
Sebagai ibu bapa pastinya kita akan bimbang apabila melihat kesihatan anak terganggu. Ia termasuk Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD). Memang ia sering menyerang kanak-kanak bawah 10 tahun. Penyakit ini akan mengakibatkan ada lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin) dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa dalam tempoh lima hingga tujuh hari. Dalam tempoh itu tentu anak tidak selesa apabila dijangkiti penyakit ini. Selain mendapatkan nasihat doktor untuk rawatan selanjutnya. Boleh juga mencuba alternatif lain untuk meredakan penyakit ini. Boleh cuba perkongsian ibu ini, Sharifah Nurul Shahida
“Saya saya nak kongsi petua yang jiran India saya bagi ni. Ibu-ibu boleh amalkan ye jika nak anak cepat sembuh kita juga kena yakin semuanya atas keizinan ALLAH SWT.
Tip 1- Askrim perasa vanilla
Saya bagi anak saya makan aiskrim vanila. Ais krim ini nak bagi luka dalam mulut reda. Cubalah memang berkesan.
Tip 2- Mandian daun semambu
Ambil sebesen air paip. Masukkan serbuk kunyit satu sudu besar.Ramaskan daun semambu ke dalam air tersebut. Letakkan air tersabut di bawah cahaya matahari antara dua hingga tiga (saya letak pukul 10.40pagi sampai pukul 1petang). Apabila sudah agak suam. Mandikan anak guna air ini dan siram perlahan-lahan dari kaki ke kepala. Jangan bilas dengan air paip. Biarkan air kunyit dan daun sembambu ini di badan anak. Jadikan penawar.
Tip 3- Bedak sejuk daun semambu
Ramaskan daun semambu dengan bedak sejuk. Lumurkan ke tangan,kaki dan bahagian yang kena sakit ni. Jangan masukkan dalam mulut ye. Bahagian dalam mulut hanya bagi makan ais krim vanila sahaja.
Insyaallah selepas tiga hingga empat hari pasti akan hilang. Cubalah sebab saya sendiri dah alami. Parut pun sudah tiada dibadan anak. Sangat mujarab petua ini.
Saya cuma cerita berdasarkan pengalaman. Kita hanya perlu ikhtiar dan tawakal.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
9 Cara Disiplinkan Anak Supaya ‘Behave’ Dikongsi Ibu Ini Boleh Dicontohi Ibu Ayah Lain

