Buku merah jambu iaitu buku rekod kesihatan diri ibu hamil dan bayi sememangnya teramat penting bagi memantau perkembangan bayi dalam kandungan serta kesihatan diri ibu sepanjang sembilan bulan.
Terlambat membuka ‘buku pink’ ini boleh membuatkan perkembangan bayi ketika awal kehamilan tidak diketahui sejarahnya. Persoalan bila waktu yang sesuai untuk buka buku pink ini?
Buku pink atau nama rasminya adalah Rekod Kesihatan Ibu ini merupakan buku yang merekodkan kesihatan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan.
Umumnya, seorang wanita yang sedang hamil memerlukan pengawasan, pemeriksaan rapi dan berterusan bagi memastikan mereka sentiasa berada pada tahap kesihatan yang baik. Ini kerana mereka akan banyak melalui perubahan pada badan serta fisiologi mereka.
Bukan sekadar itu sahaja, dalam masa yang sama kesihatan bayi dalam kandungan juga akan diperiksa.
Biasanya buku pink ini boleh dibuka sebaik sahaja ibu yakin bahawa dirinya hamil sehingga sebelum berakhirnya trimester pertama. Jika anda terlewat untuk membuat buku pink, anda akan dilabel sebagai ‘late booking’.
Ads
Bagaimana untuk yakin bahawa diri mengandung? Sudah tentulah dengan melakukan ujian menggunakan kit kehamilan di rumah.
Anda perlu mengenal pasti Klinik Kerajaan atau Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA) yang berdekatan dengan alamat tempat tinggal semasa.
Dokumen perlu bawa
Untuk bakal ibu yang baru pertama kali ke KKIA bagi pemeriksaan pranatal dan membuka buku pink, ini senarai dokumen yang perlu anda bawa bersama-sama ke klinik.
Ads
* Kad pengenalan diri
* Kad pengenalan suami
* Gambar ukuran passport anda dan pasangan
* Sijil nikah
* Bil air/elektrik rumah untuk pengesahan alamat
* Surat rujukan doktor atau klinik lain – jika ada
Pastikan anda tidak terlambat untuk membuat buku pink ini di klinik. Biar segala perkembangan anak dan kesihatan ibu dipantau sejak awal lagi bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
Sebaik anda berjaya membuka buku pink ini, pastikan buku ini dibawa ke mana sahaja anda pergi, terutama ketika ketika waktu balik kampung atau melalui tempoh perjalanan yang panjang. Letakkan sahaja buku ini di dalam kereta atau di dalam beg anda.
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Selamat melahirkan puteri sulungnya pada 1 Julai lalu, pelakon Raja Ilya berkongsi perkembangan terkininya bersama buah hatinya ketika berpantang.
Menurut kata Raja Ilya, dia dan suaminya, Trent Garret hanya tidur selama dua hingga empat jam sahaja demi menjaga buah hati mereka bersama, Talita Love.
Malah kata Raja Ilya lagi menerusi Instagramnya, dia juga turut berdepan masalah sakit-sakit badan selepas melahirkan bayinya dek kerana tidak cukup rehat secukupnya.
“Even now kitaorang tidur 2-4 jam setiap malam, badan dah macam kena pijak. Nak berurut dengan bidan tak boleh sebab czer kan.
“Bahu ni rasa macam nak tercabut, tangan macam angkat dumbell 100kg, pinggang macam boleh patah any minute.
“Tapi semua ni hilang entah ke mana bila bangun buka mata tengok muka baby tidur dengan tenang,” katanya berkongsi menerusi Instagramnya.
Kini kata Raja Ilya lagi, barulah dia tahu betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan ayah malah kini amat mengagumi semua ibu bapa yang pernah melalui pengalaman yang sama dilaluinya kini.
“Salute kepada semua ibu dan bapa. Kami rasainya sekarang ini. Ia satu perasaan yang tidak boleh diungkap, macam jatuh cinta. Terima kasih baby @talitalovegarret sebab hadir dalam hidup kami. Kami dirahmati dengan kehadiran kamu, ” luahnya lagi.
