Mana-mana ibu bapa sekalipun pasti mengharapkan anak yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat dan membesar secara normal.
Tapi pasti ada juga yang akan melalui ujian tertentu disebaliknya. Begitu juga dalam hal untuk menghalang anak dari mendapat autisma.
Berdasarkan perkongsian Dr Suriyakhatun, ada beberapa faktor yang boleh dijadikan panduan kepada ibu yang merancang untuk hamil. Tak salah untuk berusaha sebelum berserah pada ketentuan takdir.
Berikut antara perkongsian dari Dr Suriyakhatun:
Semasa pasca konferens baru-baru ini, ada seorang Professor dari India yang membentang kertas kerja yang bertajuk bagaimana nak halang untuk mendapat anak autisma.
Memang bila saya kaji sejarah pesakit autisma saya, saranan -saranan beliau amat relevan.
Ads
Antara risiko untuk autisma adalah sejarah keluarga dimana ada ahli keluarga yang ada sakit mental seperti schizophrenia, bipolar dan juga autisma dan lain -lain penyakit mental-emosi.
Selain dari ini , faktor pemakanan dan nutrisi pun boleh menjadi pencetus bila ibu kurang makan makanan seimbang atau memakan banyak makanan yang tercemar dengan kimia.
Ada juga faktor infeksi dan kimia dari ubatan pada ibu mengandung yang boleh memberi kesan pada kandungan .
Ads
Selain dari ini beliau menyebut tentang emosi ibu. Sebarang tekanan yang membawa emosi sedih, risau, takut, benci dan marah yang berlarutan memainkan peranan dalam mencetuskan autisma terutama bila ada sejarah keluarga.
Selain dari itu beliau juga membuat beberapa saranan untuk menambahkan nutrisi ibu semasa mengandung. Beliau tidak berapa galakkan bahan ubatan atau suplemen dari sumber sintetik tetapi sebaliknya menyarankan bahan asli seperti saffron.
Antara saranan beliau mengikut fasa mengandung adalah muzik dan rentak . Dalam trimester kedua anak sudah boleh mendengar dan beliau sarankan ibu dan juga ayah perlu bercakap dengan lembut dan penuh kasih sayang kepada anak dalam kandungan dan yang agak mencuit hati beliau sarankan untuk guna rantai tangan berloceng sebab bunyi loceng boleh tenangkan .
Bab ini saya tidaklah berapa tahu, yang saya tahu, kalau cucu saya yang berumur tiga bulan menangis memang dia akan berhenti menangis bila saya bunyikan sekumpulan kunci.
Dalam menjaga kesejahteraan emosi ibu yang mengandung, beliau kaitkan peranan suami dan peranan ibu serta ibu mertua sama ada mereka ini akan menyebabkan emosi negatif atau membantu untuk memberi ibu mengandung emosi yang aman dan stabil semasa mengandung.
Memang dalam facebook personal saya, saya telah mengundang kontroversi bila saya sebut jangan tinggal serumah dengan ibu mertua semasa mengandung . Penyata ini tidak tepat sebab ramai saja ibu mertua yang baik . Namun demikian Professor ini berkata ada tekanan bagi menantu untuk jaga perasaan ibu mertua dan peranan sebagai isteri, ibu dan ditambah pula menantu akan membawa tekanan emosi yang berat bagi wanita mengandung . ( guest in her own house?).
Apapun, bagi yang marah dengan penyata ini, ia hanyalah untuk provokasi supaya berfikir untuk menjaga hati ibu yang sedang mengandung.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang… Kenangan 21 & 22 Januari 2018 Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ****** Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu! Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar… “Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang 21 Januari 2018 “Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat. “Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas. Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi. “Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega. Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas. “Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil. “Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat. Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah…. Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku. “Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung. Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mubilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam 22 Januari 2018 Sanah helwah buat aku! Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah! Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari 24 Januari 2018 Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi 25 Januari 2018 Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku. Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi 30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya. BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi 15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas. “Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku. Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,” Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat. “Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi 16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat. Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya. Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku. “Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang. Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam. Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
Menjadi ibu sememangnya tidak mudah. Tanpa persediaan mental dan fizikal, momen berharga menjadi seorang ibu seakan diketepikan oleh diri sendiri. Semuanya kerana kepenatan melampau.
Bagi pelakon, Hannah Delisha yang sudah pun mendirikan rumah tangga selama tiga tahun, memiliki anak pada waktu terdekat ini bukan dirasakan sesuai bagi dirinya.
Malah Hannah yang mendirikan rumah tangga bersama suaminya Imam Shah berhasrat menimang empat orang cahaya mata jika diberikan rezeki nanti.
