Tahukah anda? Kebanyakan kemalangan melibatkan bayi sebenarnya berlaku di rumah sendiri, tempat yang kita sangka paling selamat. Bila si kecil mula berguling, merangkak dan memegang apa saja dalam jangkauan, bahaya tersembunyi boleh berlaku bila-bila masa.
Keselamatan bukan soal terlalu berhati-hati tapi soal persediaan. Lebih awal kita kenal pasti dan atasi risiko, lebih selamat bayi meneroka dunia di sekelilingnya dengan bebas dan yakin.
Berikut ialah beberapa aspek utama keselamatan bayi di rumah yang perlu diberi perhatian:
1. Keselamatan Semasa Tidur
Gunakan katil bayi yang selamat (pastikan jeriji tidak terlalu jarang).
Elakkan bantal, selimut tebal, mainan lembut & bumper di dalam katil — risiko lemas dan SIDS (Sindrom Kematian Bayi Mengejut).
Tidurkan bayi secara telentang, bukan meniarap atau mengiring.
2. Pemeriksaan Perabot & Sudut Tajam
Ads
Pasang penutup bucu pada meja, almari dan perabot tajam.
Gunakan penahan laci/pintu untuk elak jari terhimpit atau bayi terjatuh barang berat.
Pastikan almari & rak tinggi dilekatkan ke dinding agar tidak tumbang jika dipanjat.
3. Elektrik & Wayar
Tutup semua soket elektrik dengan penutup keselamatan.
Elak biarkan wayar berselirat atau menjulur di lantai – bayi boleh tarik & tergelincir.
Jangan letakkan alat elektrik berdekatan air atau tempat bayi bermain.
Ads
4. Dapur & Kawasan Panas
Pastikan bayi tidak berada di dapur semasa memasak.
Simpan bahan pencuci, ubat & barangan kimia di tempat tinggi & berkunci.
5. Bilik Air & Permukaan Licin
Jangan tinggalkan bayi berseorangan dalam bilik air, walau sesaat.
Gunakan alas lantai anti-gelincir.
Pastikan baldi, tab mandi dan mangkuk berisi air sentiasa dikosongkan selepas guna — risiko lemas dalam air cetek sangat tinggi untuk bayi!
Ads
6. Pintu, Tangga & Kawasan Terbuka
Pasang pagar keselamatan di tangga dan kawasan tertentu (contohnya dapur atau stor).
Gunakan penahan pintu agar pintu tak tertutup tiba-tiba dan cederakan jari bayi.
Elak biar pintu ke luar rumah terbuka tanpa pengawasan.
7. Mainan & Barang Bayi
Pilih mainan mengikut umur bayi & bebas daripada bahaya tertelan (elakkan benda kecil).
Sentiasa periksa jika ada bahagian tercabut, tajam atau rosak.
Bersihkan mainan selalu – bayi suka masukkan dalam mulut!
Bayi belajar tentang dunia melalui deria – sentuhan, rasa, dan pergerakan. Sebagai ibu bapa, tugas kita bukan untuk menghalang semua gerakan itu, tetapi untuk mencipta persekitaran yang selamat untuk mereka meneroka.
Ambil masa periksa rumah anda satu ruang demi satu ruang. Sedikit usaha pencegahan hari ini boleh selamatkan nyawa esok.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap kali musim banjir tiba, ramai yang terkesan teruk—kehilangan rumah, harta benda, dan terpaksa menempuh kesukaran besar untuk meneruskan hidup. Air mata mengalir, perasaan pilu menyelubungi, dan jiwa teruji dengan cabaran yang tidak pernah dijangka.
Dalam situasi begini, ramai mangsa banjir memohon kepada kita semua untuk lebih peka terhadap perasaan mereka. Mereka hanya mahukan sokongan moral, bukannya gambaran kebahagiaan orang lain yang boleh mengguris hati.
Sebagaimana perkongsian Affenddy Mohamad yang juga merupakan mangsa banjir 2014 yang berkongsi suka duka pengalamannya ketika itu.
