Adakah anak kerap diserang batuk, demam dan selesema? Apabila ini berlaku, sudah tentu si kecil kurang selera makan dan enggan minum susu. Ada kalanya susu yang diminum tersedak disebabkan batuk.
Ia mungkin situasi biasa, tetapi jika masalah kesihatan itu berlarutan lebih tiga hari, cepatlah bertindak! Ini kerana jika dibiarkan, paru-paru anak anda mungkin dijangkiti virus yang mengakibatkan anak anda mengalami pneumonia.
Secara umumnya jangkitan paru-paru adalah berkaitan penyakit pneumonia. Pneumonia merujuk kepada jangkitan kuman pada paru-paru yang membuatkan seseorang itu sukar bernafas. Ia berlaku disebabkan saluran udara pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkan sistem pernafasan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan oksigen tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh. Ini akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan oksigen yang menyebabkan dia sukar bernafas yang membahayakan nyawa si manja anda.
Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah ‘Streptococcus pneumoniae’, ‘Haemophilus influenzae’, ‘Chlamydia trachomatis’,’Mycoplasma pneumoniae’ dan ‘Legionella pneumophila’. Jangkitan kuman atau virus yang menyebabkan jangkitan di hidung , batuk, selsema dan berterusan pada paru-paru.
Pencegahan Awal
Pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di kalangan kanak-kanak Malaysia. Jangkitan paru-paru kerap dialami oleh kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.
Ads
Kira-kira 60 peratus punca utama kebanyakan kanak-kanak dimasukkan ke wad di Malaysia. Pada awalnya kanak-kanak akan mengalami keradangan paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih kronik iaitu pneumonia. Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi secara umum boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu iaitu meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.
Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala ini tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, lesu, muntah, nafas berbunyi dan mengalami kekurangan air (dehidrasi) segera dapatkan pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan berdekatan. ibu bapa sepatutnya menyedari risiko pneumonia.
Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga oleh pengasuh di taska, ‘day care’ iaitu dalam kelompok yang ramai dan keluarga yang besar dengan rumah yang sempit. Pada masa yang sama persekitaran dibiarkan tidak bersih dan perkongsian bekas makanan dan minuman yang menyebabkan penyakit disebar dengan mudah.
Dalam pada itu, bagi bayi yang berusia satu hingga tiga bulan sepatutnya sihat dan tidak ada sebab bayi ini mengalami demam. Namun jika tetap mengalami demam, bayi harus menjalani pemeriksaan imunisasinya.
Ads
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen.
Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital iaitu pernafasan laju, sukar untuk bernafas , bibir menjadi biru, batuk berdarah dan tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing. Jangkitan kuman ini boleh membahayakan nyawa.
Simptom
1. Demam panas
2. Batuk dengan atau tanpa kahak
3. Sakit dada
4. Tiada selera makan, tidak mahu makan
5. Rasa tidak sihat, sering merengek
6. Pernafasan laju atau susah bernafas
7. Muntah atau cirit-birit
Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Bagaimanapun, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.
Dalam pada itu, pencegahan awal untuk mengelak jangkitan kuman boleh dilakukan seperti amalan kebersihan diri, persekitaran yang baik dan meneruskan penyusuan susu ibu. Alternatif lain pencegahan awal ibu bapa boleh mendapatkan vaksin melalui hospital swasta untuk meningkatkan imun anak anda.
Vaksin seperti vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles), Vaksin influenza dan Vaksin pneumococcal merupakan pengambilan imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.
♦ Beza batuk biasa dan batuk pneumonia
Batuk biasa Bunyinya ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat pneumonia.
♦ Batuk pneumonia
Bunyinya ‘dalam’ dan kerap terjadi waktu malam sehingga ke pagi. Kahak berhimpun kerana lebih kerap batuk di sebelah malam.
5 Tip Mudah
1. Mesti ada termometer untuk mengukur suhu badan anak.
2. Dapatkan puting botol susu jenis Y-Cut iaitu susu keluar apabila dihisap oleh anak kecil. Jenis ini membantu mengelak anak kecil tersedak susu.
