Mungkin sebutannya kedengaran ‘comel’ namun ‘nenen’ atau ‘bebird’ bukanlah perkataan yang sesuai digunakan untuk bercakap tentang alat sulit kepada anak anda.

Kelak, mereka perlu mempelajari mengenainya, maka tidak perlulah ‘sorok-sorok’ berkenaan dengan hal tersebut.

Berhenti Panggil ‘Nenen’ Atau ‘Bebird’ Depan Anak, Ini Sebabnya!

Penggunaan perkataan lain untuk menerangkan perihal alat sulit boleh membawa padah kepada perkembangan psikologi dan seksual si kecil. Jika anda ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut, baca artikel ini.

Kenapa perlu ajar anak tentang alat sulit?

Penderaan kanak-kanak merupakan isu yang sentiasa dipandang serius oleh masyarakat. Tanpa ajaran yang betul tentang alat sulit dan sentuhan selamat, anak anda lebih terdedah untuk menjadi mangsa penderaan seksual.

Kebanyakan pakar perkembangan kanak-kanak bersetuju bahawa topik alat sulit seharusnya diajarkan kepada si kecil ketika berusia 3 tahun atau lebih awal. Lakukannya ketika anda sedang memandikan mereka, ketika memakaikan pakaian atau jika mereka ada mengadukan soalan.

Hakikatnya, ramai ibu bapa yang sering mengelak daripada menjawab persoalan tersebut dan memberikan respons seolah-olah ia perkara yang memalukan. Namun anda harus faham bahawa itu bukan kaedah yang betul. Antara sebab mengapa anda tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu adalah:

Anak anda akan mempelajari berkenaan dengan alat sulit dan perkara berkaitan dengan seks pada usia awal. Lebih baik lagi jika maklumat tersebut datang daripada anda dan bukannya, rakan-rakan atau rancangan televisyen.

IKLAN

Anda bukan sahaja harus membincangkan tentang alat sulit dengan si kecil, malah batasan perhubungan terhadap kemaluan tersebut. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengetahui nama sebenar alat sulit mempunyai risiko yang rendah untuk menjadi mangsa dera seksual. Konsepnya mudah, jika anda tidak mengajar anak tentang alat sulit, tiada perbincangan berkenaan dengan batasan akan dilakukan.

Reaksi anda terhadap persoalan yang dikemukakan berkenaan dengan alat sulit akan menentukan tahap kepercayaan si kecil terhadap anda. Anda perlu menunjukkan contoh terbaik kepada anak anda. Beritahu mereka jika terdapat masalah, luahkan kepada anda tidak kiralah apa jua topik sekalipun

Bagaimana cara mudah untuk bercakap dengan si kecil tentang alat sulit?

Seperti perkara lain, terdapat teknik yang boleh anda amalkan bagi memudahkan komunikasi di antara anda dan si kecil berkenaan dengan topik seksual.

1. Elakkan daripada menggunakan gelaran pelik ketika bercakap tentang alat sulit
‘Bebird’, ‘burung’, ‘nenen’ atau ‘telur’ bukanlah gelaran yang elok digunakan apabila bercakap mengenai alat sulit.

IKLAN

Anda perlu memupuk rasa selesa dalam kalangan anak apabila membicarakan tentang alat sulit dengan cara menggunakan perkataan yang betul seperti ‘zakar’, ‘buah zakar’, ‘payudara’ atau ‘faraj’.

Jika gelaran ‘comel’ digunakan, ia boleh menjejaskan tahap kefahaman anak anda apabila mereka mula membincangkan berkenaan dengan sentuhan selamat yang telah diterapkan dalam kurikulum prasekolah.

Pastikan mereka menggunakan perkataan yang betul. Jika berlaku sebarang komplikasi (sakit atau didera) kelak, mereka boleh menerangkan dengan lebih jelas kepada doktor atau pihak terlibat.

2. Beri si kecil kebebasan untuk memilih apa yang mereka mahu untuk tubuh mereka
Jangan paksa anak anda untuk lakukan perkara yang mereka tidak suka. Pastikan mereka tahu bahawa mereka mempunyai pilihan terhadap sesuatu. Bagaimana cara untuk anda lakukan perkara tersebut?

Daripada anda cakap “peluk papa/mama” yang berbentuk arahan, minta izin mereka “Papa/mama nak peluk, boleh?”. Anda merupakan pelindung kepada anak anda. Jika balik beraya, di saat berjumpa dengan saudara mara, pastikan tiada yang memaksa untuk peluk atau cium anak anda.

IKLAN

Pada tahap umur tertentu, pastikan mereka menjaga batasan lelaki dan perempuan dan jika berlaku pergaduhan atau gurau senda melampau, hentikannya dengan kadar segera.

3. Pastikan mereka memahami konsep sentuhan selamat
Mungkin ada di antara kita yang tidak memberitahu berkenaan dengan sentuhan selamat kepada anak-anak. Namun, di tadika, kebiasaannya mereka akan didedahkan dengan konsep tersebut. Bagaimana caranya untuk anda memastikan bahawa mereka faham akan konsep yang diajar?

Tanya kepada mereka setelah pulang dan pastikan apa yang mereka jelaskan betul. Jika tidak, anda perlu membetulkan konsep tersebut. Sentuhan selamat merupakan perisai kepada anak-anak untuk mengetahui jika sesuatu interaksi fizikal itu normal atau tidak.

Ia boleh membantu mengurangkan risiko si kecil mengalami penderaan seksual.

Kanak-kanak perlu diberitahu berkenaan dengan alat sulit dan perkara berkaitan dengan seks pada usia muda. Ia bukan sahaja dapat memberikan gambaran awal malah melindungi mereka daripada jenayah penderaan atau rogol kanak-kanak.

Jika anda tidak pasti berkenaan dengan bagaimana cara terbaik untuk menerangkan perihal ini kepada anak, rujuk pakar kesihatan. Pendidikan awal terhadap kanak-kanak dapat membentuk kesihatan psikologi dan seksual yang sihat kelak.

Sumber: Hello Doktor

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI