
Baru sahaja selesai menyusu, tiba-tiba susu keluar semula dari mulut bayi. Kadang-kadang sedikit, tetapi ada masanya sampai membasahi baju ibu dan si kecil.
Bila keadaan ini berlaku hampir setiap kali selepas menyusu, memang mudah membuatkan ibu ayah mula risau. Apabila bayi kerap muntah atau mengeluarkan susu semula, cukup ke susu yang masuk? Ada masalah pada perut bayi? Adakah bayi sedang sakit?
Sebenarnya, bayi mengeluarkan sedikit susu selepas menyusu merupakan perkara yang sangat biasa terutama dalam beberapa bulan pertama kehidupan. Namun, ibu ayah perlu tahu bahawa “spit-up” atau jeluak tidak sama dengan muntah sebenar.
Ada keadaan yang normal dan akan beransur baik apabila bayi semakin membesar, tetapi muntah tertentu juga boleh menjadi petanda masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan doktor.
Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), jeluak atau spitting up berlaku apabila kandungan perut termasuk susu mengalir keluar daripada mulut bayi dengan mudah, biasanya ketika atau selepas bayi sendawa.
Muntah pula berlaku dengan lebih kuat apabila kandungan perut ditolak keluar akibat pengecutan otot abdomen dan diafragma.
Kalau susu hanya meleleh perlahan dari tepi mulut, keluar bersama sendawa dan bayi selepas itu masih kelihatan tenang, aktif serta mahu menyusu seperti biasa, ia lebih cenderung kepada jeluak.
Sebaliknya, jika susu keluar dengan kuat atau menyembur, berlaku berulang kali dan bayi kelihatan tidak selesa atau tidak sihat, keadaan itu perlu diberi lebih perhatian.
Antara punca paling biasa ialah gastroesophageal reflux (GER) atau refluks bayi.
Pada usia yang masih kecil, otot di antara esofagus dan perut bayi masih belum matang sepenuhnya. Keadaan ini menyebabkan susu yang sudah masuk ke dalam perut lebih mudah mengalir kembali ke atas. Kebiasaannya masalah ini semakin berkurangan apabila sistem penghadaman bayi semakin matang.
Bayi juga mungkin lebih mudah jeluak jika:
Jika bayi masih ceria, menyusu dengan baik dan berat badan meningkat mengikut perkembangan yang sepatutnya, jeluak yang berlaku sekali-sekala biasanya tidak membimbangkan. Dalam keadaan bayi kerap muntah atau jeluak pula, ibu ayah boleh memerhatikan corak kejadian dan keadaan bayi selepas menyusu.
Bagi bayi yang kerap mengalami refluks atau jeluak selepas menyusu, beberapa perubahan mudah boleh membantu.
Pastikan kedudukan bayi lebih tegak ketika menyusu dan cuba kekalkan posisi tegak untuk seketika selepas selesai menyusu. Bayi juga boleh disendawakan secara berkala ketika menyusu bagi membantu mengeluarkan udara yang tertelan.
Bagi bayi yang minum susu formula, elakkan memberikan jumlah susu yang terlalu banyak dalam satu-satu masa. Jika perlu mengubah jumlah atau kekerapan susu, dapatkan pandangan doktor atau profesional kesihatan terlebih dahulu.
Paling penting, walaupun bayi mempunyai masalah refluks, bayi tetap perlu tidur terlentang di atas permukaan yang rata dan selamat. NHS turut menasihatkan ibu ayah supaya tidak meninggikan bahagian kepala katil bayi sebagai cara merawat refluks.
Elakkan juga menambah bijirin atau bahan lain ke dalam susu semata-mata untuk mengurangkan muntah tanpa arahan doktor.
Muntah yang keluar dengan sangat kuat atau dikenali sebagai projectile vomiting
perlu diberi perhatian, khususnya pada bayi yang masih kecil.Salah satu keadaan yang boleh menyebabkan muntah memancut ialah pyloric stenosis, iaitu bahagian laluan antara perut dan usus kecil menjadi terlalu sempit sehingga makanan sukar bergerak ke usus.
Keadaan ini lazimnya muncul dalam beberapa minggu pertama selepas kelahiran. Bayi mungkin muntah dengan kuat selepas menyusu tetapi kelihatan lapar semula tidak lama kemudian. Jika berterusan, bayi boleh mengalami dehidrasi, sukar menaikkan berat badan atau kehilangan berat badan.
Muntah memancut berulang kali bukan sesuatu yang wajar ditunggu sehingga pulih sendiri.
Jangan hanya perhatikan berapa kerap bayi muntah. Warna muntah juga sangat penting.
Dapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera jika muntah bayi berwarna hijau atau kuning kehijauan kerana ia mungkin mengandungi hempedu dan boleh berkait dengan masalah seperti halangan pada saluran usus. Darah dalam muntah juga merupakan tanda yang tidak boleh diabaikan.
Ibu ayah disarankan mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya bayi:
Selain itu, perhatikan juga tanda dehidrasi seperti lampin basah semakin berkurang, mulut dan bibir kering, tiada air mata ketika menangis atau bayi kelihatan terlalu lesu. Bayi lebih mudah mengalami dehidrasi berbanding kanak-kanak yang lebih besar apabila muntah berulang kali.
Kebanyakan kes susu keluar semula selepas menyusu dalam kalangan bayi kecil berpunca daripada refluks yang biasa dan akan semakin baik apabila mereka membesar.
Namun, ibu ayah paling mengenali perubahan pada anak sendiri. Jika bayi kerap muntah secara tiba-tiba, muntah menjadi lebih kuat, berubah warna atau bayi mula kelihatan tidak bermaya dan kurang menyusu, jangan hanya menganggapnya sebagai “bayi memang biasa muntah”.
Lebih baik dapatkan pemeriksaan supaya puncanya dapat dikenal pasti dengan tepat.
Sumber: healthychildren & mayoclinic.org