Ibu mana yang tidak bimbang dan mampu melelapkan matanya bila mana anak yang sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital. MUA yang cukup dikenali, MUA Bellaz turut berdepan hal yang sama bila mana anak ketiganya terpaksa dimasukkan ke hospital selepas positif jangkitan Rotavirus.
Menurut kata Mua Bellaz melalui Instagramnya, anak ketiganya, Ean Yusof, disahkan mengalami jangkitan itu selepas mengalami cirit birit dan muntah-muntah sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.
Kongsi Mua Bellaz lagi, Ean Yusof pada mulanya mengalami cirit birit empat hingga lima kali sehari dan kemudiannya turut muntah-muntah.
“Doktor mai habaq tadi lepas dah ambik sampel Yusuf. Yusuf positive ROTAVIRUS. Hmm patutlahh cirit berbau lain sampai 4-5 kali sehari beraknya.
“Lepas tu dia muntah. Penyakit ni boleh berjangkit dengan mudah dengan kanak-kanak, orang dewasa pun boleh kena. Risau semoga cepat sembuh anak mama,” katanya berkongsi.
Bahkan kata ibu anak empat ini lagi, anaknya turut mengalami demam dengan suhu yang tinggi diikuti batuk dan selesama.
Disebabkan jangkitan virus itu kata Bellaz, berat badan anak ketiganya itu yang kini berusia dua tahun juga turut terjejas.
“Tanda Rotavirus yang Ucup kena, dia cirit (berwarna kehijauan ada gelap ada hijau pudar).
“Lepas berak duk sat berak lagi, lepas tu muntah dah muntah dia tak lalu makan pastu dia berbau sangat busuk dari biasa diikuti dia selesema dan batuk.
Ads
“Tadi Dr check ada demam 39 suhu, dah boh ubat punggung. Semoga cepat sembuh hensem mama. Susut badan Yusuf, tadi timbang 11kg ja usia 2 tahun 3 bulan,” katanya lagi.
Malah ibu cantik manis ini juga turut memohon doa dari semua agar mengurangkan kesakitan yang dilalui anak kecilnya itu.
“Kalau hampa solat mintak tolong selitkan doa buat anak Bellaz, Ean Yusuf.
“Bellaz baru balik dari teman Yusuf tadi, balik-balik teringat kat dia. Kesian la tengok abang Yusuf tak larat, tak lalu makan.
Ads
“Susah hati la mama nak tidoq pun duk teringat. Dia tak selesa part tangan dia tu, pastu aiq tak masuk kena bukak balut tu cucuk pulak sebelah lagi sebab nak boh ubat antibiotics.
“Ya Allah sembuhkan anak ku ya Allah. Mintak doa Yusuf cepat sihat hampa aminn. Kesian la anak mama tak ceria. Abang Yusuf kuat,” katanya lagi.
Semoga Ean Yusof cepat-cepat sembuh dan kembali ceria seperti selalu.
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom.
Bab parenting style ni paling mudah jadi isu kan? Ada yang tak setuju cara seseorang didik anak, terus membahan dan menghentam sebelah pihak.
Tapi, sebagai ibu, kita tak boleh samakan parenting style dengan ibu yang lain dengan kita, sebab di antara kita sangat berbeza yakni dari segi
– Bilangan anak
– Karakter dan sifat anak
– Personaliti diri kita
– Faktor kewangan
– Masa bersama anak
– Perkerjaan kita
– Ilmu yang ada
– Sokongan dan bantuan sekeliling
Jadi, pandanglah dengan mata lebah bukan dengan mata lalat. Sebenarnya Allah telah kurniakan terlalu banyak nikmat dalam hidup kita. Kalau nak tulis, tidak cukup lautan dakwat seluruh alam.
Paling besar tanggungjawab nikmat yang Allah bagi dekat kita ialah anak. Kita dianugerahkan anak, tatkala ada insan lain yang masih nantikan zuriat bertahun lamanya.
