
Zikir ibu ayah ketika anak peperiksaan boleh menjadi antara amalan yang dilakukan untuk memohon ketenangan, kefahaman dan kemudahan buat anak. Bila tiba musim peperiksaan, bukan anak sahaja yang berdebar. Ibu dan ayah juga pasti rasa risau memikirkan keadaan anak ketika menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan.
Sudah tentu kita mahu anak dapat menjawab dengan tenang, mengingati apa yang sudah dipelajari dan dipermudahkan dalam setiap urusan.
Selain memberi sokongan, memastikan anak cukup rehat, makan dengan baik dan tidak terlalu tertekan, ibu ayah juga boleh memperbanyakkan doa serta zikir sebagai tanda pergantungan kepada Allah SWT.
Doa ibu bapa untuk anak juga merupakan antara bentuk sokongan paling bermakna. Bukan semata-mata meminta keputusan yang cemerlang, tetapi memohon agar Allah memberikan ketenangan, kefahaman dan yang terbaik buat anak.

Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Peperiksaan Yang Boleh Diamalkan
Ibu ayah boleh memperbanyakkan zikir dan menyebut nama-nama Allah yang baik sambil berdoa untuk anak. Amalan ini juga boleh menjadi ruang untuk ibu ayah menenangkan hati dan menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT setelah anak berusaha sebaik mungkin.

1. Ya ‘Alim, Ya Hakim, Ya Rashid (40 kali)
Nama Allah ini membawa makna yang berkaitan dengan ilmu, kebijaksanaan dan petunjuk.
Sambil berzikir, ibu ayah boleh berdoa:
“Ya Allah, kurniakanlah anakku kefahaman dan kebijaksanaan. Bantulah dia mengingati apa yang telah dipelajari dan menjawab soalan dengan sebaik-baiknya.”
2. Ya Zahir (40 kali)
Ibu ayah juga boleh memohon kepada Allah supaya anak diberikan kejelasan ketika membaca dan memahami soalan. Doakan anak nampak jawapan ketika menjawab.
“Ya Allah, jelaskanlah kepadanya apa yang benar dan bantulah dia memilih jawapan dengan tepat.”
3. Ya Fattah (40 kali)
Ya Fattah membawa maksud Yang Maha Membuka. Ia boleh dijadikan zikir sambil memohon agar Allah membuka pintu kefahaman dan memudahkan urusan anak.
“Ya Allah, bukakanlah minda anakku, lapangkan dadanya dan mudahkan segala urusannya sepanjang peperiksaan.”
4. Ya Bari’
Ibu ayah juga boleh menyerahkan sepenuhnya urusan anak kepada Allah.
“Ya Allah, aku serahkan anakku dalam penjagaan-Mu. Tenangkan hati dan fikirannya serta pimpinlah dia dalam setiap urusannya.”
Tidak semestinya sesuatu zikir perlu terikat dengan bilangan tertentu melainkan terdapat dalil khusus yang menetapkannya. Yang lebih utama ialah berzikir dan berdoa dengan penuh pengharapan serta memahami bahawa segala pertolongan datang daripada Allah SWT.

Amalan Ringkas Selain Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Peperiksaan
Selain zikir ibu ayah ketika anak peperiksaan, ibu ayah juga boleh membaca Surah Al-Fatihah, berselawat, beristighfar, bertahmid, bertasbih dan bertakbir.
Kemudian, berdoalah dengan bahasa yang paling mudah dan dekat di hati.
Antaranya:
“Rabbi yassir wala tu’assir, Rabbi tammim bil khair.”
Maksudnya:
“Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Engkau susahkan. Ya Allah, sempurnakanlah segala urusan dengan kebaikan.”
Doa seperti ini boleh dibaca sebagai doa umum memohon kemudahan kepada Allah. Tidak perlu terlalu terikat kepada lafaz tertentu kerana ibu ayah juga boleh berdoa menggunakan bahasa sendiri.
Jangan Hanya Doakan Anak Dapat Banyak A
Dalam musim peperiksaan, kadangkala tanpa sedar kita terlalu fokus kepada keputusan. Namun bagi sesetengah anak, kata-kata seperti dapat banyak A atau wajib lulus boleh menambah tekanan.
Apa yang lebih penting, doakan supaya mereka diberikan ketenangan, kesihatan, kefahaman dan kemampuan melakukan yang terbaik.
Ibu ayah boleh mengatakan:
“Buat yang terbaik. Apa pun keputusannya nanti, mama dan ayah tahu kamu sudah berusaha.”
Ayat yang ringkas seperti ini boleh membuatkan anak memasuki dewan peperiksaan dengan hati yang lebih tenang. Sokongan ibu ayah juga membantu anak memahami bahawa peperiksaan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan bukannya satu-satunya ukuran terhadap kemampuan diri mereka.

Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Peperiksaan Perlu Seiring Dengan Usaha
Zikir ibu ayah ketika anak peperiksaan dan doa bukan pengganti kepada usaha. Anak tetap perlu belajar, membuat ulang kaji dan menjaga kesihatan.
Pada masa yang sama, ibu ayah boleh menjadi sistem sokongan mereka dengan menyediakan suasana rumah yang tenang, memastikan anak mendapat tidur mencukupi dan mengelakkan tekanan berlebihan menjelang peperiksaan.
Memberikan ruang untuk anak berehat juga penting. Ada masanya anak memerlukan kata-kata semangat, dan ada masanya mereka hanya memerlukan ibu ayah berada di sisi tanpa terlalu banyak bertanya tentang berapa banyak bab yang sudah diulang kaji atau berapa markah yang mereka sasarkan.
Selepas segala usaha dilakukan, serahkanlah hasilnya kepada Allah SWT.
Doa Ibu Ayah Tetap Mengiringi Anak
Ketika anak sedang duduk di dalam dewan peperiksaan, mungkin ibu ayah tidak mampu berada di sebelahnya. Tetapi doa tetap boleh mengiringi mereka.
Inilah masanya ibu ayah terus memberikan sokongan dari jauh, memperbanyakkan doa dan meletakkan pengharapan kepada Allah. Zikir ibu ayah ketika anak peperiksaan juga boleh diamalkan dengan penuh pengharapan sambil memohon agar segala usaha anak dipermudahkan.
Teruskan berdoa,
“Ya Allah, tenangkan hati anakku, lapangkan fikirannya, kuatkan ingatannya dan permudahkanlah segala urusannya. Kurniakanlah kepadanya keputusan yang terbaik menurut ketentuan-Mu.”
Semoga setiap usaha anak dipermudahkan dan setiap doa ibu ayah menjadi penguat buat mereka. Apa pun keputusan yang diterima nanti, teruslah menjadi tempat anak mendapatkan sokongan, ketenangan dan kasih sayang selepas mereka melakukan yang terbaik.
Baca lagi: Mykad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tak Perlu Tergesa-Gesa Tukar Mykad Lama!
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!
Diabetes Jenis 1 Pada Anak, 8 Tanda Penting Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!
Sumber: Youtube Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