Justeru, dalam masa yang penuh ujian ini, elakkanlah daripada berkongsi gambar makanan enak, percutian, atau apa-apa yang mungkin kelihatan tidak sensitif. Kita mungkin tidak berniat buruk, tetapi empati memainkan peranan besar untuk menjaga hati yang sedang terluka. Sama-sama kita berganding bahu untuk membantu mereka, sama ada melalui doa, sumbangan, atau sekadar menjadi pendengar yang baik.
“Berat mata memandang, berat lagi bihu memikul” Beginilah saya boleh mulakan tulisan ini untuk kita memahami keadaan mangsa-mangsa banjir sekarang.
Kalau anda tengok dalam video dan gambar banjir terkini di Pantai Timur terutama di Kelantan, tak akan sama jika anda sendiri yang lalui pengalaman itu. Air naik terlalu pantas.
Masa tu, kami ingat cukup hanya dengan bertahan di rumah sahaja dan mengharapkan air akan surut dan hujan akan berhenti. Tapi ianya tidak begitu. Meleset sama sekali. Hujan tak berhenti. Air makin naik.
Akhirnya, kami terpaksa ambil sahaja mana-mana pakaian yang nampak di depan mata. Capai apa sahaja yang kami rasa penting. Phone, charger, pampers anak dan baju beberapa helai.
Beginilah juga situasi yang saudara-saudara kita sedang alami sebenarnya. Ketika itu, berat hati nak meninggalkan rumah yang disitulah kita tidur, makan dan berehat serta berkeluarga.
Fikiran kusut. Emosi tak stabil. Badan letih sangat. Semuanya macam kosong. “Kenapalah aku kena macam ni?” Itu antara yang terdetik di hati saya ketika itu. Saya yakin, macam-macam emosi sedang bermain di dalam fikiran dan perasaan semua mangsa banjir sekarang.
Anda tahu tak, Di tempat pengumpulan mangsa banjir, semuanya kekurangan. Apa yang anda fikir tak sempurna, sebenarnya ia lagi tak sempurna. Betul saya cakap.
Makanan tak cukup. Tidur tak sempurna. Ruang tak selesa. Elektrik terpaksa dimatikan. Gelap. Panas. Kiri kanan, kedengaran suara-suara bayi menangis dan merengek. Mungkin lapar, mungkin panas dan mungkin tak selesa.
Allah.. Anda bayangkan dalam keadaan badan yang terlalu letih, tak dapat makan sebab makanan tak sampai dan kalau ada pun ianya memamg tak cukup. Yang ada anak-anak kecil, saya saksi bahawa mak ayah makan sesuap sahaja selebihnya disuapkan ke mulut anak-anak.
“Pakcik dah makan?” Tanya saya kepada salah seorang warga emas yang ada depan saya. “Dah makan dah sikit. Tak apa, asalkan cucu dapat makan”. Jawab pakcik tu sambil tak putus-putus cakap dekat cucunya “ayam tak ada ya..nanti kita makan ayam banyak-banyak”
Anda bayangkan, Lepas dah lebih 3 hari duduk di tempat pengumpulan mangsa banjir dengan jumlah yang ramai, apa yang terjadi agaknya? Tandas? Ya, tandas memang sah tersumbat. Masuk tandas, najis bersepah. Tak leh cuci. Air tak ada. Tandas sumbat. Tak boleh buang air besar. Tak boleh buang air kecil. Usahkan nak buang air besar atau kecil, nak mandi pun air tak ada. Sebab ramai sangat manusia di situ, bukan kita sorang sahaja.
Line internet? Semuanya tak ada. Line putus. Kosong. Macam kita duduk dan tak boleh buat apa-apa. Nak bagitau saudara-mara kat tempat lain tak boleh. Anak-anak nak hubungi tanya khabar mak ayah pun tak dapat. Kami bukan sahaja putus perkara fizikal, tapi putus juga perkara jiwa.
Setiap pagi saya bangun tidur, saya melihat langit dan bercakap seorang diri. “Ya Allah, bilakah semua ini akan berakhir” “Ya Allah, bilakah aku dapat balik rumah?” Apa rutin saya setiap pagi? Bangun je tidur, saya terus pergi tengok paras air semasa. Saya memang buat tanda paras air semasa sendiri punya sebab nak tengok semalam macamana dan hari ini macamana.
