Bayi pun boleh kena diabetes, jenis penyakit yang tak kenal usia. Dikenali diabetes neonatal, menurut pakar, antara puncanya ialah mutasi gen yang menyebabkan bayi tidak dapat menghasilkan insulin.
Berdasarkan tinjauan ahli pediatrik endokrinologi, pada 2019 sahaja kira-kira 1,500 kanak-kanak di negara ini dikesan menghidap diabetes mellitus atau kencing manis.
Jenis 1 dan 2
Mengulas lanjut, Dr Ch’ng Tong Wooi, pakar perunding kanak-kanak dan pakar endokrinologi kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), berkata antara gejala yang ditunjukkan oleh bayi penghidap diabetes ialah saiznya lebih kecil semasa dilahirkan, berat badan tidak bertambah, penurunan berat badan serta mengalami rasa lapar melampau.
“Diabetes berlaku disebabkan oleh kadar gula dalam darah yang tinggi. Terdapat beberapa klasifikasi diabetes, dan yang paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak ialah jenis 1 dan jenis 2.
“Diabetes jenis 1 selalunya berlaku seawal usia enam bulan ke atas dan ia akan berlaku sebelum pesakit berusia 25 tahun. Angka kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2 pula tidak sebanyak jenis 1, namun didapati semakin meningkat disebabkan peningkatan masalah obesiti,” jelasnya, menambah bagaimanapun ia tidak bermakna jenis 2 lebih serius.
Ulas beliau, jenis 1 merujuk kepada keadaan autoimun, iaitu apabila badan tidak dapat menghasilkan insulin (hormon yg dikeluarkan oleh pankreas untuk mengawal kepekatan glukosa dalam darah), sementara jenis 2 bermakna badan mempunyai rintangan terhadap insulin dan pankreas tidak dapat menghasilkan insulin mencukupi untuk mengatasi keadaan itu.
Mengenai sebab berlaku kencing manis, beliau berkata ia bergantung pada jenis diabetes.
“Diabetes jenis 1 berlaku disebabkan sistem imuniti menyerang sel beta pankreas lalu menyebabkan pankreas tidak boleh menghasilkan insulin.
“Jenis 2 pula terjadi disebabkan oleh rintangan (penolakan) badan terhadap insulin,” katanya.
Akibatnya, badan akan menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengimbangi insulin yang tidak berkesan namun masih tidak mencukupi, dan dalam jangka masa panjang, ketegangan sel beta akan merosakkan dan mengurangkan penghasilan insulin.
Berdasarkan pengalamannya merawat diabetes dalam kalangan kanak-kanak, Dr Ch’ng melihat kes diabetes semakin meningkat dan membimbangkan.
Justeru katanya, ibu bapa harus mengawasi simptom yang mungkin dialami oleh anak mereka, antaranya kerap membuang air kecil, sering berasa haus, kerap minum air, mudah penat serta mengalami penurunan berat badan secara mendadak.
“Simptom ini jika tidak dirawat, pesakit boleh mendapat diabetes ketoasidosis, di mana mereka akan mengalami kesukaran bernafas, rasa keliru dan mengalami dehidrasi serius,” jelasnya.
Diabetes ketoasidosis adalah satu komplikasi serius bagi diabetes jenis 1, dan jika tidak dirawat seawalnya dengan berkesan boleh mengakibatkan kematian.
Ads
Ditanya jika diabetes jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak boleh dirawat dan tidak akan berterusan hingga dewasa, pakar itu berkata ia boleh dikawal namun hingga kini belum ada ubat penyembuh jenis 1.
Kurangkan risiko
Sehubungan itu, Dr Ch’ng berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memastikan anak mereka mengambil makanan sihat dan bersenam.
“Kanak-kanak digalakkan bersenam selama 45 minit ke satu jam setiap hari dan tidak makan secara berlebihan, kerana apabila mereka mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti, ia boleh meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 2.”
Menurut beliau lagi, bagi kanak-kanak yang menghidap diabetes, mereka perlu mengawal kadar gula dalam darah untuk mengelakkan komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, buta, strok, kerosakan saraf dan masalah jantung.
“Mereka juga harus hadir temu janji susulan bersama pakar endokrinologi secara berkala dan menjalani ujian saringan kesihatan mata setiap tahun,” katanya.
Berhubung dakwaan bahawa rawatan diabetes mahal, beliau berkata ia tidak semahal seperti yang disangkakan.
Penting kesan awal
Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman SMVC, Dr Lim Kim Piow menegaskan kepentingan bagi setiap individu mengetahui tahap kesihatan masing-masing.
Menurut beliau, dalam kes diabetes, amat kritikal bagi pesakit mendapat rawatan seawal mungkin.