Ibu bapa kena menerapkan nilai disiplin pada anak supaya mereka lebih ‘behave’. Anak yang berdisiplin juga lebih mudah untuk berjaya dalam semua perkara yang dia lakukan.
Mempunyai anak bermaksud anda perlu sedia berdepan dengan situasi anak kerap buat perangai sampai anda boleh hilang sabar. Ia sebenarnya perkara biasa dan mesti dilalui oleh setiap ibu bapa.
Ia juga menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran anak sebelum mereka mampu mengawal emosi mereka sendiri. Dalam bab mendidik anak, ibu dan ayah perlu menerapkan nilai disiplin dalam diri mereka. Suka atau tidak, kriteria ini menjadi salah satu faktor penting menjadi anak yang cemerlang di masa hadapan.
Pelbagai cara boleh digunakan untuk anda mendisiplinkan anak-anak. Tak semestinya cara A yang digunakan oleh ibu bapa B berkesan kepada anak pasangan ibu bapa C. Jadi terpulanglah pada kebijaksanaan ibu bapa sendiri.
Apa pun perkongsian dalam facebook Puan Norleen Mohd yang menyertai bengkel Nurturing Parenting, di Alberta, Canada boleh dijadikan panduan kepada semua ibu bapa.
Alternatif mendisplinkan anak anak:
1. Tarik balik ‘privilege’ ( keistimewaan)
* untuk sementara (tempoh yang munasabah dan beri kesan makan dalam pada anak)
* Contoh: Jika anak diberi keistimewaan untuk bermain PS4 pada Sabtu dan Ahad, keistimewaan ini ditarik balik selama 2 minggu atau lebih.
* Ibu ayah kena tegas dan hati kering; tak termakan dek pujuk rayu, pemberontakan kecil kecilan anak.
* Tips untuk tidak cair dengan pandangan anak; elak pandang tepat ke mata mereka. Tumpu ke bahagian antara mata, hidung atau dahi anak.
Ini sebahagian perkongsian dari bengkel Nurturing Parenting yang saya hadiri. Saya bukan pakar dalam bab keibubapaan, masih merangkak, ada masa tergolek, tersembam juga.
Ilmu ini saya kongsi dengan semua moga ada yang dapat manfaat sama.
2. Alih perhatian anak
Ubah fokus anak kepada perkara atau subjek lain. Taktik ini sering digunakan apabila berkaitan dengan keselamatan, atau anak mahu tunjuk bakat lukis mural di dinding dengan gincu merah menyala.
3. Fokus kepada kelakuan baik anak
Tunjuk yang kita betul betul suka, bila anak buat baik. Puji sungguh sungguh kelakuan baiknya. Bukan sekadar memuji “Good girl/ Good boy!”. Itu kurang menangkap. Lama lama nanti anak bosan dan mula buat pe’el (perangai), mahu tengok reaksi sebenar kita.
4. Tulis karangan/esei
Suruh anak tulis karangan (1 halaman cukup, beri 1 helai kertas saja), tetapkan masa. Dia perlu nyatakan sebab dia buat pe’el dan mohon maaf. Ini hanya sesuai untuk anak yang sudah pandai menulis ayat. Usah beri 1 buku latihan, lagi lagi kalau anak memang berbakat menulis. Habis dia buat novel nanti.

5. Grounding
Tempoh grounding harus kurang dari seminggu. Andai lebih dari itu, ada kemungkinan anak akan cari idea lain untuk release tension.
6. Restitution – Betulkan kesilapan
Anak perlu ambil langkah untuk perbaiki situasi.
Contoh: Nabil merampas set Lego dari abangnya sambil menyiku.
Restitution: Nabil perlu minta maaf dari abangnya, gosok gosok sikit tempat yang disiku dan pastikan tiada kecederaan serius.
Ada anak anak yang ambil ringan dan buat secara bergurau, atau buat macam macam aksi lawak.
Sila ketap bibir tahan gelak walau rasa nak terkencing tahap gaban. Tunjuk pada anak, kita serius. Ini didikan bagi dia bertanggungjawab atas setiap kelakuannya.
7. Ignoring – Abaikan
Anak anak sukakan perhatian ibu ayah. Salah satu taktik mereka, buat pe’el. Selagi apa yang dibuat tu tidak membahayakan keselamatan anak dan orang lain, sila abaikan.
Namun, andai anak sudah sengih sengih mahu conteng dinding, cepat cepat alih perhatiannya. Usah sengih balik. Segala cubaan yang boleh merosakkan harta benda, wajar ditegah.
8. Parental disappointment – Beritahu kita tidak suka dengan kelakuannya
Berterus terang dengan anak, gunakan bahasa yang jelas dan mudah mereka faham. Perlu tekankan, kita bukan tidak suka pada anak, tapi pada perbuatannya yang kurang baik.
Jika berlaku lagi, ibu ayah mungkin boleh pertimbangkan untuk menarik balik keistimewaan anak, atau beri mereka Time Out.