Tujuannya saya nak tengok paras air makin tinggi ke makin surut. Bila saya tengok tempat saya tanda tu tenggelam, maksudnya air makin tinggi! Tak surut pun! Makin tinggi adalah
Jam masa tu baru pukul 6 pagi. Macamana saya nak hadap sehari sampai malam dengan keadaan macam ni? Anak-anak dah boring gila. Tak ada mainan boleh main. Tak ada phone boleh tengok. Ruang sempit untuk bergerak bebas. Hanya baring, tidur dan bangun berdiri di tempat kita sahaja.
Dalam keadaan otak dan badan yang terlalu letih, dalam masa sama kita kena perhatikan keselamatan anak-anak kecil ke mana mereka pergi. Tak boleh lalai walau sesaat sebab kami sedang berada di tempat dikelilingi air. Bahaya.
Anda boleh bayangkan tidur kami macamana? Kami tidur beralaskan kotak-kotak makanan. Dihampar kotak-kotak tersebut di laluan pejalan kaki hospital. Masa tu kami di tempatkan di hospital daerah.
Hampir setiap malam, ada sahaja jenazah ditolak melalui laluan pejalan kaki tempat di mana kami ‘menginap’ setiap malam. Beberapa kali lalu di depan mata saya.
Saya terjaga. Bersandar di tiang yang ada. Melihat sekeliling sangat pilu. Semua orang pakat berkorban. Mak ayah tidur bersandarkan dinding, anak-anak tidur beralaskan peha satu sama lain. ‘Bilik’ kita dan ‘bilik’ orang lain hanya dipisahkan dengan beg pakaian sahaja. Tak ada privacy.
5 hari kami di sana. Anda bayangkan setiap hari saya bangun pagi dan ‘kawan rapat’ saya masa tu hanyalah seutas jam tangan sendiri. Setiap saat saya tengok bila waktunya akan berubah supaya cepat datangnya malam dan cepat beralihnya hari. Bila akan perginya hujan dan bila nak datangnya mentari.
Allah..Penat. Sedih. Emosi. Kereta saya? Ya, kereta saya tenggelam habis Kereta baru beli beberapa bulan dan baru upgrade beberapa benda pada kereta. Hari pertama air paras tayar. Hari kedua air paras tingkap. Hari ketiga kereta tenggelam terus.
Buku-buku motivasi saya di dalam kereta, semua rosak. Tak boleh diselamatkan. Antara buku yang saya sangat sayang ialah “Master Your Mind, Design Your Destiny” yang menjadi asbab saya berhenti guru dan tubuhkan konsultan motivasi pelajar. Ya, ia buku sangat memberi makna besar kepada saya.
KEPERITAN BERMULA BILA BALIK RUMAH
Begitulah harta kita.Sekejap sahaja jika Tuhan nak ambil. Bila semuanya reda, anda ingat semuanya ok? Tidak! Sama sekali tidak. Kesedihan dan keperitan baru nak bermula sebenarnya! Saya sambung kisah keperitan sebenar. Anda balik rumah, anda akan lihat semua barang rumah hancur, rosak dan semuanya anda lihat macam barang buruk sahaja.
Baju-baju dan perkakas rumah diselaputi tanah keras bekas air tanah yang menggelami rumah sebelum itu. Perkakas elektrik rosak teruk. Dinding dan tingkap rumah pecah. Bumbung rumah hanyut. Macam-macam yang anda akan lihat nanti.
Ya, ujian emosi anda baru nak bermula sebenarnya. Waktu perit anda di tempat pengumpulan mangsa banjir tu sebenarnya ‘latihan’ sahaja sebelum anda betul-betul diuji waktu anda melihat rumah anda ketika anda dah boleh balik rumah nanti.
Macamana agaknya orang tua kita? Mereka berdualah yang akan membersihkan rumah tanpa anak-anak di sisi. Bayangkan dalam tangisan air mata tanpa anak-anak di sisi. Allah..Cerita saya ketika itu pula begini,
Peristiwa 2014 itu, saya satu-satunya menantu yang ada dan isteri saya satu-satunya anak yang ada ketika itu. Adik beradik ipar dan biras yang lain tak dapat balik sebab jalan sangkut.
