“uwaaaaa, mommy..no daddyyyy!!!!” menangis si kecil cemburu melihat daddy memeluk mommy. Sebolehnya mommy adalah haknya sahaja, tidak boleh dikongsi sama sekali. Pernah tak anda mengalami situasi ini?
Mengapa mereka sudah pandai merasa cemburu? Ini antara sebabnya:
1. Mama kepunyaan saya seorang!
Biasanya si kecil lebih rapat dengan mama. Jadi dia beranggapan mama hanya miliknya seorang. Bila perhatian bukan diberikan kepadanya, dia jadi marah dan cemburu.
2. Tak tahu bagaimana nak luahkan
Oleh kerana masih kecil, dia tak tahu bagaimana nak meluahkan perasaannya. Menangis, menolak atau memukul papa supaya menjauhi mama adalah cara yang akan dilakukan sebagai satu amaran jangan mengambil ‘hak miliknya’.
3. Tak nak berkongsi
Si kecil hanya mahu mama menjadi milikinya dan tak boleh berkongsi dengan orang lain termasuk papa! Dia fikir hanya dia sahaja yang mama perlu peluk dan cium.
Ads
4. Si kecil rasa terancam
Merasakan tempatnya cuba diambil alih oleh orang lain. Oleh kerana dia rasa terancam maka hanya tangisan dan kemarahan sahaja menjadi senjatanya untuk menghalang perkara tersebut daripada berlaku.
5. Mahu perhatian
Sebenarnya anak anda mahukan perhatian sentiasa diberikan kepadanya. Rasa cemburunya tak dapat dibendung bila melihat papa dan mama saling berkasih sayang tanpa memberikan dia perhatian.
6. Rasa diri tak disayangi
Ads
Rasa bimbang dirinya sudah tidak disayangi oleh mama. Oleh kerana dia belum faham tentang erti hubungan kekeluargaan dan suami isteri maka dia merasakan bila mama memeluk atau mencium papa seperti mama lakukan ke atas dirinya bermakna dia sudah tidak disayangi lagi.
7. Dunianya masih kecil
Oleh kerana masa si kecil lebih banyak dihabiskan bersama papa, mama dan pengasuh maka dia masih tidak faham tentang luasnya erti kasih sayang. Apabila dia semakin besar dan punya ramai kawan dan melakukan banyak aktiviti, si kecil akan lebih faham tentang kasih sayang antara papa dan mama.
Apa patut dilakukan?
Sebenarnya ia adalah perkara normal bila anak anda cemburu pada papa atau mama. Dia mungkin tidak tahu bagaimana meluahkan rasa cemburunya selain daripada menangis. Maka penting untuk anda berdua memujuk dan memberitahunya, tetapi jangan berhenti menunjukkan kasih sayang antara kalian suami isteri di depan anak kerana amat penting bagi mereka melihat ibu bapa yang saling sayang menyayangi.
* Cuba buat “group hugs” dan “group kisses” iaitu sentiasa ‘masukkan’ anak sekali semasa memeluk pasangan suami/isteri. Barulah dia tak rasa dipinggirkan.
* Sentiasa beritahu anak yang mama sangat sayangkan dia dan papa.
* Wujudkan suasana gembira dan menyeronokkan dengan mencium dan memeluk si kecil secara bergilir-gilir dengan suami/isteri. Dengan cara ini dia tahu mama tetap sayangkan dia walaupun dalam masa yang sama sayangkan papa juga.
* Sentiasa curahkan kasih sayang dan perhatian kepada si kecil yang baru mengenal kehidupan.
Oleh kerana si kecil adalah peniru yang hebat, maka menjadi tugas ibu bapa untuk sentiasa menunjukkan kasih sayang antara suami isteri tetapi dalam cara yang berhemah. Dalam masa yang sama jangan abaikan dirinya yang masih belum faham tentang perkongsian kasih sayang sekeluarga. Apa yang si kecil tahu, mama adalah hak miliknya seorang!
____________
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebanyakan ibu bapa selalu merungut anak susah nak tidur awal waktu malam. Ada tu pukul 1 atau 2 pagi pun anak masih lagi segar dan ajak nak bermain.
Bagi ibu bapa yang bekerja ini yang menambahkan lagi tekanan kerana esok kena bangun awal sehingga boleh menyebabkan badan letih dan tak cukup rehat.