9. Time Out – Asingkan anak dari orang lain
Time Out perlu di tempat yang selamat, cukup pencahayaan, dan boleh dilihat dengan jelas. Bukannya di dalam almari, stor, bilik bertutup atau bilik bawah tanah.
Anak di bawah usia 2 tahun, tidak boleh diberi Time Out.
Selepas sesi Time Out, ibu ayah perlu duduk berbincang dengan anak tentang kelakuannya yang kurang baik.
Perkongsian dari bengkel Nurturing Parenting, Bowwest Community Resource Centre, Calgary, Alberta,
Canada.
Sumber: Facebook Norleen Mohid
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyelidik Pra Formal Ini Seru Ibu bapa Biarkan Anak Bermain Luar Rumah Untuk Latih Anak Berfikir

Untuk melatih anak berfikir sejak kecil terdapat pelbagai cara antaranya melakukan aktiviti diluar rumah. Ini kerana otak kanak-kanak dalam peringkat usia pendidikan praformal antara 0 hingga enam tahun amat aktif berfikir. Selain bermain dengan barang permainan yang merangsang minda, ibu ayah perlu biarkan anak-anak melakukan ktiviti-aktiviti diluar rumah (outdoor activities). Ia penting untuk membentuk pemikiran si kecil manja.
Oleh itu, mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneroka dunia sekeliling dengan bebas. Ikuti enam aktiviti diluar rumah yang boleh membantu anak anda untuk mula berfikir secara aktif lagi produktif.
Berdasarkan perkongsian, Dr Airil Haimi Mohd Adnan yang merupakan Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal, ada enam aktiviti yang boleh anak lakukan untuk merangsang anak berfikir.

