Dapur sering dianggap sebagai ‘zona larangan’ untuk anak-anak kecil disebabkan risiko keselamatan seperti api, pisau, dan peralatan panas. Namun, dapur sebenarnya boleh menjadi tempat pembelajaran yang sangat berharga dan menyeronokkan bagi anak-anak jika diberi peluang dan bimbingan yang betul. Aktiviti memasak bukan sahaja melatih kemahiran praktikal tetapi juga membantu perkembangan mental dan emosi anak. Dalam dunia yang semakin sibuk, memberi ruang kepada anak-anak untuk mencuba memasak adalah satu langkah positif yang boleh membentuk mereka menjadi individu yang berdikari dan kreatif. Artikel ini memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk berani membuka pintu dapur kepada anak-anak walaupun wujud stigma tentang bahaya, dengan harapan dapat menyemarakkan minat dan kemahiran memasak sejak kecil.
Membuka Pintu Peluang untuk Belajar
Memasak bukan sahaja tentang menyediakan makanan, tetapi juga satu bentuk pembelajaran yang kaya dengan pengalaman. Apabila ibu bapa memberi peluang kepada anak-anak untuk mencuba memasak, mereka sebenarnya membuka pintu untuk anak-anak belajar pelbagai kemahiran seperti membaca resipi, mengira sukatan bahan, dan memahami proses kimia makanan. Anak-anak bukan sahaja belajar teori, malah mereka dapat belajar secara praktikal yang membantu menguatkan daya ingatan dan kemahiran motor halus mereka. Selain itu, aktiviti ini turut membantu meningkatkan rasa percaya diri apabila mereka berjaya menyediakan hidangan mereka sendiri.
Mengatasi Stigma Bahaya dengan Pengawasan
Stigma bahawa dapur adalah tempat berbahaya untuk anak-anak adalah salah satu sebab utama ibu bapa sering menghalang mereka daripada mencuba memasak. Memang benar ada risiko seperti terkena pisau atau api, namun risiko ini dapat dikurangkan dengan langkah pengawasan yang rapi dan mengajar anak-anak tentang keselamatan dapur. Contohnya, mulakan dengan tugasan mudah dan selamat seperti mencuci bahan atau mengacau adunan, kemudian secara berperingkat berikan tugas yang lebih mencabar. Ini bukan sahaja mengajar mereka berdisiplin, malah memupuk rasa tanggungjawab terhadap keselamatan diri dan orang lain di dapur.
Ads
Memupuk Kreativiti dan Minat
Memasak sebenarnya satu seni. Anak-anak yang diberi peluang untuk mencuba memasak boleh mengembangkan kreativiti mereka melalui proses memilih bahan, memadankan rasa dan mencipta hidangan tersendiri. Aktiviti memasak ini boleh menjadi medium yang menyeronokkan untuk mereka bereksperimen dengan pelbagai rasa dan teknik. Menariknya, kajian juga menunjukkan bahawa anak-anak yang aktif memasak lebih cenderung untuk makan makanan sihat kerana mereka berasa terlibat dan bangga dengan hasil usaha mereka. Jadi, memberi ruang kepada anak-anak untuk memasak bukan sahaja mendidik mereka, malah membantu membentuk tabiat makan yang baik.
Menanamkan Nilai Kekeluargaan dan Kerjasama
Aktiviti memasak bersama anak-anak sebenarnya adalah peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam suasana dapur yang santai dan penuh kasih sayang, ibu bapa dan anak-anak boleh berkomunikasi dengan lebih baik. Anak-anak belajar bekerjasama, berkongsi tugas, dan saling membantu, sekaligus menanamkan nilai-nilai penting seperti kesabaran, toleransi dan kerja berpasukan. Selain itu, pengalaman ini mencipta memori manis yang akan terus dikenang oleh anak-anak hingga dewasa. Mereka juga belajar menghargai usaha dan pengorbanan ibu bapa dalam menyediakan makanan untuk keluarga.
