
Niat untuk sembunyikan kelahiran bayi akhirnya terbongkar apabila ahli keluarga dalam rumah itu sendiri menyedari tindakan seorang remaja membuang bayi di belakang kediaman mereka.
Menerusi laporan Sinar Harian, tindakan remaja itu membuang bayi perempuan yang baru dilahirkan itu kerana dipercayai terlalu takut dimarahi ahli keluarga. Disebabkan itu, dia tergamak membuang bayinya di atas pasir di bahagian belakang rumah keluarganya di Kampung Geliga, Chukai, awal pagi Khamis.

Lahir dalam tandas
Remaja berusia 18 tahun dikatakan melahirkan bayi yang cukup sifat itu di dalam tandas rumah sebelum mengambil keputusan membuang bayi itu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika dijumpai atas pasir, bayi itu tidak dipakaikan apa-apa pakaian dan masih lagi mempunyai kesan darah. Salah seorang penghuni rumah terbabit menyedari tindakan remaja itu kira-kira jam 5.30 pagi sebelum memaklumkan kepada jiran terdekat.
“Bayi dalam keadaan sihat itu dibersihkan sebelum dihantar ke Hospital Kemaman manakala kejadian itu dimaklumkan kepada polis kira-kira jam 5.31 pagi.
“Siasatan seterusnya mendapati jarak bayi yang masih bertali pusat dibuang iaitu kira-kira 0.5 meter dari rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bayi sihat, ibu masih kelesuan
Beliau berkata, soal siasat dijalankan mendapati suspek mengaku melahirkan bayi tersebut tanpa pengetahuan keluarganya dan meletakkan bayi itu di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan sihat tetapi suspek masih kelesuan dan keletihan mungkin disebabkan kesan baru bersalin,” katanya.
Menurutnya, suspek kini ditahan dan permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kredit: Sinar Harian
**Nak dapatkan barangan bayi pada harga istimewa, klik di sini

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sangka Isteri Nak Buang Air Besar Di Rumah, Suami Pula Jadi Bidan Sambut Anak

Bagi ibu hamil, semestinya dari awal lagi memikirkan tempat untuk mereka melahirkan zuriat mereka. Tidak kira hospital kerajaan mahupun swasta, asalkan urusan mereka untuk bersalin mudah, itulah yang akan menjadi pilihan mereka.
Tetapi lain pula kisah Puan Noor Kamila Abdullah yang tidak sempat ke hospital, dan bersalin di rumah atas bantuan suaminya, Fahmi Jamil Che Sofi. Ikuti perkongsian oleh en Fahmi sepanjang proses isterinya melahirkan puteri kedua mereka, Fatihah Akmal.

Lahir Awal 2 Minggu
Bulan ni September 2019 ditakdirkan saya dan isteri menimang cahaya mata kedua. Sepatutnya isteri saya due date untuk bersalin pada 24/9 ini. Lebih kurang 2 minggu sebelum due date, semasa pergi check up rutin di Klinik Kesihatan Ibu Anak, doktor scan baby sudah turun dan standby get ready untuk bersalin.
Isteri Mula Rasa Sakit
Hari Ahad 14/9, pagi jam 2, isteri mula rasa sakit. Dia ingatkan sakit yang biasa sahaja. Sakit lagi jam 4, dia bangun dan tak boleh tidur. Masa ini dia belum lagi kejutkan saya tengah tidur. Dia sempat siapkan makanan untuk Qilah, anak perempuan kami yang sulung. Memang isteri saya akan siapkan makanan setiap pagi untuknya dibawa ke pengasuh.
Dia kejutkan saya jam 5.15 pagi beritahu siap siap ke hospital sebab rasa macam nak bersalin. Saya lantas bangun dan tanya, sempat mandi dan subuh tak? Isteri saya jawab, “Ya boleh, sempat. Lepas solat kita pergi”. Kami solat jemaah bersama. Saya ingat lagi doa saya lepas solat pagi tu bersama isteri, “Ya Allah, ampunkanlah Isteriku, mudahkanlah urusan kami, mudahkanlah urusan isteriku untuk bersalin nanti ya Allah”. Saya baca kuat sekurang kurangnya isteri dapat kekuatan dari doa suami. Saya peluk dia.
Baru Buka 2Cm
Saya tunggu di ruang menunggu. Lihat 3-4 keluarga juga sedang menunggu Ibu bersalin di dalam dewan. Pandangan biasa di ruang menunggu bersalin. Ini kali kedua saya. Syukur. Lepas sejam jumpa doktor, isteri saya keluar dan beritahu boleh balik dulu, sebab pintu masih belum buka. 2cm dan masih tebal. Jantung bayi juga diperiksa dan normal. Doktor ada bertanya samada Isteri mahu masuk wad dahulu. Isteri cakap masih boleh bertahan. Rumah pun dekat jadi kami dibenarkan pulang dulu. Lebih selesa berehat di rumah.
Ingatkan Nak Buang Air Besar, Rupanya…
Jam 11 pagi. Isteri cakap kena pergi hospital. Tak ada tanda pecah ketuban atau pendaharan tetapi kali ini rasa sakit sangat. Saya bergegas keluar dan siapkan kereta. Isteri keluar berjalan perlahan menahan sakit. Belum sempat saya tutup pintu rumah, Isteri cakap macam nak buang air besar dulu.
Masa tu saya dah mula cuak. Saya tanya Isteri, boleh tak kalau pergi ke hospital dulu apa apa pun? Dia jawab, tak boleh. Kena pergi tandas dulu. Kami masuk semula. Isteri masuk tandas dan lepas beberapa ketika dia jerit, “Papa! Dah nak keluar dah ni!”, sambil menangis.
Allah! Ujian apa yang kau nak berikan hari ini.
Call Ambulans, Staf Hospital Ajar Cara Bantu Isteri Melahirkan Anak