Tak perlu bagi alasan negatif, “dia bolehlah ada helper, rumah pun cantik, duit banyak…”
Ambil dari sudut yang positif. Seseorang yang selalu memandang orang lain dengan mata lebah insyaAllah banyak manfaat. Orang yang memandang dengan mata lalat akan nampak yang buruk, sentiasa merungut, mengeluh berpanjangan dan kurang bersyukur.
Paling senang, kita keluar nampak seorang ibu yang berikan anak phone, dan ibunya juga pegang phone. Padahal anak tersebut tekan tekan je nak unlock tak pandai, ibu pula sedang membalas emergency message di phone satu lagi. Tapi, mata lalat kita pandang ibu tersebut dan terus berikan tanggapan negatif, iaitu ibu tersebut ajar anak gejet, abaikan anak depan mata.
Apa kata kita ubah diri kita? Pandang dengan mata lebah, melihat dan buat prasangka baik sahaja. InsyaAllah, kejadian yang baik mahu pun buruk ada sebabnya yang tersendiri.
Dengan ini
✅Kita akan jadi lebih bersyukur
✅Berfikiran positif
✅Lebih menghargai
✅Berasa tenang dan ceria
✅Selalu nampak kebaikan
✅Kurangkan titik hitam di hati
Yang penting tiap hari niat, ingin jadi ibu lebih baik dari semalam. Takpe kadang kala menyinga kalau penat, normal lah sebab itulah ibu. Semoga kepenatan kita semua sebagai ibu ini diberi ganjaran syurga Allah.
Walaubagaimanapun, Anis puji sangat cara seorang seorang selebriti ni didik anaknya dan boleh kita ambil contoh yang baik
1️⃣Tidak berikan gajet kepada anak
2️⃣Lemah lembut dengan anak
3️⃣Buat peraturan tonton TV
4️⃣Galakkan anak beraktiviti dan bonding dengan anak
5️⃣ Didik anak kemas rumah dari kecil
Yang baik kita jadi teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Mana yang baik kita ambil contoh. Paling penting, kita kenal diri kita. Tak perlu bandingkan diri kita dengan orang lain. Jangan sebab kita tak mampu, kita terus tujukan dan hakimi parenting orang lain.
“Don’t compare yourself to others. You have no idea what their journey is all about.”-
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lampin pakai buang sememangnya menjadi pilihan utama ibu bapa pada hari ini, terutamanya ibu yang berkerjaya. Rata-rata ibu bapa menggunakan lampin pakai buang untuk bayi mereka bagi memudahkan tugas mencuci. Tambahan pula, penggunaan lampin pakai buang adalah lebih mudah dan praktikal untuk bayi serta ibu bapa terutama ketika di luar rumah.
Walau bagaimanapun, bukan semua lampin pakai buang sesuai dengan bayi anda. Jika bayi A sesuai memakai lampin jenama A, tidak semestinya bayi B juga sesuai dengan lampin jenama A. Perlu ada ‘try and error’ dalam memilih lampin pakai buang. Jadi, di sini, tidak semestinya sesuatu jenis lampin itu sesuai dengan setiap bayi.
Bagi membantu ibu bapa memilih lampin yang betul, anda disarankan untuk melakukan perbandingan antara jenama yang ingin dicuba dahulu. Salah satu caranya adalah dengan mencuba pek percubaan lampin atau membeli lampin dalam pek kecil. Pek percubaan lampin selalunya boleh didapati secara percuma jika ada pengeluaran suatu produk baru oleh sesetengah syarikat lampin pakai buang.
Ciri-ciri yang perlu ada dalam memilih lampin pakai buang terbaik untuk bayi adalah:
Jangan memilih lampin yang terlalu ketat atau terlalu besar dengan tubuh bayi anda. Pilih lampin mengikut saiz dan kebesaran bayi. Lampin pakai buang kini tersedia dalam pelbagai saiz dari saiz newborn, saiz kecil hingga saiz besar. Terdapat dua jenis lampin pakai buang iaitu lampin yang berpelekat dan lampin seluar. Lazimnya, lampin seluar diberikan kepada bayi yang sedang aktif, supaya mudah untuknya bergerak dan meneroka persekitaran.
