Anak kita berbeza-beza. Ada yang mudah mengingati pembelajaran dengan mudah dan ada pula yang agak lambat perkembangannya. Lebih-lebih lagi ketika pembelajaran, melibatkan kemahiran menulis dan membaca.
Ada kanak-kanak yang mungkin berdepan kesulitan belajar di sekolah sama ada melibatkan kemahiran atau subjek tertentu. Sebagai mak ayah kita harus mengenal pasti pelbagai permasalahan anak lebih awal.
Di awal pembelajaran, pelbagai masalah yang bakal dihadapi anak-anak kecil kita. Antara beberapa gangguan yang mungkin kita harus berikan perhatian adalah seperti masalah di bawah.
Contoh gangguan belajar merangkumi:
Disleksia – kesukaran membaca
Dyscalculia – kesukaran dengan matematik
Dysgraphia – kesukaran menulis
Apa yang disebutkan di atas adalah antara contoh gangguan berkaitan pembelajaran yang paling biasa terjadi. Tetapi ia bukan sekadar melibatkan kesulitan belajar membaca dan menulis semata-mata.
Kesukaran dalam mendengar, bercakap dan membuat penilaian juga boleh dikatakan sebagai antara gangguan pembelajaran atau learning disorder. Seperkara yang perlu ibu bapa fahami, gangguan yang dialami ini tidak sama dengan gangguan kognitif.
Cuma hubungan otak mereka sedikit berbeza, maka anak-anak dengan kesukaran untuk belajar ini memerlukan alat pembelajaran alternatif yang bersesuaian.
IKLAN
Kenal pasti simptom anak kesulitan belajar
Di bawah merupakan beberapa gejala yang boleh dikenal pasti jika anak mengalami gangguan belajar.
Prasekolah
Anak mungkin menghadapi beberapa kesukaran di prasekolah seperti:
* Mengembangkan kemahiran bertutur pada usia normal (15 hingga 18 bulan)
* Mengucapkan perkataan mudah
* Mengenal pasti huruf dan perkataan
* Belajar nombor, rima atau lagu
* Fokus dalam tugasan
* Mengikuti peraturan dan arahan
* Menggunakan kemahiran motor halus/kasar untuk tugasan fizikal
Sekolah rendah
Antara kesukaran yang mungkin dialami oleh anak-anak kecil kita ketika memasuki sesi persekolahan di sekolah rendah:
* Menghubungkan huruf dan bunyi
* Membezakan antara bunyi perkataan atau kata-kata berirama yang sama
* Membaca, mengeja atau menulis dengan tepat
* Membezakan antara kiri dan kanan, ‘b’ dengan ‘d’, dan lain-lain
* Mengenal pasti huruf abjad
* Menggunakan simbol matematik yang betul
* Mengingati fakta atau nombor
* Mempelajari kemahiran baharu
* Memahami konsep masa
* Koordinasi tangan-ke-mata, tidak dapat mengukur kelajuan atau jarak
* Tugasan melibatkan kemahiran motor halus – memegang pensel, mengikat tali kasut, memakai butang baju dan sebagainya
* Menyimpan barangan sendiri seperti alat tulis
IKLAN
Kebanyakan anak yang mengalami kesulitan belajar hanya dapat didiagnosis apabila memasuki sekolah. Seorang kanak-kanak yang mengalami gangguan pembelajaran mungkin akan berasa kecewa kerana tidak dapat menguasai sesuatu subjek atau kemahiran walaupun berusaha keras.
Gangguan dalam pembelajaran yang dialami juga boleh wujud dengan isu lain seperti gangguan emosi dan tingkah laku. Contohnya, gangguan hiperaktif kekurangan tumpuan (ADHD) atau kegelisahan.
Tetapi ibu bapa tidak perlu berasa takut untuk melakukan pemeriksaan doktor kerana diagnosis yang tepat dapat membantu lebih awal.
Rawatan untuk anak susah belajar
Kanak-kanak dengan gangguan belajar selalunya memerlukan bantuan dan arahan tambahan yang khusus untuk mereka. Mengalami kesulitan belajar membolehkan mereka layak mendapat tempat untuk kelas pendidikan khas di sekolah.
