Doktor di Hospital Kanak-Kanak Sarojini Naidu di Uttar Pradesh berjaya mengeluarkan janin seberat dua kilogram (kg) daripada perut bayi tujuh bulan, Jumaat lalu.
Pembedahan itu berlangsung selama empat jam dengan bayi lelaki terbabit mungkin yang pertama di negeri berkenaan menderita keganjilan dikenali ‘fetus in fetu (FIF)’.
Dr D Kumar yang mengetuai pasukan perubatan bagi prosedur terbabit memaklumkan kanak-kanak itu kini dalam keadaan baik.
Bapa bayi itu yang juga petani dari kawasan Kunda di daerah Pratapgarh membawa anaknya ke jabatan kecemasan di Hospital Swaroop Rani Nehru pada 24 Julai lalu.
“Ibu bayi sudah meninggal dunia ketika melahirkannya. Perut bayi itu pula kembung dan dia mengalami kesakitan.
Ads
“Imbasan CT scan yang dijalankan selepas pemeriksaan biasa menunjukkan bayi itu mengandungkan janin,” kata doktor yang mengesahkan janin dikeluarkan menerusi pembedahan terbabit.
Dr Kumar berkata, FIF adalah anomali kongenital yang jarang berlaku, yang mana janin cacat membesar dalam badan kembar.
“Ia berlaku apabila seorang daripada kembar membesar dalam perut ibu, manakala seorang lagi hidup dalam perut bayi,” jelasnya.
Pada hujung 90-an, seorang lelaki dari Nagpur di Maharashtra dikenali Bhagat digelar ‘lelaki hamil’ apabila mempunyai perut yang menonjol dan disahkan ‘mengandungkan’ kembarnya selama lebih 36 tahun
Penggunaan gajet berlebihan dalam kalangan kanak-kanak boleh membantutkan perkembangan mental dan emosi selain berkemungkinan meningkatkan kadar rabun jauh pada usia muda.
Dalam aspek kesan penggunaan gajet kepada mata, ia boleh menyebabkan kanak-kanak berhadapan masalah rabun jauh dalam usia yang tidak sepatutnya, manakala dalam aspek mental dan emosi, ‘ketagihan’ gajet boleh membawa kepada sikap agresif jika tidak dapat menggunakan gajet.
Kanak-kanak tak boleh lebih 2 jam
Berkongsi mengenai kesan gajet kepada mata, Pakar Perunding Oftalmologi Dr Azura Ramlee daripada Prof Muhaya Eye & Lasik Centre (PMELC) berkata, peningkatan bilangan kanak-kanak mengalami rabun jauh atau ‘myopia’ akibat kerap menggunakan gajet adalah isu yang perlu ditangani pada peringkat awal.
“Penggunaan gajet terutamanya telefon pintar dan peranti tablet dalam kalangan kanak-kanak tidak seharusnya melebihi dua jam sehari,” katanya kepada Bernama.
Masalah rabun meningkat
Menurutnya, satu kajian pada 2005 mendapati kadar rabun kanak-kanak berusia tujuh tahun adalah 9.8 peratus manakala bagi kanak-kanak berusia 15 tahun pula adalah 34.4 peratus
“…kajian ini dilakukan pada 2005 dan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak (ketika itu) masih rendah, kini statistik itu dijangka meningkat dengan penggunaan yang tidak terkawal. Ramai pesakit yang datang untuk rawatan penglihatan kabur mempunyai tabiat melihat skrin digital dengan lama,” jelasnya.
Mata cepat penat dan mudah pening
Tambah Dr Azura, selain myopia kanak-kanak turut terdedah dengan ketidakselesaan dan kekeringan mata (digital eye strain) akibat mata kurang berkelip kerana asyik melihat gajet.
“Selain itu, melihat skrin digital dengan dekat dan silau daripada skrin akan turut mengakibatkan digital eye strain. Gejala digital eye strain termasuklah mata rasa penat, pedih, berair, gatal, penglihatan kabur dan pening,” katanya.
Menurutnya, American Academy of Pediatrics mengesyorkan tiada gajet bagi kanak-kanak di bawah dua tahun, satu jam sehari bagi yang berumur tiga hingga lima tahun, satu sehingga satu setengah jam sehari bagi kanak-kanak enam hingga 10 tahun dan dua jam bagi kanak-kanak 11 hingga 13 tahun.
Katanya, syor tersebut boleh dijadikan panduan bagi ibu bapa untuk mula mengawal waktu penggunaan anak-anak bermain gajet.
Kes yang sangat membimbangkan
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pengaruh gajet terhadap kehidupan harian kanak-kanak di negara ini membimbangkan dan satu tinjauan pendapat dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di Lembah Klang mendapati 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak-anak memiliki gajet.
Seorang ibu, Nurul Aida Abd Razak, 35, berkata anak lelakinya Muhammad Fahmy Mohamed Fadzly, 9, mula memakai cermin mata akibat rabun jauh sejak berusia enam tahun kerana gemar melihat telefon bimbit dalam keadaan gelap pada waktu malam untuk menonton kartun dan bermain permainan video.
“Kuasa kanta cermin mata anak saya kini 250 untuk kedua-dua mata…dan sekarang saya hadkan penggunaan gajet kepada dia, hanya boleh guna pada hujung minggu iaitu dalam satu hingga dua jam sehari,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar ibu bapa lain memantau dan mengawal penggunaan gajet anak mereka supaya kanak-kanak ini tidak berisiko berhadapan dengan masalah penglihatan seperti yang dihadapi anaknya.
Beri kesan negatif pada emosi dan mental anak
Sementara itu, pakar psikologi kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak boleh memberi kesan negatif kepada proses perkembangan mental dan emosi mereka jika tidak ditangani dengan baik.
“Misalnya, jika tiada gajet, mereka yang agresif akan marah dan pamer tingkah laku seperti tendang pintu, hentak meja dan lain-lain manakala golongan kurang agresif akan pamerkan reaksi marah terpendam seperti merajuk, berdiam diri dan melarikan diri,” katanya.
Ketagihan gajet boleh diatasi
Mohamed Fadzil berkata, ibu bapa boleh memainkan peranan dalam isu penggunaan gajet dengan mengurus secara produktif dan konstruktif iaitu mengawalnya secara tegas serta berkesan.
Tambah beliau, ketagihan kanak-kanak dengan gajet boleh diatasi secara perlahan-lahan melalui pendedahan kepada aktiviti lain misalnya melukis.
“Kanak-kanak boleh diajar dengan teknik ‘switch’ atau alih tumpuan kepada perkara lain apabila mereka mula tumpu kepada gajet. Ibu bapa perlu cekap untuk kawal dan selia anak tatkala menggunakan atau berhadapan dengan gajet,” ujarnya. – BERNAMA
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ditakdirkan menjadi OKU selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, si ayah ini tetap gagahkan diri menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga bagi menyara isteri dan empat anak yang masih kecil.
Walaupun melalui pelbagai ujian sebelum ini, ia bukan alasan kerana bagi ayah ini selagi diberi kudrat dari Allah, dia tetap mahu berikan yang terbaik. Bagaimanapun ketika dia mahu bangkit, Allah sekali lagi menguji apabila anak perempuannya pula disahkan mengalami kanser darah yang turut memerlukan perbelanjaan besar.
Apa yang bagusnya keluarga ini, mereka menganggap ujian yang diberikan itu sebagai tanda Allah nak bagi ganjarannya di kemudian hari. Namun betullah orang kata, rezeki tak pernah salah alamat. Kehadiran aktivitis masyarakat, Puan Natipah Abu ibarat satu lorong terang bakal mewarnai hidup keluarga ini.
Berikut perkongsian kisah keluarga Encik Buyamin. Mana tahu sedikit sebanyak sumbangan sempena bulan mulia ini memudahkan kehidupan keluarga Encik Buyamin dan pahalanya terus berpanjangan buat kita.
