Terdapat aturan dalam mengendalikan susu perahan bermula dari diperah untuk disimpan dan kemudian dicairkan apabila hendak digunakan. Ada tempoh tertentu susu tersebut boleh digunakan. Aturan ini bertujuan supaya bayi mendapat khasiat susu ibu yang paling optimum.
Ketika mengendalikan susu perahan, terdapat panduan yang perlu diikuti. Tujuannya adalah untuk memelihara khasiat susu ibu kerana susu ibu akan kehilangan nutrien kesan daripada proses penyimpanan.
i. Gunakan bekas yang steril untuk menyimpan susu perahan samada menggunakan beg plastik susu (sekali kali kegunaan sahaja) atau menggunakan botol bebas BPA (tempoh guna sehingga enam bulan).
ii. Labelkan tarikh dan masa pada bekas penyimpanan.
iii. Simpan di dalam peti ais di bahagian paling dalam sekiranya tidak dibekukan.
iv. Gunakan susu yang paling lama di simpan. Panaskan susu yang pertama mengikut tarikh disimpan kepada bayi anda.
v. Simpan susu secara teratur jika diletak bersama bahan mentah lain. Pastikan bahan mentah disimpan di dalam bekas bertutup.
Susu segar: Jika hendak berikan bayi susu segar, sejurus diperah boleh diberikan terus kepada bayi dan hendaklah dihabiskan dalam tempoh 1 jam. Tidak boleh disimpan bakinya jika bayi tidak habis minum dan sekiranya bayi belum minum, susu boleh berada di dalam suhu bilik sehingga empat jam tetapi tidak digalakkan kerana suhu di negara kita panas bukan seperti di luar negara.
Susu sejuk: Susu di bahagian chiller peti ais boleh disimpan sehingga lima hari mengikut kekerapan buka dan tutup pintu peti ais. Jika peti sering dibuka, selepas tiga hari susu tersebut hendaklah dibekukan. Jika hendak diberikan kepada bayi, susu boleh disuamkan atau boleh diberikan dalam suhu bilik atau ada bayi menerima susu sejuk dengan baik. Susu hendaklah dihabiskan dalam tempoh sejam dan baki susu tidak boleh disimpan semula.
Susu beku: Jangka susu beku berbeza-beza mengikut peti ais yang digunakan. Bagi peti ais satu pintu, jangka hayat susu beku adalah dua minggu. Bagi peti ais dua pintu pula, jangka hayat susu beku adalah sehingga tiga bulan. Bagi yang menggunakan deep freezer, jangka hayat susu beku adalah sehingga enam bulan. Sekiranya terdapat keperluan untuk memindahkan susu beku, hayat susu tersebut mengikut tarikh susu diperah.
IKLAN
Harus Prihatin Sejak Susu Diperah
i. Pastikan tangan telah dibasuh sebelum memerah dan begitu juga dengan peralatan memerah.
ii. Setelah susu diperah, simpan di dalam bekas penyimpanan dan susu hendaklah diisi sehingga 3/4 bekas/plastik sahaja kemudian
iii. Tutup bekas penyimpanan dengan rapat dan labelkan.
iv. Simpan di dalam beg yang mengandungi gel ais beku yang cukup untuk memastikan suhu susu tidak berubah berkurang
iv. Setelah sampai di rumah, jika hendak digunakan pada hari esok, boleh di simpan di dalam chiller di bahagian paling dalam. Jika ingin dibekukan, boleh dimasukkan terus ke dalam deep freezer.
Simpan Dalam Botol, Plastik Atau Bekas Lebih Selamat?
Untuk kekalkan kesegaran susu ibu, penting untuk memastikan peti ais diaturkan bahan masakan dengan baik. Ini bermaksud semua bahan masakan termasuklah bahan mentah disimpan di dalam bekas bertutup dan ditutup rapat. Ini kerana susu ibu boleh menyerap bau peti ais dan boleh menyebabkan bayi menolak susu sejuk/susu beku.
Semakin hari semakin ramai ibu bapa yang mendapat pendedahan tentang betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak dalam kereta. Malah ada yang sanggup menabung untuk membeli ataupun menukar kerusi keselamatan anak-anak.
Kerajaan juga memandang serious tentang kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan mewajibkan setiap kenderaan WAJIB memasang kerusi keselamatan kanak-kanak menjelang tahun TAHUN 2020.
Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak ini sebenarnya telah lama diwajibkan di negara maju. Mereka mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap keselamatan anak-anak.
Menurut perkongsian daripada Rotaract Galati yang telah menganjurkan program kesedaran kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak menerusi Condu prudent, alege viața! Mereka telah melakukan 5 demo/situasi kedudukan kanak-kanak di dalam kereta semasa kenderaan sedang bergerak.
Mari kita lihat apa yang berlaku terhadap kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan dengan kelajuan yang rendah dalam situasi berikut:
Situasi bayi/kanak-kanak yang berada di kerusi hadapan TANPA MEMAKAI Tali pinggang keledar (Kelihatan kanak-kanak tersebut tercampak dari kerusi ke hadapan)
.
Situasi bayi/kanak-kanak yang berada di kerusi hadapan DENGAN MEMAKAI Tali pinggang keledar (Kelihatan kanak-kanak tersebut terhentak ke hadapan, mungkin boleh mengalami kecedaraan di bahagian leher). Diingatkan, kanak-kanak yang belum mencapai ketinggian/berat dewasa tidak sesuai duduk di atas kerusi orang dewasa kerana tali pinggang keledar direka khas untuk orang dewasa, sebab itulah kerusi keselamatan kanak-kanak penting dan mempunyai tali keselamatan yang sesuai dengan umurnya dan beratnya, apabila berlaku kemalangan mereka tetap terikat kemas.
.
Situasi ibu memeluk anak. Kelihatan anak tercampak/terlepas dari pelukan si ibu.
.
Situasi duduk di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak dan menghadap ke hadapan. Kedudukan ini salah untuk bayi dibawah umur 1 tahun.
.
Situasi duduk di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak dan menghadap ke belakang. Kedudukan ini selamat untuk bayi dibawah umur 1 tahun, impak hentakan akan berkurang dalam kedudukan ini.
Menerusi video yang dikongsi, jelas dan terang betapa bahayanya anak-anak tanpa kerusi keselamatan. Anda nilailah video ini dengan baik.
KERUSI KANAK-KANAK WAJIB DIGUNAKAN MULAI TAHUN 2020.
Peraturan mewajibkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian, sebelum ini sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini, namun telah ditangguhkan setahun lagi iaitu akan mula dikuatkuasakan pada tahun 2020.
Kita, ibu bapa lah golongan yang bertanggungjawab keatas statistik kematian bayi yang tercampak keluar dari kereta. Ayuh kita jadikan statistik ini kepada 0%.
Apabila sistem imun seorang kanak-kanak tidak dapat melindungi diri mereka daripada alergi terhadap bahan dalam makanan, debu atau perkara tertentu, ia sebenarnya adalah tindak balas yang menyebabkan mereka mempunyai alahan.
Alahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan gangguan tidur, aktiviti sosial dan di sekolah. Kanak-kanak dengan masalah ekzema iaitu situasi awal alahan paling awal boleh menyebabkan mereka cenderung untuk mempunyai alahan terhadap benda lain.
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Dr Ezairy M Sallih, menyatakan mana-mana kanak-kanak boleh mengalami masalah alergi termasuklah masalah resdung. Namun, penting untuk mak ayah tahu bahawa alahan ini lebih mudah berlaku bila kanak-kanak itu sendiri mempunyai keluarga dengan sejarah alahan.
Tiada ibu bapa yang mahu melihat anaknya menderita. Ibu mana yang mahu melihat anaknya jatuh sakit dan hidup dengan penuh kesengsaraan. Betul?
Hakikatnya, mana-mana kanak-kanak boleh mengalami masalah alergi termasuklah masalah resdung. Namun, tahukah anda bahawa ianya lebih mudah berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai keluarga dengan sejarah alahan? Maknanya, jika anda sendiri ada masalah alahan, anak anda juga turut sama berisiko untuk mendapat masalah yang sama.