Biasanya sekolah akan melakukan ujian sendiri untuk menentukan sama ada anak dengan gangguan pembelajaran memerlukan bantuan semasa proses belajar atau tidak. Penilaian dan pemeriksaan oleh pakar kesihatan juga mungkin diperlukan.
IKLAN
Apa yang boleh ibu bapa lakukan?
Fokus pada kelebihan. Setiap anak pasti mempunyai perkara yang boleh mereka lakukan dengan baik dan sebaliknya. Oleh itu, tumpukan pada kekuatan anak. Kembangkan kemahiran sosial dan emosi anak yang alami gangguan belajar. Sekali gus bantu mereka untuk berasa lebih yakin dengan diri sendiri.
Dapatkan sokongan yang diperlukan untuk membantu anda dalam mendidik dan membesarkan anak dengan gangguan belajar. Percayalah anda tidak keseorangan.
Rancang masa hadapan anak. Sebaiknya bantu anak untuk membuat perancangan masa hadapan di saat mereka dewasa nanti. Dorong mereka untuk mempertimbangkan kekuatan dan minat dalam pendidikan serta kerjaya pilihan.
Anak yang mempunyai masalah kesukaran dalam pembelajaran dapat berkembang dengan maju melalui sokongan yang tepat dan bersesuaian. Sekiranya terdapat kebimbangan mengenai keadaan anak, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan dan rundingan dengan doktor.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sumber: hellodoktor.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Didik anak kenal Allah supaya mudah solat bukan suatu yang mudah bagi anak yang masih kecil terutama anak yang berusia lima dan enam tahun. Pada usia ini mereka tidak mengenali Allah. Pasti ada anak-anak bertanya, “Ummi, Allah tu macam mane?”
Terdapat pelbagai cara untuk mendidik anak supaya mengenali Allah dengan cara yang mudah. Apabila anak sudah mengenali Allah, dengan mudah anda dapat mengajak anak solat bersama. Berikut 5 cara mudah bagaimana membina anda memperkenalkan Allah kepada anak.
1.Gunakan sumber yang sahih
Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan dengan persepsi yang betul tentang Tuhan mereka. Contohnya, “Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita. Hebatkan Allah, ciptakan kita ni cantik-cantik?” Dengan ini, anak menyedari dirinya dicipta oleh Allah, oleh itu, seharusnya dirinya bersyukur dengan mengejakan solat.
2.Ingatkan ganjaran Allah
Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan tentang ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Contohnya, “MasyaAllah, hari ni Afiq solat dengan mama, lepas tu tolong mama susun pinggan. Mesti Allah suka tengok Afiq buat baik dengan mama dan sediakan Afiq pahala banyak-banyak di akhirat nanti!”
3.Imbangi kisah teladan
Seimbangkan kisah-kisah azab dan siksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan pada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah.
4.Kaitkan kejayaan mereka dengan rahmat Allah
Contohnya apabila anak kita mencapai satu kejayaan, kita boleh katakan pada mereka, “Alhamdulillah, Aiman dah usaha sungguh-sungguh. Mesti Allah nampak Aiman usaha dan Allah berikan keputusan yang baik untuk Aiman. Oleh itu, Aiman juga kena solat untuk berdoa supaya sentiasa berjaya.”
5.Beritahu kanak-kanak yang Allah sentiasa sayangkan mereka
Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh ibubapa, pasti mereka merasa lebih selamat dan terhibur apabila mereka mengetahui yang mereka turut disayangi oleh Allah, setiap masa dan ketika.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kalau nak dapat anak perempuan yang berjaya, papa jangan lupa buat 10 perkara penting ini ya. Mungkin selama ni ada yang tak perasan perkara kecil ini mampu memberi impak besar pada kejayaan anak perempuan bila besar nanti.
Di sebalik karektornya yang garang dan serius, terselit rasa kasih sayang yang sangat mendalam di sudut hati seorang lelaki bergelar papa.
Walaupun bersahaja tetapi kasih sayangnya terhadap anak-anak kekal sepanjang hayat. Perhatian dan sikap prihatin dalam memastikan keselamatan dan keselesaan anak terutama anak perempuan mungkin nampak ‘keterlaluan’ dan mengongkong tapi itulah sebenarnya kasih sayang seorang papa.