3. Pastikan persekitaran taska bersih dan tidak terlalu ramai kanak-kanak.
4. Dapatkan rawatan doktor jika demam, selesema dan batuk tidak pulih selepas tiga hari.
5. Teruskan penyusuan susu ibu untuk meningkatkan antibodinya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Makanan sunnah iaitu madu sememangnya diketahui cukup baik untuk badan kita. Disebabkan itulah ia begitu disyorkan untuk kanak-kanak setahun ke atas. Apa kata kita biasakan anak makan madu dari hari ini.
Nak tahu kelebihannya? Dr Mazliana Mazlan kongsikan beberapa kelebihan yang tidak pernah terjangkan mengenai kelebihan madu ini. Salah satunya adalah baik untuk memori anak dan begitu juga untuk usus anak. Jom mulakan!
Ajak anak makan madu setiap hari. Mana mungkin makanan yang Nabi suka, kita tak ajar anak untuk makan kan.
Madu hanya untuk anak umur 1 tahun ke atas je k. 1 hari, 1 sudu kecil pun dah cukup.
Tak kisah nak bagi waktu bila pun, pagi, petang, malam, mana-mana pun boleh.
8 sebab kenapa kena bagi madu pada anak setiap hari.
1. Madu tinggi antioksida
– Polyphenol dalam madu bertindak sebagai antiradang untuk badan anak.
2. Madu tinggi nutrisi, vitamin dan mineral
– Kalsium
– Magnesium
– Maganese
– Niacin
– Pantothenic acid
– Phosphorus
– Pottasium
– Riboflavin
– Zink
3. Antibakteria dan antifugus
– Sebab tu bila anak tak sihat, lagi kerap saya bagi anak madu. Ala natural antibiotic dan antifungus gitu.
4. Sembuhkan luka
– Madu bersifat antimikrob. Selalu sangat saya buat yang ini. Luka anak yang kecil, cepat betul sembuh bila letak madu.
5. Tinggi phytonutrien
– Sebagai antioksida, antibakteria dan antifungus. Juga sebagai immune boosting untuk anak-anak.
6. Bagus untuk usus
– Madu kan ada prebiotik. Saaaangat lah seronok bakteria baik di usus sebab dapat makanan yang baik macam madu. Makin sihatlah usus anak nanti. Senang nak membuang.
7. Legakan sakit tekak dan batuk
– Kan madu bersifat antibakteria dan antiradang, sebab tu ramai yang batuk suka amalkan madu kan.
8. Baik untuk otak
– Antioksida dan antiradang dari polyphenol bantu kurangkan radang di hipopocampus, yang mana main peranan penting dalam sistem memori anak.
Siapa belum anak madu kat rumah, korang terus cari madu simpan kat rumah k. Simpan dan bagi anak makan maksudnya.
Ada banyak jenis madu di pasaran. Saya suka sangat madu dari bunga sebab rasa dia mild dan manis masam sikit.
TIADA MAGIC untuk meneruskan penyusuan susu ibu. Banyak perkara perlu tahu dan banyak tindakan perlu dilaksanakan. IA BUKAN SEMUDAH SELAK BAJU DAN SUAKAN PADA ANAK.
Persediaan yang perlu dilakukan sejak dari peringkat kehamilan lagi. Ada keperluan yang seharusnya diaturkan dengan doa semoga Allah permudahkan. Inilah persediaannya.
Perancangan melahirkan dengan tenang : Mengandung sihat, kekal aktif dan melahirkan dengan tenang dan senang membantu memudahkan proses penyusuan sejurus baby dilahirkan. Faham fisiologi melahirkan, Ibu yang tenang melahirkan baby yang juga tenang. Baby yang tenang lebih mudah dilatih memulakan penyusuan dengan betul.erlu diusahakan:
1. Sokongan dari suami, ibu dan ahli keluarga terdekat : Semasa mengandung perlahan-lahan beri gambaran kita mahu susukan anak dengan susu ibu. Kita semua tahu. Apa jua yang kita pilih memang memerlukan sokongan. Begitu juga apabila memilih untuk menyusukan anak dengan susu ibu. Suami sebagai insan paling rapat perlu dimaklumkan dan sebaiknya berbincanglah dengan hikmah. Bersama-sama menambah ilmu penyusuan banyak membantu ibu memulakan penyusuan dengan tenang dan ahli keluarga yang mendapat pendedahan tentang kebaikan susu ibu lebih mudah menyokong bersama-sama ibu meneruskan penyusuan.