Ads
Menyediakan Asas Kemahiran Hidup yang Berguna
Kemahiran memasak adalah salah satu kemahiran hidup utama yang akan sangat berguna apabila anak-anak membesar dan mula hidup berdikari. Anak yang sudah biasa memasak sejak kecil akan lebih mudah menguruskan diri, terutama apabila tinggal berjauhan dari keluarga seperti ketika di universiti atau bekerja. Selain itu, mereka juga lebih cenderung untuk memilih gaya hidup sihat dan mengurangkan ketergantungan kepada makanan segera atau makanan luar. Secara psikologi, kemahiran ini turut menggalakkan rasa berdikari dan keyakinan diri yang tinggi.
Ads
Info Menarik:
Kajian dari beberapa universiti menunjukkan bahawa anak-anak yang aktif memasak bersama ibu bapa mereka cenderung mempunyai pola makan yang lebih sihat dan kurang risiko obesiti.
Aktiviti memasak juga boleh meningkatkan kemahiran matematik anak-anak secara tidak langsung kerana mereka belajar mengira sukatan dan mengukur bahan dengan tepat.
Memasak bersama keluarga juga dikaitkan dengan tahap kebahagiaan dan kesejahteraan mental yang lebih tinggi kerana interaksi sosial yang berlaku semasa aktiviti ini.
Dengan memberi peluang kepada anak-anak untuk mencuba memasak walaupun dengan risiko kecil, ibu bapa sebenarnya sedang membina asas yang kukuh untuk masa depan anak mereka dari segi kemahiran, keyakinan, dan hubungan kekeluargaan. Jadi, jangan takut untuk biarkan anak-anak berdiri di dapur dan mula beraksi – asalkan langkah keselamatan dipatuhi, dapur boleh menjadi tempat penuh inspirasi dan pembelajaran yang menyeronokkan!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebenarnya penting latih anak berusia tiga tahun atau empat tahun mulai sekarang supaya tidak manja dan boleh berdikari untuk elak anak menangis di tadika tahun hadapan. Ini kerana biarpun dah masuk bulan ke Mac, ada juga anak-anak yang menangis disebabkan masih tidak dapat menyesuaikan diri di tadika. Jika lepas cuti sekolah, confirm ada yang akan menangis sebab sudah selesa duduk di rumah atau rumah pengasuh.
Ia berlaku kerana ada segelintir ibu bapa yang berkerjaya, penjagaan anak biasanya dijaga oleh pengasuh sama ada di rumah atau menghantar kepada keluarga terdekat atau kenalan untuk mengasuh anaknya. Penjagaan kanak-kanak di rumah oleh pengasuh yang tidak terlatih akan mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Pengasuh akan memberi tumpuan sepenuhnya mengikut kehendak kanak-kanak yang dijaga. Pembetulan tingkah laku tidak diberi perhatian. Keadaan ini akan memberi kesan untuk kanak-kanak bersosialisasi dengan kanak-kanak lain di persekitaran yang berbeza.
Sekiranya penjagaan di rumah pengasuh hanya ada seorang lagi kanak-kanak yang bukan sebaya dengannya akan mengehadkan cara kanak-kanak itu bersosialisasi. Kanak-kanak yang lebih rendah usianya akan mengikut kanak-kanak yang lebih berusia. Secara tidak langsung dirinya lebih dominan. Kanak-kanak hanya biasa berkawan dengan seorang kanak-kanak sahaja. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak itu tidak biasa dengan kanak-kanak di persekitaran yang baru dan tidak berkeyakinan untuk bersama bermain.
KESAN
Kanak-kanak yang terlalu dimanjakan akan memberi kesan sikap terlalu bergantung harap kepada pengasuh dan tidak boleh berdikari. Kanak-kanak tidak tahu batas sempadan perkara yang boleh dilakukan dan tidak memahami sesuatu yang tidak dibenarkan. Kebiasaannya semua perkara dibantu oleh pengasuh sekira menghadapi sedikit kesukaran. Semua yang diminta oleh kanak-kanak dipenuhi oleh pengasuh. Malahan kanak-kanak tidak dibiasakan dengan peraturan jadual seperti di tadika. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak merasa tertekan dan bosan apabila berada di tadika.