Tak pernah putus asa, Allah uji tandanya Dia sayang
Encik Mohd Buyamin Bin Samsudin, 43 tahun merupakan seorang pemegang kad OKU fizikal akibat satu kemalangan jalan raya yang menimpanya.
Beliau mencari rezeki dengan berniaga menjual air balang di pasar malam. Bila tiba musim cuti sekolah, rezekinya berlipat ganda kerana air balangnya selalu mendapat tempahan dari tuan rumah yang menganjurkan majlis perkahwinan.
Bagaimanapun tahun 2018, beliau berhadapan dengan kegetiran hidup yang bukan kepalang bila anak keduanya yang pada ketika itu berusia 3 tahun disahkan mengidap kanser darah dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Besar Pulau Pinang sehinggalah ke hari ini.
Pandemik melanda .. beliau tidak lagi dapat menjual air balang di pasar malam. Bahkan air balang tidak lagi ditempah untuk sebarang majlis perkahwinan atau keramaian seperti dulu lagi.
Encik Buyamin benar-benar ‘terduduk’ kerana hilang satu-satunya sumber pendapatannya selain wang Elaun Pekerja Cacat (EPC JKM) RM450 sebulan.
Encik Buyamin kemudiannya mengambil keputusan untuk berniaga ais batu pula. Menjual ais batu kepada peniaga-peniaga warung dan gerai makan.
Dengan van buruknya … dia bergerak mengedar ais batu kepada pelanggan. Pendapatannya sebagai penjual ais tidaklah seberapa. Ais dibeli secara tunai di kilang tetapi kebanyakan pelanggannya berhutang bila membeli dari dia.
Dalam tempoh setahun menjual ais batu ini, ada beberapa orang pelanggannya terpaksa tutup kedai dan gagal melunasi hutang.
Mereka menyerahkan barang-barang yang ada di kedai makan mereka kepada Encik Buyamin sebagai timbal balas bagi melunaskan hutang mereka walaupun hakikatnya barang-barang itu tidak bernilai pun.
Van yang digunakan terbakar
Di saat baru hendak bangkit ini jugalah, tiba-tiba Encik Buyamin diuji sekali lagi bila van yang digunakan untuk ke hulu-ke hilir mencari rezeki itu terbakar ketika dia dalam perjalanan menghantar ais kepada pelanggannya.
Tidak berputus asa, beliau menggunakan kereta buruknya untuk berniaga ais walaupun kereta itu tidak boleh mengisi banyak beg ais. Tetapi daripada berpeluk tubuh dan berputih mata, dia meneruskan juga walau untungnya hanya sekupang dua.
Ramadhan Al Mubarak .. perniagaan menjual ais batunya terhenti lagi. Satu-satunya mata pencarian yang dia tahu masih terbuka luas peluangannya ialah berniaga air balang semula.
Tetapi mustahil sekali kerana van yang terbakar itu sudah tidak boleh digunakan lagi. Dia tidak punya kewangan yang cukup untuk membaikinya.
Harap ada sinar baru
Tak akan dia hendak berpeluk tubuh dan mengharapkan wang bantuan Elaun Pekerja Cacat dari JKM semata-mata sedangkan ada 5 mulut yang perlu disuapnya.
Mujurlah dia tidak perlu menanggung kos sewa rumah kerana tinggal di rumah pusaka orang tuanya.
Semoga sedekah kita ini dapat mencukupkan anggaran jumlah kos yang diperlukan untuk memperbaiki semula van tersebut dan dapatlah beliau mencari rezeki buat keluarganya.
Ramadan yang penuh barakah ini, semoga Allah memberi sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat.
Jazakumullahu khair kepada semua penyumbang di luar sana. Langit Ramadan yang barakah …
“Puasa adalah untukku, dan Aku sendiri yang akan memberikan balasannya…” (HR. Bukhari dan Muslim).
Sekiranya anda ingin sama-sama hulurkan sumbangan tak kiralah berapa jumlahnya sekalipun untuk Encik Buyamin menggunakan semula vannya itu, boleh salurkan ke akaun Natipah Abu 552107617521 (Maybank). Semoga Encik Buyamin sekeluarga dan kita semua dimurahkan rezeki olehNya. Amin.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jenazah Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun yang terkorban semasa serangan pengganas di masjid Christchurch, New Zealand dikatakan senyum dan tenang. Ramai yang menangisi pemergiannya.