Saya dah mula panik, saya cakap kita tak boleh beranak kat sini sayang! Tolong ya Allah! Hanya kami berdua saja yang ada di rumah ni. Isteri cakap dah tak boleh naik kereta dah. Kena call ambulans. Saya call 999 untuk ambulans dan beri details. Suasana semakin tegang. Isteri mengadu sakit buatkan saya lebih gelisah dan tak tahu nak buat apa.
Saya call 999 lagi sekali. Mereka cakap dah diaturkan dan kemudian mereka sambungkan kepada saya kepada seorang staf hospital untuk guide apa yang perlu saya buat dalam keadaan itu. Lelaki. Dia sangat professional dan sentiasa tenang menyuruh saya tidak panik dan bertenang. Tarik nafas dalam dalam dan dengar apa yang dia nak cakap.
“Encik tak perlu risau tentang ambulans tu. Mereka sedang berusaha. Apa yang penting sekarang Encik tengok keadaan Isteri. Dekat mana dia sekarang?”
Di tandas jawab saya.
“Encik periksa samada ada pendarahan atau tidak?” Tiada jawab saya. Isteri saya dalam keadaan berdiri ketika itu menahan sakit.
“Ok sekarang ni Encik papah isteri ke katil dan baringkan dia. Tegakkan kedua dua lututnya”.
Saya ikut apa diajarkan sambil bertanya dalam keadaan panik, “bila ambulans nak sampai ni Encik? Isteri dah sakit sangat ni!”. Staf tersebut menjawab, “Tenang Encik, bab ambulans dah selesai. Sekarang kita kena pastikan Isteri dan anak selamat. Percayalah dan ikut cakap saya”. Sepanjang masa tak putus putus memastikan saya dalam keadaan tenang. Hanya saya dan Isteri sahaja ketika itu. Jika tak bertindak dengan betul, ia melibatkan 2 nyawa.
Beliau sangat memainkan peranan ketika ini. Suara inilah yang menjadi turning point kepada saya untuk kuat berhadapan dengan situasi ini.
Jiran datang beri pertolongan
Jiran sebelah datang selepas terdengar suara Isteri di tandas tadi. Dia terkejut lihat isteri dan siap berbaring untuk bersalin.
“Cik Zah, tolong saya. Kamila dah nak beranak ni!
Cik Zah hanya mampu beri semangat di bahagian kepala isteri sepanjang tempoh itu. Dia cakap dia memang tak boleh. Takut. Saya kekal berhubung di telefon dengan staff hospital tadi. Mode loud speaker. Beliau bertanya samada sudah nampak kepala atau tidak? Ya dan sudah nampak rambut. Jawab saya. Saya sentuh untuk pastikan. Ya betul kepala. Beliau berpesan jangan sesekali menahan untuk bersalin. Setiap kali ada contraction, terus teran semampu boleh. Suami perlu sentiasa support isteri. Biar dia teran dan lepas. Nampak kepala baby keluar sedikit demi sedikit. Saya guide isteri dalam keadaan masih panik. Setiap detik sangat mencemaskan. Seperti tiada ruang untuk kami bertenang.
Isteri saya seorang yang kuat. Tidak banyak mengeluh, tidak banyak cakap, terus buat apa yang diajar dan beri kerjasama dengan baik. Allahu. Siapa yang tahan tengok Isteri sakit. Tambahan pula kita yang bertanggungjawab sekarang. Saya mendengar dengan teliti apa yang disampaikan di telefon.
Akhirnya..Fatihah Akmal Selamat Dilahirkan

