Seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, Keningau hari ini.
Bayi cukup sifat itu ditemui orang awam kira-kira jam 1.05 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu jam 2.38 pagi.
Dijumpai orang awam, dibalut dengan kain
Ads
Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.
“Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi.
Berada dalam keadaan stabil
Beliau berkata, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Ads
“Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.
Foto: PDRM
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Nor Rafidah meminta orang ramai yang ada maklumat berkaitan kes itu segera menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-4486747.
Bawang memang terkenal sebagai bahan masakan yang memberi rasa sedap pada makanan. Tapi, tahukah anda bahawa bawang juga mengandungi Fructooligosaccharides (FOS), sejenis prebiotik yang baik untuk usus?
Menurut perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad FOS membantu menyuburkan bakteria baik dalam usus, meningkatkan sistem imun, dan menyokong kesihatan pencernaan.
Namun, tak semua orang sesuai makan bawang! Bagi mereka yang ada masalah usus seperti IBS, IBD, atau SIBO, bawang boleh menyebabkan perut kembung, cirit-birit, dan ketidakselesaan.
Jadi, adakah bawang baik atau berbahaya untuk anda? Jom fahami lebih lanjut!
Fructooligosaccharides (FOS) tergolong dalam kumpulan prebiotik.
Ia berfungsi sebagai makanan untuk bakteria baik dalam usus manusia.
Bagi orang yang sihat, FOS boleh memberi manfaat sebagai prebiotik.
1.Menyuburkan bakteria baik dalam usus, terutama Bifidobacteria dan Lactobacilli.
2 Meningkatkan penyerapan mineral seperti kalsium dan magnesium.
3 Meningkatkan kesihatan usus dengan menghasilkan asid lemak rantaian pendek (SCFA), yang baik untuk sel-sel usus.
4Meningkatkan sistem imun dengan menguatkan lapisan mukosa usus.
1 Bawang merah & putih
2 Bawang prei (leek)
3Bawang spring
4 Asparagus
5 Pisang (terutama yang belum terlalu masak)
6 Bawang putih
7 Chicory root
8 Artichoke
Namun, bagi individu yang mempunyai masalah usus tertentu, seperti Sindrom Usus Rengsa (IBS), Penyakit Radang Usus (IBD), atau SIBO (Small Intestinal Bacterial Overgrowth), FOS boleh menyebabkan simptom yang lebih teruk.
FOS adalah karbohidrat rantai pendek yang difermentasi secara berlebihan oleh bakteria usus, menghasilkan gas seperti hidrogen dan metana.
Ini boleh menyebabkan perut kembung, cirit-birit, sakit perut, dan ketidakselesaan. Dalam masalah Small Intestinal Bacterial Overgrowth (SIBO), bakteria berlebihan dalam usus kecil boleh memakan FOS dan menghasilkan lebih banyak gas dan toksin, menyebabkan radang dan gangguan penghadaman.
Contoh, bawang adalah sayuran yang tinggi dalam FODMAPs (Fermentable Oligosaccharides, Disaccharides, Monosaccharides, and Polyols), yang boleh menyebabkan cirit-birit atau sembelit dalam IBS.
Sesetengah pesakit IBD sensitif kepada serat larut seperti FOS, yang boleh merangsang radang usus dan memburukkan simptom.
Walaupun FOS bermanfaat sebagai prebiotik untuk orang yang sihat, mereka yang mempunyai masalah usus tertentu sebaiknya mengelakkan bawang dan makanan tinggi FOS untuk mengurangkan risiko keradangan dan simptom usus.
1. Mulakan dengan jumlah kecil – Jika tidak biasa, ambil sedikit dahulu untuk mengelakkan kembung atau ketidakselesaan.
2. Gabungkan dengan probiotik – Prebiotik seperti FOS akan membantu bakteria baik (probiotik) berkembang dengan lebih baik.