Kriteria utama dalam memilih lampin pakai buang. Penting bagi anda untuk mencari lampin yang mempunyai lapisan cepat kering dan mempunyai ciri-ciri perlindungan untuk mengelakkan kebocoran. Lazimnya, anak kecil yang aktif akan mengalami masalah kebocoran di celah paha jika lampin yang digunakan tidak sesuai. Justeru itu, ibu bapa perlu mencari lampin yang mempunyai lapisan dalaman yang dapat menyerap dan mengunci cecair supaya kulit bayi kekal kering. Cari juga lampin yang mempunyai lapisan luar beraliran udara bagi membolehkan kulit bayi bernafas. Lampin yang cepat basah boleh menyebabkan bayi mengalami ruam lampin.
Ada ibu bapa yang mengambil masa yang lama bagi memakaikan anak mereka lampin. Justeru itu, pilihlah lampin yang senang dipakai mengikut keaktifan bayi anda. Jika si manja anda masih kecil, adalah lebih sesuai jika dipakaikan lampin berpelekat namun jika si manja sudah mula aktif, carilah lampin seluar yang mudah disarungkan. Namun, jangan cari yang mudah tertanggal.
Tidak semua lampin yang mahal sesuai untuk setiap bayi. Oleh itu, cubalah teknik ‘try and error’ bagi mengetahui kesesuaian lampin dengan bayi anda. Baca dahulu ciri-ciri yang ada pada lampin sebelum anda memilih lampin terbaik untuk si manja.
Debaran dan kesabaran selama sembilan bulan anda menempuhi tempoh mengandung, pastinya terasa berbaloi dengan kelahiran si manja yang sangat dinantikan. Namun, kelahiran zuriat bukanlah penamat, sebaliknya ia adalah satu permulaan kepada satu bab baru dalam diari hidup anda dan pasangan. Aspek penjagaan bayi, bermula dari usia sehari merupakan antara tempoh terpenting dalam pembentukannya. Diharapkan artikel ini dapat membantu anda untuk lebih memahami bayi comel anda.
Tahukah anda, sebenarnya bayi yang baru lahir mempunyai kebolehan yang menakjubkan? Pada minggu-minggu pertama kelahiran, anda mungkin merasakan bahawa si manja anda cuma hanya mampu untuk menangis, menyusu, tidur dan membuang air kencing serta berak. Namun, menurut pakar pediatrik perkembangan dan tingkah laku di Tufts-New England, Dr Naomi Steiner, menyatakan bahawa bayi yang baru lahir mempunyai otak yang superaktif dan dipacu untuk mempelajari sesuatu yang baru.
Menurut penyelidikan yang dibuat menggunakan teknologi tinggi dalam fotografi intrauterin dan pengimejan otak, ia menawarkan bukti empirikal mengenai fakta bahawa setiap bayi yang dilahirkan adalah makhluk pintar yang dilahirkan dengan keperibadian unik.
Pada awal bulan kelahiran ini, bayi anda mungkin akan mencuba dan boleh mengangkat kepalanya sebentar apabila anda mengangkatnya. Namun, dalam masa yang anda masih perlu menyokong kepalanya.
Bayi anda juga menjadi lebih berekspresi dan mungkin mula membuat bunyi-bunyi riang apabila dia nampak anda. Berikan tindak balas dan galakkan kemahiran berkomunikasi yang sedang berkembang itu.
Pada usia sebulan, bayi anda menjadi lebih sensitif terhadap sekelilingnya. Penglihatan dan pendengarannya semakin baik, jadi dia akan lebih perasan apa yang berlaku di sekelilingnya. Anda mungkin lihat dia memberi respons dengan gembira jika diberi mainan yang berwarna-warni, atau apabila mendengar dan melihat wajah anda apabila anda memegangnya dekat-dekat. Dia juga mungkin memberikan tindak balas terkejut apabila mendengar bunyi kuat yang tiba-tiba.