Jika diikutkan kita boleh je nak disiplinkan anak. Syaratnya kena mulakan sejak bayi lagi. Apa yang dikongsikan oleh papa ini, Muhammad Syahrul Fitri Zawawi (Dr Syahr Musafir) boleh dijadikan panduan bersama.
—————————————————————————–
Sepanjang 6 tahun 6 bulan (ikut usia Along) saya dan isteri bergelar bapa dan ibu, kami tak pernah berjaga malam kerana anak-anak bermain, tak mahu tidur, merengek tak tentu pasal. Jam 9 malam secara konsisten anak-anak masuk tidur dan bangun sekitar Subuh setiap pagi.
Pengalaman dengan 3 orang anak ini, sepanjang malam anak-anak akan tidur, kecuali masa nak menyusu (logiklah, anak kecil), tetapi menyusu ini tidak dikategorikan sebagai berjaga. Kalau waktu demam pun selalunya tidur tetapi mahu diriba atau dipeluk, kerana tidak sihat atau perlukan perhatian. Saya dan isteri memilih untuk berjaga sebab nak pantau suhu dan keadaan anak-anak, bukan sebab anak-anak tak nak tidur.
Saya kongsi apa yang saya dan isteri saya buat. Mana yang baik, ambillah. Mana yang tak baik, abaikanlah. Ini bukan tulisan arahan, ini bukan tulisan menyuruh memaksa. Ini adalah perkongsian pengalaman 6 tahun sebagai ibu bapa dan punya 3 anak kecil. Bukan membangga diri, tetapi berkongsi untuk diambil manfaat oleh ibu bapa yang mahu.
Papa adalah saya, Mama adalah isteri saya, supaya lebih mudah faham.
1) Disiplin Tidur Ibu Mengandung
Kandungan berusia 6 minggu, baru kami tahu Mama mengandungkan Along. Ketika itu tahun 2010, kami berada di Australia nak menghabiskan tahun akhir pengajian ijazah (Bachelor degree). Seperti yang kita faham, apa sahaja ‘perangai’ ibu mengandung akan diikuti oleh si anak. Maka bermulalah Disiplin Tidur Ibu Mengandung yang Mama amalkan.
Jam 10 malam, Mama kena berhenti daripada melakukan semua aktiviti fizikal dan masuk bilik untuk mula rehat. Ada masanya Mama buat sudoku, baca buku, tilawah al-Qur’an, menonton video atau mendengar ceramah. Sekitar 11 malam, Mama akan tidur.
Untuk disiplin ini, Papa ambil alih tugas-tugas rumah. Kemas rumah atau cuci pinggan mangkuk segala bagai, Papa kena buat. Sudah jam 11 malam, Mama mengandung kena rehat.
2) Disiplin Masa Tidur Sejak Dari Bayi; Siang Cerah, Malam Gelap
Hari pertama Along dilahirkan, Mama amalkan disiplin yang sama tetapi ubah masa. Masuk waktu Maghrib, bilik tidur akan digelapkan (tutup lampu). Bukan nak tidur terus selepas waktu Maghrib, tetapi untuk ‘mengajar’ bayi bahawa siang sudah berganti malam. Mama menyusu dalam keadaan gelap, hanya diterangi lampu tidur.
Along tidur sepanjang malam, hanya bangun nak menyusu sahaja.Tiba waktu Subuh, Papa akan hidupkan lampu untuk cerahkan bilik. Bayi bangun menyusu dalam keadaan bilik cerah. Nak mengajar bayi bahawa malam sudah berganti siang pula.
Sepanjang siang, jangan gelapkan bilik atau ruang yang Mama guna. Alhamdulillah sepanjang pantang, bayi tidur di ruang cerah sepanjang siang dan tidur di ruang gelap sepanjang malam. Jadual tidur bayi konsisten tidur sepanjang malam sekitar Isyak dan bangun sekitar Subuh, hanya bangun menyusu sahaja.
Ada ibu bapa muda yang risau anak-anak kecil tidur dalam bilik gelap – this is OK. Tak salah apabila kita risau. Tapi apabila terlalu risau, boleh jadi salah. Kalau tak nak betul-betul gelap, boleh guna night light yang kecil macam kami.
Yang penting, siang itu cerah, malam itu gelap. Siang untuk aktiviti, malam untuk tidur.
3) Teruskan Sepanjang Membesar Dan Sehingga Membesar
Alhamdulillah dari hari pertama Along melihat dunia, disiplin masa tidur yang kami amalkan ini diikut oleh Along.
