Ads

Betul Ke Susukan Anak Terlalu Lama Buat Tulang Ibu Rapuh?

Betul Ke Susukan Anak Terlalu Lama Buat Tulang Ibu Rapuh?

Sejak bergelar ibu, macam-macam perubahan tubuh mula dirasai. Belum habis lenguh badan selepas bersalin, datang pula sakit pinggang, sakit belakang dan sengal-sengal sendi sepanjang menyusukan anak.

Lebih merisaukan apabila ada yang mengatakan penyusuan susu ibu dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan tulang ibu rapuh kerana kalsium dalam badan ibu disalurkan kepada anak.

Betul ke sampai begitu sekali kesannya? Adakah ibu perlu berhenti menyusukan anak demi menjaga kesihatan tulang sendiri?

Sebenarnya, sakit belakang dan sakit sendi yang dialami ibu menyusu tidak semestinya merupakan tanda kerapuhan tulang. Ini antara salah faham yang perlu diperbetulkan dalam kalangan masyarakat.

Betul Ke Susukan Anak Terlalu Lama Buat Tulang Ibu Rapuh?

Kalsium Penting Ketika Hamil Dan Menyusukan Anak

Sepanjang kehamilan, tubuh ibu memerlukan kalsium untuk membantu pembentukan tulang dan gigi janin. Selepas melahirkan anak pula, kalsium diperlukan dalam proses penghasilan susu ibu.

Keadaan ini sering menimbulkan kebimbangan sekiranya kalsium daripada pemakanan harian ibu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh.

Namun, hebatnya tubuh seorang ibu, ia mempunyai mekanisme semula jadi untuk menyesuaikan diri dengan perubahan sepanjang kehamilan dan penyusuan.

Betul Ke Penyusuan Buat Tulang Ibu Rapuh?

Jangan risau, tubuh ibu mengalami proses penyesuaian semula jadi.

Ketika hamil, tubuh ibu meningkatkan keupayaan penyerapan kalsium daripada makanan bagi memenuhi keperluan perkembangan janin.

Ads

Sepanjang tempoh penyusuan pula, sebahagian kalsium daripada tulang ibu digunakan untuk membantu penghasilan susu. Keadaan ini boleh menyebabkan penurunan sementara ketumpatan tulang.

Bagaimanapun, keadaan tersebut merupakan sebahagian daripada proses penyesuaian fisiologi tubuh dan tidak semestinya menyebabkan osteoporosis.

Kebiasaannya, ketumpatan tulang akan kembali pulih secara beransur-ansur apabila kekerapan penyusuan berkurangan dan selepas anak bercerai susu.

Kajian juga menunjukkan bahawa kehamilan dan penyusuan susu ibu secara umumnya tidak meningkatkan risiko osteoporosis dalam jangka panjang.

Jadi, anggapan bahawa menyusukan anak terlalu lama pasti menyebabkan tulang ibu rapuh adalah kurang tepat. Penurunan sementara ketumpatan tulang tidak semestinya bermakna ibu akan mengalami masalah kerapuhan tulang secara kekal.

Betul Ke Susukan Anak Terlalu Lama Buat Tulang Ibu Rapuh?

Kenapa Ibu Selalu Sakit Belakang Ketika Menyusu?

Selain perubahan tubuh selepas bersalin, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan ibu mengalami sakit belakang dan lenguh badan sepanjang tempoh penyusuan. Antaranya:

Ads
  • Posisi badan membongkok ketika menyusukan anak.
  • Duduk terlalu lama dalam posisi yang sama.
  • Kerap mendukung dan mengangkat bayi.
  • Kurang tidur dan rehat yang mencukupi.
  • Otot abdomen dan belakang yang masih dalam proses pemulihan selepas bersalin.
  • Tidak menggunakan sokongan bantal yang sesuai ketika menyusu.

Kadangkala ibu terlalu fokus memastikan anak selesa sehingga terlupa menjaga keselesaan tubuh sendiri.

Sakit belakang yang dialami juga tidak semestinya menunjukkan tulang ibu rapuh. Cuba perhatikan semula posisi badan ketika menyusukan anak dan gunakan sokongan bantal supaya ibu tidak perlu terlalu membongkok.

Perlukah Ibu Mengambil Kalsium Berlebihan?

Walaupun kalsium penting sepanjang tempoh kehamilan dan penyusuan, tidak bermakna ibu perlu mengambil suplemen kalsium secara berlebihan.

Pengambilan kalsium melebihi jumlah yang disarankan tidak semestinya dapat menghalang penurunan sementara ketumpatan tulang sepanjang tempoh penyusuan.

Sebaliknya, ibu digalakkan mengamalkan pemakanan seimbang dengan mengambil makanan yang kaya dengan kalsium seperti:

  • Susu, keju dan yogurt.
  • Ikan bilis dan ikan sardin yang dimakan bersama tulangnya.
  • Sayuran hijau seperti brokoli dan sawi.
  • Tauhu yang mengandungi kalsium.
  • Minuman soya yang diperkaya dengan kalsium.

Pastikan juga tubuh mendapat vitamin D yang mencukupi untuk membantu penyerapan kalsium.

Ads

Sekiranya ingin mengambil suplemen tambahan, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Betul Ke Susukan Anak Terlalu Lama Buat Tulang Ibu Rapuh?

Sakit Belakang Berterusan, Jangan Pandang Ringan!

Walaupun jarang berlaku, terdapat keadaan yang dikenali sebagai Pregnancy and Lactation-Associated Osteoporosis (PLO), iaitu osteoporosis yang berkaitan dengan kehamilan dan penyusuan.

Keadaan ini boleh menyebabkan tulang menjadi lemah sehingga meningkatkan risiko patah tulang, termasuk tulang belakang.

Sekiranya ibu mengalami sakit belakang yang teruk secara tiba-tiba, kesakitan berpanjangan atau sehingga mengganggu pergerakan harian, segera dapatkan pemeriksaan doktor.

Risau Tulang Ibu Rapuh? Jaga Kesihatan Sepanjang Penyusuan

Dalam kesibukan menjaga anak, jangan pula ibu mengabaikan kesihatan diri sendiri. Amalkan pemakanan seimbang, dapatkan rehat yang mencukupi dan lakukan aktiviti fizikal ringan mengikut kemampuan tubuh selepas bersalin.

Jika ada kebimbangan tentang tulang ibu rapuh, terutama bagi ibu yang mempunyai sejarah masalah kesihatan tulang, dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui keadaan kesihatan sebenar.

Ibu tidak perlu terburu-buru menghentikan penyusuan hanya kerana bimbang tulang ibu rapuh. Apa yang penting, jagalah kesihatan diri sebaiknya sepanjang perjalanan menyusukan si kecil.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Untuk Papa Mama

Bantuan Awal Persekolahan RM200, Ibu Bapa Perlu Hadir Ke Sekolah Ambil Duit Bantuan Anak!

Bantuan Awal Persekolahan RM200, Ibu Bapa Perlu Hadir Ke Sekolah Ambil...

Bantuan Awal Persekolahan RM200 akan diserahkan di sekolah. Ibu bapa perlu hadir untuk mengambil bantuan anak serta bertemu guru.