Saya faham adalah amat sukar untuk ibu bapa mengelakkan anak-anak mereka daripada terdedah kepada segala punca alahan sama ada datangnya daripada persekitaran, makanan dan sebagainya. Oleh itu, saya sering menasihatkan ibu bapa yang berjumpa saya agar lebih menumpukan perhatian kepada pemantauan gejala alahan anak-anak mereka. Pastikan bahawa semua simptom yang dialami tidak mengganggu kehidupan seharian anak-anak. Dan apa yang lebih penting, ia tidak mengganggu perkembangan IQ, EQ dan persekolahan anak-anak kita!
Jika ibu bapa mampu mengenalpasti punca alergi yang dialami oleh anak-anak, secara tidak langsung ia akan meningkatkan kualiti hidup anak anda, mengurangkan jumlah hari tidak hadir ke sekolah dan ia juga akan membantu meningkatkan lagi perkembangan akademik anak-anak anda.
Sebenarnya, ada banyak punca-punca alahan yang boleh dialami oleh anak-anak. Kebiasaan pesakit yang saya temui mengadu mengalami gejala alahan apabila mengambil sesetengah makanan seperti makanan berasaskan kacang, telur, udang, ketam, kerang, ayam dan sebagainya.
Perlu diingatkan juga bahawa setiap anak-anak ini tidak sama punca alahan yang dialami. Anda tidak boleh menganggap jika anak sulung anda alergik kepada udang, maka semua anak-anak yang lain turut mengalami alahan kepada jenis makanan yang sama. Tak sama, puan-puan…
Punca ada di sekeliling kita
Saya senaraikan beberapa punca alahan yang boleh berlaku kepada anak-anak kita. Semoga ia boleh menjadi panduan kepada anda yang masih belum berjaya mengenalpasti apa punca alahan anak-anak anda.
Persekitaran luar : Ia boleh disebabkan oleh debunga pokok, tumbuh-tumbuhan dan habuk serta asap yang ada di luar rumah.
Persekitaran dalam rumah sendiri : Ia mungkin daripada bulu binatang peliharaan kita seperti kucing contohnya. Boleh juga disebabkan hama atau habuk yang terperangkap pada sarung bantal, tilam, langsir, permaidani atau mungkin juga pada penghawa dingin kita!
Makanan : Ada beberapa jenis makanan yang agak biasa dikaitkan dengan punca-punca alahan seperti kacang tanah, telur, makanan laut, coklat dan susu.
Lain-lain : Selain itu, ada juga pesakit yang mudah untuk mengalami alahan apabila terdedah kepada asap rokok, asap kenderaan di luar rumah, minyak wangi dan sebagainya.
Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan besar di sini. Anda perlu memantau segala masalah yang dihadapi oleh anak-anak anda. Ianya termasuklah gejala seperti kerap-kerap bersin, hidung berair, kegatalan pada mata, masalah pada kulit dan ini semua biasanya berlaku kepada anak-anak yang sememangnya ada alahan terhadap sesuatu ‘allergen’ yang mereka sepatutnya tahu lebih awal lagi.
Saya sering menerima beberapa soalan daripada ibu bapa tentang bagaimana untuk kita kenalpasti bahawa anak kita ini sebenarnya sedang mempunyai gejala-gejala alahan terhadap sesuatu makanan? Adakah beberapa perkara yang perlu dilihat dan diberi perhatian?
Oleh itu, saya senaraikan beberapa simptom yang amat biasa ditemui di kalangan anak-anak kita apabila mereka sedang mengalami gejala alahan terhadap sesuatu keadaan atau makanan.
Simptom anak terkena alahan
Ruam kemerah-merahan pada kulit : Ini biasa berlaku kepada anak-anak kita jika mereka lebih sensitif kepada sesuatu keadaan terhadap kulitnya. Jika ini berlaku kepada anak-anak anda secara berulang kali, maka anda perlu kenalpasti apa puncanya seberapa segera yang mungkin.
Gejala pada hidung : Anak-anak yang mempunyai masalah alahan juga akan mengalami simptom-simptom alahan pada hidung. Anda akan dapati anak anda kerap alami gatal-gatal pada hidung, mudah bersin-bersin dan hidung berair. Keadaan ini biasanya berlaku apabila mereka terdedah kepada ‘allergen’ yang menyebabkan masalah ini berlaku. Seboleh-bolehnya, cuba kenalpasti apa punca yang menyebabkan ia berlaku supaya masalah ini tidak terus berlarutan tanpa pemantauan rapi oleh anda.