Menerusi hantaran itu juga, Raja Ilya yang selamat melahirkan bayinya di Hospital King Edward, Perth turut berkongsi wajah terbaru Talita yang cukup comel.
Raja Ilya yang menyambut ulang tahun kelahirannya semalam rupanya turut mendedahkan anaknya, Talita Love sepatutnya berkongsi tarikh lahir yang sama dengannya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana anak kesayangannya itu lahir 11 hari lebih awal dari jangkaannya.
Apabila berbicara mengenai kebaikan penyusuan susu ibu, pastinya ia lebih tertumpu kepada bayi, betul tak? Namun sebenarnya penyusuan susu ibu secara eksklusif ini turut memberikan manfaat buat diri ibu itu sendiri.
Penyusuan susu ibu secara eksklusif
Dengan mengetahui kebaikan yang diperolehi ini mungkin dapat membantu anda yang sedang dilema untuk melakukan penyusuan badan atau memilih susu formula.
Tidak dinafikan lagi, susu ibu memberikan pemakanan optimum untuk bayi. Ia mempunyai jumlah nutrien yang tepat, mudah dicerna dan sedia ada.
American Academy of Pediatrics (AAP) mencadangkan agar penyusuan susu ibu secara eksklusif dilakukan selama 6 bulan.
Bahkan, proses penyusuan itu disaran diteruskan walaupun selepas pemberian makanan pejal sehinggalah bayi sekurang-kurangnya berusia setahun atau bersedia untuk bercerai susu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mengesyorkan agar penyusuan ini dilakukan sehingga bayi mencapai usia 2 tahun atau lebih lama kerana kebaikan penyusuan susu ibu buat si kecil.
Tempoh terbaik untuk memulakan penyusuan adalah seawal sejam selepas kelahiran bayi untuk manfaat yang terbesar.
Jom kita bongkar 11 lagi kebaikan penyusuan berasaskan sains yang sangat mengagumkan untuk anda dan juga si manja!
Berikut 5 kebaikan penyusuan susu ibu kepada bayi:
1. Bekal khasiat untuk bayi
Susu ibu umumnya mengandungi semua keperluan bayi selama 6 bulan pertama kehidupan. Paling penting ia dalam jumlah yang tepat.
Pada hari-hari pertama selepas bersalin, payudara akan menghasilkan cecair pekat dan kekuningan yang dikenali sebagai kolostrum.
Ia tinggi protein, rendah gula dan mengandungi sebatian yang bermanfaat. Dalam bahasa ringkas, kolostrum adalah makanan luar biasa yang tidak dapat diganti dengan susu formula.
2. Mengandungi antibodi penting
Susu ibu kaya dengan antibodi yang membantu bayi melawan virus dan bakteria – ia amat penting untuk bulan-bulan pertama selepas dilahirkan.
Ini khususnya pada kolostrum, ia memberikan imunoglobulin A (lgA) dalam jumlah yang tinggi bersama beberapa antibodi lain.
Apabila ibu terdedah kepada virus atau bakteria, tubuh akan mula menghasilkan antibodi yang kemudiannya akan masuk ke dalam susu. Dari situlah terhasilnya sistem pertahanan untuk si manja!
3. Mengurangkan risiko penyakit
Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermakna bayi hanya diberikan susu badan sahaja. Ia dapat mengurangkan risiko bayi untuk jangkitan dan penyakit, termasuklah:
4. Berat badan bayi yang sihat
Bayi yang diberi susu badan dikatakan lebih cenderung mempunyai berat seimbang, sekali gus mencegah masalah obesiti kanak-kanak.
Bayi yang menyusu biasanya akan mengatur kadar pengambilan susu sendiri.
Ini bermakna mereka hanya akan menyusu dan berhenti apabila kenyang. Keadaan ini sekali gus dapat mengembangkan pola pemakanan yang sihat.
5. Menjadikan anak lebih bijak
Dalam beberapa kajian menunjukkan perbezaan perkembangan otak antara bayi menyusu badan dan yang diberikan susu formula.
