Pernah Viral, Mikail Rupanya Dilatih Dari Usia 2 Tahun Lagi. Rapat Dengan Ayah

Share

Kanak-kanak lelaki ini pernah viral suatu ketika dulu kerana menolak gajet dan memilih melakukan kerja-kerja rumah dan luar rumah. Pa&Ma kali ini berpeluang menemuramah ibunya berkongsi tip berguna.

Mikail Harith Mohd Hamdan pernah viral di media lantaran kegemarannya melakukan kerja rumah sendiri dan berdikari. [Artikelnya di sini: Tak Mahu Gajet, Memilih Untuk Berkhemah & Memancing. Kanak-Kanak 6 Tahun Ini Dikagumi Ramai]

REWARD, PUJI & THANK YOU

Kata ibunya yang bertugas sebagai seorang jururawat, Norliyanti Ramli anak keduanya itu memang sudah dilatih daripada usia 2 tahun lagi. Pada awalnya dia menggunakan sistem reward dan pujian serta ucapan terima kasih selepas Mikail berjaya melakukan sesuatu tugasan.

“Kami dedahkan dia dengan mainan-mainan lain contohnya lego, mewarna, menconteng, berenang, bermain di taman permainan, mengayuh basikal dan sebagainya,” kata ibu Mikail.

2 TAHUN SUDAH MULA AJAR BUAT KERJA RUMAH

“Saya mula melatih anak dr umur 2 tahun contohnya membuang lampin pakai buang sendiri ke dalam tong sampah. Letak botol susu ke dalam sinki atau atas meja selepas minum. Saya libatkan anak dalam kerja-kerja rumah, saya selalu ajak diorg buat sama,” katanya yang turut berkongsi apa yang dilakukan untuk melatih Mikail.

Umur 2-3 tahun

  1. Pakai baju sendiri.

2. Baju kotor ke dalam bakul.

3. Kemas mainan.

4.Gosok gigi dan mandi sendiri tapi mesti di pantau

Umur 4-6tahun

  1. Sapu sampah.

2. Kutip & masuk kan sampah dlm bakul.

3. Kemas katil sendiri.

4. Lap meja selepas makan.

5. Susun pinggan.

JAGA ADIK & URUS PAKAIAN SENDIRI

Pada usia 6 tahun Mikail sudah boleh menjaga adiknya yang masih bayi. Dia sudah boleh menguruskan pakaian sendiri, menggunakan mesin basuh, membancuh minuman, memasak nugget & kentang goreng menggunakan air fryer, menggunakan vaccum cleaner untuk membersihkan rumah, melipat pakaian dan menggosoknya.

KEMAS PAKAIAN SENDIRI & TAHU PACKING KALAU NAK BERCUTI

Mikail juga menurut ibunya boleh mengemas barang sendiri untuk bercuti atau pulanh ke kampung halaman. “Mama cuma bagi tahu berapa hari nak pergi dan tempat, Mikail boleh bawa pakaian dan peralatan yang sesuai dengan tempat,” kata Norliyanti.

Ibu ini turut mendedahkan yang Mikail turut mengambil tahu barangan di dapur. Mikail malah boleh mengingati senarai barang yang sudah habis dan perlu dibeli.

SYUKUR KERANA WAKTU TERDESAK ANAK BOLEH BERDIKARI & BANTU

Norliyanti mengimbau saat suaminya mengalami kecederaan akibat kemalangan jalanraya & dia sendiri masih belum kuat kerana baru melahirkan anak ketiga.

“Kami telah diuji pada awal tahun lepas di mana suami kemalangan dan perlu bertongkat selama 8 bulan. Saya pula berpantang tapi saya bersyukur anak-anak boleh uruskan diri sendiri. Boleh tolong tukar pampers baby, buat kan susu dan kemas rumah.”

HUBUNGAN RAPAT DENGAN SI AYAH

Mikail mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya. Kata Norliyanti, aktiviti outdoor anak beranak ini bermula dari usia Mikail 5 tahun. Dia mengakui setiap anak lelaki memang perlu mempunyai hubungan rapat dengan ayah.

“Sejak dari 5 tahun selalu ikut my husband. Mereka ada geng camping,memancing, tengok bola. Mikail pernah masuk hutan start dari 12 tengah malam dari camp site dan berjalan sampai camp pada pukul 4 pagi. Dia pandai gunakan masa dalam kereta untuk tidur dulu.

“Sebenarnya bapa kena jadi idola kepada anak lelaki. Sebab di luar anak lelaki tidak akan jumpakidola mereka. Di sekolah pun ramai guru perempuan. Anak lelaki lebih mudah terpengaruh dengan perangai bapa mereka,” kata Norliyanti.

TIDAK SIA-SIA, ILMU URUS DIRI & BERDIKARI BERGUNA PADA MASA DEPAN

“Bagi saya sangat penting untuk mereka berdikari sekurang-kurangnyanya mereka dapat sesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Contohnya kalau perlu duduk di asrama nanti. Mereka dah biasa basuh baju dan gosok baju, menjaga harta benda sendiri. Ini semua memudahkan urusan seharian,” kata Norliyanti.

Pada hemat ibu ini, anak lelaki juga penting diajar kerja-kerja rumah. Ia tidak akan sia-sia kerana boleh membantu meringankan beban isteri jika sudah berkeluarga.

IKLAN