kini penganjurannya masuk kali ke-12 dengan tujuan meningkatkan tabiat serta budaya membaca dalam kalangan masyarakat.- Bernama
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan tidak akan dipotong, KPM beri jaminan. Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 yang diterima setiap pelajar bagi sesi 2025 tidak akan dipotong, sekali gus ibu bapa tidak perlu bimbang mengenainya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Ahmad Suhaimi Endut berkata, BAP berjumlah RM150 akan diterima sepenuhnya.
Katanya, ini kerana, kementerian sudah mengarahkan supaya bantuan itu tidak dipotong bagi tujuan lain termasuk bagi pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Sebelum ini, wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang mengatakan duit ini (BAP) akan dipotong PIBG umpamanya, atau perkara lain, dan kita tidak mahu perkara ini berlaku.
“Oleh itu, kita harap bantuan yang diterima ini akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pendidikan berbanding perkara lain oleh ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 peringkat Pahang di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah JPNP Datuk Amzan Abd Malek.
Pada majlis itu, JPNP menerima BAP berjumlah RM39.13 juta membabitkan 260,904 murid dan pelajar.
Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP berjumlah RM150 kepada setiap murid dan pelajar dan secara sekali bayar.
Ia memberi manfaat kepada 5.2 juta murid dan pelajar di seluruh negara.
Bayaran BAP kepada murid dan pelajar dilakukan pihak sekolah sama ada menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah), ibu bapa atau pelajar (sekolah menengah), pengkreditan ke akaun bank murid dan pelajar atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa.
Ahmad Suhaimi berkata, mulai tahun ini, pemberian BAP diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam membabitkan 100,000 orang dengan peruntukan keseluruhan RM15 juta.
“Pelajar tingkatan enam baharu bagi sesi 2025/2026 dijangka akan menerima bantuan ini bermula 1 Julai ini,” katanya.
Penerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah) kini boleh menarik nafas lega apabila Skim Perubatan MADANI membuka peluang untuk mereka mendapatkan rawatan percuma di klinik swasta terpilih tanpa perlu risau soal bayaran.
Melalui kerjasama dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), skim ini menawarkan rawatan akut secara percuma kepada penerima STR yang layak di seluruh Malaysia.
Buat masa ini, kemudahan ini tersedia di sepuluh kawasan terpilih iaitu:
* Kuala Lumpur
* Selangor (Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang)
* Johor (Johor Bahru)
* Perak (Kinta)
* Pulau Pinang (Timur Laut)
* Sabah (Kota Kinabalu)
* Sarawak (Kuching)
Antara perkhidmatan percuma yang ditawarkan termasuk:
* Konsultasi doktor
* Pemeriksaan kesihatan
* Ubat-ubatan
* Prosedur asas
* Rujukan susulan (jika perlu)
Had peruntukan yang disediakan mengikut kategori adalah seperti berikut:
* RM250 untuk setiap isi rumah berkeluarga
* RM125 untuk warga emas tanpa pasangan
* RM75 untuk kategori bujang
Cara nak mendapatkan rawatan?
Bagi penerima STR yang layak hanya perlu bawa kad pengenalan ke klinik swasta berdaftar. Tiada pendaftaran awal diperlukan.
Untuk menyemak kelayakan dan mencari klinik terdekat, orang ramai boleh melayari laman web rasmi ProtectHealth di bahagian Skim Perubatan MADANI. Klik SINI.
ProtectHealth selaku pelaksana skim ini yakin Skim Perubatan MADANI bukan sahaja memberi akses lebih luas kepada perkhidmatan kesihatan, tetapi turut membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ke 20 hari ini semakin menampakkan tanda positif apabila mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara-negara dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) terbanyak di seluruh dunia.
Berdasarkan data statistik John Hopkins University, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini, setakat lewat petang semalam, Malaysia kini menghuni tangga ke-30 semalam (5 April) berbanding tangga ke-17 pada 19 Mac lalu. Ini merupakan satu perkembangan positif berkat rasa tanggungjawab dan keprihatinan kita dalam membendung wabak ini bersama-sama.
Beberapa negara lain seperti Chile, Denmark dan India sudah mula mengatasi negara Malaysia yang sehingga kini mencatatkan keseluruhan kes jangkitan Covid-19 sebanyak 3,662 orang.
Kedudukan terkini itu sekali gus menunjukkan usaha keras Malaysia membendung pandemik Covid-19 melalui inisiatif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula menampakkan perkembangan yang memberangsangkan.