2. Perancangan melahirkan dengan tenang : Mengandung sihat, kekal aktif dan melahirkan dengan tenang dan senang membantu memudahkan proses penyusuan sejurus baby dilahirkan. Ibu yang tenang melahirkan baby yang juga tenang. Baby yang tenang lebih mudah dilatih memulakan penyusuan dengan betul.
3. Kerjasama suami, kamulah harapan: Isteri telah mengandungkan zuriat kamu dan berjuang melahirkan zuriatmu. Tunjukkan kasih sayangmu, ringankanlah bebanan emosinya. Bantulah isterimu merawat fizikal
4. Kenali fasa penghasilan susu : Penghasilan susu ibu ada 3 peringkat iaitu kolustrum, susu peralihan dan susu matang. 3 hari pertama, kolustrum sifatnya pekat likat sedikit, disedut baby terus ke dalam perutnya. Selepas itu, susu peralihan akan dihasilkan dan seterusnya susu matang yang lebih banyak dihasilkan selari dengan keperluan baby. Lepas lahir, TIDAK ADA SUSU MENCURAH-CURAH.
5. Mulakan penyusuan dengan betul : Penyusuan yang efektif adalah apabila baby menyusu pada lekapan dan posisi yang betul. Apabila baby melekap pada areola, kolustrum yang sifatnya pekat likat sedikit mampu dikeluarkan dari semua arah. Menyusu pada areola bukan pada puting. Puting kecil puting rata atau puting tenggelam, usahakan anak membuka mulut yang luas sebelum baby melekap pada areola. Sepatutnya, menyusu terus ke payudara tidak menyakitkan. Fokus menyusu terus ke payudara dan usah begitu ghairah perkenalkan botol susu terlalu awal. Elaklah memerah guna pam demi nak mengejar menyimpan stok sepenuh deep freezer.
6. Susukan dengan kerap : Bayi perlu disusukan kerap kerana rangsangan yang kerap akan mengeluarkan kolustrum dengan efektif dan tidak terbentuk saluran tersumbat atau ketulan di saluran susu yang mana boleh menganggu kelancaran pengeluaran susu. Menyusu kerap bengkak susu mudab ditangani. Semakin kerap baby disusukan, susu peralihan dihasilkan dan seterusnya susu matang yang lebih banyak akan dihasilkan. Baby perlu menyusu kerap bukan tidur berlama-lama.
7. Pengambilan makanan yang sihat : Berpantang bukan bermakna menyekat pengambilan makanan sebenar yang menyihatkan. Bukan ambil makanan tertentu saja. Elak makanan diproses dan elaklah minuman malt yang mengandungi gula tersembunyi itu lebih baik. Pilihan makanan yang menyihatkan membantu ibu pulih dan meningkatkan imun badan ibu juga. Pengambilan air yang cukup juga penting kerana air yang cukup perlu untuk sistem dalam badan kita.
8. Berlatih mengenali ragam bayi : Bayi manusia yang unik pastinya ada pelbagai emosi. Emosinya dipersembahkan melalui tangisan dan tanggapan baby menangis kerana susu tidak cukup, baby tidak kenyang perlu diperbetulkan. Kenali tanda-tanda bayi mendapat susu yang cukup dan berlatih mengenal baby masing-masing.
9. Bertenang : Tempoh berpantang adalah untuk berehat dan menjalani proses penyembuhan selepas melahirkan. Adakala pelbagai emosi datang bertandang. Dapatkan bantuan jika merasakan ia perlu diluahkan. Pilihlah mereka yang boleh dipercayai dan boleh membantu. Meneruskan penyusuan diakui ada banyak cabaran. Kita bukan berseorangan, ada ramai yang boleh membantu meneruskan penyusuan yang tenang.
