
Penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin berdepan detik cemas apabila anak bongsunya, Muhammad Afwa, bertindak memasukkan sebiji manik mutiara mainan ke dalam lubang hidungnya.
Kejadian yang pada mulanya mungkin dianggap sekadar kenakalan dan rasa ingin tahu seorang kanak-kanak akhirnya menyebabkan Afwa terpaksa dibawa ke jabatan kecemasan hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Lebih mencemaskan, Siti sendiri bimbang memikirkan bagaimana objek tersebut dapat dikeluarkan, malah tertanya-tanya sama ada anak kecilnya perlu menjalani pembedahan.

Balik Dari Latihan, Afwa Masukkan Manik Mutiara Dalam Hidung
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Siti Nurhaliza berkongsi kejadian yang menimpa anak lelakinya itu selepas pulang ke rumah daripada menjalani latihan.
Menurut Siti, Afwa telah memasukkan sebiji manik mutiara mainan ke dalam lubang hidungnya sehingga menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan.
“Anak bertuah ibu, balik umah dari latihan dia buat magic masukkan biji mutiara mainan dalam lubang hidung. Dah kena pi emergency”
Perkongsian tersebut menggambarkan bagaimana kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu membuatkan Siti dan keluarganya berdepan situasi mencemaskan.
Apatah lagi, objek kecil seperti manik mutiara boleh mendatangkan risiko apabila dimasukkan ke dalam hidung, terutama jika kedudukannya menyukarkan proses mengeluarkannya.

Siti Nurhaliza Cemas, Bimbang Anak Perlu Dibedah
Dalam perkongsian seterusnya, Siti turut berkongsi keadaan Afwa ketika berada di hospital, sambil berkongsi kebimbangannya mengenai cara untuk mengeluarkan manik tersebut.
Lebih-lebih lagi apabila mereka perlu menunggu kehadiran pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Masa ni Afwa tengah nervous. Ibu lagilah tengah cuak, macamana lah nak keluarkan manik mutiara tu macam besar jek.. haduii, nak kena operate ke apa ke? Haduii..Kena tunggu pakar ENT datang..”
Situasi itu ternyata membuatkan Siti tidak senang duduk apabila memikirkan keadaan anak kecilnya yang turut berasa gementar ketika menunggu pemeriksaan.
Malah kata Siti lagi dia bimbang jika anak keduanya itu bakal berdepan pembedahan untuk mengeluarkan mutiara mainan itu.

Akhirnya Manik Mutiara Keluar Selepas Afwa Bersin
Bagaimanapun, Siti akhirnya mampu menarik nafas lega apabila manik mutiara tersebut berjaya keluar dengan sendirinya.
Menurut perkongsiannya, Afwa pada ketika itu berasa hendak bersin, namun dipercayai cuba menahan bersin tersebut kerana takut.
Tidak lama kemudian, Afwa akhirnya bersin dan manik mutiara berkenaan terus terkeluar bersama hingus ke tapak tangan ibunya.
“Dalam nervous, Afwa kata ibu Afwa nak terbersin tapi dia takut. Agaknya dok tahan lama sangat nak bersin dia lepaskan jugak.
Haaaaa.. sekali keluar biji manik tu dengan hingus-hingus kat tangan ibu..hahahahahaah. Alhamdulillah. Tamatla sudah cerita kami untuk hari ini”
Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan sebiji manik bulat berwarna putih berada di atas tapak tangan Siti selepas berjaya dikeluarkan.
Detik yang pada mulanya penuh kebimbangan itu akhirnya bertukar menjadi kelegaan buat Siti apabila objek berkenaan berjaya keluar tanpa perlu dikeluarkan melalui prosedur perubatan.

Pesanan Buat Ibu Ayah, Jangan Pandang Ringan Objek Kecil
Kejadian yang menimpa Afwa ini juga boleh menjadi peringatan kepada ibu ayah agar lebih berhati-hati dengan barang permainan bersaiz kecil seperti manik, guli, butang dan komponen mainan yang mudah dimasukkan ke dalam hidung atau mulut.
Sekiranya anak memasukkan objek asing ke dalam hidung, jangan cuba mengoreknya menggunakan jari, putik kapas atau peralatan lain kerana tindakan tersebut boleh menolak objek lebih jauh ke dalam.
Jangan paksa anak bersin untuk mengeluarkannya. Sebaiknya dapatkan pemeriksaan perubatan, terutama jika objek tidak mudah keluar. Jika anak mengalami kesukaran bernafas, segera dapatkan bantuan kecemasan.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: @ctdk
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

