
Setelah sekian lama menanti, akhirnya pempengaruh yang juga usahawan, Bella Park mengumumkan dirinya kini sedang hamil anak pertama bersama suaminya, Haikal Anuar.
Menerusi media sosialnya, Bella memuat naik video ketika cuba berkongsi perkhabaran gembira itu kepada suaminya.
Tambah Bella lagi, dia dan suami begitu terharu tambah pula anak sulungnya menerusi perkahwinan pertamanya sudah lama mengimpikan seorang adik.
“Alhamdulillah, kami dua emosi sangat sebab terus terbayangkan Nenel.
“Dia kan dah 10 tahun umur, dia memang teringin adik sangat-sangat,” tulisnya Bella menerusi kapsyen itu.
Melalui video yang dikongsikan Bella, ibu kepada seorang cahaya mata ini meletakkan kit kehamilan di dalam sebuah bekas sebelum berkongsi kegembiraan itu dengan suami.
Kedua mereka dilihat mengalirkan airmata sebagai tanda rasa syukur atas kurniaan rezeki yang dinantikan sekian lama.
Bella juga menerusi videonya turut sama mendoakan agar pejuang garis dua sentiasa bersemangat tidak putus asa untuk mendapatkan zuriat.
“Bella doakan semua yang tengah TTC akan diberikan zuriat secepat yg mungkin, Amin,” tulisnya ringkas.
Terdahulu, Bella dan Haikal mendirikan rumah tangga pada 1 Februari lalu. Bella turut mempunyai seorang cahaya mata menerusi perkahwinannya yang terdahulu, Muhammad Danial Nazran atau lebih dikenali sebagai Nenel, 10 tahun yang juga anak autism.