Ads
“Untuk mengelakkan komplikasi, masa adalah kunci utama, dan kajian telah membuktikan bahawa sekiranya rawatan untuk menurunkan gula dengan berkesan dilakukan lebih awal, ia mampu menyelamatkan nyawa.
“Dalam erti kata lain, terdapat ‘golden time’ atau jangka masa penting untuk merawat diabetes secara agresif pada peringkat awal bagi mengelakkan komplikasi berlaku,” katanya.
Diabetes juga menurut Dr Lim merupakan penyakit yang tidak bergejala, iaitu pesakit tidak akan mengalami simptom ketika paras gula dalam darah meningkat secara mendadak.
Tambahnya, pesakit hanya akan mengalami simptom osmosis ketika bacaan gula dalam darah sudah mencapai belasan seperti rasa dahaga, kerap membuang air kecil atau rasa lapar.
Namun katanya, mereka yang mengalami simptom berkenaan biasanya menganggap itu perkara normal.
“Sebagai contoh, penurunan berat badan secara mendadak adalah tanda paras gula yang tinggi dan bukan disebabkan perubahan gaya hidup. Ini gejala yang sering disalah anggap sebagai penurunan berat badan yang efektif bagi pesakit obes yang sememangnya menghidap diabetes atau pradiabetes yang ingin menurunkan berat badan,” katanya.
Pemakanan dan gaya hidup
Tidak dinafikan pelbagai jenis sajian yang manis dan viral semakin mendapat tempat di hati masyarakat, khususnya golongan muda.
Mengulas mengenainya, Dr Lim tidak menolak budaya pengambilan makanan manis berlebihan mendedahkan generasi muda, terutama kanak-kanak, kepada diabetes.
Ads
“Semestinya. Ini kerana kebanyakan makanan dan minuman yang dijual dan dipromosikan di kedai makan, media sosial dan kompleks beli-belah mempunyai karbohidrat dan lemak yang tinggi serta kurang serat.
“Makanan dan minuman seperti ini tidak sihat dan tidak sesuai untuk diambil oleh mereka yang mempunyai diabetes atau pradiabetes yang kebanyakan sudahpun berada dalam keadaan obesiti,” katanya.
Selain itu, Dr Lim berkata, golongan muda yang tinggal di kawasan bandar kini terdedah kepada tekanan kerja yang tinggi, kurang tidur dan kurang bersenam, yang mana turut merisikokan mereka untuk menghidap diabetes.
“Keadaan mereka boleh bertambah teruk apabila digabung dengan pengambilan alkohol, merokok dan vap yang dianggap boleh ‘mengurangkan’ stres. Ini adalah gaya kitaran hidup yang tidak sihat dan boleh membawa kepada diabetes yang boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok,” katanya.
Pelbagai hadiah menarik menanti anda selain boleh berhimpun bersama ratusan ekor kucing Oyen comel di sini. Apa lagi daftar sekarang dan jadi sebahagian peserta kami.
Mudah sahaja hanya klik link di bawah dan daftar.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tubuh kecil berusia 2 bulan tetapi cukup kuat melalui penyakit yang dihidapi. Tiga kali jantung berhenti berdegup & 2 pembedahan. Penceritaan bapanya menyebabkan ramai yang sebak!
Setiap ibu bapa sebolehnya mahu anak yang dilahirkan sihat. Namun apa yang dialami sebaliknya. Satu demi satu yang berlaku kepada tubuh kecil ini, namun dia tetap kuat bertahan. Bapa, Zahir Halim Zahiah berkongsi mengenai anak ketiganya, Muhammad Zahiruddin yang mengalami masalah usus. Anak kecil ini sudah mengalami beberapa saat getir yang cemas, jantungnya pernah berhenti berdegup beberapa kali malah sudah dua kali pembedahan dilalui. Berikut ialah perkongsian bapanya.
Muhammad Zahiruddin lahir pada 22 Febuari Hari Jumaat pada pukul 4.27 petang di Hospital *********. Zahiruddin lahir ketika usia kandungan isteri 38 minggu.
Ketika proses menyambut kelahiran tersebut isteri saya mengalami kesulitan sedikit di sebabkan bayi dalam kandungan seakan lemah serta tidak memberikan kerjasama sepanjang proses kelahiran menyebabkan doktor yang menyambut bayi kami tersebut terpaksa menarik sedikit kepala bayi kami bagi membantunya keluar kerana di khuatiri lemas di dalam.
Selepas selamat dilahirkan doktor menyuruh saya keluar dari labour room tersebut bagi meneruskan proses memotong tali pusat serta menjahit isteri. Kemudian anak kami di ambil untuk di bersihkan terlebih dahulu sebelum di kembalikan kepada kami.
