Hari-hari ‘Husna’ kena kecam teruk oleh penonton di media sosial gara-gara watak sebagai wanita perampas suami orang dalam drama Jangan Benci Cintaku. Dalam dunia realiti, pelakon Niena Baharun yang memegang watak tersebut sebenarnya seorang isteri yang bahagia dan kini sedang bahagia menanti kelahiran anak pertamanya.
Rata-rata penonton ‘menyerang’ Instagram peribadi pelakon jelita ini yang hakikatnya kini sedang bahagia melalui fasa kehamilan.
Ternyata lakonan Niena yang memegang watak antagonis dalam drama 28 episod itu benar-benar berkesan sehingga meninggalkan kegeraman dan kebencian penonton pada wanita bernama ‘Husna’.
Niena yang faham gelagat majoriti pelakon drama Melayu yang mudah emosional pada watak antagonis sebenarnya gembira dan menghargai kata-kata dan komen membina atau marah dan geram daripada penonton terhadap watak lakonannya. Ini menunjukkan lakonannya sebagai wanita perampas suami orang menjadi!
Tak mudah melatah dengan segala maki hamun dan caci maki pada watak lakonannya, Niena kini hanya mahu menumpukan fokus pada persiapan barangan bayi dalam kandungannya.
Selain dari itu ‘Mek Kelate’ ini turut berkongsi keinginannya yang terpendam sejak awal hamil sampai sekarang untuk melihat air laut. Tanyanya pada para pengikutnya di Instagram, adakah ini dinamakan mengidam?
Ads
Niena bagaimanapun masih belum berjaya memujuk suaminya untuk memenuhi keinginan tersebut kerana dia risau keselamatan si isteri yang tengah berbadan dua untuk naik bot di tengah lautan.
Niena yang mendirikan rumah tangga pada 1 Februari lalu dengan Aliff Firdaus Abdul Hadi seorang ahli perniagaan nyata tidak stress atau tertekan dengan segala kecaman terhadap watak Husna yang dilakonkannya dan tidak bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan dan kandungannya.
Semoga Niena dipermudahkan melalui fasa kehamilan sehingga saat melahirkan.
Pra-eklampsia adalah keadaan yang disebabkan oleh kehamilan, dan ianya berlaku pada trimester kedua kehamilan lazimnya selepas 20 minggu kehamilan. Pra-eklampsia berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.
Pre-Eclampsia: Amaran bahaya sebelum dapat sawan ketika hamil
Punca sebenar terjadinya pra-eklampsia masih lagi tidak diketahui.
Apa yang terjadi dalam pra-eklampsia ialah terdapat pengurangan aliran darah ke uri sekaligus membahayakan bayi dalam kandungan . Tumbesaran bayi menjadi terbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.
Air mentuban juga akan menjadi kurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan. Maka kehamilan dengan pra-eklampsia akan dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.
Mengapa perlu tahu mengenai pra-eklampsia?
Pra-eklampsia sangat biasa berlaku di kalangan wanita hamil.
Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan manakala eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia akan mengalaminya. Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin, dalam tempoh berpantang (postpartum).
1 dalam 200 kehamilan (0.5%) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil. Gejala-gejala pra-eklampsia lazimnya ditunjukkan pada penghujung kehamilan, tetapi ada juga yang menujukkan gejala-gejala selepas bersalin.
Gejala-gejala pra-eklampsia yang serius adalah :
❗️Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan oleh ubat tahan sakit ❗️Mata menjadi kabur ❗️Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat-ubatan gastrik ❗️Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah ❗️Berasa tidak sihat
Gejala-gejala ini adalah tanda-tanda amaran bahaya, dan memerlukan perhatian pihak hospital dengan kadar yang segera. Dalam pra-eklampsia yang serius ini, organ-organ penting di dalam badan – fungsi hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.
Pra-eklampsia serius ini jika tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia dimana sawan boleh terjadi. Walaupun ianya jarang terjadi 1 dalam 4000 kehamilan, eklampsia memberikan komplikasi dan impak yang serius kepada ibu dan bayi, dan boleh membawa maut
Anda lebih cenderung untuk mendapat pra-eklampsia jika ini merupakan kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang terdahulu.
Anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:
✅berumur 40 tahun atau lebih; ✅berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih. ✅mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang, atau diabetes;
kandungan kembar atau lebih; ✅mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;
Berbincang dengan doktor anda, tentang faktor-faktor yang anda ada. Setelah penilaian doktor, anda akan dinasihatkan memakan ubat aspirin 75mg sehari sekali dari pada awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga akan turut dimulakan.
Tiada cara yang pasti 100 % untuk mencegah terjadinya pra-eklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi tidak dalam bahaya ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.
Bagaimana saya dirawat, sekiranya saya mengalami pra-eklampsia?
Jika tekanan darah naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri. Anda mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.
Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau dengan rapi. Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang. Ubat untuk mengawal tekanan darah juga turut akan diberikan.
