
Bila sebut tentang tummy time, mungkin ada mama papa yang membayangkan aktiviti ini hanya sesuai dilakukan apabila bayi sudah berusia beberapa bulan dan semakin kuat mengangkat kepala.
Sebenarnya, aktiviti meletakkan bayi dalam posisi meniarap ketika berjaga boleh diperkenalkan sejak bayi masih baru lahir lagi. Cuma caranya perlulah mengikut usia, kemampuan dan keselesaan si kecil.
Menerusi perkongsian Dr Redza Zainol, terdapat beberapa waktu yang boleh mama papa manfaatkan untuk menjadikan aktiviti meniarap ini sebagai sebahagian daripada rutin harian bayi.
Antaranya selepas bayi bangun tidur, selepas mandi dan selepas menukar lampin. Nampak mudah, tetapi rutin kecil inilah yang boleh membantu bayi menguatkan otot tubuhnya secara berperingkat.
Tummy time ialah waktu bayi diletakkan dalam posisi meniarap ketika bayi sedang berjaga dan sentiasa berada di bawah pengawasan orang dewasa.
Aktiviti ini membantu menguatkan otot leher, bahu, belakang dan bahagian atas badan yang diperlukan bayi sebelum melalui perkembangan seterusnya seperti mengawal kepala, berguling, duduk dan akhirnya merangkak.
Aktiviti meniarap ketika berjaga membantu perkembangan otot bayi dan boleh membantu mengurangkan tekanan berpanjangan pada bahagian belakang kepala.
Menurut perkongsian Dr Redza Zainol, mama papa boleh cuba melakukan aktiviti ini pada tiga waktu berikut:
Selepas tidur, kebiasaannya bayi berada dalam keadaan lebih segar dan tenang. Ini antara waktu yang baik untuk mencuba aktiviti meniarap kerana bayi belum terlalu letih.
Mama atau papa boleh duduk di hadapan bayi sambil bercakap, tersenyum atau memanggil namanya supaya bayi terdorong mengangkat dan memusingkan kepala.
Selepas mandi dan memakai pakaian, mama papa boleh luangkan sedikit masa untuk aktiviti ini sebelum meneruskan rutin seterusnya.
Pastikan bayi selesa, tidak terlalu sejuk dan permukaan yang digunakan rata serta selamat.
Menukar lampin juga boleh dijadikan ‘tanda’ kepada waktu tummy time. Selepas lampin selesai ditukar, letakkan bayi meniarap sebentar dan bermain bersamanya.
Bagaimanapun, elakkan melakukan aktiviti ini sejurus selepas bayi menyusu kerana tekanan pada perut boleh membuatkan sesetengah bayi berasa kurang selesa atau mudah memuntahkan susu.
Dalam perkongsiannya, Dr Redza menjelaskan sesi meniarap boleh dilakukan sekitar 10 hingga 15 minit, namun ia tetap perlu disesuaikan dengan kemampuan bayi.
Terutama untuk bayi yang baru lahir, mama papa tidak perlu terus memaksa si kecil bertahan selama 10 atau 15 minit sekaligus.
Bayi yang baru bermula melakukan aktiviti ini boleh mencuba sekitar tiga hingga lima minit, dua hingga tiga kali sehari, kemudian masa tersebut ditambah secara beransur-ansur apabila bayi semakin kuat dan selesa.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mengesyorkan bayi yang masih belum bergerak aktif mendapatkan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti meniarap yang dibahagikan sepanjang hari ketika berjaga. Jadi tidak semestinya semua 30 minit perlu dilakukan sekaligus.
Jika bayi mula menangis, meragam atau nampak penat, berhenti dahulu. Mama papa boleh cuba semula kemudian.
Yang penting bukan berapa lama bayi mampu bertahan dalam satu sesi, tetapi aktiviti ini dilakukan sedikit demi sedikit dan secara konsisten.
Menariknya, bayi baru lahir juga boleh diperkenalkan dengan aktiviti ini. Bagi newborn, mama papa tidak semestinya terus meletakkannya meniarap di atas lantai. Salah satu cara paling mudah ialah dengan meletakkan bayi meniarap di atas dada mama atau papa ketika orang dewasa benar-benar berjaga.
Bayi biasanya akan cuba mengangkat atau memusingkan kepalanya untuk mencari wajah dan suara mama papa.
NHS menyatakan aktiviti meniarap ketika berjaga boleh dimulakan sejak lahir dengan meletakkan bayi di atas dada penjaga dan menambah tempohnya sedikit demi sedikit sebelum beralih kepada tummy time di atas lantai apabila bayi bersedia.
Ada bayi yang terus suka aktiviti meniarap, tetapi ramai juga yang mula meragam selepas beberapa saat. Mama papa boleh menjadikan waktu ini lebih menarik dengan beberapa rangsangan mudah:
Tidak perlu membeli permainan mahal. Wajah mama papa, suara, senyuman dan interaksi berulang sebenarnya sudah menjadi rangsangan yang sangat bermakna buat si kecil.
Perkembangan bayi bukan hanya berlaku ketika meniarap.
Mama papa juga boleh memberi ruang kepada bayi untuk baring terlentang dan menendang kaki, menggerakkan tangan, cuba mencapai permainan atau menggenggam objek yang sesuai dengan usianya.
Bayi juga boleh diajak berbual, menyanyi, melihat buku bergambar atau bermain secara bersemuka. Aktiviti mencapai, menggenggam, menolak dan menarik merupakan antara permainan mudah yang membantu bayi mempelajari pelbagai jenis pergerakan.
Yang penting, berikan bayi peluang berada dalam pelbagai posisi ketika berjaga dan elakkan terlalu lama berada di dalam kerusi bayi, bouncer atau peralatan yang mengehadkan pergerakannya.
Sumber perkongsian: Dr Redza Zainol