10. Dapatkan bantuan, maklumat penyusuan yang betul: Sejurus melahirkan, nurse akan membantu ibu memulakan penyusuan. Namun adakala ketika itu, proses penyusuan berlangsung baik. Tetapi, apabila balik ke rumah, bermulalah cabaran satu demi satu. Dapatkanlah bantuan dari mereka yang terlatih. Di kebanyakkan KK, doktor/nurse telah pun menjalani kursus penyusuan. Namun, jika dapat berhubung dengan mereka yang telah dilatih tentang penyusuan susu ibu dan aktif membantu ibu melalui kumpulan sokongan penyusuan, itu lebih baik.
11. Yakin dengan kemampuan diri : Ambil spirit wanita yang tidak pernah mengandung pun mampu menyusukan anak mereka apatah lagi kita yang melahirkan. Keyakinan perlu disokong dengan ilmu. Dengan ilmu, kita faham setiap tindakan yang dilakukan.
12. Jadilah diri sendiri: Usah mengalah. Tidak berbaloi mengambil kira kata masyarakat yang memberi tanggapan tidak tepat tentang penyusuan susu ibu. Maklumat yang bertentangan usah dijadikan perbalahan. Kita tahu cabaran dalam penyusuan antara kita tidak sama. Luaskan pengetahuan tentang dunia penyusuan. In shaa Allah, kita kekal bertahan.
13. Belajar menerima perubahan : Kehidupan kita akan selalu berubah-rubah. Sebagaimana awalnya dulu kita belajar menempuhi alam perkahwinan, begitu juga setelah dikurniakan zuriat kita akan melalui perubahan demi perubahan. Proses pembelajaran tidak pernah terhenti.
14. Bersyukur : Di luar sana, ramai yang menyimpan keinginan untuk melahirkan dan menyusukan. Syukurlah kita dipilih untuk merasai nikmat ini. Kita bersyukur dikurniakan nikmat mengandung dan melahirkan, teruskanlah penyusuan susu ibu, Sunnah Rasulullah SAW. Bergantung sepenuhnya pada ALLAH usah bergantung pada manusia. Kepada Allah kita memohon.
Semoga dipermudahkan urusan penyusuan ibu-ibu yang baru melahirkan. Dengan izinnya. Mulakan dengan betul. In shaa ALLAH dipermudahkan
Sunat atau berkhatan adalah satu pembedahan memotong kulup pada bahagian alat kemaluan lelaki atau zakar. Ia adalah satu amalan lama yang wajib bagi beberapa agama di seluruh dunia. Pada hari ini, sunat biasanya dilakukan atas sebab-sebab agama atau atas faktor seperti menjaga kebersihan kemaluan jika ibu bapa mereka menginginkannya. Berkhatan adalah sesuatu yang sangat dituntut bagi seorang muslim dan sudah menjadi norma yang sangat biasa dalam kalangan masyarakat kita kini.
Bukan sahaja individu Melayu Islam dituntut untuk melakukan prosedur ini, masyarakat Cina, India malahan masyarakat di seantero dunia juga kini sudah mula melakukannya. Ikuti perkongsian penuh dari Hello Health.
Berkhatan atau sunat adalah satu prosedur pemotongan lapisan kulit yang menutupi kepala zakar lelaki yang dipanggil kulup atau “prepuce”. Prosedur yang paling tua di dunia ini sangat dituntut untuk dilakukan oleh individu muslim. Namun kini telah banyak dilakukan oleh masyarakat di seantero dunia kerana prosedur ini mendatangkan pelbagai manfaat di samping mudah untuk dilakukan.
Sunat biasanya dilakukan pada hari pertama atau kedua kelahiran bayi (bagi individu yang berketurunan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi berumur 8 hari). Prosedur ini menjadi lebih rumit dan berbahaya pada bayi yang lebih tua, kanak-kanak, dan lelaki dewasa.