Bayi dilahirkan apabila mereka sudah bersedia untuk keluar bertemu dunia, tetapi mengapa mereka tidak mampu untuk melihat dan mengawal kaki mahupun tangan? Ini kerana sistem saraf dan otak pada bayi adalah sebahagian daripada proses perkembangan. Pada saat dilahirkan otak mereka hanyalah seperempat daripada otak individu dewasa dan hanya mampu mengawal fungsi penting seperti bernafas, menangis, tidur dan menyusu (makan). Manakala korteks serebrum – bahagian otak yang mengawal pemikiran dan emosi yang lebih rumit – masih dalam proses perkembangan dan pembangunan yang membolehkan mereka untuk bertindak balas mengikut kehendak dan bukan sekadar tindak balas terhadap persekitaran sahaja.
Bayi comel anda dilahirkan dengan 100 bilion neuron, iaitu sel otak. Tetapi neuron sahaja tidak akan merangsang pertumbuhan dan kebolehan. Untuk membolehkan bayi anda berkemampuan dari mengesan objek sehinggalah tersenyum saat diagah, sel-sel otak tersebut perlu berhubung antara satu sama lain, membentuk rangkaian panjang seakan jambatan yang menghubungkan antara sel. Gabungan dan hubungan antara sel otak ini dipanggil sinapsis. Otak bayi menghantar maklumat 16 kali ganda lebih perlahan berbanding individu dewasa. Untuk mempercepatkan proses itu akan memakan masa, di mana sewaktu dilahirkan, sel-sel otak mereka baru akan mula untuk menghasilkan myelin – bahan lemak dan padat untuk mempercepatkan hubungan sel. Dalam tempoh 3 bulan pertama, sinapsis si manja anda akan berkembang berlipat kali ganda, iaitu melebihi 20 kali ganda.
Sebagai ibu bapa, peranan anda dalam membantu perkembangan dan tumbesaran otak bayi comel anda adalah dengan melakukan seperti apa yang biasa dilakukan oleh ibu bapa lain – berinteraksi, menyentuh, mendodoikannya dan lain-lain – yang turut membantu kepada pertumbuhan otak serta menjadikan si manja anda lebih pintar dan bertindak balas terhadap persekitarannya.
Kulit si manja yang baru lahir adalah merupakan organ tindak balas yang paling besar dan berkembang pesat. Pada saat dilahirkan, mereka dapat memberikan tindak balas terhadap suhu, tekstur, tekanan dan rasa sakit. Bibir dan tangan mereka mempunyai bilangan reseptor sentuhan yang terbesar.
Pada minggu ke-28 kehamilan, bayi dalam kandungan anda sudah boleh menggunakan hidungnya. Satu bukti yang boleh menunjukkan tahap kepekaannya adalah apabila si manja yang baru dilahirkan diletakkan di antara pad payudara ibunya dan individu wanita lain, dan kebanyakan bayi akan bertindak balas dan berpaling ke arah bau ibunya.
Ketika di dalam rahim, bayi anda akan dapat merasa pelbagai jenis rasa ketika dia menelan cecair amniotik. Kajian menunjukkan bahawa janin akan lebih menelan cecair tersebut apabila ianya manis dan kurang menelan apabila cecair itu berasa pahit atau masam.
Walaupun pendengaran bayi anda masih lagi belum matang sepenuhnya semasa dilahirkan, seperti pusat pemprosesan bunyi di otaknya, si manja anda boleh mendengar anda dan lebih gemarkan bunyi suara manusia berbanding suara lain, terutama jika suara itu adalah milik anda.
Pada saat pertama anda melihat si comel anda, matanya sudah mempunyai kemampuan penglihatan yang baik. Namun, otaknya masih belum matang untuk membezakan antara warna yang dilihat. Ketika bayi comel anda berusia 3 bulan, dia akan mempunyai keinginan untuk melihat dunia di sekelilingnya dan akan lebih tertarik kepada warna-warna cerah atau kontra yang lebih menyerlah dan gemar untuk melihat muka individu di persekitarannya.