Manakala kanak-kanak yang dihantar ke institusi jagaan kanak-kanak seperti di taska berdaftar, pengasuhnya boleh dikatakan telah terlatih. Mereka menetapkan jadual untuk diikuti oleh kanak-kanak. Perkembangan sosialisasinya terkawal mengikut tahap usia kanak-kanak. Kesediaan belajar untuk bersama rakan dan situasi baru tidak menjadi masalah. Kesannya kanak-kanak mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru apabila ke tadika.
Oleh itu, mulai hari ini,para ibu bapa mulai ajar anak berdikari dan sosial dengan rakan sebayanya. Mungkin boleh melibatkan anak-anak dengan kelas playgroup atau pusat perkembangan untuk anak-anak bersosial.
Apabila ada keyakinan dalam diri dalam diri anak akan memberikan cetusan emosi berani untuk melakukan sesuatu. Bukannya terlalu bergantungan kepada orang lain. Biarpun anak masih kecil, tetapi kanak-kanak ini mempunyai sikap ingin tahu dan perasaan ingin mencuba dalam dirinya. Justeru, biarkan anak melakukan aktiviti yang dapat merangsang keberanian dalam dirinya. Dalam pada itu, ibu bapa perlu sentiasa memberikan kata-kata dorongang kepada anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sayang anak biar berpada! Tapi alasan yang biasa keluar dari mulut ibu bapa bila tak nak bagi anak buat sesuatu perkara adalah, “Alaa anak kecil lagi, mana la dia boleh nak tolong.” Kata-kata ini bukan sahaja boleh memanjakan anak, tapi buatkan anak tak pandai nak berdikari.
Jadi bila anak semakin besar, jangan salahkan anak bila anak buat tak tahu je. Sayang anak biarlah bertempat. Tak salah kalau kita nak suruh dan ajar demi kebaikannya.
Ikuti perkongsian dari Puan Sharifah Zahidah mengenai cara dia mengajar anak kecilnya dan akhirnya memberi kesan positif pada diri anak.
Lepas habis menunaikan janji bagi Maryam dan Hanoonah main dalam Molly Fantasy kira-kira selama 2 jam petang tadi, kami pun turun dari tingkat 2 ke Ground Floor. Masuk ke bahagian pasaraya sekejap, nak beli pampers Hanoonah dan biskut buat kudap-kudapan dalam kereta.
Tangan kiri saya dukung Hanoonah dengan berat sekitar 10kg, beg laptop digalas di belakang, bahu kiri menggalas handbag, tangan kanan menggalas lagi kampit pampers yang besar tu.
Penuh tangan! Dan lenguh!
Jadi selepas buat bayaran di kaunter, saya minta Maryam tolong bawakan lagi satu plastik yang berisi 4 kampit biskut saiz sederhana dan besar, anggaran berat sekitar 2 kg.
Daripada di kaunter bayaran lagi, Maryam dah tanya-tanya saya, mana biskut dia. Dia ada pilih 1 biskut dari 4 jenis biskut tadi. Jadi selepas bayar, saya bagi semua plastik biskut tu untuk Maryam pikul.
Mula-mula, dia okay. Selang sepuluh ke 20 tapak kami tinggalkan cashier, dia mula bersuara sambil mengeluh.
“Ibu… Berat ni. Kakak penatlah angkat.. ”
Saya balas, “Tak berat mana pun Kakak, Kakak boleh angkat. Ibu yakin,”
Dan dia diam sekejap. Berjalan beberapa langkah lagi, kemudian dia berbunyi lagi.
Kali ni, dengan suara yang lebih keras dan sangat jelas dia sedang mengeluh.
“Ibu, berat ni..! Ibu angkatlah. Kakak tak larat. Berat ni Ibu.. Ibu angkatlah..!” Dengan suara separa merengek dan mengarah saya.
Hanya dengar rengeken suaranya saja, saya tahu, SAYA PERLU BERI PERHATIAN LEBIH terhadap isu yang dia utarakan. Tapi kali ni, ‘cara’ beri perhatian saya adalah berbeza.
Saya perlahankan langkah, dan kemudian berhenti menoleh ke belakang, ke arah dia yang beberapa langkah terbelakang dari saya.