Semasa doktor melakukan prosedur khatan, kulup dibebaskan daripada kepala zakar dan kulup yang berlebihan dipotong. Bagi bayi, proses ini boleh dilakukan dalam lima hingga sepuluh minit. Bagi kanak-kanak atau dewasa, ia mungkin mengambil masa selama sekitar satu jam. Luka selepas pembedahan minor ini sembuh dalam tempoh seminggu.
Walaupun mempunyai manfaat perubatan atau kesihatan, sunat masih menjadi sebuah isu yang diperkatakan. Manfaat berkhatan dari sudut perubatan mengatasi risikonya, namun manfaatnya tidaklah terlalu besar sehingga ia perlu diwajibkan ke atas semua orang. Ia mungkin digunakan dalam kanak-kanak yang lebih tua dan dewasa untuk merawat phimosis (kegagalan untuk menarik balik kulup) atau untuk merawat jangkitan pada zakar.
Ibu bapa harus berbincang dengan pakar mengenai manfaat dan risiko teknik tersebut sebelum membuat pilihan. Elemen yang berbeza seperti cara hidup, agama, dan kecenderungan individu juga akan dipertimbangkan dalam pilihan anda.
Prosedur ini kini bukan hanya dilakukan oleh orang Islam, malah ramai juga yang turut membuat keputusan untuk melakukannya ke atas anak-anak mereka di luar sebab agama kerana kelebihan yang ada. Di Amerika Syarikat, 55% hingga 65% lelaki menjalani prosedur ini. Beberapa keterangan telah diberikan dalam usaha untuk membuktikan bahawa berkhatan mempunyai kelebihan dari sudut perubatan, ini termasuklah:
Seperti mana-mana prosedur pembedahan, terdapat risiko yang berkaitan dengan sunat. Tetapi, risiko-risiko ini adalah pada kadar yang rendah. Isu-isu yang berkaitan dengan sunat termasuklah:
Prosedur sunat adalah dengan cara membuang kulit di bahagian hujung zakar (kulit preputial) yang menutup kepala zakar. Ia boleh dilakukan ke atas bayi yang baru lahir atau lebih popular di Malaysia, semasa umur sekolah rendah (7-12 tahun). Bagi bayi baru lahir, kaedah plastibel kerap digunakan. Selepas kulit preputial dipotong sedikit, alat plastibel akan dilekapkan pada kepala zakar. Benang seterusnya dijerutkan pada lekuk plastibel dan lebihan kulit preputial dibuang.
Untuk kanak-kanak yang lebih dewasa, sunat dilakukan sama ada menggunakan kaedah freehand atau clamp. Bagi kaedah freehand, terdapat dua teknik iaitu dorsal slit atau guillotine yang lebih selamat.
Tanpa mengira apa pun teknik yang digunakan, semuanya memerlukan bius setempat. Bagi sesetengah keadaan, bius umum mungkin diperlukan. Contohnya, untuk prosedur yang melibatkan golongan kanak-kanak yang tidak terlalu aktif dan terlalu aktif.
Kanak-kanak yang berkhatan perlu ‘berpantang’ selepas menjalaninya. Antara perkara yang perlu diambil berat oleh ibu bapa adalah:
Secara amnya, ia adalah prosedur yang selamat. Namun, bagi mana-mana pembedahan, risiko masih tetap ada. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah sangat jarang, kurang daripada 2%. Ini termasuk:
Sebenarnya, tidak terdapat sebarang umur yang spesifik yang paling sesuai untuk anak lelaki anda menjalankan prosedur berkhatan. Di negara kita, kanak-kanak lelaki biasanya menjalankan prosedur ini ketika dalam lingkungan usia 5 hingga 12 tahun dan ada juga yang memilih untuk melakukannya ketika anak lelaki mereka masih bayi. Ini adalah tidak berbahaya kerana ia tidak akan menyebabkan sebarang perbezaan pada proses tumbesaran kanak-kanak.
Manfaat kesihatan berkhatan kepada si lelaki dan juga terhadap pasangan mereka adalah sesuatu yang kukuh serta tidak dapat dinafikan, hasil daripada himpunan kajian dan penyelidikan yang berpuluh tahun lamanya. Sains di sebalik manfaat kesihatan berkhatan ini turut mendorong Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), UNAIDS, Bank Dunia, Akedemi Pediatrik Amerika dan juga Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Amerika (CDC) untuk mencadangkan berkhatan sebagai salah satu polisi kesihatan.