3. Pastikan cukup serat lain – Jangan hanya bergantung pada FOS, seimbangkan dengan serat larut dan tidak larut.
4. Hindari jika ada simptom negatif – Jika perut kembung atau cirit-birit berlaku, kurangkan atau elakkan sementara.
Kesimpulannya, orang yang sihat boleh mengambil FOS dari sumber semula jadi untuk menyokong kesihatan usus, tetapi dalam jumlah sederhana dan disesuaikan dengan toleransi badan masing-masing
Jika kita memilih untuk membekalkan anak-anak kecil kita ke sekolah dengan menu nasi lemak, mi atau roti dengan lauk-lauk ringkas lain pula kisahnya seorang anak kecil di Indonesia yang membawa bekalan ‘rare’ ke sekolah.
Bukan biasa-biasa, anak kecil yang dikenali sebagai Adekta ini turut melengkapkan bekalan nasi dan ikan gorengnya dengan beberapa keping petai ke sekolah. Memang rare!
Menerusi perkongsian ibu saudaranya di Tik Tok yang dikenali sebagai Dita Kerang, @ditanganu, telatah anak kecil itu yang sedang menyenduk nasi ke dalam bekalannya ternyata mencuit hati ramai.
Mana tidaknya, dengan bermurah hati, Adekta turut membawa bekalan nasi yang banyak khusus untuk menjamu rakan-rakan untuk makan bersama-sama ketika waktu rehat.
Sebelum ke sekolah, Adekta turut mengambil beberapa keping petai dan memasukkan ke dalam begnya. Terbaik!
Dalam pada itu, gelagat anak kecil itu yang begitu petah bercakap di Tik Tok ibu saudaranya itu sering kali mendapat perhatian ramai.
Malah bekalan petai yang dibawanya juga turut mendapat pelbagai reaksi dari wargamaya di Tik Tok. Masing-masing kagum dengan anak kecil ini yang memilih ulam segar untuk di bawa ke sekolah.
Bukan itu sahaja, bahkan Adekta turut dipuji pandai berdikari untuk menyiapkan bekalannya sendiri malah punya sifat murah hati untuk berkongsi bekalan dengan kawan-kawan.
Ibu bapa mana yang tidak mahu memberikan pendidikan yang terbaik buat anaknya. Walau diri sendiri tidak tinggi pelajarannya, anak harus disekolahkan sehabis daya.
Inilah semangat seorang bapa yang dikongsikan kisahnya oleh Cikgu Fadli Salleh menerusi facebooknya. Ayah hebat ini diuji dengan hebat bila mana satu-satu kenderaannya untuk mencari rezeki ditarik gara-gara tidak dijelaskan hutang bulanannya.
Tetap mahu anak ke sekolah, bapa ini sanggup menemani anak kecilnya yang baru bersekolah di pra sekolah setiap hari. Sayu dan betapa semangatnya kuat untuk melihat anak ke sekolah. Ikuti perkongsiannya.
Seorang guru pra perasan murid yang sampai ke sekolah setiap hari berpeluh-peluh. Sedangkan sebelum ini tak begitu. Anak itu biasanya dihantar oleh kedua ibubapanya. Semua mereka berpeluh di awal pagi.
Setelah diselidik, rupanya mereka berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Sekitar 2km juga jaraknya. Motor si ayah kena tarik beberapa minggu lepas akibat tertunggak 4 bulan. Masa tu dia tengah buat job grab. Sumber pendapatan utama keluarga.
Lepas hantar barang, pergi tempat parking motor, motor hilang. Ada brader bagi surat tunggakan AEON beribu jumlahnya.
Terduduk si ayah. Motor kenderaan utama untuk cari makan kena tarik. Menung panjang jugalah. Namun dia bapa yang bertanggungjawab. Motor tak ada, anak pula minat nak pergi sekolah, setiap hari dia teman anak dengan berjalan kaki.
2km pergi, 2km balik. Kemudian masa pulang kena jalan lagi 2km pergi, 2km balik. 8km ulang alik jalan kaki semata-mata untuk anak dapat ilmu.
