
Setiap kali musim perayaan, ibu-ibu memang paling sibuk. Gigih siapkan baju raya anak, susun kelengkapan si kecil, pastikan ubat-ubatan cukup sebelum bergerak pulang ke kampung halaman.
Namun lain pula kisahnya dengan ibu hamil. Walaupun dapat beraya dengan tenang dan gembira bersama keluarga tercinta, penjagaan rutin ibu hamil tidak boleh dipandang ringan.
Menurut Dr Afida Sohana Awang Soh, Obstetrics & Gynaecology Senior Registrar di Klinik Pakar Wanita Metro Bukit Tinggi, ada beberapa perkara penting yang wajib diberi perhatian sebelum memulakan perjalanan.
Paling utama, buku pink atau buku rawatan antenatal mesti dibawa ke mana sahaja sepanjang tempoh beraya.
Berikut ialah check list ibu hamil balik kampung yang lengkap untuk semakan sebelum memulakan perjalanan.
Pesanan paling utama daripada doktor ialah pastikan anda membawa buku pink atau buku rawatan antenatal ke mana-mana.
Buku ini mengandungi rekod lengkap kehamilan anda termasuk keputusan ujian darah, tekanan darah, sejarah kesihatan dan perkembangan bayi. Sekiranya berlaku kecemasan, doktor di hospital atau klinik berdekatan boleh terus memahami keadaan kesihatan anda dengan cepat.
Jangan simpan dalam beg lain yang sukar dicapai. Pastikan ia mudah diambil bila perlu.
Dalam check list ibu hamil balik kampung, perkara ini tidak boleh diabaikan.
Sebelum bertolak, ambil sedikit masa untuk mengenal pasti lokasi klinik atau hospital berhampiran destinasi anda. Jika perjalanan jauh, cuba semak juga kemudahan kesihatan di sepanjang laluan.
Langkah ini mungkin nampak remeh, tetapi sangat membantu sekiranya anda mengalami kontraksi pramatang, pendarahan, sakit perut yang kuat atau sebarang tanda bahaya lain.
Persediaan awal memberi ketenangan sepanjang perjalanan.
Tidak semua kehamilan adalah sama. Ada ibu yang sihat tanpa komplikasi, ada juga yang mempunyai risiko tertentu seperti tekanan darah tinggi, diabetes ketika hamil atau sejarah keguguran.
Sebab itu, sebelum travel terutama jika jaraknya jauh, disarankan untuk berbincang dengan doktor perbidanan anda terlebih dahulu. Doktor lebih mengetahui tahap kesihatan dan keadaan kandungan anda, dan boleh memberi nasihat yang bersesuaian.
Jika perlu, doktor juga boleh mengeluarkan surat pengesahan kesihatan untuk perjalanan tertentu.
Bagi ibu yang merancang untuk beraya atau bercuti di luar negara, semak polisi insurans perjalanan anda. Pastikan ia merangkumi sebarang masalah berkaitan kehamilan.
Kos rawatan di luar negara boleh menjadi sangat tinggi. Jadi jangan ambil mudah soal perlindungan ini, terutamanya apabila merancang perjalanan jauh ketika hamil.
Sekiranya memilih untuk menaiki kapal terbang, ada beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian.
Pertama, periksa syarat syarikat penerbangan. Setiap syarikat mempunyai polisi berbeza tentang had usia kandungan yang dibenarkan untuk terbang.
Kedua, pastikan anda mempunyai surat ‘fit to fly’ daripada doktor perbidanan. Surat ini biasanya diperlukan apabila usia kandungan memasuki trimester ketiga.
Jika tempoh penerbangan melebihi empat jam, risiko pembekuan darah atau DVT meningkat. Untuk mengurangkan risiko ini, ibu hamil disarankan minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi. Elakkan minuman berkafein berlebihan yang boleh menyebabkan dehidrasi.
Selain itu, gerakkan kaki atau lakukan senaman ringan setiap 30 minit. Bangun dan berjalan seketika jika keadaan mengizinkan. Anda juga boleh mendapatkan stokin khas DVT atau TEDs stockings di farmasi bagi membantu melancarkan peredaran darah.
Balik kampung ketika musim perayaan selalunya mengambil masa lebih panjang daripada biasa. Jalan sesak, perjalanan boleh berganda tempohnya.
Jika terpaksa melalui perjalanan darat yang panjang, cuba berhenti setiap dua hingga tiga jam. Luangkan masa untuk turun dari kereta dan berjalan sebentar. Ini penting bagi mengurangkan risiko darah beku.
Minum air secukupnya walaupun anda risau perlu kerap ke tandas. Hidrasi sangat penting untuk ibu hamil. Dalam kereta juga, lakukan senaman kaki seperti menggerakkan pergelangan kaki dan meluruskan kaki secara berkala.
Pemakaian stokin DVT juga digalakkan bagi perjalanan yang lama sebagai langkah tambahan.
Ada ibu yang risau memakai tali pinggang keledar kerana takut menekan perut. Hakikatnya, tali pinggang keledar tetap wajib dipakai demi keselamatan.
Cara pemakaian yang betul ialah bahagian tali atas berada di paras payudara, merentasi dada dan tidak menyentuh leher. Bahagian tali bawah pula mesti berada di bawah rahim, pada aras pelvis, bukan di atas perut.
Elakkan tali pinggang berada tepat pada aras rahim kerana ia boleh memberi tekanan sekiranya berlaku hentakan.
Walau sebaik mana pun perancangan dibuat, ibu hamil perlu sentiasa peka dengan perubahan tubuh. Jika mengalami sakit perut yang kuat, pendarahan, air ketuban keluar, kurang pergerakan bayi atau rasa tidak sihat yang luar biasa, segera dapatkan rawatan.
Balik kampung memang menyeronokkan. Dapat berkumpul dengan keluarga, menikmati juadah raya dan berkongsi momen indah bersama insan tersayang adalah sesuatu yang sangat bermakna.
Namun keselamatan ibu dan bayi tetap keutamaan.
Rancang perjalanan dengan baik, buat persediaan rapi dan semak semula check list sebelum bertolak. Jangan abaikan nasihat doktor. Semoga ibu hamil selamat sampai ke destinasi dan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan tenang dan penuh kegembiraan bersama keluarga tercinta.