Anda juga akan diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai pra-eklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh. Anda akan dirawat di wad rawatan rapi untuk ibu mengandung. Doktor juga akan menilai sama anda anda perlu diberikan ubat untuk mematangkan peparu bayi, sekiranya perlu dilahirkan lebih awal.
Sekiranya tekanan darah anda sukar dikawal dengan ubat-ubatan, akan dicadangkan supaya anda supaya menjalani proses induksi (induction of labour) atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.
Pra-eklampsia hanya akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih lagi berisiko sehingga empat minggu selepas bersalin, terutamanya jika pra-eklampsia anda itu serius atau dikenalpasti apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih. Anda mungkin perlu meneruskan ubat untuk mengawal tekanan darah walaupun sudah bersalin.
Jika bayi dilahirkan kecil dan pramatang, bayi akan dipantau di unit rawatan rapi bayi sehingga bayi benar-benar sihat dan selamat untuk pulang. Tiada masalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu
Segera dapatkan rawatan jika ada gejala-gejala pre eclampsia. Jangan tunggu
Ketika membuat ujian kehamilan dan hasilnya ada dua garisan, itulah detik yang membahagiakan. Bersyukur dengan anugerah Tuhan berikan. Bagi pasangan yang menanti zuriat sendiri, pasti berdebar-debar ketika menunggu keputusan UPT yang dibuat.
Wanita ini erkongsi luahan perasaannya yang mengalami lima kali keguguran sepanjang empat tahun perkahwinannya. Sehingga kini, dia dan suami masih bersabar menanti untuk mendapat cahaya mata sendiri.
Assalamualaikum. Mohon admin siarkan kisah saya ni. Nama saya Zurin. Saya berusia 32 tahun. Saya dan berkahwin lebih kurang empat tahun. Dalam tempoh perkahwinan saya dan suami, sudah lima kali saya hamil tapi masih tak ada rezeki untuk ada anak. Kelima-lima kandungan saya gugur.
Kali pertama mengandung selepas tiga bulan perkahwinan. Waktu itu, happy sangat sebab saya dan hubby memang tak ada perancangan untuk tangguhkan kehamilan. Kami ikut rezeki, lebih cepat lebih baik. Mabuk teruk juga awal-awal tu, tapi malangnya masuk minggu ke-10 kandungan saya gugur.
Tak tahu di mana silapnya, makan minum semua saya jaga. Kerja berat pun hubby tak benarkan saya buat, tapi dah termaktub bukan rezeki kami. Kandungan tak kuat dan gugur. Waktu tu sedih tak payah ceritalah, saya berkurung je dalam bilik. Sampai suami buntu tak tahu nk pujuk macam mana.
Tak lama lepas tu, lebih kurang selepas enam bulan datang haid saya hamil semula. Alhamdulillah. Hubby paling happy sebab dia memang nak sangat ada baby. Tapi tetap juga sama, lebih kurang 12 minggu kehamilan, gugur juga. Memandangkan kantung tak keluar sendiri, saya terpaksa ke hospital untuk menjalani prosedur membersihkan bahagian dalam rahim.
Saya tertanya-tanya, di mana silap kami suami isteri. Dua kali hamil, gugur juga. Saya berpegang pada konsep rezeki, mungkin belum sampai waktu kami. Jadi saya dan hubby kuatkan semangat dan reda dengan ujian ini.
Saya tak bersedia untuk mengandung dalam masa terdekat, jadi saya cakap dengan hubby, boleh tak kalau kita tangguhkan untuk ‘mencuba’ dalam tahun depan. Hubby setuju sebab dia kata tak mahu saya stres dan kalau boleh biarlah saya betul-betul ready sebelum mengandung semula.
Nak dijadikan ceritakan, saya hamil semula untuk kali ketiga. Yang ini memang sedih sikit. Saya dapat bertahan sehingga minggu ke-20. Waktu ni, dah nampak ada dua kantung. Maknanya saya hamil kembar. Ya Allah, happy sangat. Memang hubby pun kata, Allah dengar doa kami jadi Dia bagi dua terus. Nak ‘ganti’ yang sebelum ni.
Kandungan kali ketiga ni, memang sungguh-sungguh kami jaga. Sebarang kerja rumah hubby tak bagi buat. Setiap vitamin yang disarankan doktor, saya ambil. Makan minum semua jaga. Alhamdulillah, kehamilan ketiga ni kurang mabuk dan saya lebih cergas.
Tapi itulah, kalau memang betul bukan rezeki. Baru nak merasa nikmat pregnant lama sikit dan berjaya melahirkan anak-anak syurga kami, rupanya mereka juga ‘dijemput’ pulang. Saya tak tahu macam mana boleh keguguran, sebab pagi tu saya bangun tidur tiba-tiba darah penuh atas cadar katil.
Menggigil satu badan waktu tu. Hubby cepat-cepat dukung saya dan bawa ke hospital. Masuk ke wad kecemasan waktu tu, disebabkan kondisi saya dengan history dua kali keguguran. Waktu dirawat doktor, saya memang tak sedar apa. Bila bangun tu, baru dapat tahu doktor tak dapat selamatkan kandungan saya.