Kelmarin, anak dia dapat Anugerah Cemerlang pra sekolah. Masa tu aku dikenalkan dengan si ayah yang tabah ini oleh guru pra.
Hari ini, Hari Orientasi Tahun 1 anak dia. Datang hantar anak bersama isterinya. Dengar taklimat dan tunggu sampai habis program.
Tak ramai ayah yang sanggup datang hari orientasi ni. Biasanya wakil kat ibu je. Ni dua-dua datang. Bagus semangat si ayah walau dia sendiri tak ada SPM.
Dia dari keluarga susah 10 orang adik-beradik. Terpaksa berkorban tinggalkan bangku persekolahan di Tingkatan 4 kerana keluarga kurang mampu.
Dan hari ini, dia masih berkata pada aku memang dia suka belajar. Dia dulu nak jadi cikgu. Namun nasib keluarganya tidak menyebelahi cita-citanya. Namun dia akan pastikan anak-anak dia dapat pendidikan sempurna.
Bagus sungguh semangat si ayah. Aku cukup suka orang seperti ini. Menjaga hak anak-anak dan pentingkan pelajaran.
Habis program tadi, aku suruh dia tunggu depan pagar sekolah. Aku hantar keluarga mereka pulang, sebaik dia nak turun aku tahan.
“Abang ikut saya. Kakak dan anak naik rumah lah”. Pelik si ayah. Namun dia patuh saja. Aku bawa ke kedai motor di Batu Caves.
“Bang. Nak motor mana?” “Eh cikgu. Apa ni?” “Pilih motor. Nak motor mana?”
“Cikgu nak belikan untuk saya ke?” Aku angguk kepala. Bergenang terus mata dia. Dalam sebak dia berkata,
“Cikgu pilih yang mana-mana pun. Saya okey je”. “Abang la pilih. Abang yang nak guna”.
“Eh tak cikgu. Saya tak mampu nak memilih. Apa yang cikgu pilih, saya terima saja”.
Aku pertimbangkan 2 biji motor tadi. Satu Honda Dash tahun 2015, harga RM3100. Satu lagi motor baru, SM Sport, harga RM3600.
Seller syorkan SM Sport. Enjin ex5. Senang spare part dan murah. Lagi pun motor baru. Tak ada banyak masalah. So kami proceed ambil SM Sport. InsyaAllah Selasa or Rabu ni setel la urusan JPJ dan boleh ambil motor.
Masa pulang tadi, berkali-kali dia ucap terima kasih. “Cikgu. Saya tak tahu nak balas budi cikgu macamana. Saya doakan cikgu terus murah rezeki”.
“Budi ini bukan untuk dibalas. Budi ini untuk abang kembalikan pada orang lain bila abang senang sikit di hari akan datang. Dan sumbangan ini bukan dari poket saya seorang. Doakan semua penyumbang ya”. “InsyaAllah cikgu. Terima kasih banyak-banyak”.
Dan dia melangkah keluar kereta menuju ke rumahnya dengan pelbagai rasa. Yang pasti, mesti dia tak sabar nak cerita kat anak isteri,
“Minggu depan kakak dah tak perlu pergi sekolah jalan kaki. Ayah hantar naik motor baru”.
Mesti anak tersenyum gembira. Isteri hati berbunga. Satu masalah besar yang menimpa, satu bebanan berat yang mengusut kepala, satu punca pendapatan utama yang pudar sinarnya, kembali bercahaya.
Sebuah motor yang disyukuri dan InsyaAllah membantu menaikkan semula ekonomi keluarga ini. Terus gigih usaha tanpa tinggalkan doa bang. Solat jangan tinggal. Buat baik pada sesiapa sahaja selalu. InsyaAllah suatu masa nanti akan banyak kesenangan akan datang.
Jaslinda ditemui selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih. Penemuan mangsa membawa kelegaan kepada keluarga dan rakyat Malaysia yang mengikuti operasi pencarian sejak hari pertama.