Kesihatan

Diet Ibu Menyusu Tak Perlu Pantang Semua Makanan, Ini Panduan Pemakanan Yang Betul!

Share

Selepas melahirkan anak, ramai ibu bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan rutin penyusuan, malah sering menerima pelbagai nasihat tentang makanan yang kononnya perlu dielakkan.

Ada yang berkongsi supaya tidak makan pedas, nanti bayi sakit perut. Jangan makan brokoli atau kubis, nanti bayi kembung. Kopi pula dikatakan boleh menyebabkan bayi berjaga sepanjang malam.

Disebabkan terlalu bimbang, ada ibu sanggup mengehadkan pemakanan sehingga menu harian menjadi sangat terbatas. Namun, adakah semua pantang ini benar-benar diperlukan?

Menurut perkongsian Pakar Pediatrik, Dr. Nisa Khalil, kebanyakan bayi yang menyusu badan tidak terjejas dengan makanan yang diambil oleh ibu. Secara umumnya, diet ibu menyusu tidak memerlukan ibu mengelakkan makanan tertentu tanpa sebab perubatan.

Diet Ibu Menyusu, Makanan Ibu Tidak Terus Menyebabkan Bayi Kembung

Antara salah faham yang paling biasa ialah menganggap makanan yang menghasilkan angin dalam perut ibu akan menyebabkan bayi turut berangin.

Hakikatnya, gas yang terhasil dalam sistem pencernaan ibu tidak berpindah ke dalam susu badan. Oleh itu, makanan seperti kubis, brokoli, kekacang atau ubi tidak semestinya menyebabkan bayi mengalami kembung.

Makanan pedas juga tidak menjadikan susu ibu menjadi “pedas”. Rasa susu mungkin berubah sedikit bergantung kepada pemakanan ibu, namun keadaan ini adalah normal dan tidak memudaratkan bayi.

Bila Ibu Perlu Berhati-Hati?

Walaupun jarang berlaku, sesetengah bayi mungkin bertindak balas terhadap protein makanan tertentu yang memasuki susu ibu dalam kuantiti yang sangat kecil. Antara penyebab yang paling kerap ialah alahan protein susu lembu.

Dapatkan pemeriksaan doktor sekiranya bayi menunjukkan tanda-tanda berikut:

  • Najis berdarah atau berlendir secara berterusan.
  • Muntah atau cirit-birit berulang.
  • Ruam, ekzema atau gegata yang teruk.
  • Perut kelihatan tegang dan membengkak.
  • Sukar bernafas atau berbunyi ketika bernafas.
  • Terlalu meragam dan kelihatan kesakitan.
  • Berat badan tidak meningkat dengan baik.

Namun begitu, bayi yang kerap kentut, menangis atau meragam sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan bahawa mereka mengalami alahan makanan.

Ibu juga tidak digalakkan menghentikan pengambilan susu, telur atau makanan lain tanpa nasihat doktor kerana diet penyingkiran boleh menyebabkan kekurangan nutrien dan menyukarkan proses mengenal pasti punca sebenar.

 

Mitos Diet Ibu Menyusu Yang Masih Dipercayai

Terdapat pelbagai kepercayaan yang masih diamalkan walaupun tidak disokong oleh bukti saintifik.

  • Kekacang menyebabkan bayi berangin.
  • Kubis dan brokoli membuatkan bayi kembung.
  • Makanan pedas menjadikan susu ibu pedas.
  • Durian tidak boleh dimakan langsung.
  • Ibu wajib makan makanan tertentu untuk menghasilkan lebih banyak susu.

Sehingga kini, tiada satu makanan tertentu yang terbukti mampu meningkatkan penghasilan susu bagi semua ibu. Penghasilan susu lebih dipengaruhi oleh kekerapan penyusuan, pengosongan payudara yang efektif, pelekapan yang baik serta kesihatan ibu dan bayi.

Durian, makanan pedas dan kebanyakan makanan lain masih boleh dinikmati secara sederhana sekiranya ibu sihat dan bayi tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif.

Ibu Menyusu Masih Boleh Minum Kopi

Berita baik untuk pencinta kopi, kafein tidak semestinya perlu dihentikan sepanjang tempoh penyusuan.

Pengambilan kafein sekitar 300 miligram atau kurang sehari lazimnya tidak memberi kesan buruk kepada bayi. Jumlah ini termasuk semua sumber kafein seperti kopi, teh, coklat, minuman berkarbonat dan minuman tenaga.

Walau bagaimanapun, bayi baru lahir dan bayi pramatang mengambil masa lebih lama untuk memproses kafein. Jika bayi kelihatan lebih gelisah, sukar tidur atau terlalu meragam selepas ibu mengambil minuman berkafein, cuba kurangkan pengambilannya dan pantau perubahan.

Perlu diingat bahawa kandungan kafein berbeza mengikut jenis kopi, saiz hidangan dan cara penyediaannya.

Apakah Diet Ibu Menyusu Yang Terbaik?

Ibu menyusu disarankan mengamalkan pemakanan yang pelbagai, seimbang dan mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga sepanjang tempoh penyusuan.

  • Ambil sumber protein seperti ikan, ayam, telur, daging dan kekacang.
  • Pelbagaikan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Pilih sumber karbohidrat yang membekalkan tenaga berpanjangan.
  • Minum air mengikut rasa haus dan keperluan badan.
  • Hadkan makanan serta minuman yang tinggi kandungan gula.
  • Pilih ikan yang rendah kandungan merkuri.
  • Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil jamu atau suplemen.

Ibu menyusu yang sihat biasanya memerlukan tambahan sekitar 330 hingga 400 kalori sehari berbanding sebelum hamil. Walau bagaimanapun, keperluan sebenar bergantung kepada tahap aktiviti fizikal, berat badan serta sama ada bayi menyusu badan secara eksklusif atau turut menerima susu formula.

Kesimpulan

Diet ibu menyusu tidak sepatutnya menjadi satu beban atau dipenuhi dengan pantang larang yang tidak mempunyai asas saintifik. Selagi tiada alahan yang dikenal pasti, masalah kesihatan tertentu atau arahan daripada doktor, kebanyakan ibu boleh menikmati makanan harian seperti biasa.

Perkara yang lebih penting ialah memastikan ibu mendapat nutrien mencukupi, mengamalkan pemakanan seimbang, berehat apabila berpeluang dan mendapatkan bantuan sekiranya menghadapi masalah penyusuan.

Jika bayi menunjukkan simptom luar biasa, jangan terus menyalahkan makanan terakhir yang dimakan. Catat simptom tersebut dan dapatkan pemeriksaan doktor supaya punca sebenar dapat dikenal pasti.

Anak akan dapat akaun Simpan SSPN bernilai RM30, goodies istimewa dan sijil penyertaan. Sambil bermain, dapat hadiah! Daftarkan anak segera di: https://www.majalahpama.my/edutainment-fest/

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Dr Nisa Khalil

Published by
SRM