Laluan masuk ke Kelantan tak boleh masuk. Di Gua Musang dan Kuala Krai masih tinggi air. Kami di Tanah Merah pun masih teruk sebenarnya. Cuma rumah mentua saya ni tempatnya sedikit tinggi berbanding tempat lain.
Saya masih ingat, ketika saya dan ayah mentua berazam untuk balik tengok rumah pada hari ke-5, air laluan masuk ke rumah masih di paras dada. Kami berjalan masuk mengharungi air paras dada.Beberapa kali air masuk ke mulut.Sebabkan rumah mentua ni tinggi, maka kami dapat masuk ke rumah dan cuci rumah. Kami masuk menggunakan bot orang kampung.
Air masih menggelami tangga rumah.Dalam rumah dah tak ada air dah. Yang ada hanyalah… Huhu.. Saat kaki saya melangkah masuk ke rumah, saya baru sedar yang saya sedang memijak tanah liat macam di bendang sawah padi di bawah mentari terik.
Tanah liat keras memenuhi semua ruang rumah! Tanah tu keras! Ada juga beberapa tempat masih berlumpur! Busuk! Hanyir! Anda bantu saya jawab, di manakah tempat pertama saya nak bermula untuk cuci bila saya melihat situasi seperti itu di depan mata? Saya bersandar di dinding. Saya tak tahu nak mula kat mana.Saya tengok kiri, saya tengok kanan. Tak tahu nak mula dari mana dan buat apa.
“Fendy, buat je la mana-mana dulu..Baba nak tengok barang belakang rumah sekejap”. Kedengaran suara ayah mentua saya memberi semangat. Suaranya perlahan mungkin tak tergamak nak bagitau apa perlu buat dan di mana perlu saya bermula sebab hanya kami berdua sahaja yang ada ketika tu. Yang ada kudrat saya seorang.Ayah mentua dah tua.
Allah.. Saya bersihkan rumah sambil titisan air mata keluar dari pipi. Menangis sebab letih. Emosi saya down teruk. Badan tak cukup rehat.Tidur tak cukup sempurna. Lihat pula situasi seperti itu seorang diri. Tapi macam mana pun, kena buat juga. Saya masuk ke setiap bilik, saya tengok semua keadaan sama. Tanah keras. Ada beberapa penjuru yang berlumpur. Baju dan barang semua kena air. Kena kumpul dan cuci semua tu dan basuh. Panjang pengalaman ini.
ELAK TAYANG MAKANAN SEDAP DAN GAMBAR BERCUTI
Saya nak bagitau anda, ini jugalah yang sedang dirasai oleh semua mangsa banjir. Ketika ini dan selepas ini. Semua mereka itu sedang diuji dengan emosi, ketabahan dan kesabaran. Maka, saya menyeru marilah kita berdoa di dalam setiap solat kita. Sedekahkan al fatihah dan doa kepada semua mangsa banjir yang terlibat. Niat semoga Allah permudahkan urusan semua. Kita boleh makan dan minum selesa, Mereka tidak. Kita boleh tidur nyenyak, Mereka tidak. Kita boleh beribadah dengan baik, Mereka tidak.
Saya nak cakap satu je, andai setiap orang diberi pengalaman hadapi banjir sekali, pasti tidak akan diminta lagi pengalaman yang keduanya. Begitulah yang saya boleh simpulkan. Cerita anda pula bagaimana?
Anda yang ada pengalaman macam saya, boleh ceritakan di komen. Sama-sama kita menginsafi ujian Tuhan. Kepada Allah kita berserah. Mari sama-sama kita doakan di komen untuk semua saudara-saudara kita di Pantai Timur dan seluruh negara yang sedang diuji banjir ketika ini.
Bersalin anak lelaki lebih sakit berbanding anak perempuan: mitos atau realiti? Kehamilan dan proses bersalin merupakan pengalaman yang unik bagi setiap ibu. Setiap kelahiran membawa cabaran dan kesakitan tersendiri, sama ada untuk anak lelaki mahupun perempuan.
Namun, terdapat pendapat umum yang menyatakan bahawa bersalin anak lelaki adalah lebih sakit berbanding bersalin anak perempuan. Adakah ini satu fakta berdasarkan kajian perubatan atau sekadar mitos yang tersebar luas?