TIDAK AKTIF SELEPAS DILAHIRKAN
Selepas selesai semua isteri serta anak kami ditolak masuk ke wad semula tetapi ketika di wad anak kami menunjukkan sikap tidak aktif serta tidak mahu menyusu dan hanya tidur sahaja menangis pun tidak. Zahiruddin hanya tidur sahaja walaupun berkali-kali di paksa minum susu dia masih tidak mahu.
MEMUNTAHKAN SUSU
Sehinggakan nurse menyuruh isteri paksa juga anak untuk menyusu kemudian melihatkan Zahiruddin begitu akhirnya nurse kemudiannya cuba untuk memberikan susu formula pula tapi dia tetap tidak mahu dan memuntahkan semula susu tersebut.
TIDAK BUANG AIR BESAR & KECIL
Tidak cukup dengan masalah susu sehingga hari ke-2 berada di wad Zahiruddin tidak kencing mahupun berak membuatkan nurse melakukan senaman untuk membantunya kencing serta berak.
MUNTAH LENDIR SEPERTI DARAH
Tetapi ketika hari ke-2 tu juga sejak pagi Zahiruddin mula mengeluarkan muntah lendir berwarna seperti merah hati seperti darah tetapi bila isteri mengadukan perkara tersebut kepada nurse yang bertugas dia mengatakan itu perkara biasa sebab bayi mungkin tertelan air ketika dalam proses kelahiran dan sekarang dia mungkin memuntahkannya semula.
Dari pagi hingga tengah hari memang dah 3 kali dia muntah dan setiap kali muntah isteri akan beritahu kepada nurse.
ZAHIR TIBA-TIBA DIKEJARKAN KE NICU
Pada pukul 2 lebih macam itu nurse cakap isteri dan anak boleh balik dah sebab bayi pun dah berak dengan kencing walaupun bayi tak menyusu lagi dengan nasihat suruh isteri teruskan cuba memberikan susu.
Selepas di beritahu boleh balik saya pun datang pada petang untuk membawa mereka balik, sesampai di wad saya pun ambil bil untuk bayar tetapi ketika saya dalam perjalanan untuk ke kaunter pembayaran tiba-tiba saya dapat panggilan dari isteri memberitahu bahawa nurse menyuruh menunggu sebentar sebab bayi terpaksa di bawa ke NICU.
DARAH & LENDIR KELUAR DARI HIDANG & MULUT SECARA TIBA-TIBA
Saya pun pelik dan terus ke wad semula untuk bertanya isteri apa masalahnya, masa itu isteri memang dah menangis cakap dengan saya yang anak kami secara tetiba dah keluarkan lendir seperti bercampur darah dari hidung serta mulut dia dan keadaan dia ketika itu memang kelihatan sangat lemah malah nurse terpaksa memanggil doktor pakar kanak-kanak untuk melihat keadaannya.
Ketika itu memang doktor cakap terpaksa bawa anak kami ke NICU untuk mengenal pasti apa sebenarnya masalah yang menimpa Zahiruddin kerana ketika di periksa dia telah mula mengeluarkan air kencing berwarna pink yang menandakan badannya telah mula terhidrat.
ZAHIR LEMAH TIDAK MAHU MENYUSU
Sesampai sahaja di NICU doktor yang bertugas meminta supaya isteri cuba untuk memberikan susu kepada anak kami tetapi ketika itu Zahiruddin memang kelihatan sangat lemah dan masih tidak mahu menyusu.
DARAH KELUAR DARI HIDUNG, MATA HITAM KE ATAS
Melihatkan keadaan tersebut kemudiannya nurse di NICU terbabit cuba memberikan susu formula pula kepadanya tetapi selepas susu terbabit diberikan Zahiruddin mula menunjukkan reaksi yang sememangnya menakutkan kami kerana susu mula mengalir keluar dari hidung serta mulutnya manakala mata hitam Zahiruddin telah mula naik ke atas dan badannya telah mula menggeliat seperti kesakitan tetapi nurse yang bertugas telah menyerahkan Zahiruddin kepada isteri dan menyuruhnya menepuk belakang badan Zahiruddin supaya dia sendawa.
TERLALU LEMAH, PARU-PARU TIDAK BERFUNGSI DENGAN BAIK
Kami ada menanyakan kenapa anak kami kelihatan terlampau lemah tetapi nurse tetap menyuruh agar kami mendengar sahaja arahannya yang menyuruh kami meletakkan bayi di bahu serta menepuk belakangnya sehingga sendawa.
Selepas setengah jam menepuk Zahiruddin masih tidak mengeluarkan sendawa menyebabkan nurse mengambilnya semula Zahiruddin dan kemudiannya meletakkannya di dalam baby cot.
Nurse tersebut kemudiannya memberitahu keadaan Zahiruddin kepada doktor yang bertugas dan doktor tersebut menyuruhnya memasang oksigen serta mesin melihat keadaan peparunya kepada Zahiruddin kerana menurut doktor peparunya seakan lemah dan tidak dapat beroperasi dengan baik.