Melalui temubual yang dilakukan Sinar Harian menerusi Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman menegaskan trend terkini statistik kes jangkitan Covid-19 di Malaysia sudah mula menunjukkan keluk mendatar dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Katanya trend itu juga berpotensi mengetepikan ramalan beberapa agensi dunia yang menjangkakan Malaysia bakal berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 akibat gelombang ketiga pada pertengahan bulan April.
Malah julat anggaran kes jangkitan Covid-19 yang hanya sekitar 110 hingga 235 kes dalam tempoh beberapa hari ini serta statistik terkini Kementerian Kesihatan (KKM) terus menunjukkan keputusan lebih baik.
Sesungguhnya penurunan ranking ini bakal memberikan satu semangat untuk kita terus membendung wabak ini dengan jayanya. Teruskan rasa tanggungjawab kita untuk kekal berada di rumah dan tanamkan nilai positif sepanjang mengharungi tempoh PKP ini.
Malaysia turun ranking kes Covid-19 terbanyak dunia
SHAH ALAM – Malaysia terus mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara-negara dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) terbanyak di seluruh dunia apabila negara kini menghuni tangga ke-30 semalam (5 April) berbanding tangga ke-17 pada 19 Mac lalu.
Berdasarkan data statistik John Hopkins University setakat lewat petang semalam, beberapa negara lain seperti Chile, Denmark dan India sudah mula mengatasi negara Malaysia yang sehingga kini mencatatkan keseluruhan kes jangkitan Covid-19 sebanyak 3,662 orang.
Kedudukan terkini itu sekali gus menunjukkan usaha keras Malaysia membendung pandemik Covid-19 melalui inisiatif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula menampakkan keberkesanan memberangsangkan.
Hakikat itu disokong Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman yang menegaskan trend terkini statistik kes jangkitan Covid-19 di Malaysia sudah mula menunjukkan keluk mendatar dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, trend itu juga berpotensi mengetepikan ramalan aktuari beberapa agensi dunia seperti JP Morgan yang terdahulu menjangkakan Malaysia berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 akibat gelombang ketiga pada pertengahan bulan April.
Bagaimanapun, Dr Malina memberi amaran lengkuk statistik jangkitan kes Covid-19 di Malaysia mampu kembali meningkat mendadak seperti Hong Kong sekiranya kerajaan tidak mengambil iktibar daripada pendekatan negara itu yang melonggarkan serta-merta pelaksanaan PKP sebaik angka jangkitan kes dicatatkan mula mendatar.
“Tindakan PKP sejak 18 Mac lalu sememangnya memberikan hasil positif apabila julat anggaran kes jangkitan Covid-19 hanya sekitar 110 hingga 235 kes dalam tempoh beberapa hari ini, sekali gus menunjukkan keluk mendatar berbanding trend jangkaan JP Morgan yang sepatutnya menunjukkan jumlah kes meningkat mencanak.
“Meskipun ada jangkaan berlaku gelombang ketiga peningkatan kes jangkitan Covid-19, kita lihat statistik terkini Kementerian Kesihatan (KKM) terus menunjukkan keputusan lebih baik.
“Kita berharap rakyat terus mencontohi disiplin rakyat negara Jepun dan Korea Selatan untuk terus mencatatkan penurunan lengkuk. Namun sekiranya kita tidak berhati-hati dan terus melonggarkan PKP sebaik sahaja kes jangkitan berkurangan, kita boleh menerima nasib seperti negara Hong Kong,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.
Berikutan kebimbangan itu, Dr Malina mengakui terdapat keperluan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan PKP selepas 14 April ini kerana masih terdapat lebih 2,000 pesakit yang positif Covid-19 dirawat di hospital.
Menurutnya, kesemua pesakit positif Covid-19 yang masih dirawat mahu pun yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berpotensi mewujudkan gelombang jangkitan baharu pandemik itu sekiranya kerajaan tidak berhati-hati menanganinya.
“Selain menasihati rakyat negara ini untuk terus mematuhi PKP demi memutuskan rantaian penularan Covid-19, saya juga berharap kesemua petugas barisan hadapan lebih berwaspada dan turut mengamalkan penjarakkan sosial seperti amalan pembersihan tangan sekerap mungkin bagi mengelakkan mereka mudah dijangkiti.
“Bagi golongan sukarelawan yang menyalurkan bantuan kelengkapan perlindungan diri atau makanan kepada petugas barisan hadapan atau bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan, mereka juga diingatkan untuk berhati-hati bagi mengelakkan menjadi punca penularan Covid-19,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...