Aktiviti 1
‘Lawatan sambil belajar’ ke mana sahaja
Saya pasti mama dan papa semua tahu manfaat aktiviti seperti ini. Aktiviti lawatan sambil belajar bukan hanya membuat si kecil teruja, malah kita orang dewasa ini pun teramat suka kalau kita diberi peluang untuk melawat tempat-tempat yang baru sambil menambah pengalaman yang sedia ada. Untuk si kecil anda, lawatilah tempat-tempat yang ada berdasarkan kemampuan. Tidak semestinya anda membawa si kecil itu terbang ke tempat peranginan di luar negara sahaja! ‘Lawatan sambil belajar’ ke pasar basah, ke zoo berdekatan, ke taman bunga atau tempat-tempat ‘biasa’ lain juga pasti memberi kesan positif ke arah pembentukan minda si kecil.
Aktiviti 2
Bermain lasak di kawasan yang sesuai
Kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal amat senang jika diberi peluang untuk melompat, memanjat, berayun, berlari dan melakukan pelbagai aktiviti lasak lagi. Mereka mungkin akan jatuh dan luka, pada masa yang sama semua ini pasti memberikan pengalaman hidup kepada mereka yang amat perlu untuk pembinaan fakulti pemikiran. Minda yang aktif lagi produktif adalah kesan dari aktiviti bermain lasak, misalnya bermain di padang permainan dengan kanak-kanak lain. Lebih elok jika ada kanak-kanak lain bersama kerana si kecil kesayangan papa dan mama juga akan belajar bersosial dengan cepatnya. Tapi, pastikan si kecil diselia, ya! Janganlah benarkan dia bermain bersendirian.
Aktiviti 3
Beriadah sambil memerhati dan bercerita
Aktiviti riadah tidak semestinya melibatkan aktiviti lasak berlari ke sana dan ke mari sahaja, atau melibatkan perjalanan jauh ke luar negara yang akan melibatkan kos yang tinggi. Antara aktiviti yang amat disukai oleh si kecil adalah yang berbentuk pemerhatian dan penceritaan. Bersama mama atau bersama papa (selalunya bersama dengan papa), bawalah si kecil bersiar-siar di tempat baharu atau tempat yang mungkin sudah pernah dilawati. Kemudian ajak si kecil memerhati keadaan sekeliling sambil bercerita mungkin tentang haiwan atau serangga yang dilihat, bunga-bungaan, pohon-pohon atau apa-apa sahaja!
Aktiviti 4
Teman cahaya bulan purnama
Selalunya, si kecil pada peringkat usia praformal akan berasa takut kepada kegelapan. Oleh itu, aktiviti yang dilakukan pada waktu malam seperti ini amat perlu demi untuk menghilangkan rasa takut itu. Aktiviti di bawah cahaya bulan ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, asalkan ditemani oleh orang dewasa. Untuk papa serta mama yang berkemampuan, apa kata laburkan sedikit wang gaji untuk memberi teleskop? Bukan mahal pun harga teleskop sekarang ini. Aktiviti memerhatikan bulan dan bintang pasti membuat si kecil teruja! Nah, siapa tahu kalau-kalau aktiviti ini bakal melahirkan seorang ahli astronomi seperti Ibnu al-Haytham atau Galileo Galilei.
Aktiviti 5
Bermain berdasarkan imaginasi
Kalau disebut sahaja aktiviti di luar rumah, pastinya kita akan terfikir tentang aktiviti bermain bukan? Sebabnya mudah, kanak-kanak cenderung untuk belajar melalui aktiviti bermain. Aktiviti bermain yang memerlukan imaginasi tinggi sudah pasti memberi kesan yang amat positif kepada pembentukan pola pemikiran pada awal usia kanak-kanak. Kotak kadbod kosong yang besar lagi kuat, kain selimut yang sudah tidak digunakan, malah apa sahaja boleh digunakan untuk aktiviti berbentuk pembinaan. Jika ada ruang, rumah di atas pokok atau khemah di tepi rumah anda juga boleh menjadi tempat untuk melatih imaginasi tahap tinggi dalam minda si kecil tersayang.
Aktiviti 6
Aktiviti berbentuk pencerapan aktif
Kanak-kanak dalam peringkat usia pendidikan praformal bukan hanya mempunyai daya imaginasi yang tinggi, mereka kuat memerhatikan keadaan sekeliling mereka melalui deria mata dan telinga. Ambil peluang keemasan ini untuk membantu melatih kebolehan mencerap, mengamati sambil membuat rumusan. Sebagai contoh, ketika melihat haiwan melintas di depan rumah, minta si kecil mengira sebanyak mungkin haiwan yang dia lihat. Aktiviti berbentuk kesenian juga boleh dicuba dengan membantu si kecil melukis dan mewarna sesuatu yang dilihat di luar rumah anda. Yang pasti apa sahaja yang dilakukan akan membawa kesan yang positif dalam pembinaan minda dan fakulti kognitif atau pemikiran si kecil anda pada hari muka.
KESIMPULAN
Nyata, kanak-kanak dalam usia sebegini memerlukan pengalaman yang banyak untuk membentuk pola pemikiran awal mereka. Pengalaman yang banyak lagi berguna bukan hanya terbentuk di dalam rumah, di taska atau dalam kelas tadika sahaja. Pengalaman-pengalaman awal yang akan membantu membentuk pemikiran yang logik, rasional, kreatif dan divergen sebenarnya lebih banyak tertumpu kepada aktiviti di luar rumah, khasnya untuk peringkat usia pendidikan praformal.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak Dah Mula Bercakap Ikut Tahap Usianya Atau Belum? Periksa Cepat, Semak Guna Carta Kemahiran Bahasa & Pertuturan Ini

Anak anda dah mula bercakap atau tidak? Semak perkembangannya, dia perlu menguasai pertutturan seiring umur. Semak dengan carta kemahiran bahasa & pertuturan ini.
Apabila anak tidak mampu untuk bertutur ketika usianya menjelang dua tahun perlu dibimbangi kerana ia mungkin petanda kepada masalah perkembangannya. Ketika usia anak telah menjangkau ke dua tahun dan mereka masih belum boleh bertutur, Ibu bapa perlu berasa bimbang dengan perkembangan bahasa dan pertuturan mereka.

Menurut Puan Nawal Mohd Shafie, Juruterapi Bahasa dan Pertuturan Pediatrik, Sunway Medical Centre. Komunikasi merupakan proses pertukaran maklumat di antara dua pihak dan ia amat mustahak untuk memenuhi segala keperluan serta kehendak.