Alhamdulillah, selepas kami berdua bermandi peluh, berhempas pulas, setia mendengar dan buat apa yang diberitahu, akhirnya anak saya berjaya dilahirkan dalam pangkuan saya. Tubuh kecil yang berlumuran darah pekat merah. Tangisan pertama bayi kuat memecah suasana cemas tadi sebaik saja dia keluar dari rahim ibunya. Tak henti henti menangis. Allahuakbar! Hebatnya percaturan Tuhan. Dia tunjuk kebesaranNya masa itu. Saya pegang anak saya yang baru lahir itu terasa seperti separa sedar. Rasa suam badan dia bergerak atas tangan saya. Seperti tak pasti realiti atau mimpi. Sesekali kedua tangan kaki comelnya bergerak gerak menyentuh tangan saya dan kaki isteri. “Comel anak kita sayang”, saya beritahu isteri. Saya periksa jantinanya. Hati mengucapkan syukur dan memuji kebesaran Allah.
Saya sambung bercakap dengan staf hospital di talian, beritahu anak dah keluar dan menangis kuat. Sekarang risau pula baby tak berhenti menangis. Beliau cakap itu petanda yang baik. Kemudian minta saya ambilkan tuala bersih dan balut anak itu. Lap matanya, hidung, dan mulut. Periksa samada dia bernafas dengan baik. Pastikan baby tak sejuk.
Nasib baik ada Cik Zah, jiran saya banyak membantu ambilkan apa yang perlu. Dalam keadaan saya masih tak mampu bergerak banyak kerana pegang baby. Staf hospital di talian minta saya carikan tali dan bersedia untuk ikat tali pusat. Cik Zah balik ke rumahnya carikan tali dan sebaik sahaja dia kembali ke rumah saya, ambulans sampai. Alhamdulillah!

Lega! Itu yang rasa ketika itu. Terasa beban besar di kepala hilang. Semua dah selamat dan pasukan perubatan pun dah tiba. Doktor dan pasukan ambil alih selepas itu. Sangat cekap dan professional melakukan kerja mereka. Isteri dan baby dibawa naik ambulans untuk segera ke hospital. Saya beritahu Isteri nanti saya akan pergi dengan kereta. Isteri mengangguk. Kelihatan sangat letih tetapi lega diwajahnya. Saya sedih lihat Isteri saya. Kelahiran kali ini sangat berat untuk dia namun Tuhan mudahkan.
Isteri saya boleh discharge sehari selepas bersalin. Alhamdulillah sihat cuma luka banyak kerana bersalin sendiri. Baby diberikan antibiotik dan ditahan di NICU selama 4 hari. Discharge pada lewat petang hari keempat 18/9. Baby tiada masalah serius cuma kena followup kuning di klinik.
Selain itu, Encik Fahmi juga berkongsi beberapa perkara penting yang dipelajarinya untuk panduan dan ingatan orang ramai terutamanya kepada bakal ayah :-

1. Ambil tahu berapa minggu kandungan Isteri. Apa penyakit Isteri. Buku merah sentiasa ditangan. Ia umpama passport untuk orang bersalin apatah lagi dalam keadaan memaksa bersalin di luar hospital. Bila doktor sampai di rumah saya, doktor minta buku merah dulu untuk rujukan sekiranya terdapat apa apa masalah pada Ibu dan bayi sebelum ni.
2. Jangan sesekali tinggalkan ibu yang hampir dengan due date nak bersalin keseorangan dirumah.