Sehingga pukul 10 malam kami berada di NICU tersebut menemani Zahiruddin melihatkan keadaannya yang lemah membuatkan kami berasa amat sedih.
Selepas jam 10 malam nurse memberitahu kami bahawa waktu melawat di NICU tersebut telah habis dan menyuruh kami pulang sahaja ke rumah kerana tiada katil kosong untuk kami ketika itu. Kami terpaksa akur dan pulang ke rumah dengan hati yang berat meninggalkan anak kami di sana.
PANGGILAN CEMAS DARI HOSPITAL
Pada pukul 12.30 tengah malam kami telah menerima panggilan daripada NICU yang meminta agar kami datang ke sana sekarang juga.
Ketika dalam perjalanan ke hospital kami seakan tertanya-tanya mengapa doktor menyuruh kami ke hospital pada waktu lewat malam tersebut dan hanya suasana sepi yang menemani kami kerana berbagai andaian yang muncul di fikiran saya serta isteri ketika itu.
Sesampai sahaja kami di NICU, kami terkejut kerana anak kami tiada di bilik yang kami tinggalkan. Lalu kami terus bertanya di kaunter di mana anak kami.
Lalu nurse bertanyakan kepada kami siapa yang kami cari lalu kami pun memberikan nama isteri serta nurse menyuruh kami menunggu sebentar dan kemudian membawa kami ke bilik no 2 nak menunjukkan anak kami.
TERKEJUT LIHAT ANAK DENGAN WAYAR BERSELIRAT
Ya Allah ketika itu kami betul-betul terkejut melihat keadaan anak kami yang penuh dengan wayar di seluruh badannya termasuk tali pusatnya yang dipotong dan dimasukkan wayar di situ manakala mulutnya dimasukkan oksigen.
Ketika itu memang ??? air mata menitis tanpa di pinta melihatkan keadaan Zahiruddin mengapa begitu sekali keadaannya sedangkan ketika kami meninggalkannya pulang ke rumah hanya tiub wayar oksigen kecil sahaja yang di pasang ke hidungnya.
USIA 3 HARI, JANTUNG ZAHIR BERHENTI BERDEGUP SEKETIKA
Doktor yang merawatnya kemudian menghampiri kami dan menerangkan kepada kami bahawa jantung Zahiruddin telah terhenti menyebabkan mereka melakukan apa yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa Zahiruddin.
Ya Allah seusia baru tiga hari Zahiruddin terpaksa melalui semua itu, hanya tuhan yang tahu bagaimana hancurnya hati melihat keadaannya itu.???
BADAN DIJANGKITI KUMAN, ORGAN DALAMAN TIDAK DAPAT BERFUNGSI
Doktor memberitahu kepada kami bahawa hasil daripada X-Ray yang di buat mendapati bahawa seluruh badan Zahiruddin telah diserang oleh kuman menyebabkan dia menjadi sangat lemah malah organ dalamannya semua tidak dapat berfungsi disebabkan oleh jangkitan kuman yang merebak tetapi doktor masih tidak dapat mengenal pasti jenis kuman yang menyerang Zahiruddin.
KUMAN TERSEBUT MENJANGKITI ZAHIR SEJAK DARI DALAM KANDUNGAN
Menurut doktor yang merawat Zahiruddin kuman tersebut besar kemungkinan telah menyerangnya ketika dia masih di dalam kandungan kerana tidak mungkin seawal usia 2 hari kuman boleh memenuhi seluruh badannya.
Doktor memberitahu bahawa darah Zahiruddin telah di hantar ke makmal untuk mengenal pasti jenis kuman yang menyerangnya dan keputusan hanya boleh diperolehi dalam masa 48 jam.
Buat sementara waktu doktor hanya boleh memberikan antibiotik untuk membolehkan Zahiruddin terus bertahan.
SEKALI LAGI JANTUNG BERHENTI. ANAKKU ZAHIRUDDIN TERUS BERJUANG
Zahiruddin benar-benar anak syurga kami yang amat kuat kerna terus berjuang untuk hidup walaupun umurnya baru 3 hari.
Hari ketiga Zahiruddin berada di NICU lagi sekali doktor memberitahu kami bahawa jantungnya telah terhenti menyebabkan mereka terpaksa menaikkan oksigen ke tahap 80peratus kerana kata doktor kuman telah menyerang hampir keseluruhan peparunya menyebabkan ia tidak dapat mengepam sendiri dan memerlukan sokongan oksigen yang di pam terus ke peparunya.
“YA ALLAH, TERASA DUNIA INI GELAP”
Ketika itu doktor memberitahu bahawa hanya keajaiban yang dapat membantunya. Ya Allah ketika itu terasa bagai dunia ini gelap, hanya tuhan saja tahu perasaan kami ketika itu.