Bayi diberikan susu ibu mempunyai skor kecerdasan lebih tinggi dan kurang berkecenderungan untuk mengalami masalah tingkah laku atau pembelajaran pada masa hadapan.
Keadaan ini lebih ketara pada bayi pramatang yang mempunyai risiko lebih tinggi untuk berdepan masalah perkembangan.
Manfaat untuk ibu
Ini pula 6 manfaat penyusuan susu badan untuk si ibu, barulah win-win situation, kan?
1. Menurunkan berat badan
Walaupun sebilangan wanita nampaknya mungkin lebih bertambah berat badan, namun ada juga wanita yang melakukan penyusuan susu ibu secara eksklusif mengalami penurunan berat dengan mudah.
Antara kebaikan penyusuan susu ibu adalah ia membakar lebih banyak kalori.
2. Bantu rahim mengecut
Selepas bersalin, rahim akan melalui proses yang dikenali sebagai involution – membantunya kembali ke ukuran asal.
Oksitosin – hormon yang membantu mendorong proses ini, akan meningkat semasa penyusuan.
Ia akan mendorong pengecutan rahim dan mengurangkan pendarahan, sekali gus membantu rahim kembali ke ukuran asal.
Kebaikan penyusuan susu ibu #3. Menurunkan risiko kemurungan
Kemurungan selepas bersalin (PPD) atau meroyan berisiko untuk terjadi sejurus selepas melahirkan anak.
Walau bagaimanapun, wanita menyusu badan dikatakan kurang terdedah untuk mengalaminya berbanding mereka yang tidak menyusukan anak atau bercerai susu terlalu awal. Pun begitu, masih belum terdapat bukti kukuh untuk mengesahkannya.
4. Mengurangkan risiko penyakit
Menyusukan anak memberikan penurunan risiko barah payudara dan ovari.
Selain itu, penyusuan susu ibu secara eksklusif juga dapat mengurangkan risiko untuk:
walau bagaimanapun masih tiada kajian dapat membuktikan manfaat ini.
5. Menyekat haid kesan penyusuan susu ibu secara eksklusif
Penyusuan berterusan dapat menghentikan ovulasi dan haid. Penangguhan kitaran haid adalah cara semula jadi untuk memastikan jarak antara kehamilan. Ia berperanan seperti alat pencegahan kehamilan.
6. Jimat masa dan duit
Sudah tentu kebaikan penyusuan susu ibu yang teratas sekali adalah ia percuma. Tidak memerlukan sebarang perbelanjaan.
Dengan memilih untuk menyusukan anak, anda tidak perlu:
Jalinan semasa penyusuan susu ibu secara eksklusif
Ikatan fizikal dan emosi yang terjalin antara ibu dan anak merupakan kebaikan penyusuan susu ibu paling utama dan terpenting sekali.
Ia mendorong lebih banyak hubungan kulit ke kulit, sentuhan dan belaian fizikal. Jika ibu mampu melakukan penyusuan eksklusif untuk si manja, teruskanlah.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan seorang tetapi dua cahaya mata Ida Azny Mohd Ali, 33 dan suami; Mohd Aidil Aiman, 32, disahkan menghidap penyakit kulit (EB), sejenis penyakit genetik gangguan tisu seumur hidup atau ringkasnya lebih dikenali sebagai kulit rapuh. Nur Siddiqah,7, dan Muhammad Azraqee, 5, di diagnos dengan keadaan Genetik Ressesive Dystrophic Epidermolysis Bullosa (RDEB) (EB).
Genetik
Mereka dilahirkan tanpa protein pengikat (antara lapisan kulit atau mukosa membran dengan badan), keadaan ini memberi kesan kepada keseluruhan badan dalaman dan bahagian luaran mereka. Ini mengakibatkan mereka terdedah kepada luka hatta dengan satu sentuhan, ciuman mahupun sedikit geseran pun. Bukan hanya kulit luaran bahkan bahagian dalam seperti mata, mulut, esofagus, usus, saluran pernafasan, saluran nyahtinja dan kencing juga terdedah kepada risiko berlakunya luka.