Betul tak papa? Mungkin anda tak perasan, peranan seorang papa terhadap perkembangan dan tumbesaran anak perempuan sangat besar ertinya. Anak perempuan terkenal dengan karektor manja dan suka disayangi tapi adakalanya cara papa yang agak keras membuatkan si anak lebih suka memilih mama berbanding papa.
Macam mana cara untuk papa tawan hati anak perempuan supaya tahu yang papa juga tak kurang hebat sayang dirinya sama seperti mama. Ini yang papa mesti buat.
1. Selalu buat si anak tersenyum
Biasanya si kecil kalau terjatuh atau mengalami apa-apa masalah mesti akan mengadu pada papa. Pujukan dan kata-kata semangat dari papa akan mengurangkan rasa sedih dan sakit si cilik. Bagi mereka sumber kekuatan boleh diperoleh daripada ‘superhero’ iaitu papa mereka.
2. Sentiasa jaga keselamatan anak
Papa akan sentiasa memastikan keselamatan anaknya apatah lagi kalau anak perempuan. Walaupun mungkin nampak macam mengongkong tetapi cara tersebut adalah yang terbaik untuk anak tersayang.
3. Beri nasihat yang paling bermakna
Sentiasa menjadi tempat rujukan pertama si anak. Sebagai ketua keluarga, papa mestilah dapat memberikan nasihat dan panduan terbaik kepada anak perempuan. Biar anda menjadi tempat nasihat utamanya yang paling bermakna sepanjang hayat.
4. Memastikan kebersihan anak terjaga
Walaupun anak lebih rapat dengan mama sebab menyusu badan, tapi papa boleh ambil peranan menjaga dan memastikan kebersihan diri anak sentiasa ‘tip top’. Contohnya bab membersihkan telinga, hidung dan memotong kuku anak biarlah menjadi tanggungjawab papa.
5. Sanggup berkorban demi keluarga
Sikap papa yang sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga cukup menjadikan rasa sayang dan hormat anak perempuan terhadap lelaki pertama dalam hidupnya tak pernah pudar sampai bila-bila.
6. Tunjukkan sayang dan hormat pada isteri
Papa yang terbaik adalah yang sentiasa menunjukkan rasa sayang dan hormat pada isteri tercinta supaya anak perempuan belajar dan tahu bagaimana cara terbaik menunjukkan kasih sayang pada orang yang tersayang.
7. Manjakan anak dengan pelukan kasih sayang
Anak perempuan sukakan sesuatu yang menyentuh hati dan perasaan mereka, maklumlah mereka anak manja. Jadi, papa selalulah berikan pelukan kasih sayang kepada anak perempuan ya!
8. Tak pernah berhenti percaya akan kebolehan anak
Papa sentiasa menjadi pendorong utama anak perempuan sejak lahir hingga ke akhir hayat mereka. Papa akan jadi orang pertama membantu anak belajar bertatih. Biarpun terjatuh, papa akan beri galakan untuk terus kuat. Papa juga biasanya yang akan mengajar anak perempuan belajar naik basikal sampai hebat mengayuh.
9. Sentiasa galakkan anak untuk kejar impian
Ketika anak perempuan rasa kurang berkeyakinan diri, papa akan menjadi pembakar semangat menggalakkkan anak untuk terus bangkit mengejar impian. Keyakinan dari papa boleh menjadikan anak perempuan lebih berkeyakinan tinggi!
10.Anak perempuan sentiasa menjadi ‘little girl’ di hati papa
Walaupun anak sudah besar, tetapi bagi seorang papa, anak perempuannya itu sentiasa ‘little girl’ di hatinya sampai bila-bila. Tak hairanlah kadangkala cara papa melayan anak perempuan yang sudah besar masih sama seperti ketika anak itu kecil dahulu.
Ternyata papa adalah cinta pertama seorang anak perempuan. Semoga semua yang bergelar papa, mampu menjadi hero sebenar di hati setiap anak perempuan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kasih ayah sepanjang masa. Demi anaknya yang autisme, seorang ayah sanggup berhenti kerja dan buka cafe khas bagi membolehkan anaknya belajar berdikari.
Oh, memang sangat menyentuh hati membaca kisah ayah ini. Semoga cerita yang ditulis oleh Khairul Hakimin ini dapat dijadikan inspirasi oleh semua ibu ayah yang ada anak istimewa.