Pada hari kelima di NICU doktor memberitahu bahawa mereka telah dapat mengenal pasti kuman yang menyerangnya ialah kuman Ecolite dan doktor telah memberikannya 4jenis ubat antibiotik kepada Zahiruddin serta ubat jantung untuk membantunya terus bertahan.
HARI KE-7 KRITIKAL, OKSIGEN DISALUR KEPADA ZAHIR TAHAP MAKSIMUM
Hari ke-7 sekali lagi jantung Zahiruddin terhenti. Ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu apa perasaan kami bila melihat keadaan Zahiruddin yang amat kritikal sehingga doktor terpaksa menggunakan mesin oksigen yang paling kuat 100%.
Hati bagai dihiris dengan pisau tatkala melihat badan anak kami yang bergetar dek kerana penyaluran oksigen pada tahap maksimum.
Doktor memberitahu kami bahawa ini adalah had paling maksimun yang mereka boleh berikan pada Zahiruddin.
Hanya doa dan keajaiban sahaja yang boleh menyelamatkan anak kami kerana ini sudah kali ke-3 jantungnya terhenti.
“YA ALLAH, BERIKANNYA KEKUATAN UNTUK TERUS BERJUANG”
Air mata menjadi peneman kami melihat keadaannya itu dan kami tidak berhenti berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepadanya untuk terus berjuang untuk terus hidup kerana doktor memberitahu bahawa segala-galanya bergantung dalam masa 12 jam berikutnya sama ada Zahiruddin mampu bertahan ataupun tidak.
Jika dalam tempoh tersebut tiada sebarang peningkatan maka kami terpaksa terima hakikat bahawa Allah lebih sayangkannya.
Tiada sebarang kata yang dapat kami gambarkan betapa hancurnya hati ini bila doktor berkata begitu.
Malah doktor juga meminta kebenaran dari kami untuk mengambil air tulang belakang anak kami bagi mengesan kuman di otaknya ada ataupun tiada.
Walaupun berbagai kata dari orang yang kami dengar tetang kesan pengambilan air tulang belakang tersebut tetapi kami terpaksa memberikan juga kebenaran kerana menurut doktor jika mereka terlambat mengesan kuman tersebut dan kuman tersebut telah menyerang otak anak kami, besar kemungkinan anak kami boleh menjadi sindrom.
ZAHIR TUNJUK PERKEMBANGAN POSITIF MELEGAKAN KAMI
Kami terpaksa memberikan kebenaran kepada doktor demi kebaikan anak kami dan kami hanya berserah kepada Allah agar tiada apa- apa yang berlaku kepada anak kami.
Hasil ujian tersebut mendapati bahawa otak anak kami bebas daripada kuman dan kami amat bersyukur kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada anak kami.
Ternyata Allah masih memberikan kami peluang untuk bersamanya, khabar gembira yang doktor beritahu bahawa Zahiruddin mula menunjukkan perkembangan positif amat melegakan kami.
Namun kami masih tidak dapat bergembira lagi kerana Zahiruddin masih belum sembuh sepenuhnya lagi.
BERULANG ALIK MELIHAT ANAK SYURGA DI HOSPITAL
Malah selepas seminggu lebih dirawat bawah lapisan mata anak kami secara tiba-tiba menunjukkan berlaku pendarahan di bawah lapisan kulit yang di panggil ‘hematoma’.
Selama sebulan Zahiruddin di berikan ubat tidur supaya dia dapat berehat sepenuhnya dan agar dia pulih semula.
Kami terpaksa berulang-alik dari rumah kami setiap hari untuk melihat anak syurga kami dan untuk terus memberikan semangat kepadanya agar terus bertahan walaupun kami sedar bahawa dia sedang berada dalam tidur yang panjang tapi kami yakin dia boleh merasakan kehadiran kami di sisinya.
JANTUNG & BUAH PINGGANG SEMAKIN PULIH DARI JANGKITAN KUMAN
Selepas lebih sebulan berada di unit NICU doktor memberitahu bahawa peparunya semakin menunjukkan pembaikkan serta jantung dan buah pinggangnya juga semakin pulih kesan dari serangan kuman tersebut.
Selepas keadaannya bertambah baik doktor telah cuba memberikan Zahiruddin susu untuk melihat sama ada dia boleh menerima susu mahupun tidak.
MUNTAH HIJAU BILA DISUSUKAN, USUS ZAHIR MEMPUNYAI MASALAH
Bermula dari kuantiti 2 ml setiap 3 jam doktor telah menaikkan kuantiti tersebut dari hari ke hari sehinggalah sampai ke 24 ml tiba-tiba Zahiruddin mula menunjukkan bahawa ususnya mempunyai masalah apabila mengeluarkan muntah berwarna hijau.