3. Pastikan telefon berfungsi. Bateri sentiasa cukup. Telefon berfungsi dengan baik untuk buat panggilan. Hampir setengah jam sepanjang tempoh bersalin dan dengar panduan pihak hospital melalui telefon. Bayangkan jika saya tak boleh buat panggilan. Pastikan telefon sentiasa ada.
4. Jangan panik sekiranya isteri beritahu sakit hendak bersalin. Tanya keadaan isteri samada boleh bergerak atau tidak. Jika boleh bawa kereta, jangan terburu buru, pandu dengan cermat. Ingat kereta kita bukan ambulans nak pecut lelaju.

5. Simpan nombor telefon Klinik Kesihatan Ibu Anak yang kita pergi check up. Save dalam telefon. Mereka ini paling dekat dengan kita. Bantuan lebih cepat sementara pihak hospital sampai. Ini kesilapan saya. Ketika kejadian, saya hanya fikir nombor kecemasan 999 sahaja. Buku merah pula ketika itu dalam kereta.
6. Telefon Klinik Kesihatan terdekat beri maklumat penuh dengan tenang supaya penyampaian maklumat itu jelas. Masa ni kita akan kelam kabut. Cuba sehabis baik untuk bertenang. Jika maklumat tak jelas, akan menyukarkan lagi proses.

7. Beritahu pada mereka jika isteri betul betul dah nak bersalin. Dalam kes saya bila telefon kecemasan 999, mereka sambung pada pihak hospital dan bantu sementara ambulans sampai. Ceritakan apa saja yang nampak pada Isteri. Darah, air atau apa apa saja yang kita nampak. Tenang dan lakukan apa yang disuruh.
8. Sentiasa bersama pihak hospital sepanjang tempoh itu sementara bantuan sampai.
9. Bukan mudah proses untuk ambulans datang memberi bantuan. Segalanya bergantung kepada maklumat yang kita beri. Jika bayi tak cukup bulan, mereka perlu hantar Pakar. Jika kita dirumah kelam kabut, mereka di hospital sedang bertungkus lumus memastikan supaya bantuan tiba dengan betul. Ambulans bukan semata mata dikerah untuk membawa pesakit, tapi datang untuk memberi rawatan yang betul.
SUMBER: Fahmi Jamil Che Sofi
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Membebel Sambil Make Up Tu Spontan.” Ibu Medina Kongsi, Usia 4 Tahun Dah Suka Melawa

Siapa sangka si comel yang petah berkata-kata sambil melakukan tutorial make up ini, Nur Medina Irine Md. Firdaus, 6, sebenarnya menyimpan kesedihan dalam hatinya setelah kehilangan bapa tersayang pada Januari lalu kerana serangan jantung.
Di sebalik sikapnya yang riang dan sentiasa buat ramai orang tersenyum menonton video make up, anak tunggal ini sangat kuat jiwanya.

Menurut ibunya, Nooriha binti Wagimun, 33, walaupun masih kecil dan dalam fasa nak membiasakan diri dengan kehilangan bapa tercinta, rezekinya datang tanpa disangka-sangka. Percaturan Allah itu sangat hebat.
“Memang awalnya Medina sedih kerana sebelum ini arwah bapanya banyak melayan setiap permintaan. Bila dah pergi secara mengejut, nampak emosinya sedih. Alhamdulillah atas semangat dan sokongan dari seluruh ahli keluarga yang lain kesedihan itu tak berpanjangan,” katanya.

“Allah ambil ayah, Allah bagi rezeki lain”
Tambah Nooriha, sebagai ibu memang langsung tak sangka rezeki Medina hadir selepas pemergian bapanya.
“Jika orang tanya saya bagaimana Medina begitu yakin bercakap sambil melakukan tutorial make up. Saya boleh jawab, semua itu dia buat secara spontan dan tanpa diajar. Jika diikutkan masa Medina umur 4 tahun lagi memang minat sangat dengan alat make up.

“Apa saja alat make up saya dia nak cuba pakai. Lagi satu bila saya bermake up dia suka tengok dan duduk sebelah. Bukan itu saja, seawal 5 tahun, Medina dah kenal jenis-jenis alat make up dan apa kegunaannya. Masa tu memang saya selalu juga rakam aksi comelnya untuk simpanan kami suami isteri.
“Maklumlah anak seorang kalau boleh semua momen tu kami nak simpan untuk tatapannya bila dah besar nanti. Tak sangka pula video yang dikongsikan oleh sepupunya di TikTok menjadi viral sehingga mendapat perhatian ramai orang,” kongsinya.