Cabaran bermula apabila Along sudah mula pandai berjalan, usianya 1 tahun, Along sudah mula kurang tidur siang. Kami mula risau adakah disiplin masa tidurnya akan berubah. Sangkaan kami meleset kerana ikut pengalaman kami, semakin banyak aktiviti anak semasa siang, anak akan kepenatan dan tidur awal pada malamnya. Ketika ini Along merengek nak tidur sekitar jam 5 petang, kami mandikan, sekitar jam 5.15 sudah masuk waktu Maghrib di Australia (musim sejuk), Along akan menyusu dan tidur sepanjang malam sehingga ke sekitar waktu Subuh. Lebih kurang 11 jam cukup untuk tidur malam, selebihnya 2 hingga 3 jam jam tidur siang. Anak seusia 1 hingga 3 tahun perlukan waktu tidur sekitar 12 hingga 14 jam sehari.
4) Anak Kedua Ikut Pattern Tidur Anak Pertama
Along mengikut disiplin tidur ini secara konsisten sehingga berusia 2 tahun 3 bulan ketika menerima kelahiran adiknya, cahaya mata kedua kami iaitu Angah IY.
Mama mula tumpukan perhatian lebih kepada bayi, mengikut disiplin tidur yang sama kami amalkan ketika Along masih bayi dulu. Sekitar waktu Maghrib-Isyak, Mama menguruskan bayi yang nak tidur.
Oleh sebab Mama perlu jaga bayi baru, Papa perlu menguruskan Along. Papa akan pastikan Along melakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang, tidur yang produktif (maksudnya tidur dalam 1 hingga 2 jam pada siang) dan bermain, belajar, pada waktu tidak tidur. Bak kata orang, “Biar anak penat waktu siang, jadi anak akan tidur pada waktu malam…” Lebih kurang beginilah. Alhamdulillah, berjaya.
Angah, dari usia bayinya sehingga membesar dan merangkak, mengikut disiplin tidur malam yang sama seperti Along.
Sepanjang membesar, kami menjangkakan cabaran yang pelbagai. Tetapi semuanya jadi mudah kerana Angah ‘mengikut’ disiplin Along. Along nak tidur, Angah pun jadi nak tidur. Jadi disiplin ini berterusan…
5) Luang Masa Bersama Anak Ketika Nak Tidur
Sudah semestinya anak-anak kecil takkan tidur sewenang-wenangnya sebegitu. Ada beberapa perkara yang kami lakukan untuk ‘tidurkan’ anak-anak. Lebih kurang nak pujuk supaya tidurlah, katakan.
– Bercerita
Anak-anak, sejak kecil, sudah boleh faham apa sahaja kita cakap. Bercerita apa sahaja, anak-anak akan seronok. Apabila Papa tak ada idea nak bercerita, Papa akan bacakan buku cerita. Apabila tak ada idea lain, Papa akan menyanyi lagu-lagu yang menenangkan.
– Bacaan al-Quran dan selawat
Ini paling mujarab. Papa selalu bacakan Surah As-Saff, anak-anak akan mengikut bibir dan akhirnya tidur.
Bahkan Mama lebih konsisten dan istiqamah kerana Mama menyusu badan buat Along dan Angah. Masa yang banyak antara Mama dan anak-anak menjadikan bonding yang cukup kuat. Alhamdulillah… Anak-anak jadi menurut kata, dengar dan taat, alhamdulillah, dari segi disiplin dalam rumah, tidur dan bermain (kemas barang selepas main).
– Tempat Tidur Yang Selesa
Sediakan katil yang selesa, ruang yang menenangkan untuk anak-anak tidur. Kalau bilik bersepah, kita pun tak nak tidur.
– Temankan Anak
Jangan kita arahkan atau suruh anak-anak pergi tidur tapi kita dok depan TV layan drama. Papa akan temankan anak-anak dalam bilik, bercerita dan semuanya, sehingga anak-anak tidur.
– Pamerkan Kasih Sayang
Peluk cium anak-anak kita. Kena buat mereka rasa dilindungi, disayangi dan dihargai. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah seharian di luar, semasa nak tidur inilah masa untuk kita tunjukkan kepada anak-anak tentang we care, we love and we want the kids to know we love them.
