Kehamilan

Buah Nanas Ada Kandungan Folat, Zat besi, Vitamin B-6 Yang Baik Untuk Ibu Hamil

Share

Semua wanita pasti pernah mendengar petua berkenaan buah punca keguguran. Yang paling popular sudah tentu buah nanas. Orang tua-tua cakap, jangan makan nanas semasa hamil, nanti kandungan gugur.

Ada juga beberapa buah lain yang dilarang makan sewaktu fasa kehamilan kerana dikatakan boleh menyebabkan keguguran.Ini termasuklah durian, kelapa, betik muda, pic, dan epal masam.

Sifat buah-buah ini dikatakan tajam dan masam, yang menjadi punca keguguran sewaktu hamil.

Benarkah dakwaan ini?

Nanas jadi buah punca keguguran?
Nanas adalah selamat untuk dimakan walaupun anda adalah seorang wanita yang sedang dalam fasa kehamilan.

Buah nanas bukanlah buah punca keguguran seperti yang sering digembar-gemburkan.

Sebenarnya, buah nanas kaya dengan pelbagai jenis vitamin yang sepatutnya menjadi salah satu pilihan sihat untuk wanita yang sedang dalam fasa kehamilan.

Walaupun orang tua-tua mungkin kerap menyebutkan naratif keburukan makan nanas sewaktu hamil, tapi ia sebenarnya adalah satu mitos sahaja.

Tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menunjukkan buah nanas berbahaya kepada wanita dalam fasa kehamilan.

Bagaimana dengan kandungan bromelain dalam nanas yang dikatakan boleh sebabkan keguguran?

fasa kehamilan
Buah nanas mengandungi kandungan bromelain yang merupakan sejenis enzim. Enzim bromelain berfungsi memecahkan protein dalam tubuh manusia.

Memandangkan janin dalam kandungan terdiri daripada sel protein sederhana, jadi pengambilan bromelain mungkin boleh menyebabkan pendarahan tidak normal dan seterusnya menyebabkan keguguran.

Bromelain dalam bentuk tablet sememangnya tidak disarankan untuk diambil oleh wanita hamil.

Ini kerana ia boleh menguraikan protein dalam tubuh yang memungkinkan kejadian seperti di atas untuk berlaku.

Namun kandungan bromelain yang terdapat dalam buah nanas adalah sangat sedikit.

Ia tidak akan memberikan kesan terhadap kandungan wanita yang sedang hamil seperti menyebabkan keguguran mahupun pendarahan.

Sebagai perbandingan, anda mungkin perlu memakan antara 7 hingga 10 biji buah nanas untuk bromelain benar-benar berkemampuan memberikan kesan ke atas janin anda!

Tiada siapa pun yang mampu untuk makan buah nanas sebanyak itu dalam satu hidangan.

Tambahan lagi, ada satu kajian yang menunjukkan sebahagian besar kandungan bromelain dalam buah nanas akan hilang apabila nanas diproses menjadi nanas dalam tin atau diproses menjadi jus.

Jadi wanita dalam fasa kehamilan boleh makan nanas?

Ya, wanita yang sedang hamil tidak mempunyai masalah sekiranya mahu memakan buah nanas dan ia sebenarnya amat digalakkan.

Bagi wanita yang sedang dalam fasa kehamilan, satu cawan nanas boleh membekalkan 100% keperluan vitamin C harian untuk anda.

Buah nanas juga mempunyai kandungan folat, zat besi, magnesium, mangan, tembaga dan juga vitamin B-6.

Kesemua zat-zat ini amat menyokong perkembangan janin yang sihat selain kesihatan tubuh ibu yang sedang hamil.

Namun jika dimakan terlalu banyak, ia akan menyebabkan sedikit kesan yang tidak selesa kepada perut anda, khususnya bagi golongan perut sensitif.

Ini kerana kandungan asid yang terdapat dalam buah nanas boleh menyebabkan pedih ulu hati dan juga refluks.

Cara terbaik untuk mengambil buah ini adalah dengan cara sederhana sahaja.

Tidak kira anda seorang wanita yang sedang dalam fasa kehamilan atau tidak, anda disarankan untuk memakannya dengan kadar yang sederhana sahaja.

Bagaimana pula dengan buah punca keguguran yang lain?
Sama juga dengan mitos buah nanas, buah-buahan lain juga bukanlah buah punca keguguran seperti yang didakwa.

Anda mungkin pernah mendengar larangan memakan buah nanas sahaja.

Tetapi ada juga petua-petua lain yang melarang wanita hamil daripada makan buah-buahan seperti buah betik, buah limau, cincau, pisang hijau bahkan kangkung.

Kesemua buah punca keguguran seperti yang didakwa ini ternyata adalah mitos yang mengarut.

Ini kerana setiap jenis buah-buahan ini mempunyai manfaat dan khasiatnya yang tersendiri terhadap kesihatan ibu hamil dan juga kandungannya.

Bagi mereka yang sedang hamil, anda digalakkan untuk banyak mengambil buah-buahan dalam hidangan harian anda.

Antara jenis sayuran dan buah-buahan yang disarankan untuk dimakan oleh wanita hamil ialah:

-Epal
-Buah oren
-Buah limau
-Aprikot
-Mangga
-Ubi keledek
-Kacang hijau
-Sayur bayam

Buah nanas sememangnya bukanlah buah punca keguguran. Sebaliknya, buah nanas mempunyai pelbagai khasiat yang bukan sahaja bermanfaat untuk ibu yang sedang hamil tetapi juga kepada janin yang sedang dikandungnya. Oleh itu, makanlah buah nanas walaupun anda sedang hamil.

Hanya pastikan anda tidak memakannya dengan kuantiti yang banyak dalam sehari untuk mengelakkan ketidakselesaan pada perut anda.

Sumber: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

IKLAN