“Khairul tahu tak, anak abang minum susu 18 botol sehari, dan kami memang rasa sangat-sangat pelik,”
Aku terdiam. Biarkan sahaja Abang Adli bercerita tentang anaknya, Luqman yang kini sudah berusia 18 tahun. Semasa beliau lahir, ia normal. Seperti bayi-bayi yang lain, Luqman memberi kegembiraan dan keceriaan kepada keluarga.
Cuma yang menjadi pening ialah beliau sangat suka menangis. Sikit-sikit menangis, sana sini menangis. Dan Abang Adli bersama isteri menganggap ia hanyalah ujian buat mereka yang dapat anak yang jenis kuat menangis.
Apabila umur 2 tahun, Luqman masih belum boleh bercakap. Abang Adli bersama isteri membawa Luqman ke klinik demi klinik. Lebih 15 doktor mengatakan anak mereka itu normal dan hanya lambat sahaja bercakap.
Hari demi hari berlalu. Luqman masih kuat menangis. Perkara baru yang berlaku ialah beliau akan melompat tanpa henti. Ya kawan, tak pernah berhenti selama berjam-jam.
Kemudiannya apabila ditegur, Luqman akan menggenggam tangannya dan meletakkan ke dua-dua tangannya itu di tepi kepala dan menghayunkannya sekuat hati seperti geram. Matanya dipejamkan. Giginya diketap-ketap dan pandangannya ditundukkan.
Encik Khairul (kanan) bersama Encik Adli
Rupanya anak penghidap Autism
Mulai hari itu, Abang Adli memutuskan untuk mencari doktor pakar untuk menyelesaikan masalah Luqman. Akhirnya, terjawab. Luqman salah seorang penghidap Autism. Abang Adli dan isteri tidak mahu percaya.
Dicarinya di Google dan Yahoo, ada yang kena ada yang tidak. Waktu 18 tahun lalu, penguasaan informasi di internet tidak sebagus hari ini. Jadi, masih boleh dibetah-betah.
Apabila Luqman semakin besar, beliau juga semakin tidak boleh dikawal. Pernah dibawanya ke kompleks beli belah, dia membuka pintu kereta dan menutupnya kembali. Dan perlakuan buka tutup pintu itu dibuatnya beratus-ratus kali hingga terkena kereta yang diletakkan di sebelah.
Abang Adli berkata kepada kami, jika pada zaman dahulu kala, inilah anak-anak yang akan dipasung di bawah rumah, diikat di kaki tangga juga dibuat kurungan seperti reban di belakang rumah.
Mereka ini dianggap tidak siuman, dianggap sebagai perosak dan semestinya perlu dijauh-jauhkan kerana bimbang akan melukai keluarga lain.
Berhenti kerja demi anak autism
Maka, bermula sebuah episode yang cukup panjang buat keluarga Abang Adli. Beliau berhenti kerja, membuat kajian dan mencari apakah kelemahan yang ada bagi Autism. Diikutkan, penyakit ini tidak ada ubatnya. Kebiasaannya hanya perlu menjalani sesi terapi yang teramat panjang supaya anak-anak ini memahami apa yang berlaku.
Anak-anak Autism tidak dapat ‘register’ di dalam kepala dan badannya tentang sakit, tentang lapar, tentang arahan dan tentang boleh atau tidak. Bukan seperti anak-anak lain, asal lapar, menangis. Apabila kenyang, mereka akan ok.
Namun, anak-anak ini tidak boleh tahu bagaimana mereka lapar atau kenyang. Mereka juga sukar untuk tahu mereka sedang sakit.
Mereka tidak akan beritahu semua itu kerana mereka tidak dapat merasainya. Namun, mereka akan mula meragam. Marah, tantrum dan meluahkannya dengan mengamuk tidak tentu hala.
Sebagai ibu bapa, mereka alami tahap stress yang berganda. Ahli keluarga yang tidak faham, akan kata pasangan ini tidak pandai menjaga anak. masyarakat akan menganggap anak-anak ini biadap, juga pastinya sesiapa yang melihat saat mereka ini meragam akan membawa dimensi buruk kepada zaman yang suka benar video dirakan ini.