6) Bersedia Dengan Cabaran Baru
Oleh kerana Mama menguruskan bayi, Papa bertanggungjawab menguruskan Along dan Angah. Disiplin tidur perlu diikut. Siang untuk aktiviti, tidur siang sekadar 1 hingga 2 jam, dan waktu Maghrib untuk khidmat diri, sekitar selepas Isyak Along dan Angah diajak masuk ke bilik untuk bacaan dan seterusnya tidur.
Alhamdulillah Aboy ikut disiplin yang sama. Kami mandikan sekitar waktu Maghrib dan akan menyusu seterusnya tidur sekitar waktu Isyak.
7) Mama Sedang Hamil Perlukan Disiplin Tidur, Papa Berperanan Urus Anak-anak Yang Besar
Point nombor 1 iaitu “Disiplin Tidur Ibu Mengandung” diamalkan Mama bagi anak kedua dan ketiga. Oleh kerana Mama mengandung, Papa kena main peranan uruskan anak-anak ketika tiba waktu tidur.
8) Pengorbanan Paling Mencabar; Tak Boleh Keluar Malam
Point nombor 8 ini paling simple, tetapi boleh jadi paling mencabar. Apabila senja saja, anak-anak sudah terbiasa untuk khidmat diri (mandi dan pakai baju tidur), tak kisah di mana sahaja. Ikutilah disiplin selagi mana di rumah dan tempat-tempat bersesuaian.
Ketika berada di restoran, seboleh mungkin kami akan pergi sebelum waktu Maghrib. Siap order makanan, Papa Mama bergilir pergi solat – kami wajib pilih restoran yang ada sediakan surau. Makan-makan selepas itu dan seterusnya pulang ke rumah. Bersedialah anak-anak tidur dalam kereta sepanjang perjalanan pulang.
No such things as pergi shopping waktu malam bersama keluarga dan sebagainya. Kalau tetamu datang rumah pada waktu malam pun Papa dan Mama akan mention datang sebelum Maghrib atau selepas waktu Isyak sebab waktu Maghrib-Isyak adalah waktu kritikal kami nak uruskan anak-anak nak tidur.
9) DOA
Doa banyak-banyak moga Allah SWT kurniakan anak-anak yang mudah dijaga, sihat, soleh/ah dan menyenangkan jiwa-jiwa kita sebagai ibu bapa.
Setiap hari kalau anak tak boleh tengok gajet, resah, gelisah, mengamuk tak tentu pasal semua ada. Selagi tak dapat, selagi itulah akan merengek dan sekaki dengan kita kan?
Disebabkan ibu bapa rasa anak dah mula menganggu nak buat kerja, akhirnya terpaksa juga beri anak tengok dengan alasan mereka akan leka dan boleh diam.
Anak-anak ini bila dah dapat gajet, boleh duduk diam berjam-jam. Makan minum dah tak kisah asalkan boleh layan cerita atau game.
Ingat ya walaupun kita nampak mudah nak uruskan anak macam ni, tapi kesan jangka panjang sangat tak elok. Sebab tu ibu bapa kena jadi kreatif dan cipta permainan yang boleh merangsang perkembangan anak baik dari aspek fizikal atau mental.
Perkongsian dari Puan Rasyidah Salleh melakukan aktiviti montessori yang sangat menarik untuk anaknya mungkin boleh dilakukan juga oleh ibu bapa lain pada anak-anak supaya mereka boleh lupakan gajet.
CUT THE FRUITS
Tak sabar nak tunggu anak teruna ibu tolong kat dapur. Gaya pegang pisau ‘A’ dah tu.
Kekuatan : Membantu bayi untuk fokus dalam membuat sesuatu perkara, bantu motor skill (pegang pisau)
GOAL
Bola-bola dari berlainan jenis. Ada yang keras, ada yang lembik, ada yang ringan, ada yang bantal.
Kekuatan : Memberi bayi pendedahan tentang kepelbagaian berat bola, bantu bayi fokus.
RIGHT HOLE
Bayi harus memasukkan batang aiskrim & pompom di lubang yang betul.
Kekuatan : Mendedahkan tentang kepelbagaian bentuk sesebuah barang, membantu bayi fokus.
SCOOP & TRANSFER
Ni paling lama dia main! Sejenis yang gigih.
Kekuatan : Membantu bayi fokus, koordinasi mata & tangan
ALA-ALA FLUBBER
Bahan : Campur tepung jagung & air, kacau untuk dapatkan kepekatan yang sesuai. Tekstur dia sangat menarik!
