Kesihatan

Cara Jaga Luka Caesarean, Paling Penting Kena Banyak Berjalan!

Share

Melahirkan anak secara pembedahan caesarean memerlukan anda menjaga luka tersebut dengan lebih rapi. Hal ini disebabkan luka dan jahitan tersebut adalah lebih besar berbanding luka episitomi.

Malah, penjagaannya juga berbeza kerana satu luka di perut dan satu lagi di faraj. Secara amnya, luka caesarean mengambil masa antara empat hingga enam minggu untuk pulih sepenuhnya bergantung kepada keadaan kesihatan individu, pemakanan dan tahap aktiviti harian.

Walaupun proses pemulihan mungkin mengambil masa, penjagaan yang betul boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan dan mempercepatkan penyembuhan. Berikut merupakan beberapa langkah ringkas yang boleh diamalkan.

1. Berjalan di Awal Pembedahan Untuk Membantu Luka Caesarean Pulih

Ada yang kurang berani untuk bergerak selepas pembedahan kerana dibimbangi benang jahitan terbuka.

Perlu anda tahu bahawa dengan berjalan secara perlahan-lahan, ia akan mengurangkan risiko darah beku lalu mempermudahkan proses penyembuhan luka. Aktiviti ringan ini juga membantu melancarkan peredaran darah ke seluruh badan.

Kejadian jahitan terbuka hanya kerana aktiviti berjalan perlahan-lahan memang jarang berlaku. Namun begitu, lakukan mengikut kemampuan diri dan nasihat doktor yang merawat anda.

2. Makan Makanan Seimbang

Jika mahu luka cepat sembuh, pengambilan makanan seimbang sangat penting. Untuk tujuan pemulihan, anda perlu makan makanan yang mengandungi banyak protein seperti ikan, ayam dan daging.

Namun pilih ikan yang diketahui tidak menyebabkan kegatalan kepada anda. Untuk ayam dan daging pula, jika anda sering mengalami kegatalan selepas memakannya, elakkan atau kurangkan pengambilannya buat sementara waktu.

Jangan lupa mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia kaya dengan serat yang boleh membantu mengurangkan masalah sembelit.

Pastikan tubuh mendapat vitamin yang mencukupi terutamanya vitamin C kerana nutrien ini membantu proses pembentukan tisu baharu dan menyokong penyembuhan luka caesarean.

3. Minum Air Secukupnya

Anda disarankan untuk minum air yang secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi. Jika tubuh kekurangan air, ia boleh menyebabkan sembelit dan menyukarkan proses pembuangan najis, urin serta toksin daripada badan.

Malah, dehidrasi boleh memberikan tekanan kepada perut dan bahagian luka. Oleh itu, minumlah sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari atau mengikut keperluan tubuh masing-masing.

Jangan minum dalam jumlah yang banyak sekaligus. Sebaliknya, amalkan minum sedikit demi sedikit sepanjang hari supaya tubuh dapat menyerap air dengan lebih baik.

4. Hati-Hati Mengambil Ubat Tradisional

Tidak semua jenis herba dan ubat tradisional selamat digunakan selepas bersalin. Ada yang boleh memberikan kesan sampingan seperti mengganggu proses pengecutan rahim dan menyebabkan pendarahan faraj yang banyak.

Anda perlu berhati-hati terhadap pengambilan ubat tradisional terutamanya daripada segi kebersihan dan kandungannya. Dikhuatiri terdapat bahan yang boleh membahayakan kesihatan.

Ada juga produk tertentu yang mengandungi bahan kimia tidak diketahui yang boleh memberikan tekanan kepada buah pinggang serta organ lain. Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang produk tambahan.

5. Menyusu Susu Ibu Secara Eksklusif

Penyusuan susu ibu terbukti dapat membantu proses pemulihan selepas bersalin. Setiap kali menyusu, tubuh mengeluarkan hormon oksitosin yang membantu rahim mengecut dan mengurangkan risiko pendarahan berlebihan.

Selain manfaat kepada bayi, penyusuan juga boleh membantu mempercepatkan pemulihan badan ibu secara keseluruhan. Keadaan ini secara tidak langsung menyokong proses penyembuhan luka caesarean.

Terdapat pelbagai teknik penyusuan yang sesuai untuk ibu yang melahirkan anak secara pembedahan. Anda boleh mempelajarinya daripada jururawat, bidan atau pakar laktasi.

6. Pastikan Luka Caesarean Sentiasa Kering dan Bersih

Biarkan kawasan luka terdedah kepada udara apabila sesuai atau gunakan alat pengering rambut dengan mod angin sejuk sekiranya diperlukan.

Jangan menggaru luka atau menyapu sebarang ubat tanpa saranan doktor. Tindakan tersebut boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman dan melambatkan proses penyembuhan.

Perhatikan tanda-tanda seperti kemerahan yang semakin teruk, bengkak, keluar nanah atau demam. Jika mengalami gejala tersebut, segera dapatkan pemeriksaan perubatan.

7. Elak Aktiviti Yang Mendatangkan Kesakitan

Aktiviti seperti menaiki tangga berulang kali, mengangkat barang berat atau membongkok terlalu kerap boleh membuatkan anda berasa lebih sakit.

Oleh itu, elakkan aktiviti tersebut sekurang-kurangnya satu minggu selepas pembedahan atau sehingga keadaan anda benar-benar stabil. Minta bantuan ahli keluarga untuk melakukan kerja-kerja yang berat sepanjang tempoh pemulihan.

Kesimpulan

Penjagaan yang baik selepas pembedahan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan proses penyembuhan. Dengan mengamalkan pemakanan seimbang, minum air yang mencukupi, bergerak secara perlahan-lahan serta menjaga kebersihan luka caesarean, anda boleh membantu tubuh pulih dengan lebih selesa.

Setiap ibu mempunyai kadar pemulihan yang berbeza. Jika anda mengalami kesakitan yang luar biasa atau terdapat perubahan pada keadaan luka caesarean, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang sesuai.

Baca lagi: Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil 

RM100 Sebulan Untuk Rakyat Selangor, Semak Kelayakan Anda Sekarang!

MyKad Lebih Selamat, 3 IC Lama Ni Wajib Tukar Dahulu!

 

Published by
SRM