Pada ketika bayi comel anda berginjak ke usia 4 bulan, si manja akan mula bertindak balas dengan tersenyum apabila melihat anda dan merengek apabila anda meninggalkannya. Ia adalah perkembangan sosial yang baik dan tepat.
Memasuki bulan keempat kehadiran si manja, hidup anda akan secara beransur-ansur menjadi kurang sibuk atau kelam-kabut. Malah anda mungkin sudah terbiasa dengan rutin kehidupan baru anda ini. Pada tahap ini, keseronokan mempunyai cahaya mata akan anda rasai. Ini kerana menurut pakar pediatrik, Dr. Stanley I. Greespan, pengarang buku Building Healthy Minds (Da Capo Press), menyamakan tahap ini untuk bayi ‘jatuh cinta’. Ini kerana bayi yang berusia 4 bulan sudah mula untuk memberikan kasih sayang sebanyak mana yang mereka perolehi. Mereka tidak akan lagi hanya menangis atau tersenyum, berjaga atau tidur, tetapi akan memberikan ekspresi yang lebih kompleks dengan mewujudkan hubungan kepada individu yang menyayangi dan menjaga mereka.
Dalam tempoh ini bayi anda akan mula untuk memberikan tindak balas yang bukan sekadar senyuman, tetapi akan turut disertai dengan pergerakan mulut, tangan, kaki atau seluruh badannya bergantung kepada rima percakapan anda, menyentuh muka anda dan membalas percakapan anda dengan suara yang ceria walaupun si manja anda mungkin tidak dapat melihat anda.
Pada tahap ini, salah satu pencapaian paling hebat adalah apabila si manja anda berkeupayaan untuk menyuarakan emosinya. Pada awal kelahirannya, hanya tangisan yang dapat menarik perhatian anda. Tetapi memasuki bulan keempat, kebanyakan bayi mempunyai keinginan yang tinggi untuk berkomunikasi. Si manja anda mungkin akan mula ‘bercakap’ dengan babbling bunyi vokal terbuka seperti ‘ooh’, ‘eem’ atau ‘aah’. Secara beransur-ansur, bayi anda akan bereksperimen dengan menggunakan lidah, gigi dan titik vokal.
Bagaimana untuk memastikan bahawa bayi anda sedang belajar bahasa, seandainya dia tidak bercakap sebarang perkataan? Kuncinya adalah perhubungan. Kajian menunjukkan bayi antara usia 4 hingga 6 bulan yang mempunyai individu yang kerap bercakap dengannya akan lebih cepat belajar bahasa dan bercakap berbanding bayi yang tidak berhubungan dengan mana-mana individu. Sebagai ibu bapa, anda perlu lebih kerap untuk bercakap dengan si manja anda dan dengar apa yang mereka katakan kepada anda. Anda tidak memerlukan gajet canggih. Cukup sekadar dengan melihat buku bersama dan bercakap tentang gambar, berbual ketika anda menukar lampinnya atau tunjukkan kepada mana-mana arah yang menarik ketika membawanya berjalan.
Apabila bayi anda sudah mula menjadi lebih responsif, anda kini sudah boleh mula untuk mengenal pasti personaliti si manja di mana keperibadian uniknya akan mula berkembang. Pakar pembangunan kanak-kanak menggunakan sembilan sifat asas untuk mengambarkan perangai si manja anda. Beberapa aspek mudah untuk dibaca adalah seperti keteraturan – sama ada si manja anda akan lapar dan tidur pada waktu yang sama setiap hari -, penyesuaian diri dengan perubahan, kepekaan, tahap aktiviti dan gangguan. Sebagai contoh, jika bayi anda adalah seorang yang sensitif, dia mungkin cenderung kepada keterujaan apabila mendengar bunyi yang bising atau ramai individu di sekelilingnya.