Sehingga doktor terpaksa puasakan dia dan hanya memasukkan air serta zat yang di panggil TPN kepadanya untuk membantu tumbesarannya kerana tidak mahu badan dia mengalami kekurangan zat yang diperlukan.
PERUT KEMBUNG & KERAS, USUS ZAHIR SEMPIT
Selepas 2 hari di puasakan doktor telah mencuba sekali lagi untuk memberikannya susu tetapi Zahiruddin tetap menunjukkan tanda yang sama apabila mengeluarkan muntah berwarna hijau lagi malah perutnya juga telah mula kembung serta keras.
Doktor cuba untuk melakukan scan dengan memasukkan pewarna melalui duburnya tetapi doktor memberitahu bahawa scan tidak dapat dilakukan kerana perwarna tersebut tidak dapat melalui salur ususnya dan doktor memberitahu besar kemungkinan Zahiruddin mengalami usus sempit.
Ya Allah apalagi dugaan yang kau berikan kepada anak syurga kami.
USIA 35 HARI PEMBEDAHAN STOMA DILAKUKAN
Doktor memberitahu bahawa mereka terpaksa transfer Zahiruddin ke Hospital ******* untuk mengenal pasti masalah sebenar anak kami ini.
Zahiruddin di bawa dengan menaiki ambulans terus ke wad NICU di sini.
Pada hari ke-2 Zahiruddin di NICU doktor memberitahu bahawa mereka terpaksa membuat pembedahan ke atas Zahiruddin untuk membuat Stoma iaitu mengeluarkan ususnya di bahagian tepi perut bagi membantunya berak kerana perut Zahiruddin semakin mengeras dan mula kelihatan beralun mempernampakkan aliran ususnya.
Betapa sedihnya hati kami apabila baru seusia 35 hari Zahiruddin terpaksa melalui satu pembedahan.
Zahiruddin sememangnya kuat kerana berjaya mengharungi setiap dugaan yang melandanya.
MENITIS AIR MATA MELIHAT KEADAAN ZAHIR
Walaupun sedih kami bersyukur kerana selepas pembedahan tersebut perut Zahiruddin mula kelihatan lembut dan kempis.
Hari ke-5 selepas operation nurse dari NICU meminta agar saya dan isteri datang ke hospital serta membawa baju untuk menemani anak kami di wad serta mempelajari cara menjaga stoma dan menukar bag stoma.
Ya Allah pilu rasa hati tatkala melihat stoma anak kami kerna ini kali pertama kami melihat stoma dan sebelum ini kami sememangnya tidak tahu menahu langsung mengenai stoma ini.
Menitis air mata melihat keadaanya itu tak sanggup rasanya melihat keadaan dia begitu.
ZAHIR MENANGIS SETIAP KALI BEG STOMA DITUKAR
Nurse di wad cuba untuk mengajar isteri cara untuk menukar bag stoma tersebut, mula-mula memang isteri terasa sebak dan sedih ketika nak menukar bag tersebut serta menitis air mata bila Zahiruddin menangis ketika bag stoma di cabut untuk ditukar.
STOMA TIDAK BERFUNGSI
Selepas lebih 10 hari stoma Zahiruddin masih tidak menunjukkan perkembangan positif apabila stomanya hanya mengeluarkan banyak air daripada najis.
Sehinggakan doktor pun mula mencari punca stomanya seakan tidak berfungsi.
Segala ujian dilakukan termasuk xray, scan, ujian penghadaman semua dilakukan bagi mengenal pasti punca stomanya tidak mengeluarkan najis seperti biasa.
Malah selepas 2 minggu lebih berada di wad kulit perut di sekeliling stoma Zahiruddin mula menunjukkan kemerahan akibat daripada penukaran bag tersebut.
PERLU DIBEDAH SEKALI LAGI UNTUK KENAL PASTI MASALAH SEBENAR
Masuk hari ke-26 selepas pembedahan stoma tersebut doktor memberitahu bahawa esok Zahiruddin terpaksa di bedah sekali lagi bagi mengetahui punca stomanya tidak berfungsi kerana itu jalan terakhir yang mereka terpaksa ambil selepas semua ujian yang dilakukan tidak dapat mengenal pasti masalah sebenar.
Zahiruddin anak syurga yang amat kuat kerna di usianya yang baru mencecah 2 bulan dia telah berjaya mengharungi dua pembedahan ke atas dirinya dan sehingga kini dia masih terus bertahan.
Ketika saya menulis kisah Zahiruddin ini anak saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan keduanya.
YA ALLAH, BANYAK LAGI PEMBEDAHAN PERLU DILALUI ZAHIR
Di saat ini anak saya masih lagi sedang dirawat di hospital dan doktor memberitahu bahawa dia mungkin terpaksa tinggal di wad dalam masa beberapa bulan kerana doktor terpaksa memasukkan zat TPN kepadanya dalam usaha untuk menaikkan berat badannya terlebih dahulu sebelum melakukan operation yang selanjutnya.