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kesakitan Bersalin
Proses bersalin adalah pengalaman yang sangat berbeza untuk setiap wanita, dan banyak faktor yang mempengaruhi tahap kesakitan yang dirasai, antaranya:
Saiz Bayi dan Posisi Dalam Rahim
Saiz bayi yang lebih besar boleh mempengaruhi kesakitan semasa bersalin. Bayi lelaki biasanya mempunyai purata berat badan yang sedikit lebih tinggi berbanding bayi perempuan, dan ini boleh menyebabkan proses bersalin lebih sukar. Namun, saiz bayi bergantung kepada genetik dan faktor lain yang tidak semestinya berkaitan dengan jantina semata-mata.
Posisi Bayi Semasa Bersalin
Kedudukan bayi dalam rahim juga memainkan peranan penting dalam menentukan kesukaran proses bersalin. Bayi yang berada dalam posisi tidak normal seperti posisi sungsang akan menyebabkan kesakitan yang lebih, tidak kira jantinanya. Ini menunjukkan bahawa posisi adalah faktor penting dan boleh mempengaruhi kesakitan yang dirasai oleh ibu.
Kekuatan Kontraksi dan Respons Tubuh Ibu
Sesetengah ibu mengalami kontraksi yang lebih kuat atau lebih kerap, yang boleh meningkatkan kesakitan semasa proses bersalin. Selain itu, ketahanan tubuh setiap ibu terhadap kesakitan juga berbeza-beza. Respons tubuh terhadap hormon seperti oksitosin juga mempengaruhi tahap kesakitan.
Pengaruh Faktor Emosi dan Mental
Tekanan emosi dan mental memainkan peranan penting dalam persepsi kesakitan. Ibu yang lebih tenang dan bersedia secara mental cenderung mengalami pengalaman bersalin yang lebih terkawal. Ini termasuklah keyakinan bahawa bersalin adalah proses semula jadi yang tidak perlu ditakuti.
Apakah Kata Kajian Perubatan?
Secara amnya, tiada kajian saintifik yang mengesahkan bahawa bersalin anak lelaki lebih sakit berbanding anak perempuan. Penyelidikan menunjukkan bahawa tahap kesakitan lebih bergantung kepada faktor fizikal dan hormon, berbanding jantina bayi itu sendiri.
Namun, beberapa kajian mendapati bahawa kelahiran anak lelaki kadang-kadang dikaitkan dengan keperluan yang lebih tinggi untuk intervensi perubatan seperti pembedahan caesarean. Ini mungkin disebabkan oleh berat badan bayi lelaki yang sedikit lebih tinggi, tetapi ia tidak secara langsung membuktikan bahawa kelahiran anak lelaki lebih sakit.
Pandangan Ibu Berdasarkan Pengalaman
Ada ibu yang merasakan bahawa kelahiran anak lelaki lebih sakit, manakala ada juga yang berpendapat sebaliknya. Pengalaman bersalin anak lelaki atau perempuan boleh berbeza antara satu sama lain, tetapi ini lebih bersifat subjektif. Setiap kehamilan adalah unik dan dipengaruhi oleh banyak faktor selain jantina bayi.
Berikut antara beberapa kajian yang telah ditelah dibuat berkaitan tentang isu ini:
Jurnal Penyelidikan Pediatrik telah menerbitkan artikel, berdasarkan kajian yang dijalankan di San Cecilio Clinical Hospital of Granada dan kumpulan penyelidikan dari University of Granada (UGR). Kajian itu diketuai oleh Javier Diaz Castro dan Julio Ochoa Herrera, selain mendapat kerjasama dari Jabatan Fisiologi di universiti tersebut.
Kajian tersebut melibatkan 56 ibu hamil yang sihat, dan daripada kehamilan itu telah melahirkan 27 bayi lelaki, manakala 29 adalah bayi perempuan.
Selepas proses bersalin, doktor mengkaji kerosakan pada tubuh ibu-ibu tersebut. Pengkaji mendapati bahawa biomolekul ibu yang telah melahirkan bayi perempuan menunjukkan kerosakan yang kurang dan mendedahkan bahawa kelahiran lelaki lebih menyakitkan.