Kalau orang tak kenal, Medina pemalu
Anak kelahiran Negeri Sembilan ini juga sebenarnya seorang yang berlainan sangat wataknya. Jika diluar dan berjumpa orang, perwatakan lain sangat-sangat. Dia pemalu dan tak banyak cakap pun.
Tapi bila di rumah, dialah penghibur hati seluruh ahli keluarga dengan celotehnya yang tak berhenti cakap dan selalu buat orang ketawa. Sebab itu, bila cikgunya tahu Medina viral, mereka tak sangka. Sebab di sekolah Medina bukanlah jenis banyak cakap. Begitu juga bila berjumpa orang yang baru kenal dia hanya tersipu-sipu malu je.

Bukan itu je, kalau di rumah membebelnya kalah orang dewasa. Memang dia nampak matang sangat berbanding usianya jika di rumah. Jika ayahnya masih ada, tentu gembira sebab dia manja dengan ayah.
Kongsi Nooriha lagi, sebagai ibu, sebolehnya nak pastikan Medina enjoy dengan zaman kanak-kanaknya. Biarlah dia belajar, bermain seperti rakan sebayanya. Lagipun memang arwah suami tahu Medina ada kelebihan itu.

Jika boleh biarlah seimbang. Sebab pelajaran pun penting untuk masa depannya. Sebagai ibu saya akan pastikan yang terbaik untuk jaga amanah arwah suami ini. InsyaAllah..
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Umi, Ayah Dah Meninggal” Arwah Sempat Pesan Pada Anak Sulung Supaya Jaga Ibu & Adik

“Umi (ibu), ayah dah meninggal.” Itu yang mampu diungkapkan, Muhammad Nabil Khalaf. Anak kecil berusia lima tahun itu adalah anak sulung kepada Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, yang meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika menjalani operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak.

Seolah-olah mengerti apa yang berlaku, Muhammad Nabil Khalaf menuturkan kata-kata itu kepada ibunya, Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir, 29. Menurut Siti Nafishah, anak sulungnya mengetahui khabar duka kejadian menimpa arwah daripada perbualan datuknya yang menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian itu.
“Adik saya yang bertugas bersama Allahyarham di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang menghubungi bapa untuk memaklumkan kejadian berkenaan, 10 pagi kelmarin.
“Muhammad Nabil Khalaf mendengarnya dan terus memberitahu saya sebelum dia menangis teresak-esak,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di rumah keluarga di Taman Ria Jaya, malam tadi.
Siti Nafishah yang juga anggota tentera dan bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah sehari sebelum suaminya itu mahu melaporkan diri di Kem Sungai Ara.
“Allahyarham lapor diri pada 30 Jun lalu dan sepatutnya pulang 1 September depan. Dia sempat berpesan kepada anak sulung supaya menjaga saya, adik, datuk dan ahli keluarga lain dengan baik.
“Malah, Allahyarham juga seperti biasa sempat memberitahu dan meminta saya supaya menunggu kepulangannya nanti,” katanya yang reda dengan pemergian suami.
Katanya, Allahyarham adalah suami yang sangat baik dan disenangi ahli keluarga.
Siti Nafishah berkata, dia akan menjaga dua anak hasil perkongsian hidup mereka. Selain Muhammad Nabil Khalaf, arwah turut meninggalkan seorang lagi anak berusia dua tahun, Muhammad Nur Fariman.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Shamsiah Awan Ludin, 75, berkata dia mendapat berita mengenai anaknya yang meninggal dunia jam 11 pagi selepas menerima panggilan daripada pihak Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Sebaik mendapat berita itu, saya bersama anak dan saudara yang lain bertolak daripada Negeri Sembilan dan tiba di Kedah jam 9 malam tadi.
“Allahyarham anak keempat daripada tujuh beradik seorang yang gemar bergurau dan kali terakhir kami bertemu sebelum Ramadan lalu,” katanya yang berasal dari Felda Lui Timur, Jempol, Negeri Sembilan.
Terdahulu, jenazah arwah tiba di rumah mentuanya di Taman Ria Jaya jam 1 pagi untuk tatapan terakhir isteri, ibu dan ahli keluarga terdekat sebelum dibawa ke tanah perkuburan 45 minit kemudian.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa dengan penuh istiadat ketenteraan jam 2.30 pagi, dengan dihadiri hampir 150 ahli keluarga, sahabat dan rakan setugas.

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


