
Baru-baru ini tular di Threads perkongsian seorang lelaki bujang mengenai bekal yang dibawanya ke tempat kerja, hasil air tangan ibunya sendiri. Dalam perkongsian itu, dia turut menyatakan harapan agar bakal isterinya kelak dapat melakukan perkara yang sama, iaitu menyediakan bekal untuknya seperti yang dilakukan oleh ibunya selama ini.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang memuji ibunya kerana masih sanggup menyediakan bekal buat anak walaupun sudah dewasa, namun tidak kurang juga yang mempertikaikan harapan lelaki berkenaan terhadap bakal isterinya.
Ada yang berpendapat menyediakan bekal setiap hari bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai kewajipan seorang isteri, terutama jika isteri turut bekerja dan perlu menguruskan anak serta rumah tangga.

Walau apa pun pandangan yang diberikan, satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah usaha seorang ibu atau isteri yang sanggup bangun awal dan menyediakan makanan untuk orang tersayang memang sesuatu yang cukup istimewa dan wajar dihargai. Bukan mudah sebenarnya.
Bayangkan ketika ahli keluarga lain masih lena, ada ibu yang sudah berada di dapur sekitar jam empat atau lima pagi. Dia mula memotong bahan, memasak nasi, menyediakan lauk, membungkus makanan dan dalam masa yang sama perlu memastikan sarapan serta persiapan anak ke sekolah berjalan lancar.
Semua ini memerlukan tenaga, kesabaran dan pengurusan masa yang baik.
Sebab itu jika isteri sanggup melakukan perkara ini untuk keluarga, jangan anggap ia sebagai sesuatu yang wajib atau perkara kecil. Ucapkanlah terima kasih. Itu sudah cukup membuatkan penat seorang isteri terasa berbaloi.

Bekal Anak Tak Perlu Mewah, Yang Penting Berkhasiat
Ada ibu yang akhirnya berasa tertekan kerana melihat bekal anak lain terlalu cantik dan penuh dengan hiasan. Sebenarnya, bekal yang baik tidak semestinya perlu berbentuk kartun, dihias berjam-jam atau mempunyai terlalu banyak jenis lauk.
Keutamaan ialah makanan yang mengenyangkan, seimbang dan sesuai dengan keperluan anak atau suami.
Antara asas bekal yang baik ialah mempunyai sumber karbohidrat seperti nasi, mi, kentang atau roti, sumber protein seperti ayam, ikan, telur, daging atau tauhu serta sedikit sayur atau buah.
Contohnya, nasi bersama ayam kunyit dan sayur sudah memadai. Begitu juga nasi goreng telur bersama hirisan timun atau sandwich telur bersama buah.
Jangan Sampai Bekal Menjadi Beban
Menyediakan bekal sepatutnya memudahkan kehidupan keluarga, bukannya membuatkan ibu terlalu penat setiap hari.
Jika hari itu terlalu sibuk, tidak salah menyediakan menu paling mudah. Telur dadar, ayam goreng, sup ringkas atau sandwich pun boleh menjadi bekal. Tidak perlu memaksa diri memasak tiga atau empat jenis lauk setiap pagi.
Ibu juga boleh memilih beberapa hari sahaja dalam seminggu untuk menyediakan bekal. Contohnya Isnin hingga Khamis membawa bekal, manakala Jumaat menjadi hari membeli makanan di luar.

Tip Mudahkan Rutin Masak Bekal Anak & Suami
1. Tentukan menu lebih awal
Sebelum masuk minggu baru, fikirkan lima atau enam menu mudah yang boleh dimasak. Tidak perlu terlalu terperinci, cukup sekadar tahu protein dan lauk utama yang mahu disediakan.
Contohnya:
- Isnin: Ayam kunyit dan sayur
- Selasa: Nasi goreng telur
- Rabu: Ayam kicap dan timun
- Khamis: Spaghetti bolognese
- Jumaat: Sandwich atau wrap ayam
Apabila menu sudah ada, ibu tidak perlu berdiri di depan peti sejuk setiap pagi sambil berfikir, “Nak masak apa hari ini?”
2. Siapkan bahan pada malam sebelumnya
Ini antara cara paling membantu menjimatkan masa. Ayam boleh dipotong dan diperap lebih awal. Sayur boleh dibasuh dan dipotong. Bawang boleh dikisar atau disediakan terlebih dahulu. Pagi esok ibu hanya perlu terus memasak.
3. Pilih menu satu kuali
Menu seperti nasi goreng, bihun goreng, pasta, ayam masak kicap atau ayam kunyit jauh lebih mudah kerana tidak memerlukan terlalu banyak perkakas.
Kurang periuk bermaksud kurang masa memasak dan kurang pinggan mangkuk yang perlu dicuci.
4. Manfaatkan lebihan lauk malam
Kalau lauk makan malam masih elok, tidak salah dijadikan bekal keesokan hari. Ayam panggang malam boleh dipotong dan dibuat sandwich. Lebihan ayam goreng boleh dimasukkan dalam nasi goreng. Sambal atau lauk berkuah tertentu pula boleh dipadankan dengan telur atau sayur untuk menghasilkan menu baharu. Tak perlu bermula daripada kosong setiap pagi.
5. Simpan stok makanan mudah
Pastikan rumah mempunyai beberapa pilihan makanan yang boleh menjadi penyelamat pada pagi yang sibuk seperti telur, roti, tortilla wrap, ayam yang sudah diperap, sayur beku atau buah-buahan.
Kalau terlambat bangun sekalipun, masih ada pilihan bekal anak yang boleh disediakan dengan cepat.
6. Gunakan bekas yang praktikal
Pilih bekas yang mudah dibuka, tidak mudah bocor dan mempunyai saiz yang sesuai. Untuk anak kecil, elakkan bekas yang terlalu besar sehingga membuatkan mereka rasa perlu menghabiskan makanan dalam jumlah yang banyak.
Bekal yang kecil tetapi habis dimakan lebih baik daripada bekal penuh tetapi akhirnya dibuang. Untuk suami pula pilih yang tahan lasak dan tahan lama.
7. Libatkan suami dan anak
Rutin bekal bukan semestinya tanggungjawab ibu seorang. Suami boleh membantu mencuci dan menyusun bekas makanan. Anak yang sudah besar pula boleh memasukkan buah, menyediakan botol air atau memilih menu mereka sendiri.
Selain meringankan kerja ibu, ia juga mengajar anak bahawa pengurusan rumah adalah tanggungjawab bersama.

Air Tangan Ibu Dalam Bekal Anak Ada Nilainya Tersendiri
Bagi anak-anak, mungkin hari ini mereka hanya melihat sebuah bekas makanan di dalam beg sekolah tetapi apabila mereka dewasa nanti, boleh jadi itulah antara kenangan yang paling dirindui.
Nasi goreng yang ibu masak sebelum matahari terbit. Telur yang dibentuk sederhana. Buah yang dipotong kecil supaya mudah dimakan. Nota ringkas di dalam bekas makanan.
Perkara yang kelihatan biasa bagi seorang ibu sebenarnya boleh menjadi memori besar buat seorang anak.
Begitu juga buat seorang suami. Membuka bekal di pejabat dan menikmati makanan hasil air tangan isteri mungkin nampak seperti perkara kecil, tetapi di sebaliknya ada masa, tenaga dan kasih sayang yang diberikan.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