Javier dan Julio merasakan analisis ini telah membuka satu bidang kajian yang menarik mengenai hubungan antara jantina bayi dan komplikasi yang boleh terjadi saat melahirkan. Ia turut memberi kesan terhadap daya tahan tubuh terhadap penyakit dan jangka hayat bayi.
Berdasarkan kajian tersebut, para penyelidik membuat kesimpulan bahawa jantina bayi boleh mempengaruhi proses bersalin. Pengkaji menerangkan sebab di sebalik perbezaan ini:
*Bayi perempuan mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk menangani tekanan – sistem enzim yang terdapat pada bayi perempuan lebih matang apabila bersedia untuk dilahirkan yang membantu dalam mencegah kerosakan sel.
*Tubuh bayi perempuan mempunyai antioksidan defensif yang lebih baik daripada tubuh bayi lelaki – membuatkan bayi perempuan memiliki risiko lebih rendah mengalami kerosakan membran sel dalam tubuh bayi.
Dari perspektif ibu hamil pula, kelebihan melahirkan bayi perempuan dapat mengurangkan risiko ibu mengalami inflamasi dan proses bersalin tidak terlalu sakit.
Dr. Petra Verburg dari Robinson Research Institute di University of Adelaide, Australia pula menyatakan, “jantina bayi mempunyai hubungan secara langsung dengan komplikasi yang boleh terjadi ketika kehamilan.”
Ini antara komplikasi ibu sewaktu melahirkan bayi lelaki berdasarkan kajian tersebut:
*Bayi lelaki dilahirkan lebih awal daripada tarikh matang yang membuatkan banyak komplikasi pada bayi.
*Bayi lelaki lebih cenderung dilahirkan pramatang. Kelahiran berlaku antara minggu ke-20 dan ke-24 kehamilan sebanyak 27% lebih tinggi. Manakala, kelahiran pada minggu kehamilan iaitu ke-30 dan ke-33 sebanyak 24%. Selain itu, dilahirkan antara minggu ke-34 dan ke-36 adalah 17% lebih tinggi.
*Ibu hamil yang mengandungkan bayi lelaki lebih terdedah kepada diabetes, praeklampsia dan tekanan darah tinggi ketika hamil.
Realiti atau Mitos?
Berdasarkan pandangan perubatan, kesakitan bersalin tidak ditentukan oleh jantina bayi. Ia lebih dipengaruhi oleh faktor seperti saiz bayi, posisi, ketahanan tubuh ibu, dan faktor-faktor lain yang lebih berkaitan dengan ciri fizikal dan kesihatan ibu serta bayi. Oleh itu, persepsi bahawa bersalin anak lelaki lebih sakit mungkin hanya sekadar mitos yang diwarisi dari pengalaman atau pandangan individu.
Akhir kata, proses bersalin adalah satu pengalaman yang sangat peribadi dan unik. Setiap ibu akan melalui cabaran yang berbeza-beza, dan yang paling penting adalah sokongan dan pemahaman dari orang-orang di sekeliling agar proses kelahiran berjalan dengan baik.
Menjadi seorang mama bukanlah sesuatu yang mudah, banyak pengorbanan yang perlu dibuat terutamanya untuk memastikan setiap hanya yang terbaik untuk memenuhi keperluan anak-anak yang dikasihi. Tahun ini, sekali lagi Pa&Ma Gala Award 2024 – Best Mama Millennial telah diberikan sebagai penghargaan buat lima wanita hebat yang menggalas tanggungjawab sebagai seorang mama.
Penerima anugerah untuk kategori Best Mama Millennial tahun ini adalah Elfira Loy, Bella Astillah, Ain Edruce, Wany Hasrita, dan Dr. Fie Tawfek. Mereka bukan sahaja berjaya dalam kerjaya masing-masing, tetapi juga menjadi inspirasi kepada pengikut-pengikut di media sosial. Lebih menarik lagi, Pa&Ma Gala Award 2024 – Best Mama Millennial telah diserikan oleh jenama susu kambing berkualiti, Karihome.
Setiap mama hebat ini telah dipilih bukan sekadar perwatakan mereka yang menarik, tetapi juga kerana kisah inspirasi mereka dalam memastikan perkembangan mental dan fizikal anak-anak dengan memilih Karihome sebagai ‘teman’ dalam perjalanan parenting mereka!
Kenali Persona Best Mama Millennial 2024!