Buka cafe khas untuk anak autism
Abang Adli kemudiannya dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang mengalami perkara yang sama. Rupa-rupanya, pada sekitar 10 tahun lalu, katanya penghidap Autism ialah hanya seorang dalam 10,000 manusia. Namun pada hari ini, ia adalah 1 : 46 orang. Dan sememangnya ia perlu memberi edukasi dan pendedahan kepada seluruh masyarakat.
Autism ini memerlukan kesabaran dari semua orang. Anak-anak ini tidak mempunyai daya faham yang sama seperti manusia normal. Mereka tahu siapa yang memahami, siapa ibu bapa, siapa juga ahli keluarga. Orang lain, mereka tidak tahu dan kenal, maka ketakutan adalah cabaran paling besar.
Mereka tidak suka dipandang. Malah, mereka akan bercakap dengan kita tanpa memandang kita. Jika ada yang boleh bercakap, kebiasaannya kita akan rasa anak-anak ini biadap kerana menjawab soalan kita tanpa memandang wajah kita dengan wajah mereka yang seperti marah-marah. Namun, itulah Autism.
Autism mempunyai beberapa jenis. Ada yang boleh dijalani terapi dan akan menampakkan hasil. Ada juga yang sukar dikawal, sukar bercakap dan hanya orang terdekat sahaja yang memahami mereka kerana tindak tanduk yang sudah boleh dibaca.
Kebiasaanya orang awam tidak perlu memaksa diri untuk mendekati mereka ini. Cukup sekadar memberi senyuman dan bertanya khabar. Mereka tidak suka disentuh dan menganggap sentuhan itu sebagai gangguan.
Mereka juga tidak suka berbalah atau berbahas tentang apa yang mereka mahu. Jika ianya perlu ditawar menawar, itu hanya boleh dibuat oleh mereka yang terdekat sahaja. kebolehan mereka untuk mengamuk dan tidak terkawal boleh terjadi.
Mereka ini anak-anak yang memerlukan perhatian yang kompleks. Hanya boleh menikmati masakan sihat, kurang gula, tiada casein (biasanya hanya ada di dalam susu lembu) juga tiada gluten.
Oleh yang demikian, susu kambing dan susu unta sangat baik untuk mereka. Namun, kata Abang Adli, susu unta adalah yang terbaik kerana tiada kandungan casein. Oleh itu ia akan membantu anak-anak autism tenang secara semulajadi tanpa (atau kurang) bantuan ubat-ubatan.
Casein akan menyebabkan anak-anak autism ini ketagihan dalam perlakuannya. Ia akan membawa kepada perbuatan yang sukar dikawal seperti hyper aktif. Jadi mencari alternative kepada susu lain amat-amat perlu.
Ada yang mengatakan, autism alah kepada casein. dan alahan itu bukan terjadi kepada kulit, kepada badan dan sebagainya. Ia akan pergi ke perlakuan yang sukar dikawal.
Kos penjagaan anak-anak autism sangat tinggi. Mereka perlu menjalani sesi terapi yang mengambil wang ibu bapa sebanyak sekitar RM15,000-RM30,000/bulan. Ia termasuk terapi perbualan, terapi pemahaman, terapi motor, terapi perbuatan, terapi permainan dan banyak lagi. Dan kawan, hanya beberapa tempat terpilih sahaja yang ada sesi-sesi ini.
Mereka ini sangat memerlukan kasih sayang dengan sentiasa ditegur, sentiasa disayang-sayang, sentiasa diasuh. Walau prosesnya terlalu lama, ia memerlukan seseorang untuk sentiasa ada di sebelah. Dari bangun tidur, mandi, ambil baju, pakai baju, lap badan, gosok gigi, kemudian bersiap setiap satu helaian, duduk di meja makan, pegang sudu, pegang garfu, makan guna tangan, keluar dari rumah, masuk dalam rumah, masuk dalam kereta, keluar kereta, duduk baik-baik dalam kereta, serta kembali ke bilik tidur, semuanya perlu disuruh dengan seteliti mungkin.
Jika tidak, mereka akan melompat / berlari atau berdiri di satu tempat tanpa henti. Ia perlu disuruh. Dan kesabaran yang perlu ada pada setiap ibu bapa sangat tinggi.
Luqman kini sudah boleh bercakap. Kini bersama ayahnya, Abang Adli di sebuah kafe di Puchong yang menempatkan semua pekerja Autism dalam Autism Café Project Malaysia. Ia bukan untuk mendapatkan keuntungan.