Manfaat kesihatan sunat terhadap alat kelamin termasuklah:
Berkhatan juga membantu mempermudahkan penjagaan kebersihan zakar secara tidak langsung, memastikannya bebas jangkitan. Malahan, jika dibandingkan dengan mereka yang tidak bersunat dengan mereka yang bersunat, didapati bahawa lebih banyak titik jangkitan dan titik pembiakan jangkitan di sekitar kemaluan mereka yang tidak bersunat sekali gus meningkatkan lagi risiko penyebaran HPV.
Walaupun manfaat kesihatan daripada perkhatanan lelaki heteroseksual adalah sangat jelas, masih banyak yang tidak diketahui tentang peranan perlindungan berkhatan terhadap penyebaran penyakit jangkitan kelamin dan HIV dalam kalangan lelaki homoseksual/lelaki yang menjalinkan hubungan kelamin dengan lelaki (MSM). Mujurlah, awal bulan ini, sebuah penilaian sistematik dan meta-analisis data global yang menyiasat hubung kait antara berkhatan dalam kalangan MSM dan juga perlindungan daripada penyakit-penyakit jangkitan kelamin, telah diterbitkan dalam bahagian kesihatan global jurnal The Lancet.
Merentasi 62 kajian pemerhatian yang membabitkan sehingga 119 248 individu, penilaian sistematik ini menemui kaitan antara bersunat dengan penurunan risiko jangkitan HIV sebanyak 23% dalam kalangan MSM keseluruhan. Tambahan lagi, berkhatan juga didapati memainkan peranan perlindungan daripada jangkitan HIV dalam kalangan MSM daripada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Namun yang demikian, peranan perlindungan ini tidak berjaya ditemui dalam negara-negara berpendapatan tinggi. Selain itu, bersunat juga dikaitkan dengan pengurangan kemungkinan mendapat jangkitan virus herpes simplex (HSV) dalam kalangan MSM keseluruhan dan juga penurunan kemungkinan jangkitan HPV zakar dalam kalangan MSM yang telahpun dijangkiti HIV.
Pasukan pengkaji menterjemah dapatan-dapatan ini sebagai bukti bahawa berkhatan memainkan peranan perlindungan bagi MSM daripada jangkitan HIV, khususnya mereka yang berasal dari negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam aspek-aspek penting tertentu, peranan perlindungan berkhatan dalam kalangan lelaki heteroseksual hampir sama dengan peranan perlindungannya dalam kalangan MSM. Namun yang demikian, risiko jangkitan kelamin tidak boleh dipandang enteng. Justeru, perlindungan dan langkah berjaga-jaga lain perlu dipraktikan bagi membendung atau mengurangkan risiko transmisi jangkitan kelamin termasuk HIV.
Melihat kepada manfaat tambahan bersunat ini, pengkaji-pengkaji mencadangkan bahawa golongan MSM perlu dimasukkan sebagai kumpulan fokus atau kumpulan berkepentingan dalam kempen berkhatan khususnya dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Merujuk kepada pecahan besar golongan MSM di negara-negara tersebut yang turut menjalinkan hubungan seks dengan wanita, kajian longitudinal yang dirangka dengan baik yang dapat membezakan MSM sahaja dan lelaki biseksual, adalah perlu dalam memperhalusi kesan berkhatan dalam penyebaran jangkitan HIV dan penyakit jangkitan kelamin.
Sunat adalah prosedur pembedahan yang biasa digunakan untuk membuang kulup zakar. Bahagian hujung zakar, yang dikenali sebagai glans, biasanya dibiarkan terdedah. Kulit kulup yang telah dipotong tersebut akan dicantum dan dijahit kembali dengan bahagian batang zakar.
Seperti mana-mana pembedahan, prosedur sunat turut meninggalkan parut. Teknik sunat yang anda pilih sering menentukan jenis parut yang mungkin terbentuk.