Elfira Loy atau El adalah contoh mama moden yang seimbang antara kerjaya dan keluarga. Dikenali sebagai pelakon dan pengacara, dia sering berkongsi perjalanan keibuannya di media sosial.
Dengan pendekatan yang penuh kasih sayang, Elfira sentiasa memilih produk terbaik untuk tumbesaran anak-anaknya. Komitmen El untuk memastikan kedua-dua cahaya matanya mengamalkan pemakanan yang sihat membuatkan ibu muda ini memilih susu kambing Karihome untuk melengkapkan diet seimbag mereka.
Bella Astillah yang mesra disapa sebagai Bella bukan saja seorang penyanyi dan pelakon berbakat tetapi juga mama yang sangat berdaya saing. Dia sering berkongsi tentang kehidupannya sebagai mama dalam membesarkan dua orang anak yang sedang dalam fasa membesar.
Bukan sahaja mahukan yang terbaik untuk pendidikan anak-anaknya, namun Bella sangat menitikberatkan pemilihan makanan dan minuman yang dapat membantu mereka membesar dengan melengkapkan segela keperluan nutrisi dan vitamin dalam di dalam diet.
Ain Edruce atau Ain sering berkongsi tentang kehidupannya sebagai seorang mama dalam cara yang lucu dan santai. Pengacara TV ini juga tidak segan untuk berkongsi tip-tip parenting dan cara untuk menghadapi pelbagai situasi dalam membesarkan anaknya. Keberanian Ain dalam berkongsi pengalaman peribadi menjadikannya sangat dekat di hati ramai mama di luar sana.
Bagi memastikan hanya yang terbaik, Ain tidak kisah untuk belajar pelbagai ilmu baharu terutamanya dalam menyediakan menu sihat yang dapat membantu tumbesaran anaknya. Antaranya adalah dengan berkreatif di dapur untuke menyediakan hidangan bernutrisi tinggi menggunakan susu kambing Karihome bagi memastikan anaknya mendapat manfaat susu sepenuhnya.
Wany Hasrita yang selesa disapa sebagai Wany adalah seorang penyanyi dan mama yang tidak pernah leka dalam memberikan yang terbaik untuk anaknya. Dia sering menekankan pentingnya pendidikan awal dan kesihatan anak.
Melalui perkongsian di media sosial, Wany turut berkongsi tentang caranya mengendalikan anak yang masih kecil dalam kesibukan bekerja. Biarpun jadual kerja sentiasa padat, namun mama muda ini akan pastikan keperluan nutrisi puterinya dipenuhi. Mencari susu terbaik, Wany memilih Karihome untuk membantu tumbesaran buat anaknya.
Sebagai seorang doktor gigi, Dr. Fie membawa perspektif profesional ke dalam dunia keibubapaan. Dia sering memberikan nasihat dan panduan berkaitan kesihatan anak-anak, termasuk keperluan nutrisi. Mengakui anak-anaknya sukakan Karihome kerana rasa yang sedap, isteri kepada usahawan, Nubhan Ahamad ini turut berkongsi yang dia akan masukkan susu kambing ini di dalam masakan untuk anak-anaknya.
Dengan pengalamannya, Dr. Fie menekankan pentingnya memilih produk yang bukan sahaja sedap tetapi juga memberi manfaat kepada perkembangan anak. Keterlibatannya dalam komuniti membuatkan dia menjadi contoh teladan kepada ibu bapa di seluruh negara.
Semua Mama Jadi Inspirasi!
Mama-mama hebat ini bukan sahaja dikenali kerana kerjaya mereka, tetapi juga kerana komitmen mereka untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Dengan mengutamakan pemakanan sihat seperti susu kambing Karihome, mereka menggalakkan ibu bapa lain untuk membuat pilihan yang bijak untuk keluarga mereka.
Melalui platform media sosial mereka, Elfira, Bella, Ain, Wany, dan Dr. Fie memberikan sokongan moral dan tip berguna kepada pengikut mereka. Dari cara berkomunikasi dengan anak-anak hingga kepada pemilihan produk, mereka membagikan ilmu dan pengalaman yang membantu ramai dalam perjalanan keibubapaan.
Sedikit info tentang susu kambing Karihome:
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!