Selang beberapa saat, Maryam sekarang betul-betul berada di depan saya. Jarak kami berdiri antara satu sama lain adalah dekat. Dia pandang saya, saya pandang dia.
Saya pun mula bersuara,
“Kakak, tolonglah Ibu. Kakak cuba tengok Ibu, kiri dukung adik, kanan pegang pampers, ada beg lagi depan belakang. Jadi kakak FIKIR macam mana Ibu boleh tolong Kakak? Bukan kakak ke yang sepatutnya tolong Ibu? Sekarang, kakak cuba tengok, berapa banyak barang Ibu bawa? Kakak fikir semua ni tak berat? Ibu tak penat? Jadi sekarang, boleh tak Kakak FIKIR juga pasal Ibu dan tolong bawa barang-barang itu sampai ke kereta.”
Tegas. Dan jelas.
Mukanya yang monyok kerana merungut tadi, terus berubah menunjukkan riak serba salah.
Mungkin, nada suara saya yang tegas dan menekankan pada perkataan FIKIR, membuatkan dia dapat menyelami perasaan saya, seterusnya bersikap lebih rasional. Bonding kami rapat gila, alhamduLILLAH. Jadi, perubahan pada nada suara saya dan pemilihan perkataan saya, memang mudah meninggalka kesan terhadap dirinya.
Kadang kala, dia matang dan rasional.
Kadangkala, sikap keanak-anakan dia tetap mendominasi juga.
Pandai-pandailah saya kenal pasti dan klasifikasi – keluhannya itu kerana dia benar-benar perlukan penyelesaian, atau sebenarnya keluhan dari jiwa manja yang perlu diajar dengan ketegasan.
Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, TIDAK KIRALAH SEKECIL APA UMUR ANAK KITA, MULA BERKOMUNIKASI DAN DIDIK MEREKA UNTUK BELAJAR BERFIKIR TENTANG ORANG LAIN.
Salah satu punca kegagalan keibubapaan ialah, ibubapa sendiri UNDER ESTIMATE POTENSI BERFIKIRAN DAN BERPERASAAN ANAK-ANAK, sehingga ibubapa CENDERUNG UNTUK TUNDUK MELAKUKAN SEMUANYA dan menganggap ‘tidak mengapa’ untuk TIDAK MENJELASKAN KEPADA ANAK SITUASI KITA, kerana ‘ANAK-ANAK TIDAK FAHAM LAGI, ANAK-ANAK MASIH KECIL LAGI..’
Kita sebaiknya mengajar anak bertimbang rasa, bukan membiarkan mereka sehingga kita kerapkali berkecil hati memendam rasa. Gara-gara sikap timbang rasa itu kurang wujud dalam diri mereka.
Sekiranya kita anggap pada usia 5 tahun anak-anak tidak boleh faham perasaan dan keadaan orang lain yang PERLUKAN TOLAK ANSUR DARI DIRINYA, maka, pada usia 15 tahun, 25 tahun bahkan 50 tahun sekalipun, anak-anak yang kini sudah beranak-pinak itu TETAP JUGA TIDAK AKAN MEMAHAMI PERASAAN DAN KEADAAN orang lain.
Kerana hakikatnya ketidakfahaman itu bukanlah kerana limitasi pada umur anak-anak, tapi kerana kegagalan sesuatu PRINSIP itu DITERAP DI DALAM SISTEM JATI DIRI DAN IDENTITI MEREKA.
Anak anak kecil tidak faham, bukan kerana umur mereka,
Tapi kerana diri kita, yang tidak MEMAHAMKAN mereka.
Tidak memahamkan anak, adalah satu proses menjahanamkan anak. Ini prinsip saya.
Kerana itu, saya BANYAK berkomunikasi dengan anak-anak dan memberi penjelasan kepada mereka.
Biasa kan kita lihat, orang umur yang sudah dewasa dan tua juga, tetapi tetap tidak MEMAHAMI orang lain dan tetap tidak boleh bertolak ansur.
Jadi, apakah kerana otak mereka ‘masih kecil’ dan terbatas untuk memahami, atau kerana jati diri yang tidak dibentuk ketika mereka masih kecil dahulu dan mudah dilentur?