Antara perkembangan fizikal paling besar pada usia 4 hingga 6 bulan adalah apabila si manja sudah mempunyai keupayaan untuk melihat dunia di sekelilingnya. Berbanding sentuhan, rasa dan bau, penglihatan merupakan antara deria yang paling primitif ketika bayi anda dilahirkan, kerana ia merupakan satu deria yang tidak mendapat sebarang rangsang ketika berada di dalam rahim. Mencecah usia 6 bulan, penglihatan bayi anda akan berkembang ke tahap persepsi yang mendalam, penglihatan warna dan kemampuan mengawal gerakan mata dengan lebih baik. Peningkatan ini selaras dengan kemahiran motornya yang semakin meningkat dengan keupayaan untuk bermain dengan tangan sendiri, menendang, menyentuh atau menjangkau dan mengambil barang di hadapannya.
Antara usia 4 hingga 6 bulan, kebanyakan bayi akan mula untuk mengawal tingkah laku mereka sendiri. Mereka akan mula untuk melakukan pelbagai perbuatan seperti merasa atau menggigit sesuatu, mencapai barang mainan dan mengalihkan pandangan kepada pandangan yang lebih menarik. Menjelang usia 6 bulan, si manja anda akan lebih kerap untuk mencapai sesuatu objek, meneliti dan memasukkannya ke mulut untuk mengetahui tentang rasa dan tekstur serta mengubahnya dari sebelah tangan ke sebelah tangan yang lain. Bayi anda akan menjadi lebih stabil dan apabila berginjak usia 6 bulan, dia akan mempunyai kekuatan otot dan koordinasi badan untuk duduk.
Bayi comel anda semakin membesar, berikut adalah beberapa aspek penjagaan yang harus diberi keutamaan:
1. Penjagaan gigi
Pada seawal usia 6 bulan, gigi pertama bayi anda mula muncul. Biasanya satu daripada gigi bawah hadapan keluar dahulu, diikuti dengan gigi di sebelahnya dan kemudian dua batang gigi atas hadapan. Sebaik sahaja gigi pertama bayi anda muncul, cucinya dua kali sehari perlahan-lahan dengan berus gigi bayi atau jari anda sendiri yang disapu sedikit ubat gigi kanak-kanak berfluorida. Jika bayi anda menolak pada kali pertama, cuba jadikannya sebagai satu permainan.
2. Pergerakan dan penggunaan tangan
Bayi anda mungkin lebih suka menggunakan sebelah tangan untuk beberapa ketika dan kemudian bertukar ke tangan satu lagi. Tetapi anda tidak akan benar-benar tahu samada dia kidal atau tidak hinggalah dia berusia di antara dua dan tiga tahun.
Samada bayi anda kidal atau tidak telahpun ditentukan sebelum dia dilahirkan lagi. Jadi jangan cuba untuk mempengaruhinya. Memaksa dia menggunakan tangan kanannya apabila dia sebenarnya kidal boleh mengelirukan anak anda dan lama-kelamaan akan menjurus kepada masalah dengan koordinasi tangan-mata, ketangkasan dan penulisan tangan.
3. Pemilihan pakaian
Apabila bayi anda semakin aktif, dia akan menghargai pakaian yang selesa. Pilihlah daripada fabrik lembut yang tidak melecetkan kulitnya apabila dia bergerak. Pakaian yang longgar, memberi dan berangin adalah yang terbaik – bukan sahaja kerana cuaca di Malaysia yang panas, tetapi juga kerana pakaian begini memberinya ruang untuk bergerak-gerak.
Elakkan pakaian yang mempunyai hujung jahitan yang kasar atau gatal, mempunyai tali leher panjang, butang atau tali leher rama-rama (yang mengundang risiko tercekik). Bayi anda perlu selesa untuk tidur, dan bebas untuk merangkak, belajar atau sekadar meneroka.
4. Mula bermain
Adakah bayi anda mula menyukai mainan lembut, terutamanya mainan lembut kecil ataupun besar? Mungkin dia juga mempunyai objek selesa yang paling digemarinya. Jika ya, tidak lama lagi anda tidak boleh pergi ke mana-mana tanpa membawa mainan tersebut. Rasa ikatan terhadap sesautu mainan seperti ini ialah tanda kemunculan rasa kebebasan. Bayi anda sedang belajar untuk memisahkan dirinya daripada anda, perlahan-lahan tetapi dengan yakin.