Ia hanya sebuah kafe yang boleh dihadiri oleh orang awam untuk makan-makan dan ianya menjadi pusat terapi buat anak-anak autism untuk belajar bagaimana untuk survival apabila ibu bapa mereka pergi nanti.
Kebanyakkan anak-anak autism tidak boleh memegang barang. Ia kerana ibu jari mereka tidak kuat untuk bersentuhan dengan jari lain. Di café tersebut, terapi pertama yang mereka akan lalui ialah membasuh pinggan. Dan ia antara aktiviti paling berjaya untuk anak-anak di sana.
Anak-anak ini mempunyai sifat lurus yang tinggi. Pernah berlaku di sekolah Luqman, ada seorang kawan yang tertinggal bekas pensil. Oleh kerana cikgu sudah berpesan semua alatan perlu dibawa pulang ke rumah, maka semua kena berbuat begitu.
Namun pernah berlaku, kawan Luqman terlihat ada sebuah bekas pensil yang tertinggal, lalu beliau bawa balik dengan niat untuk memulangkan esoknya, namun terlupa berhari-hari. Natijahnya, dituduh pencuri apabila ada yang ternampak ada di dalam simpanannya.
Sekiranya ada kes amuk, kes serangan dan sebagainya, lekas maklumkan keluarga dan teman rapat, dapatkan polis dengan segera dan pastikan ianya ditenangkan sebaiknya. (Biasanya berlaku kepada mereka yang sudah berumur).
“Luqman, tarik abah ke syurga juga ya!”
Di akhir perbualan, Abang Adli nak sangat beritahu kami tentang satu peristiwa yang baru sahaja berlaku dalam hidupnya. Beliau berkata, Luqman ini memang ya autism. Namun disebalik wajah dan kelakuannya, Luqman hanya tahu Luqman ini normal sahaja. namun, mindanya dan badannya tidak menerima respon yang sama seperti kita semua.
Luqman bertarung dalam hidupnya kenapa dia begitu begini. Nak beritahu dia sedih, dia tidak menangis. Namun dia hanya pandang ke luar dan biarkan emosi itu berlalu. Hendak beritahu dia sakit, dia tidak tahu. Dia hanya melompat tanpa henti atau berdiri sahaja di sebuah sudut sampailah cara nak beritahu itu sampai kepada ibunya atau ayahnya.
Luqman bertarung sepanjang hidupnya untuk itu dan ini. Dan pada suatu malam, Abang Adli masuk ke bilik Luqman.
Luqman sudah pun bersiap untuk tidur. Abang Adli duduk di sebelahnya yang mana dia sudah pun berbaring. Abang Adli cakap,
“Luqman sayang, manalah tahu Allah nak beri Luqman syurga nanti, Luqman boleh tak cepat-cepat tarik abah sekali?”
Lalu Luqman memegang tangan Abang Adli dan jawab “Boleh bah..”
Abang Adli tergamam, anaknya dah boleh bercakap. Di hadapan kami semua, air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa. Kami juga.
Wahai kawan-kawan,
Saya dan semua tahu ramainya antara kalian yang mempunyai anak-anak autism. Tak perlu takut, tak perlu segan. Keluarlah dan sertailah mereka ini. Mereka akan bantu kalian. Kita sama-sama didik masyarakat yang anak-anak ini akan menghiasi dunia besar ini dengan pelbagai cabaran dan halangan suatu hari nanti. Ia bukan perkara kecil.
Kita lalui sama-sama ya.
Kita yang normal ini, tugas kita menyebar kebaikan. Dan tolonglah demi sebuah kemanusiaan, sekiranya ada apa-apa yang terjadi di sekolah, tempat kerja dan dimana-mana pun, siasat dahulu mereka ini. Boleh jadi mereka jadi lurus bendul, boleh jadi juga mereka ini perlu dilayan beriya-iya.
Kita normal, maka sabar itu jadi tanggungjawab kita. Kita yang kena kawal kerana kita normal. Tuhan beri kita kelebihan untuk hadapi semua ini, jadi kita berbuat baik.
Sebarkan segala maklumat ini. Semoga ianya menjadi sebuah kebaikan untuk diri kita, keluarga kita dan seluruh masyarakat.