Menganggap bahawa sikap bertimbang rasa itu datang dengan kematangan usia, adalah ibarat sesuatu perjudian yang berisiko bagi saya.
Kerana hakikatnya, bukan usia yang menjadi faktor seseorang itu bertimbang rasa atau tidak, tetapi sebenarnya adalah APA YANG DISUNTIK ke dalam diri mereka ketika mereka masih mudah dilentur.
Kalau kita rasakan, anak-anak kecil berusia 4 tahun dan ke atas tidak wajar diajar dengan serius tentang BERFIKIR MENGENAI PERASAAN DAN BERTIMBANG RASA DENGAN KEADAAN ORANG LAIN, fikirkan sekali lagi.
Kesudahan dari cerita di atas, selepas saya mengingatkan Maryam untuk BERFIKIR TENTANG KESUSAHAN DAN KEADAAN diri saya tadi, dia akhirnya terus memikul beg plastik tersebut ke kereta tanpa muka yang masam dan bunyi keluhan lagi.
Bahkan, sesampai juga di rumah, dia sendiri yang menolong saya membawa beg plastik tersebut TANPA LANGSUNG saya menyuruh lagi. 100% atas keputusan dan tindakan dia sendiri.
Siap boleh tanya lagi,
“Apa lagi nak bawa barang masuk rumah Ibu? Pampers ni nak bawa ke?”
Dan saya menjawab, “Tak apa kakak, yang pampers tu besar dan sangat berat. Biar Ibu je bawa,”
Sebagai pengajaran tidak langsung kepadanya, bahawa, saya juga bertimbang rasa dan berfikir tentang keadaan dirinya.
Muzik terhasil daripada bunyi yang wujud di sekeliling kita. Kepelbagaian bunyi dari kicauan burung, gelombang ombak hinggalah ke bunyi bising dari kenderaan di jalan raya, jika diatur dan disusun dengan cara tertentu, ia boleh mewujudkan alunan bunyi yang tertentu.
Ia merupakan antara salah satu perkara penting dalam kehidupan kita. Ia adalah lebih daripada sekadar hiburan semata-mata. Bagi kebanyakan individu, tidak mengira usia; dewasa mahupun kanak-kanak, ia boleh membawakan kegembiraan dan memotivasikan diri, menjadi peneman ketika menghadapi kesukaran dan dapat mengurangkan rasa bimbang dan kegelisahan.
Muzik merupakan satu koleksi bunyi atau bunyi yang diselaraskan. Penghasilannya merupakan satu proses untuk meletakkan bunyi dan nada dalam urutan yang tertentu, dan menggabungkan untuk menghasilkan komposisi bunyi yang bersatu. Ia boleh terhasil daripada bunyi, getaran dan suasana yang sunyi, malahan penghasilannya tidak semestinya merupakan satu yang menyenangkan atau cantik. Ia boleh digunakan untuk menyampaikan pelbagai pengalaman, persekitaran mahupun emosi.
Ia mewujudkan perbezaan kepada perasaan dan emosi, contohnya bagi kanak-kanak yang sedang bersedih, mungkin akan menjadi gembira apabila mendengar lagu kegemarannya berkumandang. Ia mempunyai cara tersendiri untuk membuka minda, hati dan perasaan untuk berhubung dengan diri sendiri, individu di sekeliling dan juga persekitaran. Namun, bagaimana dengan terapi muzik untuk kanak-kanak? Apakah manfaatnya?
Sebelum berbicara lebih lanjut mengenai terapi muzik, apa kata kita fahami dulu mengenai terapi itu sendiri. Terapi, atau turut dikenali sebagai psikoterapi atau kaunseling, merupakan proses pertemuan bagi seseorang individu dengan ahli terapi untuk menyelesaikan isu berkaitan tingkah laku, kepercayaan, perasaan, masalah dalam perhubungan dan / atau tindak balas somatik (somatic responses) yang bermasalah. Terapi merupakan satu langkah permulaan ke arah menjadikan kehidupan, kesihatan yang lebih baik – walau apa pun cabaran yang mungkin anda hadapi. Melalui terapi, anda boleh mengubah tingkah laku, dan tabiat yang merosakkan atau memudaratkan diri, menyelesaikan perasaan atau emosi yang menyakitkan, memperbaiki hubungan dan banyak lagi.