Ya Allah ini bukanlah pembedahannya yang terakhir kerana dia akan melalui beberapa lagi pembedahan dalam usaha untuk menyembuhkan ususnya.
Sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah kepada anak kami ini agar di berikan kekuatan untuk terus mengharungi dugaan yang diberikan kepadanya.
Kepada anda yang ingin memberikan sumbangan kepada Muhammad Zahiruddin bolehlah disalurkan ke akaun seperti berikut;
Public Bank
Nama: Zakir Halim
Account No: 6456990501
Agro Bank
Nama: Nor Shahniza
Account No: 1005521000020328
Salah faham terbesar mengenai penyusuan susu ibu adalah ia menyebabkan perubahan fizikal kepada payudara wanita seperti tidak sama rata dan kendur. Walhal, kehamilan itu sendiri adalah faktor utama yang boleh mengubah bentuk payudara anda. Cuba fahami penyebab di sebalik perubahan yang berlaku kepada payudara anda dalam konteks peranannya sebagai salah satu sumber terpenting dalam pemakanan dan tumbesaran bayi anda.
Secara amnya, tidak terdapat otot pada payudara. Payudara dihubungkan kepada dada anda oleh jalur nipis yang dipanggil sebagai ligamen Cooper. Semasa hamil, lapisan nipis ini meregang dan darah dipam ke dalam payudara, menjadikan payudara anda lebih berat dan penuh.
Kehadiran susu juga menjadikan tisu payudara lebih penuh dan memperlihatkan payudara anda kelihatan kendur. Lemak dan penghubung tisu boleh berubah beransur-ansur selepas habis fasa penyusuan.
Tidak kira jika anda menyusukan bayi atau tidak, perubahan-perubahan ini masih berlaku. Kesan kehamilan kepada penampilan payudara menjejaskan setiap wanita dengan cara yang berbeza dan bergantung kepada pelbagai faktor.
Antara faktor yang mempengaruhinya termasuklah:
Perubahan bentuk biasanya disebabkan oleh payudara terlalu penuh dengan susu. Walau bagaimanapun, setiap payudara adalah berbeza. Jadi, tidak semestinya jika sebelah payudara anda berubah, sebelah yang lain akan ikut berubah.
Semasa hamil, ligamen yang menghubungkan payudara anda dengan dada akan meregang, akhirnya mengecut selepas penyusuan. Ini boleh mengubah kontur garisan payudara dan menyebabkan payudara tidak sama rata. Bagi kebanyakan wanita, payudara tidak sama rata adalah biasa berlaku tanpa mengira kehamilan. Selepas penyusuan, terdapat kebarangkalian sebelah payudara akan kembali kepada saiz asal sementara sebelah lagi kelihatan lebih leper.
Banyak prosedur kecantikan yang ada kini boleh membantu wanita mengembalikan semula penampilan fizikal mereka seperti sebelum hamil, termasuklah memejalkan payudara atau mesoterapi. Jika anda ingin mempertimbangkan prosedur pembedahan, anda perlu merujuk kepada doktor bagi mendapatkan konsultasi tentang pencegahan sebarang kesan yang tidak diingini. Jika anda melihat perubahan pada payudara anda selepas penyusuan, ingatlah bahawa perubahan-perubahan ini adalah semula jadi dan jarang sekali membahayakan kesihatan.
Kehamilan dan penyusuan adalah proses sukar dan meninggalkan kesan kepada tubuh anda, tetapi susu ibu adalah sumber pemakanan paling penting untuk bayi anda dan ia merupakan sumber yang ideal untuk kesihatan dan tumbesaran optima bayi. Ramai wanita yang belajar untuk menyayangi dan menerima tubuh seadanya selepas kehamilan/ penyusuan.
Sumber: Hello Doktor
Sekali sekala bawa anak pergi camping, dedahkan mereka dengan dunia kehijauan pun menarik juga kan? Bukan je boleh jadikan mereka aktif, macam-macam skill juga mereka boleh pelajari!
Saksikan topik “Camping” dalam Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, Rabu ini, 9 Ogos, jam 9 malam di Astro Ria saluran 104.
#PaMaJourneyBersamaSchAwaLara #AstroRia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lumrah bagi anak-anak kecil aktif bermain tak kira masa. Ini merupakan salah satu perkembangan yang baik bagi kanak-kanak malah mereka sangat memerlukan cahaya matahari untuk tumbesaran tetapi harus diingat, sinar UV yang ‘jahat’ tak seharusnya terkena pada kulit si manja! Cahaya matahari membantu penyerapan kalsium untuk tumbesaran yang sihat dan kuat.
