
Doa perlindungan anak antara amalan yang boleh ibu ayah jadikan rutin sebelum menghantar anak ke sekolah. Sejak akhir-akhir ini, hati ibu ayah semakin tidak tenang apabila membaca berita mengenai pelbagai kejadian membabitkan anak-anak di sekolah.
Kes buli, keganasan dan kejadian tidak diingini seakan-akan semakin sukar dibendung. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, negara dikejutkan dengan berita duka melibatkan pelajar yang kehilangan nyawa, dengan pelbagai alasan di sebalik kejadian termasuk isu buli, cinta ditolak dan perkara lain yang sukar diterima akal.
Sekolah yang selama ini kita anggap sebagai tempat paling selamat untuk anak-anak menuntut ilmu, membina persahabatan dan mengejar impian, kini sedikit sebanyak membuatkan hati ibu ayah dibayangi kebimbangan.
Bukan niat untuk menakutkan ibu ayah sehingga meragui keselamatan anak setiap kali mereka melangkah ke sekolah. Namun sebagai ibu dan ayah, mana mungkin naluri hati tidak bimbang?
Setiap pagi apabila melihat anak menyarung beg sekolah dan melangkah keluar dari rumah, mungkin terlintas persoalan di hati,
“Adakah anak aku selamat di luar sana?”, “Bagaimanakah keadaan mereka di sekolah hari ini?” dan “Adakah ada sesuatu yang mereka pendam tetapi tidak pernah diceritakan kepada kita?”
Dalam membicarakan isu sebegini, bukan juga masanya untuk terus menyalahkan sistem pendidikan, pihak sekolah atau dasar negara semata-mata.
Sebaliknya, mungkin sudah tiba masanya kita melihat persoalan ini dengan lebih luas. Sejauh mana persekitaran kehidupan, gaya hidup keluarga, didikan di rumah, pengaruh rakan sebaya serta apa yang dilihat dan didengar oleh anak setiap hari boleh membentuk emosi dan tingkah laku mereka?
Semua pihak mempunyai peranan. Namun dalam masa yang sama, siapa kita untuk menidakkan takdir yang telah berlaku.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Sebagai ibu ayah, kudrat kita juga terbatas. Kita tidak mampu berada di sisi anak selama 24 jam, mengawasi setiap langkah mereka atau melindungi mereka daripada setiap kemungkinan yang bakal berlaku.
Apa yang mampu dilakukan adalah berusaha sebaik mungkin, mendidik, memantau, mengambil langkah keselamatan dan akhirnya bertawakal kepada Allah SWT.
Kita mempunyai Allah, Ya Hafiz, Yang Maha Memelihara dan Maha Menjaga.
Sehubungan itu, Pa&Ma berkongsi tiga doa perlindungan anak yang boleh diamalkan bersama anak sebelum mereka keluar ke sekolah, asrama atau menjalani rutin harian.
Ia adalah satu hantaran di Facebook, pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun mengingatkan ibu bapa bahawa usaha melindungi anak bukan sekadar melalui penjagaan fizikal, tetapi juga dengan membiasakan mereka mengamalkan doa-doa yang diajarkan Rasulullah SAW.
Didik anak untuk membacanya dan ibu ayah juga boleh mengamalkannya sebagai sebahagian daripada doa memohon agar mereka sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

1. Doa Keluar Rumah
Latihlah anak membaca doa ini setiap kali melangkah keluar dari rumah untuk ke sekolah atau ke mana-mana sahaja.
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Maksudnya: Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Kelebihan Doa Ini
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Apabila seseorang keluar dari rumahnya lalu dia mengucapkan:
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
maka akan dikatakan kepadanya ketika itu: ‘Kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah), kamu telah dicukupkan (keperluanmu), dan kamu telah dilindungi (daripada bahaya).’ Lalu syaitan-syaitan pun menjauhkan diri daripadanya.”
(HR Abu Daud, no. 5095)
2. Doa Memohon Perlindungan Daripada Kemudaratan
Doa ini boleh diamalkan sebagai permohonan kepada Allah SWT agar anak dijauhkan daripada perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan.
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tidak ada sesuatu pun yang boleh membawa mudarat di bumi mahupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Kelebihan Doa Ini
Daripada Uthman bin Affan RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang membaca:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah secara tiba-tiba sehingga waktu pagi. Dan sesiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa musibah secara tiba-tiba sehingga waktu petang.”
(HR Abu Daud, no. 5088)
3. Doa Memohon Perlindungan Ketika Berada Di Sesuatu Tempat

Apabila anak berada di sekolah, asrama, kelas atau di mana-mana tempat, ajarkan mereka doa ini sebagai permohonan perlindungan kepada Allah SWT.
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya.
Kelebihan Doa Ini
Daripada Khaulah binti Hakim Al-Sulamiyyah RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang singgah di suatu tempat, lalu dia membaca:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
maka tidak ada sesuatu pun yang dapat membahayakannya sehinggalah dia beredar dari tempat tersebut.”
(HR Muslim, no. 2708)
Doa Perlindungan Anak, Usaha Dan Tawakal Ibu Ayah
Dalam keadaan dunia hari ini yang penuh dengan perkara tidak dijangka, memang sukar untuk meminta ibu ayah supaya tidak bimbang langsung.
Tetapi jangan biarkan kebimbangan membuatkan kita hidup dalam ketakutan.
Selain memastikan anak tahu menjaga keselamatan diri, berani berkata tidak, tahu kepada siapa mereka perlu meminta pertolongan dan sentiasa berkongsi jika berdepan sesuatu yang tidak menyenangkan, jangan lupa membina benteng rohani mereka.
Mulakan hari anak dengan doa.
Peluk mereka sebelum keluar rumah, titipkan pesanan yang baik dan jangan jemu bertanya keadaan mereka apabila pulang.
Kadangkala seorang anak tidak terus berkata, “Saya ada masalah.” Namun perubahan sikap, emosi dan tingkah laku mereka mungkin sedang memberitahu sesuatu.
Kita mungkin tidak mampu berada bersama anak pada setiap masa, tetapi kita boleh sentiasa menitipkan doa kepada Allah SWT agar Dia menjaga mereka saat mata kita tidak mampu melihat dan tangan kita tidak mampu mencapai.
Artikel Trending: “Furqan Mukmin Pergi Tanpa Signal, Post-Mortem Tak Detect Apa-Apa” Ibu Reda Pemergian Anak, Doktor Tak Jumpa Punca
Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Semoga Allah SWT memelihara anak-anak kita di mana sahaja mereka berada, menjauhkan mereka daripada kemalangan, kezaliman, buli dan segala bentuk kemudaratan.
Semoga mereka keluar dari rumah dalam perlindungan-Nya dan kembali semula ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Sumber: Ustazah Asma Harun
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