Terapi muzik adalah perkara yang melibatkan profesional terapi yang terlatih dan bertauliah bagi menggunakan muzik secara klinikal dan berasaskan bukti untuk mencapai objektif bagi setiap individu yang berbeza. Ia digunakan untuk mengurangkan kesakitan kepada pesakit, menawarkan keupayaan untuk mengekspresikan diri mereka tanpa menggunakan kata-kata dan memudahkan proses untuk menenangkan diri melalui nyanyian, bermain instrumen, menulis lagu atau sekadar mendengarnya.
Muzik dipercayai boleh membantu individu, terutamanya kanak-kanak yang sedang mengalami tekanan dan kegelisahan yang disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi. Terapi ini pada asasnya adalah mekanisme penyembuhan yang digunakan ahli terapi. Melalui kemahiran menggunakannya, ia dapat meningkatkan, memulihkan dan mengekalkan aspek kesihatan pesakit. Ini melibatkan fizikal, emosi, psikologi, perasaan dan juga rohani.
Ia dipercayai dapat mempengaruhi emosi dan mampu meningkatkan neurokimia dalam badan termasuk endorfin baik. Terapi ini juga dikenali sebagai terapi muzik aktif atau terapi muzik pasif, menunjukkan keupayaan untuk memperbaiki kawalan motor dan fungsi emosi kepada pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit atau ketidakupayaan. Dari kes skizofrenia sehingga kepada penyakit Parkinson, penggunaannya seperti membantu mengurangkan simptom semula jadi bagi masalah kesihatan seperti kemurungan, atau kegelisahan, membantu menaikkan kreativiti, dan mempertingkatkan komunikasi antara pesakit dengan penjaga dan pelbagai manfaat lain.
Persatuan Terapi Muzik Amerika (The American Music Therapy Association, AMTA) mengatakan bentuk rawatan ini boleh membantu menggalakkan peningkatan kesejahteraan, menguruskan tekanan, mengurangkan kesakitan, mengekspresikan perasaan, meningkatkan memori, meningkatkan komunikasi dan mempromosikan pemulihan fizikal. Kebanyakan masa, ia secara langsung langsung digunakan kerana ia lebih fleksibel dan menawarkan peluang yang lebih besar untuk interaksi antara ahli terapi dan pesakit.
Terapi ini adalah berbeza dengan proses penghasilan muzik atau sebarang pengajaran lain kerana ia bukan sesuatu yang berasaskan pendidikan. Sebagai contoh, hasil daripada terapi ini bukanlah mengenai untuk mengajar pesakit cara atau kaedah memainkan instrumen atau membaca not muzik. Sebaliknya, tumpuan terapi ini adalah lebih kepada untuk memfokuskan pesakit untuk bergerak ke arah mencapai potensi mereka. Untuk mendapatkan khidmat ahli terapi ini, tiada sebarang syarat bahawa kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa untuk mempunyai kemahiran dan bakat dalam bidang ini.
Jangan tidak tahu, di Malaysia juga sebenarnya wujud persatuan yang merupakan sumber rasmi dan badan utama yang mengawal semua perkara berkaitan dengan terapi muzik di negara ini, iaitu Persatuan Terapi Muzik Malaysia (MMTA). Mengikut sejarah, pada tahun 1990-an, sekumpulan individu telah kembali ke Malaysia setelah ditauliahkan sebagai ahli terapi muzik yang berkelayakan dan mewujudkan persatuan ini yang menerapkan pelbagai kaedah terapi berasaskan muzik. Ini termasuk meningkatkan kesedaran mengenai terapi ini, meningkatkan profil terapi, menafsir dan menganjurkan perkhidmatan profesion kepada disiplin profesional lain, dan berkhidmat sebagai badan pengawal untuk terapi muzik di Malaysia termasuk hak, kelayakan, pensijilan dan pembangunan profesional ahli terapi yang lain. Tidak sangka bukan, bahawa di negara kita juga sebenarnya wujud terapi sebegini. Mungkin kerana masyarakat kita kurang terdedah atau sebenarnya, masyarakat kita malu untuk mengikuti terapi kerana beranggap terapi atau sebarang program kaunseling, adalah petunjuk kelemahan diri.