Memang waktu ni saya kemurungan. Saya hampir hilang pedoman. Mujurlah hubby nampak waktu tu. Saya ada percubaan nak membunuh diri, Ya Allah ampunkan lah dosaku ini (caranya biarlah saya rahsiakan). Allah masih panjangkan umur saya, Alhamdulillah.
Tak lama selepas itu, saya hamil semula. Tapi saya pendekkan cerita, saya tergelincir dan jatuh di tandas. Gugur sekali lagi untuk kali keempat. Lebih kurang lima bulan selepas itu, saya mengandung pula untuk kali kelima. Pada waktu itu, saya dan hubby dah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Tak mahu terlalu berharap.
Betul, belum rezeki kami. Pada minggu ke-10 saya mengalami keguguran. Dah kering air mata mahu meratap. Saya dan hubby hanya berdoa yang baik-baik untuk future kami. semoga kami diberikan peluang untuk merasa mempunyai anak sendiri. Saya dah ada enam yang menunggu saya di ‘sana’, tapi saya tak pernah putus berdoa agar ada yang menemani saya dan hubby di dunia.
Saya nak nasihatkan untuk para suami, kalau ada kes yang sama seperti saya ni, tolonglah support isteri kalian. Jadilah support system terkuat untuk dia. Jangan bagi tekanan pada dia. Alhamdulillah, itulah yang hubby saya buat. Dengan adanya dia, saya jadi kuat. Dia lah yang banyak bantu saya untuk terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT.
Untuk kawan-kawan semua, saya mohon untuk kalian tolong doakan saya dan hubby. Semoga kami akan berupaya untuk mempertahankan kandungan sehingga bayi yang comel dilahirkan. Kalau dapat seorang pun kami dah rasa cukup bertuah. Minta kawan-kawan semua untuk doakan kami ya? Mana tahu doa salah seorang dari kalian ‘diangkat’ dan asbab itu saya mampu ada zuriat sendiri.
Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita atau pengalaman yang ingin dikongsikan, sila klik KONGSI CERITA
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masa kini, ramai wanita yang hamil lewat usia. Salah satu sebabnya adalah trend berkahwin lambat. Malah, ada juga yang disebabkan faktor-faktor yang lainnya.
Orang selalu berkata, ada bahayanya kalau cuba hamil lewat usia. Berdasarkan kajian, berikut adalah antara yang bakal dihadapi oleh wanita di dalam kes ini.
Masalah kesuburan
Usia yang semakin meningkat dikaitkan dengan tahap kesuburan yang kian menurun.
74% wanita yang menerima rawatan kesuburan pada 30 tahun dan ke bawah boleh hamil dalam masa 1 tahun. Namun, jumlah ini menurun kepada 61% pada usia 31 – 34 tahun. Apabila mencecah 35 tahun dan ke atas, hanya 54% wanita yang berjaya hamil.
Kesihatan bayi terjejas
Disebabkan faktor usia, kemerosotan kualiti telur dan sperma yang dihasilkan oleh anda dan suami boleh menyumbang kepada penyebab masalah kesihatan bayi.
Antara masalah lain yang boleh timbul ialah keguguran, bayi kurang berat badan, kelahiran pramatang atau meninggal dunia dalam kandungan.
Wanita yang mengandung selepas usia 35 tahun mungkin lebih sukar untuk melahirkan bayi secara normal dan memerlukan bantuan proses tertentu seperti vakum, forsep atau pembedahan caesarean.
Ada kajian mendapati wanita yang berusia 35 tahun ke atas kurang sensitif terhadap oksitoksin. Secara tidak langsung menyebabkan otot rahim tidak dapat mengalami kontraksi dengan baik.
Perubahan hormon progesteron turut menyebabkan proses bersalin menjadi lambat lalu menyumbang kepada punca komplikasi.
Komplikasi kesihatan diri
Apabila meningkat usia, wanita semakin cenderung memiliki masalah kesihatan tertentu seperti masalah darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi dan lain-lain.
Apabila ada penyakit, ia boleh
menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan.
Risiko sindrom Down
Sindrom Down didapati meningkat apabila kehamilan berlaku pada lewat usia. Data menunjukkan kebarangkaliannya adalah
1 dalam 240 pada usia 35 tahun; 1 dalam 53 pada usia 40 tahun dan 1 dalam 19 pada usia 45 tahun
Walau bagaimanapun, ada kajian menjelaskan hamil lewat usia ada kelebihan tersendiri. Salah satunya didapati hormon kehamilan mempunyai manfaat jangka masa panjang kepada otak wanita.
Estrogen meningkatkan fungsi dan struktur otak, manakala progesteron mendorong perkembangan tisu otak serta perkembangannya.
Secara tidak langsung, ia membantu peekembangan otak bayi di dalam kandungan juga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelahiran Chrystan menjadi momen penuh emosi bagi Chryseis Tan dalam kehamilan terakhirnya. Kisah C-section ketiga ini sarat syukur, ketakutan dan kasih sayang seorang ibu.