
Susu ibu adalah anugerah terindah buat si manja. Ia bukan sekadar makanan pertama bayi, malah mengandungi antibodi semula jadi yang melindungi mereka daripada jangkitan dan membantu perkembangan otak dengan sempurna. Namun begitu, bagi ibu bekerja atau yang sering berada di luar rumah, cabaran utama ialah bagaimana hendak simpan susu ibu dengan betul supaya kekal segar dan selamat diminum.

Menurut Kaunselor Penyusuan Nur Syuhada, masih ramai ibu tidak mengetahui cara penyimpanan dan pemanasan susu badan yang tepat, sehingga menyebabkan susu rosak atau kehilangan nutrisi penting. Katanya, susu badan yang diperah hanya boleh bertahan sekitar lima hari jika disimpan di bahagian chiller peti sejuk, sebelum perlu dipindahkan ke bahagian freezer untuk jangka masa lebih panjang.
View on Threads
Cara Betul Simpan Susu Ibu Agar Kekal Segar
Selepas mengepam, susu boleh disimpan terus di dalam botol dan diletakkan di bahagian chiller selama lima hari. Jika mahu simpan lebih lama, pindahkan susu ke dalam beg simpanan susu khas (milk storage bag) yang bersih dan bebas BPA.
- Bahagikan susu ikut portion bayi. Jika bayi minum 2oz setiap kali, asingkan susu perahan mengikut jumlah tersebut supaya mudah dipanaskan nanti tanpa pembaziran.
- Gunakan beg dua kali ganda saiz susu. Contohnya, untuk 2oz susu gunakan beg bersaiz 4oz hingga 5oz agar susu mudah dibekukan dan dicairkan semula.
- Keluarkan angin sebelum tutup beg untuk elak masalah freezer burn yang boleh menjejaskan rasa susu.
- Label tarikh dan waktu perahan. Susu yang lama perlu digunakan dahulu (kaedah ‘first in, first out’ atau FIFO).
Menurut panduan Centers for Disease Control and Prevention (CDC), susu beku boleh tahan sehingga setahun, namun lebih baik diberikan kepada bayi dalam tempoh enam bulan pertama bagi mengekalkan khasiat optimum.

Cara Cairkan & Panaskan Semula Susu Ibu
Apabila tiba masa untuk digunakan, susu beku perlu dicairkan terlebih dahulu dengan cara yang selamat:
- Cairkan semalaman dalam chiller. Keluarkan susu dari freezer dan letakkan dalam mangkuk sebelum disimpan di bahagian sejuk. Kaedah ini mengekalkan nutrien dan elak kejutan suhu.
- Cairkan di bawah air paip. Jika terlupa buat lebih awal, lalukan beg susu di bawah air paip sehingga cair sepenuhnya.
Peringatan: Susu yang telah dicairkan hanya boleh disimpan 24 jam dalam chiller dan tidak boleh dibekukan semula.
Untuk memanaskan susu:
- Rendam botol dalam air suam selama 5 minit atau gunakan pemanas susu (milk warmer) pada suhu 37°C hingga 40°C.
- Elak guna microwave! Kaedah ini boleh merosakkan antibodi penting dan menyebabkan ‘hot spot’ yang membahayakan bayi.
- Uji suhu di pergelangan tangan – pastikan susu hanya suam, bukan panas.

Susu Sejuk Pun Selamat Diberi Kepada Bayi
Ramai ibu percaya memberi susu sejuk boleh menyebabkan bayi kembung atau batuk. Namun menurut CDC, susu sejuk selamat diminum asalkan bayi boleh menerimanya. Bayi yang biasa dengan susu suam mungkin perlahan-lahan perlu dibiasakan dengan suhu berbeza.
Susu Waktu Siang & Malam Punya Fungsi Berbeza
Menariknya, susu ibu pada waktu siang dan malam tidak sama! Kajian menunjukkan susu waktu siang mengandungi hormon kortisol yang membantu bayi kekal aktif dan fokus, manakala susu malam pula kaya dengan melatonin yang membantu bayi tidur lena.
Sebab itulah, kaunselor menyarankan ibu label waktu perahan (AM atau PM) agar bayi mendapat susu yang sesuai dengan keperluan badannya mengikut masa.
Kesimpulan: Simpan Susu Ibu Dengan Kasih & Ilmu
Penjagaan dan cara simpan susu ibu bukan sekadar soal penyimpanan, tetapi juga tentang memastikan setiap titisan mengandungi kasih sayang dan nutrisi yang sempurna untuk si kecil. Dengan pengetahuan dan langkah yang betul, ibu bukan sahaja dapat memastikan susu kekal segar, malah memberi yang terbaik untuk tumbesaran bayi tercinta. ❤️
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





