Kaedah dan bentuk terapi ini adalah berbeza mengikut individu. Setiap individu mendapat bantuan yang mereka perlukan berdasarkan keutamaan dan kebolehan mereka. Bagi sesetengah individu, ia bermakna memainkan instrumen, sementara yang lain mungkin lebih banyak untuk menyanyi. Sekiranya seseorang individu bergelut membuat muzik itu sendiri, saluran mereka boleh terdiri daripada penulisan lagu.
Walau apa pun kaedah dan bentuk yang digunakan, tidak dapat dinafikan bahawa terapi ini boleh menjejaskan kadar jantung dan pernafasan pesakit, terutamanya apabila ia melibatkan irama kuat. Terapi ini menggalakkan pembebasan neurotransmitter, yang dipanggil endorfin, yang mencetuskan perasaan positif dalam badan dan bertindak sebagai ubat penghilang rasa sakit semula jadi, mengurangkan ketegangan otot dan menggalakkan kelonggaran. Terdapat juga bukti bahawa ia membantu melepaskan kenangan, emosi negatif atau perasaan tertindas. Ini penting dalam proses penyembuhan pesakit kerana ia boleh membawa perubahan positif dalam pemikiran, tingkah laku dan sikap mereka.
Terapi ini boleh membantu seseorang individu, sama ada kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa secara keseluruhan daripada aspek badan, fikiran dan semangat. Melalui proses penghasilan dan bertindak balas kepada muzik, antara faedah yang boleh diperolehi adalah melibatkan:
Seseorang ahli terapi bertauliah akan menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk berhubung dengan seseorang individu kanak-kanak. Sesi ini akan memberikan tumpuan kepada kekuatan dan bidang yang diminati oleh kanak-kanak. Intervensi terapi ini mungkin termasuk:
Terdapat sesetengah ibu bapa juga berminat untuk melihat atau mengambil bahagian dalam sesi terapi ini.
Bagi kanak-kanak dan individu remaja yang mengalami kanser atau penyakit lain, kesakitan adalah sesuatu perkara yang sukar untuk dibayangkan dan ditanggung – walau berapa banyak ubatan yang diberikan, malahan ada masa, ubatan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk menutup kesakitan yang dirasai. Dengan mendengar dan bermain instrumen termasuk menulis lagu dan menyanyi, kesakitan mungkin dapat dikurangkan. Terapi ini dapat melegakan kesakitan dan mengurangkan tekanan serta kegelisahan kepada pesakit, yang membawa kepada perubahan fisiologi, seperti:
Terapi ini dipercayai memberikan kesan signifikan terdapat keberkesanan rawatan pesakit, termasuk mengurangkan kesakitan, memberi ketenangan, memperbaiki kadar penafasan, dan menjadikan tahap kegelisahan pada tahap yang lebih rendah.
Berada di hospital, khususnya kepada kanak-kanak, boleh memberikan pengalaman yang menakutkan dan mengerikan, lebih-lebih lagi melibatkan masalah kesihatan berkaitan kanser atau penyakit lain yang serius. Salah satu impak berada di hospital adalah tekanan, yang dengan sendiri boleh mewujudkan masalah kesihatan.
Antara simptom tekanan yang biasa adalah:
Antara kesan tekanan kepada emosi:
Antara kesan tekanan kepada tingkah laku:
Seperti seorang anak kecil atau bayi yang akan mula menari apabila mendengar lagu, setiap individu sama ada remaja, mahupun dewasa, akan mempunyai respons semula jadi kepada muzik. Perkara yang sama turut berlaku kepada individu yang mengalami masalah kesihatan seperti gangguan mental atau fizikal. Muzik mempunyai ‘kuasa ajaib’ untuk menghubungkan dan menjadikan setiap individu untuk memberikan tumpuannya. Dengan bimbingan ahli terapi yang bertauliah, ‘kuasa ajaib’ ini boleh digunakan untuk menghiburkan, meningkatkan, membuka minda dan membangkitkan deria untuk memenuhi pelbagai tujuan dan manfaat terapeutik.