“Saya dan suami adalah pembawa genetik ini. Antara simptom-simptom ketara RDEB bagi Diqah Aqee adalah kulit, membran mukosa dan organ-organ dalaman mereka tersangat mudah untuk terluka; apabila terkena tekanan dari geseran lembut walaupun tekanan kecil daripada satu ciuman.
“Buat masa ini tiada lagi ubat atau rawatan spesifik yang boleh mengubati Diqah dan Aqee. Kerana mereka dilahirkan tanpa sesuatu elemen dalam badan, jari tangan dan kaki mereka seperti dilahirkan kudung. Walaupun begitu, sejak berpuluh-puluh tahun lalu sudah wujud kajian-kajian di seluruh dunia dalam mencari rawatan dan penawar bagi EB. Kini para saintis sedang melihat dan mengkaji beberapa teknologi untuk mengubah DNA EB.
“Terkini, kami sekeluarga berhijrah ke Sydney, Australia sejak tahun 2017 kerana terlibat dengan sesi kajian dan rawatan EB di sini. Insya-Allah selagi ada kajian tentang rawatan EB di sini kami akan cuba untuk menyumbang kepada kajian tersebut. Kos rawatan untuk kedua-duanya mencecah RM7000 ke RM8000 sebulan, itu tidak termasuk kos sewa dan keperluan lain kami sekeluarga di sini. Untuk menampung keperluan kami, suami bekerja di bidang servis menghantar makanan dan saya buat servis masakan untuk makan tengah hari dan makan malam,” kongsi wanita berasal dari Klang, Selangor menerusi e-mel.
Kos Rawatan Berterusan
Menerusi satu laman muka buku khusus yang diwujudkan sebelum ini di atas nama Deeqarh Tupperware for Diqah&Aqee, segala perkembangan dan kondisi EB yang dilalui dua adik-beradik itu dikongsi di situ. Melalui medium itu, Ida memberi sedikit pendedahan gundah hati dan realiti sebenar yang dilalui dua anaknya. Bukan sedikit kos yang diperlukan untuk menampung kos perubatan Diqah dan Aqee. Kondisi mereka yang memerlukan pemantauan dan dressing membuatkan laman sesawang itu diwujudkan bagi mengumpul dana melalui jualan Tupperware.
“Malangnya kami tidak mampu untuk menanggung kos perubatan mereka setiap bulan yang mencecah sehingga RM7,000. Kami minta maaf kerana jumlah ini bukan diperbesar-besarkan, saya sudah terbiasa mendengar komentar sini berhubung isu kos rawatan anak-anak kami dan mungkin ada yang sukar untuk menerima jumlah ini. Realitinya jumlah ini keseluruhannya di belanjakan untuk dressing.
“Kami tiada kepentingan lain selain memerlukan dressing untuk Diqah Aqee. Mereka sentiasa membesar dan semakin aktif dan keadaan aktif itu menjadikan Diqah Aqee lebih mudah terluka. Kos yg disebutkan ini hanya merangkumi kos dressing Diqah Aqee, kerana mereka memerlukan dressing yang sesuai dengan kulit mereka yang rapuh dan kos dressing tersebut adalah tinggi. Ianya tidak termasuk luka-luka dalaman yang terhasil daripada tindakan spontan mereka seperti bersin, batuk, menelan, membuka mata, kentut, nyahtinja yang perlu perhatian serius.
Kulit kedua-dua kanak-kanak ini akan mengalami gelembung seperti melecur terkena minyak panas dan sebaik sahaja gelembung berkenaan pecah akan mengeluarkan cecair atau darah sebelum kulit tertanggal. Proses berkenaan amat menyakitkan dan mereka terpaksa melaluinya seumur hidup kerana sehingga kini tiada rawatan yang khusus untuk masalah tersebut.
Keadaan itu ditanggung sejak dari lahir dan keadaan bertambah sukar apabila semakin membesar kerana pergerakan mereka perlu dikawal agar tidak mencederakan anggota badan sendiri yang amat sensitif. Diqah dan Aqee sentiasa terdedah kepada luka luar dan dalaman dan proses penyembuhan yang berulang ulang menyebabkan mereka lebih mudah terluka dan timbulnya komplikasi lain.