Simptom pada tekak : Pesakit biasanya akan lebih kerap bersin berpanjangan sebaik bangun tidur, terutama pada waktu pagi yang akan memberi rasa tidak selesa, gatal hidung, mata, tekak dan muka serta kahak yang mengalir di belakang tekak. Sebab itu ada ramai juga pesakit yang mengadu mengalami masalah tidak selesa dan sakit pada kawasan tekak.
Simptom pada mata : Anak-anak anda bukan sahaja ada masalah pada kulit dan hidung, bahkan mereka juga boleh alami masalah gatal-gatal pada mata, mata kerap rasa kering atau kadang berair, dan ianya lebih biasa berlaku apabila mereka terdedah kepada punca alahan.
Sesak nafas : Jangan dibuat main tentang masalah alahan ini. Jika ianya tidak ditangani dan dikenalpasti lebih awal, anda mungkin sengaja membiarkan anak anda terus menjalani kehidupan dengan terdedah kepada punca-punca alahan yang sebenarnya yang boleh membahayakan mereka! Ada sesetengah kes dimana jika ia gagal ditangani dengan baik oleh ibu bapa, ia boleh mengakibatkan sesak nafas yang teruk. Ada kes sehingga boleh menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam wad hospital!
Masalah pada sistem pencernaan : Ada juga keadaan di mana anak anda mungkin mengalami gejala alahan dalam bentuk seperti cirit-birit dan sakit perut. Walaupun agak tidak kerap ditemui berbanding gejala-gejala lain, namun simptom ini juga perlu diketahui oleh ibu bapa agar mereka tahu apa permasalahan yang sedang dialami oleh anak-anak mereka.
Kita perlu sedar bahawa pesakit ‘allergic rhinitis’ atau alahan resdung ini jika tidak mendapatkan rawatan yang sesuai, cecair berlendir di dalam ruang sinus akan terus berkumpul dalam ruang sinus hidung pesakit. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan lapisan mukosa membengkak dan menyekat bukaan sinus!
Jika jangkitan berlaku, cecair berlendir ini akan berubah warna menjadi lendir kehijauan atau kuning di dalam sinus. Masalah ini akan menyebabkan pesakit hilang deria bau disebabkan hidung tersumbat dan boleh mengakibatkan komplikasi lebih buruk seperti berat pada kawasan muka, pening kepala, dan ada kes yang memerlukan ubat antibiotik.
Ada ibu bapa yang bertanya kepada saya, bagaimana mahu memastikan bahawa gejala serta masalah ini tidak berulang? Bolehkah masalah ini hilang sampai bila-bila? Di sinilah perlunya peranan ibu bapa di rumah. Pastikan anda berjaya kenalpasti apa punca yang menyebabkan anak-anak anda dapat simptom alahan ini. Ianya mungkin daripada makanan, persekitaran, habuk, hama dan sebagainya. Setelah punca alahan ini berjaya dikenalpasti, maka elakkan. Saya percaya masalah ini akan selesai atau sekurang-kurangnya akan lebih mudah untuk ditangani jika punca alahan ini berjaya dikenalpasti dengan lebih awal lagi.
Ada banyak sebenarnya rawatan yang boleh dilakukan di hospital bagi memastikan masalah ini tidak terus berlarutan dan berjaya ditangani dengan baik.
Untuk langkah awal, kami di klinik telinga, hidung dan tekak akan menasihatkan pesakit untuk menjalani ujian ‘allergy skin test’. Melalui ujian ini, doktor akan melakukan ujian kepada pesakit. Ada lebih 40 ‘allergen’ akan disuntik ke kulit pesakit bagi mengenalpasti punca alahan pesakit tersebut. Setelah lebih dua puluh minit, doktor akan membaca keputusan berdasarkan tindak balas yang berlaku pada kulit pesakit.
Melalui ujian ini biasanya pesakit akan mengetahui apakah punca-punca alahan yang mereka sedang alami. Pastinya, mereka akan berjaya mengelakkan semua punca-punca tersebut selepas itu dan masalah alahan yang dialami selama ini akan berjaya dikawal dengan lebih baik.