Walaupun mungkin terdapat pelbagai variasi pilihan muzik, tetapi secara amnya, ia memberikan kesan fisiologi langsung melalui sistem saraf autonomi. Ia berkeupayaan untuk mewujudkan respons motor dan emosi secara langsung, terutama apabila digabungkan dengan pergerakan dan rangsangan laluan deria yang berbeza.
Minat yang ditunjukkan oleh kebanyakan individu yang mengalami autisme terhadap muzik, memperlihatkan perubahan dalam komunikasi nonverbal dan lisan melalui terapi ini – yang kini dipercayai antara satu rawatan alternatif untuk merawat autisme. Kajian menunjukkan terapi ini dapat memperbaiki tingkah laku sosial, tumpuan, perhatian, komunikasi, kegelisahan dan tahap kewaspadaan diri pesakit autisme.
Terapi ini adalah antara cara untuk merawat masalah kemurungan. Ia bukan sekadar membantu memperbaiki emosi, tetapi dapat memperbaiki kadar denyutan, pernafasan dan tekanan darah.
Kajian menunjukkan terapi ini dapat meningkatkan fungsi kognitif dan kualiti hidup pesakit yang mengalami masalah kognitif, termasuk Parkinson dan Alzheimer. Muzik dipercayai dapat memberikan satu bentuk terapi yang menggalakkan pesakit-pesakit ini untuk membantu mereka mengatasi simptom dan menawarkan rangsang kepada deria mereka bersama sokongan sosial untuk sesi yang dijalankan secara berkumpulan.
Ibu hamil yang sering mendedahkan muzik kepada bayi dalam kandungan menunjukkan bayi akan lebih bertindak balas terhadapnya selepas dilahirkan. Malah muzik juga dapat mempengaruhi tingkah laku positif neonatal.
Terapi ini dapat merubah anggapan tentang kesakitan individu. Kajian menunjukkan, pesakit pediatrik yang telah menjalani pembedahan, pesakit yang mengidap penyakit kronik berkaitan masalah belakang, pesakit kanser – sebagai contoh – apabila dilakukan terapi ini, dapat mengurangkan tahap kesakitan pesakit.
Terapi ini akan mengguna pitch, irama dan perkataan, di mana semua itu adalah sebahagian daripada ucapan dan bahasa. Belajar bermain instrumen dapat membantu meningkatkan harga diri dan membantu pesakit untuk mengembangkan koordinasi gerakan jari dan tangan. Mendengarkan jenis muzik tertentu juga akan dapat membantu otak yang sedang berkembang. Terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa terapi ini dapat menggalakkan pembelajaran yang membantu pertumbuhan pada bahagian pendengaran dan motor dalam otak.
Matlamat terapi ini adalah untuk membuat pesakit berasa lebih selesa dan membantu mereka untuk mengatasi pengalaman traumatik. Seperti yang dinyatakan Persatuan Terapi Muzik Amerika, “seorang ahli terapi mungkin boleh bercakap dengan pesakitnya, tetapi ahli terapi muzik yang bertauliah akan dapat menggunakan muzik menghubungkan pesakit secara aktif dengan keadaan psiko-emosi mereka pada kadar yang cepat.
Dengan kaedah yang tertentu, ahli terapi bertauliah ini akan dapat membantu pesakit memperbaiki keseimbangan emosi, mengurangkan kebimbangan dan kemurungan. Terapi ini akan dapat membantu kanak-kanak yang berdepan dengan kehilangan dan kesedihan serta membantu mempertingkatkan tahap komunikasi dan kemahiran sosial mereka.
Secara kesimpulannya, terapi muzik ini akan dapat membantu meningkatkan kebolehan dan kemahiran mengendalikan dan menguruskan kesakitan serta membantu mengurangkan sebarang tekanan berkaitan yang timbul kerana keperluan yang wujud untuk berada di hospital disebabkan faktor kesihatan.