Doakan Pembedahan Pintasan Jantung Adam Selamat. Hunny Madu Harap Ada Keajaiban

Share

Penyanyi dan pengacara, Hunny Madu, 33, memohon orang ramai supaya mendoakan urusan pembedahan pintasan jantung anak keduanya pada pertengahan bulan ini berjalan lancar.

Katanya, Adam Musa yang baru berusia setahun enam bulan menghidap penyakit jantung kompleks, Double Inlet Left Ventricle sejak dilahirkan.

“Saya harap sepanjang dua minggu ini sama-sama mendoakan anak saya, Adam Musa Khairul Azhar yang akan menjalani pembedahan pintasan jantung pertama.

“Semoga Adam Musa segera pulih selepas pembedahan yang dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN) dan diberkati dengan kehidupan yang sihat,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Pemilik nama sebenar Hani Farhana Mohd Hatim tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada Yayasan IJN, doktor dan kakitangan di atas kelancaran urusan dan layanan sejak anaknya menerima rawatan di situ.

“Terima kasih kerana segala proses kemasukan Adam Musa ke wad berjalan lancar, malah semua kakitangan memberikan layanan yang baik.

“Dia asyik menangis sejak pagi, tetapi gembira selepas dapat menikmati buah beri biru dan tauhu dengan nasi.

“Saya sangat gementar, namun berharap anda semua dapat mendoakan Adam supaya cepat pulih,” tambahnya.

Terdahulu, bayi lelaki yang dilahirkan pada Disember 2017 itu pernah dua kali menjalani pembedahan dikenali Stent PDA.

Selain Adam, Hunny yang mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar Abdul Wahid mempunyai seorang anak perempuan, Eva Medina, yang kini berusia tujuh tahun.

Sumber: Berita Harian & ig Hunny Madu

 

IKLAN