Parut akan kurang terbentuk atau terjadi sekiranya sunat dilakukan ketika individu tersebut masih kecil atau di peringkat tumbesaran bayi. Walau bagaimanapun, terdapat cara untuk mengurangkan risiko parut pada kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih tua.
Langkah pertama ialah mencari seorang pengamal pembedahan sunat yang berkelayakan. Doktor atau pakar bedah anda akan dapat membimbing anda melalui teknik yang berbeza, dan juga membincangkan bekas luka yang berbeza yang boleh terhasil daripada pengaplikasian prosedur-prosedur tersebut.
Mana-mana prosedur pembedahan boleh menghasilkan parut pada titik atau kawasan di mana kulit tersebut dipotong. Pembentukan parut hasil daripada prosedur sunat adalah bersifat normal. Ia akan muncul dengan pembentukan tisu tebal yang berwarna merah atau merah jambu. Bahagian tisu tersebut akan menjadi sedikit tebal dan meninggi berbanding tisu di sekitarnya di bahagian batang zakar.
Dalam tempoh dua hingga tiga tahun, warna cerah pada tisu berparut tersebut akan pudar. Parut itu sendiri mungkin menyusut dan pudar. Walau bagaimanapun, parut tidak boleh menghilang dengan sepenuhnya secara semula jadi.
Mana-mana parut yang terhasil daripada prosedur sunat yang anda gunakan tergantung kepada beberapa faktor, termasuklah:
Kulit di sekitar kawasan yang disunatkan mungkin akan menjadi sedikit keras atau menebal. Tisu parut ini tidak boleh memudar atau mengecut dari masa ke masa. Ia boleh meninggalkan kesan benjolan di sepanjang batang zakar atau di bawah kepala zakar atau glans.
Sekiranya doktor menggunakan kaedah excision ataupun clamp, mereka mungkin akan menggunakan jahitan untuk menyambung semula sambungan kulit kulup ke bahagian batang. Jahitan menjadikan kulit baharu tumbuh semasa ia dalam proses penyembuhan. Anda mungkin mempunyai parut kecil di kawasan jahitan yang telah dijahit. Parut yang lebih besar mungkin berlaku jika jahitan tersebut terkoyak atau tergelincir semasa dalam proses penyembuhan.
Dalam kes-kes yang jarang ditemui, parut boleh menyebabkan pertumbuhan tisu yang tebal. Pertumbuhan ini, yang disebut keloids, mungkin menyerupai tumor, tetapi ianya bukanlah kanser. Pertumbuhan tersebut boleh menjadi sedikit besar dan mungkin memerlukan pembedahan tambahan. Sekiranya anda mendapati pembentukan keloid disebabkan oleh parut lain – sama ada disebabkan oleh pembedahan atau kecederaan – anda lebih cenderung untuk mendapat keloids selepas berkhatan. Perkara ini perlu dibincangkan dengan doktor sebelum menjalani pembedahan untuk tujuan berkhatan.
Anda mungkin perasan perbezaan warna kulit antara kulit yang baru terdedah dan kulit lain di kawasan batang zakar anda. Parut hasil pembedahan sunat mungkin berwarna dengan warna yang sedikit berbeza (lebih ringan atau lebih gelap) berbanding daripada kulit lain di sekitar. Walau bagaimanapun, dari masa ke masa, perbezaan warna ini akan pudar.
Untuk tujuan menghilangkan parut hasil berkhatan memerlukan pembedahan tambahan. Proses ini akan meninggalkan bekas luka baharu, tetapi ia lebih kurang ketara berbanding parut yang anda miliki sebelum pembedahan tambahan.
Jika anda berminat untuk menghilangkan parut berkhatan, bincanglah dengan ahli pembedahan plastik atau kosmetik. Mereka mempunyai kepakaran dalam mengurangkan parut di sekitar kawasan yang disunatkan. Jika parut sunat anda berkembang menjadi keloid, pembedahan mungkin diperlukan untuk mengeluarkannya. Parut hasil daripada pembedahan itu akan menjadi kurang ketara berbanding keloid itu sendiri.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!