
Jaguh paralimpik kebanggaan negara, Datuk Abdul Latif Romly, kini sedang meniti detik paling indah dalam hidupnya apabila beliau bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh isterinya, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi, menerusi satu hantaran manis di media sosial. Dengan kapsyen penuh kasih sayang, “Love, mommy & daddy,” Nabila turut memuat naik foto romantik bersama suami berlatar pemandangan pantai yang menenangkan.
Baby Bump Jadi Tanda Bahagia
Apa yang paling mencuri perhatian tentunya apabila Nabila tampil manis dalam dress putih yang menampakkan ‘baby bump’, tanda bahawa pasangan ini kini sedang menantikan kehadiran si kecil yang bakal menyerikan rumah tangga mereka.

Perkongsian tersebut pantas mendapat perhatian ramai. Ruangan komen dipenuhi dengan ucapan tahniah dan doa daripada rakan-rakan selebriti, peminat serta rakyat Malaysia yang turut tumpang gembira dengan berita kehamilan itu. Ramai mendoakan agar proses kehamilan Nabila dipermudahkan dan segalanya berjalan lancar sehingga tiba saat melahirkan nanti.
Dua Tahun Berumah Tangga, Kini Menyambut Berita Paling Bermakna
Untuk info, Datuk Abdul Latif Romly dan Datin Nabila mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2022. Sepanjang tempoh perkahwinan, pasangan ini sering menjadi perhatian ramai kerana sikap mereka yang merendah diri, penyayang dan romantik.
Kini, selepas hampir dua tahun bergelar suami isteri, rezeki paling indah hadir apabila mereka bakal menyambut zuriat pertama — anugerah yang dinanti-nantikan setiap pasangan yang berumahtangga.

Dari Jaguh Negara ke Dunia Keibubapaan
Datuk Abdul Latif Romly bukan hanya wira negara di arena sukan, malah kini bersedia memikul tanggungjawab besar sebagai seorang ayah. Pastinya pengalaman baharu ini bakal memberikan makna tersendiri buatnya, melengkapkan kehidupan rumah tangga mereka dengan kasih sayang seorang anak.
Ramai peminat menyifatkan kehadiran cahaya mata pertama ini sebagai rezeki selepas kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Datuk Abdul Latif Romly di pentas dunia. Malah, ramai yang tidak sabar menantikan detik beliau menimang bayi sulung yang pastinya menjadi pelengkap kebahagiaan keluarga kecil mereka.
Majalah Pa&Ma mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Datuk Abdul Latif Romly dan Datin Nurul Nabila Farhana atas berita kehamilan ini. Semoga segalanya dipermudahkan dan bayi yang bakal lahir nanti menjadi penyejuk mata serta penyeri hidup buat kedua-duanya. 🌸💖
Sumber : Instagram
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!




