Allahyarham Muhammad Haziq merupakan anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42 tahun, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor. Ketika yang meragut 50 nyawa itu, Mohd Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12 tahun dan Allahyarham Mohd Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
ADIK MASIH TRAUMA, BELUM TAHU ABANG SUDAH TIADA
Mohd Tarmizi cedera parah akibat terkena tembakan dan telah dibenarkan pulang dari hospital selepas menjalani pembedahan manakala Mohd Haris tidak mengalami sebarang kecederaan namun dilaporkan trauma.
WAJAH BERCAHAYA KETIKA JENAZAH DIURUSKAN
Menurut laporan Astro Awani yang menemurah ibu saudaranya, Zarina Shuib, jenazah anak saudaranya itu berada keadaan tersenyum dan seumpama sedang tidur. Zarina turut dimaklumkan yang wajah anak saudaranya itu seperti bercahaya ketika jenazah anak kedua daripada empat adik beradik itu diuruskan.
DITEMBAK DUA KALI PADA BADAN
Dalam kejadian di masjid Al Noor, Allahyarham Muhammad Haziq menurutnya mengalami kecederaan akibat ditembak sebanyak dua kali pada anggota badan. Dalam kejadian itu bapanya, bapa Mohd Tarmizi Shuib juga mengalami kecederaan.
SENYUM DAN TENANG
“Rasa sedih, terkilan sebab dia anak saudara. Reda dengan pemergian dia (Haziq). Mungkin sudah sampai ajal tuhan. Sudah ketentuan meninggal masa tu. Mariani (adik) ada sebut jenazah (Haziq) senyum dan tenang,” katanya Zarina.
Jenazah Allahyarham Muhammad Haziq dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurch selepas disahkan meninggal dunia setelah hampir seminggu kehilangannya.
WAJAHNYA SANGAT BERSIH SEPERTI SEDANG TIDUR, HIDUNG & BIBIR MERAH SEPERTI MASIH HIDUP
Selain itu, menurut seorang lelaki yang dikenali sebagai Putera Sriwijaya, wajah anak muda ini sangat bersih, seolah-olah sedang tidur. Hidung dan bibirnya masih merah seperti masih hidup.
Putera Sriwijaya berkongsi di laman Facebooknya yang dia turut mengusung keranda Allahyarham dan menurunkan jenazah ke liang lahad. Dalam perkongsiannya, lelaki ini mengakui mungkin ada amalan yang dilakukan Allahyarham Muhammad Haziq yang menyebabkan pemergiannya dalam keadaan yang sangat baik.
BEREHATLAH DENGAN TENANG
Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam posting Instagram menyebut akan pemergiaan Allahyarham Muhammad Haziq pada hari Jumaat, di dalam masjid dalam keadaan bersedia untuk menunaikan ibadah akan diberikan ganjaran yang besar dan mendoakan Allahyarham mendapat syahid di sisi Allah SWT.
drzulkifli.albakri Pencarian yang akhirnya menemui jawapan. Berehatlah dengan tenang, anakanda Haziq. Umat Islam seluruh dunia mendoakanmu. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohd Haziq atas pemergian insan yang tercinta.
Pemergiannya di hari Jumaat yang mulia, di dalam masjid, dalam keadaan bersedia untuk menunaikan ibadah, insyaAllah dikurniakan dengan ganjaran yang besar. Kami mendoakan semoga beliau mendapat syahid di sisi Allah SWT.
Kami menyeru semua masjid dan Surau Diri Jumaat dalam Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama menunaikan solat jenazah ghaib untuk semua mangsa tragedi di #Christchurch.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’.
MyKid 260626-06-xxxx menjadi perhatian apabila bayi yang lahir di Pahang pada 26 Jun 2026 menerima nombor kad pengenalan yang unik, tersusun dan mudah diingati, sekali gus bertepatan dengan Hari Asyura.