STRAW THREADING
Bayi akan sangat bersungguh bila buat ‘threading’.
ICE ICE BABY
Boleh letak buah berwarna warni sebelum keraskan ais tu untuk lebih menarik!
BABY DRUM CIRCLE
PARKING LOT
Mula2 ni dia tahu parking kereta je, lepas ni boleh upgrade letak sticker nombor & nomborkan parking tu.
SWEEP THE FLOOR
Sapu ‘sampah’ dengan kumpulkan sampah itu dalam satu petak tiles lantai yang ditetapkan.
Strength : Motor skill & focus
Nak galak anak buat kerja rumah, baca
“Innallaha yusikum biummahatikum”- (Sesungguhnya Allah mewasiatkan kepadamu supaya berbakti kepada ibumu)
Saya mempunyai anak saudara berusia 6 tahun yang suka minum air manis dan berais. Tidak kiralah sama ada waktu pagi, tengah hari ataupun malam, dia tetap mahukan air manis dan kurang minum air kosong. Dalam pada itu, dia tidak suka makan nasi dan akan menikmatinya sekali sehari sahaja. Adakah pemakanan sebegini membahayakan kesihatannya? Apakah yang harus saya lakukan untuk membantu?
Norlaila Ali – Segamat, Johor.
Makanan dan minuman manis adalah syurga bagi kanak-kanak. Bukan sahaja kanak-kanak, malahan orang dewasa pun turut menggemarinya. Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kenali terlebih dahulu apakah itu gula? Gula adalah sejenis karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang diserap terus oleh tubuh badan manusia.
Terdapat dua jenis karbohidrat iaitu karbohidrat ringkas dan karbohidrat kompleks. Karbohidrat ringkas juga dikenali sebagai gula ringkas. Gula ringkas boleh didapati daripada gula pasir, buah-buahan, madu dan sebagainya. Karbohidrat kompleks pula dikenali sebagai kanji. Kanji terkandung dalam makanan harian kita seperti nasi, mi, pasta, roti, biskut dan pelbagai kumpulan bijirin.
Seorang kanak-kanak sememangnya memerlukan karbohidrat sebagai sumber tenaga. Bagaimanapun, ibu bapa haruslah memastikan karbohidrat yang diperoleh adalah daripada sumber yang sihat dan hadkan gula ringkas dalam pemakanan harian anak. Pengambilan gula ringkas khususnya dalam minuman akan mengakibatkan pengambilan tenaga harian yang berlebihan. Seterusnya boleh menyebabkan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak lebih berisiko tinggi untuk mendapat karies gigi dan lebih membimbangkan, dia akan mendapat penyakit diabetes di usia yang masih muda. Ini kerana gula ringkas terutamanya gula pasir atau gula putih digelar empty calories iaitu makanan yang hanya membekalkan tenaga semata-mata tanpa nutrien lain. Namun begitu, pemberian gula daripada buah-buahan digalakkan kerana buah-buahan mengandungi serat, vitamin dan mineral yang berkhasiat.
Bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa harus memainkan peranan. Tidak susah untuk menggalakkan anak-anak di usia ini mengamalkan minum air kosong. Antara kaedah yang boleh dipraktikkan adalah seperti menyediakan botol air kosong masing-masing, menyediakan pelbagai bekas minuman yang menarik dan memberi peluang kepadanya untuk menyediakan minuman serta menghidangkannya sendiri. Apa yang paling utama, ibu bapa mesti menjadi contoh dalam mengamalkan pengambilan air kosong dan pemakanan yang sihat.
Untuk pengetahuan, kanak-kanak di usia sebegini haruslah mendapatkan zat dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran dan perkembangan fizikal, mental dan emosi. Nasi adalah daripada kumpulan karbohidrat yang akan membekalkan tenaga kepada tubuh. Sekiranya tidak menggemari nasi, anak saudara puan boleh mencuba memberi sumber karbohidrat kompleks yang lain seperti yang telah saya sebutkan di atas. Kepelbagaian sumber makanan dari piramid makanan boleh diperkenalkan kepada kanak-kanak untuk mengelakkan dia bosan dengan sejenis makanan sahaja.
SOALAN INI DI JAWAB OLEH NUR HIDAYAH ASMA ALIAS, PEGAWAI DIETIK
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!