Apabila menambah mainan haiwan baru, pilihlah yang lembut dan yang dijahit dengan kukuh. Jika ada yang kelihatan seperti akan menjadi kegemarannya, mungkin berbaloi untuk membeli satu lagi sebagai sandaran. Dnegan cara ini dia boleh memeluk satu sementara yang satu lagi sedang dicuci. Dan anda juga mempunyai sandaran kalau-kalau mainan kesayangannya itu hilang!
Permainan terbaik
Bersediakah anda untuk melakukan beberapa keseronokan dan tip untuk menjadikan si manja anda lebih bijak? Antara usia 6 hingga 12 bulan, merupakan antara tempoh yang penting dan peluang untuk ibu bapa memberikan pengalaman awal yang positif dan mendatangkan impak kepada tumbesaran anak.
Kajian menunjukkan wujudnya hubungan antara muzik dan perkembangan kognitif pada bayi. Perkembangan paling hebat adalah ketika mereka masih di dalam rahim sehingga la mencecah usia 2 tahun. Terdapat satu kajian daripada Institut Pembelajaran dan Sains Otak (I-LABS) dari University of Washington menyatakan bahawa muzik membuatkan bayi menjadi lebih pintar. Kajian itu menunjukkan bagaimana satu sesi bermain muzik dapat mempertingkatkan pemprosesan otak bayi.
Anda boleh menggunakan muzik untuk melakukan aktiviti ini. Tahukah anda bahawa muzik mempunyai kaitan dengan kemahiran matematik lanjutan, kemahiran berbahasa asing, ingatan dan fokus yang dapat merangsang perkembangan otak bayi bermula pada bulan ke-5 kehamilan sehinggalah berusia 2 tahun?
Menjelang usia 1 tahun, bayi anda akan lebih menyukai kehadiran anda dan akan mula menangis apabila anda meninggalkannya. Kegelisahan perpisahan adalah sesuatu yang normal dan sihat. Anda tidak perlu berselindung atau menyorok kerana ini hanya akan membuatkan bayi anda tertanya-tanya jika anda akan pergi meninggalkannya lagi. Sebaliknya apabila anda ingin pergi meninggalkannya, katakan ‘Selamat tinggal. Nanti petang mama balik dan kita jumpa, sayang awak’.
Anda mungkin boleh menggunakan buku atau flashcard. Sebagai contoh anda boleh menunjukkan gambar kucing. Tunjukkan bayi anda gambar kucing, dan katakan ‘tengok kucing ini, dan buat bunyi ‘meow-meow’. Teruskan mengajarnya dengan cara begini, mengenai anggota badan, bintang, kenderaan dan lain-lain. Berginjak usia 12 bulan, bayi anda akan mampu untuk menunjukkan gambar yang betul apabila anda menunjukkan lebih daripada satu gambar dan bertanyakan yang mana satu kucing. Selamat berusaha!
Lakukan aktiviti yang menyeronokkan dengan menyembunyi mainan kecil kepunyaan si manja anda dan biarkan mereka melihat anda menyembunyikannya di bawah selimut. Si manja akan belajar untuk mencari dan menjumpainya. Pada usia 12 bulan, bayi kecil anda sudah berkemampuan untuk mencari barang tersembunyi. Menyeronokkan bukan?
Gerak dan mainkan jari comel bayi anda. Gabungkannya dengan nyanyian atau percakapan untuk menarik minat si manja.
Cuba lakukan ini kepada bayi anda dan anda akan melihat bayi anda meniru perlakuan anda dan melakukan perkara yang sama.
Tiada apa yang paling diingini oleh bayi comel anda apabila ibu bapanya meluangkan masa bersama. Sebagai ibu bapa, anda pastinya tidak mahu terlepas melihat perkembangan bayi anda sendiri bukan?