Disahkan Hidap Sakit Jantung Sejak Dalam Kandungan, Adik Ini Tetap Aktif Walaupun Jantung Belum Normal

Share

Bayi yang belum lahir, sudah disahkan hidap sakit jantung sejak dalam kandungan. Mana-mana ibu pun pasti tidak keruan. Namun, siapalah kita untuk menidakkan kenyataan. Ikuti coretan Suhaila Saleh berkenaan anak ketiganya, Khairy Adlan yang dipanggilnya baby magic.

Semuanya bermula selepas ujian imbasan 4D dilakukan di klinik swasta. Seawal kandungan berusia enam bulan, doktor mengesan denyutan jantung kamu terlalu laju. Pemeriksaan lanjut dilakukan di HUKMSC. Detail scan mengesahkan kamu menghidap Supra Venticular Tachycardiac (SVT).

Rentetan daripada itu, doktor memantau kandungan setiap minggu untuk memastikan kamu masih bernyawa. Masih ingat lagi kata-kata doktor. Jika didapati kandungan tidak bernyawa, kamu perlu dikeluarkan segera kerana ia memberi mudarat kepada diri mama.

Tetapi, jika kamu bertahan sehingga minggu ke-36, pembedahan adalah jalan terbaik untuk mama lahirkan kamu bagi mengelakkan sebarang risiko. Jika dilahirkan secara normal, berkemungkinan kamu tidak dapat bertahan untuk melalui proses kelahiran yang mungkin panjang.

Proses kelahiran secara pembedahan diatur dengan baik oleh Prof Azurah. Khairy dilahirkan di HUKMSC dan dipantau oleh Doktor Jantung Kanak-kanak, Prof Bilkish.

Bila mengimbas tentang jangka hayat kamu, mama dan doktor tidak pernah membincangkannya. Bertuahnya kita kerana Prof Azurah selalu memberi semangat untuk mama teruskan kehamilan supaya kamu selamat dilahirkan.

Setelah lahir, kamu mendapat pemantauan rapi pakar jantung kanak-kanak dan ditahan di wad hampir sebulan. Memang sukar keadaan ketika itu, tambahan pula mama sedang berpantang. Kemudian, semasa umur enam bulan, sekali lagi kamu ditahan di wad untuk pengawasan lanjut.

Sempurnakan umrah

Selepas tamat cuti bersalin selama tiga bulan, mama memohon cuti separuh gaji selama enam bulan untuk menjaga kamu. Tambahan pula, mama dapat surat sokongan doktor. Mama berjanji dengan bos, kembali bekerja selepas tempoh itu tetapi mama lupa kuasa bukan di tangan mama tetapi Allah. Jadi, mama memohon sekali lagi, cuti tanpa gaji hampir dua tahun kerana kamu perlu dipantau sepanjang masa ekoran masalah jantung.

Sepanjang cuti tanpa gaji, mama jalankan perniagaan online melalui blog di kokoadik.blogspot.com. Benarlah janji Allah setiap anak telah ditentukan rezekinya. Rezeki perniagaan online tidak putus malah dengan keuntungan meniaga online mengizinkan mama menunaikan nazar.

Mama bernazar jika umur kamu bertahan sehingga setahun, mama akan bawa kamu menunaikan umrah. Alhamdulillah, adik lelaki mama yang menjadi mahram dan nenek yang turut menemani kita ke tanah suci berjaya menyempurnakan ibadah umrah untuk baby magic mama ni.

Selepas tamat cuti tanpa gaji, mama kembali ke pejabat. Itupun setelah berulang kali solat istikharah dibuat. Mama keberatan tinggalkan kamu. Walaupun berperang dengan perasaan, mama tetap mengikut petunjuk untuk kembali bekerja.

Mama dipindahkan ke bahagian lain dan diberi latihan. Selepas enam bulan, dengan kuasa Tuhan, mama diberi kemudahan oleh majikan untuk menyertai Program Bekerja Dari Rumah. Dengan program ini, mama boleh jaga kamu dan dalam masa yang sama terus bekerja. Majikan menyediakan workstation di rumah untuk mama siapkan kerja-kerja pejabat. Mama ke pejabat hanya jika ada mesyuarat, seminar dan tugas-tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa.

Walaupun terdapat tambahan tugasan sebanyak 40%, mama tetap terima. Kedengaran seronok tetapi mengimbangi tugasan yang bertambah dan menjaga kamu, bukanlah mudah. Inilah pengorbanan seorang ibu. Syukur, setelah hampir dua tahun, kontrak bekerja dari rumah telah diperbaharui lagi untuk dua tahun selanjutnya.

Sihat dan aktif

Terkini, kes kamu dirujuk di IJN di bawah pemantauan Dr Hasri. Pada usia lima tahun, jantung kamu masih belum normal. Jika dilihat secara luaran kamu sama seperti kanak-kanak lain. Sihat dan aktif tetapi mama masih perlu pantau dan pastikan kamu makan ubat seperti yang telah ditetapkan.

Ketika di HUKM, kamu hanya makan sejenis ubat. Ubat itu mungkin memberi kesan kepada mata. Ketika itu, selain pemeriksaan jantung secara berkala, kamu juga perlu buat pemeriksaan mata. Di IJN, ubatnya telah berubah dan diberi dua jenis ubat untuk mengawal dan menurunkan kelajuan jantung.

 

Doktor maklumkan yang tiada apa-apa yang boleh dibuat dengan keadaan jantung kamu. Masalah bermula sejak dari kandungan. Apa yang mampu mama lakukan ialah teruskan tawakal dan bergantung kepada kuasa Allah dan kekuatan kamu sendiri untuk terus hidup.

Apa yang penting, kamu masih mampu bersama mama ke mana-mana pun. Tetap keletah dan ceria walau berada di samping kamu bererti sedang bersama bom jangka. Apa-apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

Semasa air mata tidak henti mengalir mengenangkan apa yang berlaku, kamu pasti balas pelukan mama dengan pandangan seolah-olah mengerti. Syukur mama masih punya peluang peluk, cium, dodoi dan tidur bersama kamu saban hari. Biarpun mesin yang memantau kesihatan kamu di hospital kerap kali menunjukkan angka yang sangat mengecewakan, mama tetap melihat kamu sebagai anak yang sihat. Kamulah baby magic yang masih mampu bertahan untuk meneruskan kehidupan biarpun dengan jantung yang masih bermasalah.

Mama baby magic,

Suhaila Saleh

IKLAN