Doa buat Diqah dan Aqee
Dilahirkan tanpa sel pengikat lapisan-lapisan kulit dan membran mukosa. Sedikit tekanan dapat mengakibatkan kulit atau membran mukosa terlongkah dari isi, kulit menjadi melecet dari lapisan terdalam. Kulit dan membran mukosa yang terlibat akan terkoyak dan menghasilkan luka-luka yang memerlukan masa untuk sembuh.
“Anak-anak sentiasa ada luka-luka di seluruh luar dan dalaman badan akibat dari pergerakan dan rutin harian. Luka-luka perlu ditutup dengan pembalut luka khas yang di import dari Sweden sebagai rawatan harian. Anak-anak juga perlu pengawalan komplikasi-komplikasi fizikal dan dalaman akibat dari kondisi mereka, termasuk trauma emosi.
“EB Diqah dan Aqee adalah diklasifikasikan sebagai rare disorder yang di warisi dari saya dan suami. Saya dan suami adalah pembawa genetik tersebut, jadi kami tidak ada simptom-simptom yang sama tetapi anak-anak kami mempunyai 25% kebarangkalian untuk mewarisi EB. Jika tidak, anak-anak kami adalah pembawa genetik tersebut seperti kami.
“Diqah dan Aqee seperti kanak-kanak yang lain, dan mula menyedari kondisi diri mereka yang dilalui saban hari. Kadang-kadang mereka bertanya kenapa mereka perlu melalui keadaan ini dan berbeza dari kanak-kanak lain. Sedaya upaya kami cuba untuk terangkan dengan baik kepada mereka.
“Kami juga tak menghalang mereka bermain. Hanya ingatkan jika tercedera perlu cepat-cepat beritahu supaya boleh uruskan. Bersosial juga tidak ada kekangan… cuma perlu ingatkan mereka untuk beritahu kawan-kawan jangan berkasar dan berhati-hati,” kongsinya mengenai Diqah dan Aqee yang sudah pun mula memasuki alam tadika di sana.
Menurut Ida lagi bukan mudah memahamkan orang sekeliling mengenai realiti kehidupan EB. Dia dan suami pernah tercalar emosi gara-gara tujahan komentar dan ulasan mereka yang kurang empati berkenaan kondisi dua permata hatinya.
“Kami dikurniakan seorang lagi bayi lelaki; Muhammad Rafeeq dan Alhamdulillah, tidak seperti abang dan kakaknya, si bongsu kami disahkan hanya pembawa. Apa yang berlaku ke atas anak- anak, seolah-olah keadaan penjagaan, perhatian kami tidak betul atau tidak cukup. Ada juga yang mendakwa kami mendera anak-anak kami.
“Puas juga saya menjelaskan mengenai apa yang berlaku pada anak kami, tentang penyakit EB. Ada juga yang memandang rendah tekanan yang kami hadapi, bukan kata cemuhan dan sifat tidak empati yang kami harapkan. Seperti mana ibu bapa lain, kami setiap hari berjuang melakukan yang terbaik demi Diqah dan Aqee.
Besarlah harapan kami untuk anak-anak syurga kami dan masa depan kami sekeluarga. Kami juga mengharapkan sokongan berterusan dari anda di luar sana. Bantu kami melalui berkongsi page ini dan kongsikan fakta EB yang benar bersama rakan-rakan anda. Mungkin ada yang mengalami situasi ini, diharapkan perkongsian ini memberi sedikit kekuatan buat mereka,”tutur wanita cekal ini mengenai harapan dan doanya terhadap anak-anaknya. Bagi yang ingin meringankan beban keluarga ini, adalah boleh follow laman muka buku (facebook) rasmi mereka iaitu; Kida Azny dan Mohd Aidil Aiman untuk perkembangan semasa Diqah dan Aqee. Semoga Allah memberikan kesembuhan buat Diqah dan Aqee.