
Tiada ibu yang dapat memilih bagaimana detik kelahiran anaknya akan berlaku. Ada yang melalui proses bersalin dalam suasana tenang, ditemani suami dan keluarga, namun ada juga yang terpaksa berdepan situasi di luar jangkaan. Bagi seorang ibu di Indonesia, perjuangan bersalin ketika gempa bumi berlaku ketika bumi sedang bergoncang akibat gempa kuat.
Kisah ini mungkin berlaku jauh dari Malaysia, namun ia tetap dekat dengan hati setiap ibu. Dalam keadaan tubuh menanggung kesakitan dan keselamatan diri sendiri belum terjamin, seorang wanita masih perlu mengumpulkan kekuatan untuk melahirkan bayinya. Ia sekali lagi menunjukkan bahawa perjalanan seorang ibu bukan sekadar sembilan bulan mengandung, tetapi dipenuhi pengorbanan yang kadangkala sukar digambarkan dengan kata-kata.
Bersalin Ketika Gempa Bumi di Nusa Tenggara Timur

Siapa sangka di sebalik kemusnahan serta kehilangan nyawa akibat gempa bumi kuat yang melanda Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, terselit satu kisah yang memberi sinar harapan apabila seorang wanita selamat melahirkan bayinya ketika bencana itu berlaku pada Sabtu.
Lebih unik, bayi berkenaan diberikan nama Agustin Gempita Aurora, dipercayai sebagai kenangan terhadap detik kelahirannya ketika wilayah berkenaan digegarkan gempa bumi.
Ibunya, Agnes Afrida, yang berasal dari Desa Lenandareta, Kecamatan Paga, Kabupaten Sikka, ketika itu berada di Pusat Kesihatan Masyarakat atau Puskesmas Paga untuk menjalani proses kelahiran.
Ketika gempa berlaku, Agnes dilaporkan sudah memasuki fasa akhir bersalin dan proses kelahiran tidak boleh ditangguhkan.
Dalam pada itu, gegaran kuat menyebabkan petugas kesihatan terpaksa mengambil langkah segera dengan memindahkan Agnes keluar dari bangunan Puskesmas kerana bimbang terhadap keselamatan ibu dan bayi.
Tindakan itu dilakukan susulan kebimbangan mengenai keadaan struktur bangunan selain risiko gegaran susulan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Proses Bersalin Ketika Gempa Bumi Diteruskan Dalam Ambulans
Lantarab itu, Agnes kemudiannya dibawa ke kawasan halaman Taman Kanak-Kanak (TK) Poli Pawe Alvarez Paga yang terletak tidak jauh dari pusat kesihatan berkenaan.
Dalam keadaan darurat itu, petugas Puskesmas Paga segera menyediakan sebuah ambulans sebagai lokasi sementara untuk proses kelahiran.
Walaupun berdepan situasi mencemaskan akibat gempa bumi, pasukan perubatan meneruskan usaha membantu Agnes melahirkan bayinya dengan selamat.
Ketua Puskesmas Paga, Gabriel Pelo Panditi, memaklumkan Agnes akhirnya selamat melahirkan bayinya pada kira-kira jam 9.02 pagi waktu tempatan.
Kelahiran bayi berkenaan menjadi antara berita yang menggembirakan ketika penduduk di beberapa kawasan di NTT berdepan kebimbangan akibat gempa bumi serta gegaran susulan.
Selepas proses kelahiran selesai, Agnes dan bayinya bagaimanapun tidak terus dibawa kembali ke dalam wad.
Keputusan itu dibuat kerana pihak kesihatan masih bimbang kemungkinan berlaku gegaran susulan yang boleh menjejaskan keselamatan mereka sekiranya kembali berada di dalam bangunan.
Sebaliknya, ibu dan bayi itu ditempatkan di kawasan yang dianggap lebih selamat sambil terus diberikan pemantauan oleh petugas kesihatan. Mereka hanya akan dipindahkan semula selepas keadaan disahkan lebih selamat.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Nama Agustin Gempita Aurora Jadi Kenangan Detik Cemas

Kisah kelahiran Agustin Gempita Aurora menjadi perhatian kerana berlaku ketika ribuan penduduk di kawasan terjejas terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat gempa bumi.
Gempa kuat berukuran 7.7 magnitud yang melanda Flores turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk apabila beberapa siri gegaran susulan berlaku selepas gegaran utama.
Kejadian tersebut turut menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan di NTT dan memaksa pihak berkuasa serta pasukan keselamatan menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk.
Cabaran Ibu Bersalin Ketika Gempa Bumi
Dalam situasi bencana, wanita hamil dan ibu yang baru melahirkan merupakan antara golongan yang memerlukan perhatian segera kerana keadaan fizikal mereka lebih terdedah kepada risiko.
Proses bersalin sendiri memerlukan tenaga yang besar, selain pemantauan kesihatan terhadap ibu dan bayi bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Namun dalam kes Agnes, keadaan menjadi lebih mencabar apabila proses kelahiran berlaku ketika situasi kecemasan sedang berlangsung.
Petugas kesihatan bukan sahaja perlu memastikan proses kelahiran berjalan lancar, malah pada masa sama perlu mempertimbangkan ancaman daripada bangunan, persekitaran dan kemungkinan gegaran susulan.
Walaupun kejadian ini tidak berlaku di Malaysia, kisah tersebut cukup untuk memberi gambaran mengenai cabaran yang boleh dihadapi seorang ibu ketika melahirkan anak dalam keadaan luar biasa.
Bagi kebanyakan ibu, pengalaman bersalin adalah antara saat paling mencabar dalam kehidupan. Apabila kesakitan tersebut berlaku serentak dengan bencana alam, tahap tekanan fizikal dan emosi yang dihadapi tentunya jauh lebih besar.
Namun di tengah-tengah suasana cemas itu, kelahiran seorang bayi membawa satu berita yang menggembirakan.
Pengorbanan Seorang Ibu Di Sebalik Bencana
Nama Agustin Gempita Aurora akan terus menjadi pengingat kepada keluarganya mengenai keadaan luar biasa yang mengiringi kelahirannya.
Pada masa sama, kisah Agnes turut menjadi gambaran mengenai pengorbanan seorang ibu yang tetap melalui proses kelahiran walaupun keselamatannya sendiri sedang diuji.
Dalam apa juga keadaan, seorang ibu akan berusaha melakukan yang terbaik demi memastikan anaknya selamat.
Kisah ini juga mengingatkan kita agar tidak mengambil mudah pengorbanan wanita ketika mengandung, melahirkan dan membesarkan anak.
Di sebalik seorang bayi yang selamat dilahirkan, ada tubuh seorang ibu yang menanggung kesakitan, ketakutan dan keletihan.
Bumi mungkin bergoncang pada hari Agustin dilahirkan, tetapi di tengah-tengah ketakutan itu, seorang ibu tetap mengumpulkan seluruh kekuatannya untuk membawa satu nyawa baharu ke dunia. Kuatnya mereka yang bergelar wanita, dan besarnya pengorbanan mereka yang bergelar ibu.
Sumber: sulawesipos & harian.disway
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