Selain menjalani ujian yang saya sebutkan tadi, kami juga akan melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Bagaimana struktur dalam hidung tekak, mulut, telinga, mata dan kulit pesakit. Jika masalah alahan pada hidung yang dialami amat mengganggu pesakit, mereka boleh dibantu dengan ubat ‘intranasal steroid’ yang bertujuan untuk mengurangkan tindak balas inflamasi pada dalam hidung dan seterusnya boleh membantu pesakit mengawal masalah yang dialami.
Pembedahan kecil juga akan ditawarkan jika ubat yang diberi tidak mampu merawat bagi mengecilkan bahagian dalam hidung (turbinet).
Masalah seperti gatal-gatal pada hidung dan mata boleh juga dibantu dengan memberi ubatan seperti ‘oral antihistamine’. Ubat-ubat ini perlulah diambil dengan pemantauan dan selepas pesakit mendapat pemeriksaan daripada doktor di klinik atau hospital terdekat.
Sebagai pesanan terakhir daripada saya, sayangilah anak-anak kita. Jangan biarkan masalah kesihatan yang dialami mereka berterusan tanpa pemantauan baik daripada kita sebagai insan yang paling dekat dengan mereka. Ingatlah bahawa anak-anak ini adalah anugerah yang tidak ternilai untuk kita.
Semoga kita semua diberi kesihatan berpanjangan dan sentiasa duduk di bawah limpahan rahmat dan kebahagiaan milikNya.
Makanan sunnah iaitu madu sememangnya diketahui cukup baik untuk badan kita. Disebabkan itulah ia begitu disyorkan untuk kanak-kanak setahun ke atas. Apa kata kita biasakan anak makan madu dari hari ini.
Nak tahu kelebihannya? Dr Mazliana Mazlan kongsikan beberapa kelebihan yang tidak pernah terjangkan mengenai kelebihan madu ini. Salah satunya adalah baik untuk memori anak dan begitu juga untuk usus anak. Jom mulakan!
Ajak anak makan madu setiap hari. Mana mungkin makanan yang Nabi suka, kita tak ajar anak untuk makan kan.
Madu hanya untuk anak umur 1 tahun ke atas je k. 1 hari, 1 sudu kecil pun dah cukup.
Tak kisah nak bagi waktu bila pun, pagi, petang, malam, mana-mana pun boleh.
8 sebab kenapa kena bagi madu pada anak setiap hari.
1. Madu tinggi antioksida
– Polyphenol dalam madu bertindak sebagai antiradang untuk badan anak.
2. Madu tinggi nutrisi, vitamin dan mineral
– Kalsium
– Magnesium
– Maganese
– Niacin
– Pantothenic acid
– Phosphorus
– Pottasium
– Riboflavin
– Zink
3. Antibakteria dan antifugus
– Sebab tu bila anak tak sihat, lagi kerap saya bagi anak madu. Ala natural antibiotic dan antifungus gitu.
4. Sembuhkan luka
– Madu bersifat antimikrob. Selalu sangat saya buat yang ini. Luka anak yang kecil, cepat betul sembuh bila letak madu.
5. Tinggi phytonutrien
– Sebagai antioksida, antibakteria dan antifungus. Juga sebagai immune boosting untuk anak-anak.
6. Bagus untuk usus
– Madu kan ada prebiotik. Saaaangat lah seronok bakteria baik di usus sebab dapat makanan yang baik macam madu. Makin sihatlah usus anak nanti. Senang nak membuang.
7. Legakan sakit tekak dan batuk
– Kan madu bersifat antibakteria dan antiradang, sebab tu ramai yang batuk suka amalkan madu kan.
8. Baik untuk otak
– Antioksida dan antiradang dari polyphenol bantu kurangkan radang di hipopocampus, yang mana main peranan penting dalam sistem memori anak.
Siapa belum anak madu kat rumah, korang terus cari madu simpan kat rumah k. Simpan dan bagi anak makan maksudnya.
Ada banyak jenis madu di pasaran. Saya suka sangat madu dari bunga sebab rasa dia mild dan manis masam sikit.