Aktiviti seperti berenang, bermain basikal, bermain bola di luar rumah terlalu lama tanpa perlindungan boleh menyebabkan anak-anak terdedah dengan sinar ultra violet (UV) dan menyebabkan pelbagai komplikasi terhadap kesihatan tubuh badan anak-anak dan salah satunya kanser kulit.
BAHAYA SINAR UV
Sinaran UV adalah sinaran yang tidak nampak melalui mata kasar dan paling merosakkan kulit. Ianya terbahagi kepada tiga jenis:
Cahaya UVA: Menembusi jauh ke dalam kulit dan mempunyai risiko untuk bertindak balas dengan sesetengah bahan yang ada dalam produk kosmetik yang boleh menyebabkan kerengsaan atau melecur.
Cahaya UVB: Menghasilkan selaran matahari (sunburn).
Cahaya UVC: Selalunya diserap oleh alam sekeliling (atmosfera) dan ini tidak menyebabkan kerosakan kulit.
KESAN SINARAN UV
Tanpa kita sedari sebenarnya kanak-kanak lebih banyak terdedah kepada sinaran UV berbanding orang dewasa. Ia boleh terjadi ketika mereka di sekolah atau bermain di taman.
Pendedahan kepada cahaya matahari yang lama boleh menyebabkan kulit terbakar (Sunburn) dan menyebabkan kerosakan kulit yang kekal, penuaan pra-matang iaitu kedutan kulit yang ketara, kulit kasar dan bertompok-tompok, kanser kulit kesan daripada pendedahan cahaya matahari yang lama dan kerosakan mata akibat sinaran UV. Bukan itu sahaja, ia akan menyebabkan kulit anak menjadi sensitif serta lapisan kulit yang rosak.
CARA LINDUNGI KULIT ANAK
Ibu bapa harus jauhi anak-anak daripada terdedah kepada sinaran matahari antara jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang kerana pada waktu ini sinaran matahari amat terik.
Alternatif lain, pengunaan topi atau pelindung untuk mengelakkan daripada sinaran matahari di bahagian tengkuk, kepala dan mata.
Selain itu, pakaian yang sesuai dan pengunaan cermin mata hitam untuk elakkan terkena sinaran cahaya UV.
Gunakan krim pelindung sinaran matahari yang melindungi daripada pancaran UVA dan UVB, serta mempunyai sekurang-kurangnya SPF 30 walaupun pada waktu mendung.
Jangan lupa mengaplikasikan krim pelindung sinaran matahari kembali tak kira untuk aktiviti indoor atau outdoor anak-anak, disarankan oleskan krim pelindung sinaran matahari setiap 2-3 jam memiliki perlindungan maksimal.
GUNAKAN BIORE UV KIDS PURE MILK UNTUK MELINDUNGI KULIT ANAK
BIORE UV KIDS PURE MILK adalah mineral sunscreen yang dirumus khas dengan lembut untuk kulit kanak-kanak yang sensitif dan halus dengan formula hypoallergenic. Tekstur ringan, tidak melekit dan licin yang menyerap secara sekata dapat melindungi kulit halus kanak-kanak daripada sinaran UV yang berbahaya.
Selain itu BIORE UV KIDS PURE MILK mempunyai perlindungan SPF50+PA+++ terhadap sinaran UVA dan UVB .
Malah BIORE UV KIDS PURE MILK juga bertindak sebagai perisai anti-pencemaran terhadap tekanan persekitaran pada kulit halus seperti habuk, debunga dan kekotoran pencemar PM2.5.
Tidak hairanlah kenapa BIORE UV KIDS PURE MILK sangat sesuai untuk kegunaan harian, dan selamat untuk di sapu pada muka dan badan.
Sesuai untuk kegunaan harian dan cukup lembut untuk kulit halus kanak-kanak. Ianya juga tiada kandungan tambahan alkohol, paraben, pewarna, pewangi dan oxybenzone di dalam Biore UV Kids Pure Milk.
Biore UV Kids Pure Milk juga mengandungi bahan pelembap (shea butter & BG) untuk mengekalkan kelembapan kulit dan melindungi kulit supaya sihat. Boleh dibilas dengan mudah menggunakan sabun.
Bukan hanya sesuai untuk kanak-kanak berusia 2 tahun malah sesuai juga untuk orang dewasa. Jadi anda tidak perlu risau lagi untuk membiarkan si kecil melakukan aktiviti luar dengan adanya Biore UV Kids Pure Milk yang melindungi kulit mereka.
Bagi mama papa yang nak dapatkan Biore UV Kids Pure Milk ini boleh dapatkan di Guardian, Shopee dan Watsons.
Kegembiraan sebuah keluarga yang meluangkan masa di taman tema air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pada Ahad lalu.