Komunikasi yang efektif memerlukan seseorang yang berkebolehan dalam memahami sesuatu perkara sebelum berupaya untuk bertutur mengenai sesuatu. Kemahiran berkomunikasi sudah mula berkembang sejak usia bayi lagi dan diperoleh secara berperingkat mengikut peringkat umur yang tertentu.
CARTA KEMAHIRAN BAHASA & PERTUTURAN NORMAL ANAK
| Umur | Kemahiran Bahasa & Pertuturan Normal Anak |
| 0-6 bulan | -Melihat ke arah bunyi. -Menghasilkan bunyi-bunyi yang berlainan seperti ‘uuuu’ dan ‘aaaa’ dan bunyi ini membawa maksud yang berlainan. |
| 7-11 bulan | -Banyak ‘membebel’ iaitu menghasilkan bunyi seperti ‘mamama’ dan ‘papapa’ untuk kebanyakan situasi. -Mula memahami beberapa perkataan mudah seperti ‘bye’, ‘jom’ dan ‘jangan’ -Mula meniru bunyi mudah seperti bunyi haiwan dan bunyi kenderaan |
| 1 tahun | – Memahami sekurang-kurangnya 10-25 patah perkataan. -Boleh mengenalpasti anggota badan yang asas (Contohnya tangan, kaki, perut, mata, mulut dan sebagainya) -Boleh memanggil ibu bapa dan ahli keluarga yang terdekat. -Menggunakan kata-kata sosial seperti (‘Hai’ dan ‘Bye’) |
| 2 tahun | -Memahami sekurang-kurangnya 50 patah perkataan. -Boleh mengikut arahan tanpa bantuan isyarat -Menggunakan 2-3 patah perkataan dalam satu ayat. |
| 3 tahun | – Mula memahami soalan ‘apa’, ‘siapa’dan ‘mana’ -Mula memahami konsep mudah seperti ‘warna’ dan ‘saiz’ -Menggunakan sekurang-kurangnya 3-4 perkataan dalam satu ayat. |
| 4 tahun–5 tahun | -Memahami arahan yang lebih panjang dan kompleks (melibatkan penggunaan konsep) – Menggunakan ayat yang lebih panjang dengan kata hubung yang tepat untuk berkomunikasi ( lebih daripada 5 perkataan) -Bunyi pertuturan (konsonan) 90% jelas. |
Jika seseorang individu khususnya kanak-kanak tidak memperoleh kemahiran tersebut mengikut peringkat umur yang sepatutnya , dia boleh digolongkan sebagai mereka yang mengalami ‘speech and language delay’ atau pun ‘lambat bercakap’.
TOLONG CEPAT BERTINDAK!
Ibu bapa perlu memerhatikan perkembangan bahasa dan pertuturan anak-anak dari semasa ke semasa. Jika pada peringkat umur 12 hingga 18 bulan, anak tersebut masih belum menghasilkan sebarang perkataan yang bermakna, maka ibu bapa seharusnya membawa anak tersebut untuk pemeriksaan lanjut dengan juru terapi bahasa dan pertuturan yang bertauliah. Kata kunci penting dan perlu diingat oleh ibu bapa di sini ialah ‘Jangan Tunggu’!

Pekalah akan perkembangan pertuturan anak-anak. Tanda-tanda seperti kekurangan atau tiada minat untuk bersosial atau berinteraksi dengan orang sekeliling (gemar untuk bermain bersendirian) dan kurang membuat kontak (pandangan) mata dengan orang sekeliling, ‘lambat bercakap’ juga merupakan salah satu tanda yang tidak boleh dipandang remeh oleh ibu bapa.

Rancangan Pa&Ma yang akan ke udara esok, 10 Julai 2018 akan membincangkan lebih lanjut mengenai tajuk ini. Jangan lupa tonton di Astro Prima & Astro Maya HD jam 12 tengah hari dan siaran ulangannya pada jam 9 malam.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