Akui pelakon cantik manis ini lagi, dia dan suami bagaimanapun masih merancang mengenai soal zuriat dan tidak ingin tergesa-gesa untuk memiliki zuriat sendiri buat masa terdekat ini.
“Saya dan Imam memang dah fikir pasal ada zuriat. Tapi itu semua atas keizinNya juga. Alangkah baik jika dikurniakan dua anak tapi kalau Allah nak bagi rezeki lebih, empat anak sudah cantiklah.
“Tanggungjawab ada anak ini sangat besar. Bahkan, jaga kucing sekali pun tanggungjawab sangat besar. Apatah lagi seorang anak.
“Kami nak pastikan betul-betul bersedia kerana bila ada anak, saya mahu luangkan masa sebaiknya dengan anak saya. Juga beri perhatian penuh kepadanya,” akuinya lagi.
Hannah atau nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch berkata dia dan suami menyerahkan segalanya kepada rezeki dari Allah.
Namun dia mengakui cabaran dan tanggungjawab bergelar ibu tidak mudah. Dek kerana itulah dia masih mencari kekuatan untuk bergelar ibu suatu hari nanti.
“Kita tengoklah nanti, bila saya rasa kerja macam tak terlalu sibuk, kami cubalah. Tapi itulah, apa sekalipun, akhirnya nanti ia bergantung kepada keizinan Allah,” katanya.
“Saya memang kagum sangat dengan ibu-ibu yang kerja dan pada masa sama jaga anak. Bukan mudah sebab mak saya sendiri pun seorang ibu tunggal. Saya nampak cabaran dia jaga dan besarkan anak sambil bekerja.
“Setakat ini, orang sekeliling tak menekan saya pasal zuriat. Kalau diaju soalan itu, saya cuma minta mereka doakan agar saya beroleh rezeki kelak,” katanya lagi.
Terdahulu, Hannah dan Imam yang juga pelakon dari Singapura mendirikan rumah tangga sekitar Feb 2021.
Wanita hamil memang akan ada perangai pelik yang mesti difahami oleh para isteri untuk mengelakkan berlaku salah faham dan melabel isteri mengada-ngada.
Suami mana yang tak gembira dan bersyukur bila isteri tersayang disahkan sudah mengandung. Namun para suami terutama yang pertama kali bakal bergelar ayah perlu bersedia mental dan emosi untuk berhadapan dengan bermacam perangai ‘pelik’ si isteri.
Suami jangan cepat marah isteri kalau perangainya agak pelik dan ‘mengada-ngada’ daripada biasa. Itu lumrah isteri yang hamil.
Berikut beberapa perangai pelik isteri yang mengandung.
1. Tak boleh masuk dapur
Entah kenapa bila sahaja ‘mabuk’ mengandung menyerang, dapur seperti menjadi kawasan larangan. Bukan semua masalah ini melanda ibu hamil tapi bagi yang mengalaminya, dapur seolah-olah kawasan yang sangat busuk dan memualkan.
Jadi, diharap suami dapat memahami dan tidak mendesak isteri atau menuduh orang rumah mengada-ngada. Biasanya perangai pelik ini akan berakhir dengan sendirinya apabila ‘mabuk’ mengandung hilang selepas tiga bulan kehamilan.
2. Malas mandi
Ini bukan main-main dan saja-saja tapi rasa malas itu datang tidak semena-mena. Entah kenapa badan terasa sakit bila terkena air paip. Bau bilik mandi juga menambahkan lagi rasa malas hendak mandi. Tapi suami jangan risau, biasanya selepas berakhir alahan, isteri akan kembali normal.
3. Benci dengar bunyi telefon
Di awal kehamilan, ada ibu hamil yang benci mendengar bunyi telefon. Rasa seperti mengganggu ketenteraman dan makin membuatkan rasa pening kepala.
4. Tak suka bau wangi
Kalau dulu pantang bau busuk, pewangi memang satu kewajipan. Tetapi bila awal mengandung, bau wangi seperti musuh ketat. Memang ibu akan tutup hidup ketat-ketat!
5. Bawa tisu ke mana-mana
Mungkin tak ramai yang mengalaminya tetapi bagi yang melaluinya ia adalah pengalaman perit sepanjang hamil. Bayangkan sepanjang sembilan bulan mengandung, tisu adalah peneman setia mesti ada dalam beg tangan.
Kegunaan tisu adalah untuk membuang air liur/ludah yang sentiasa bertakung di mulut. Perubahan hormon dalam badan membuatkan ada ibu hamil yang mengalami pengeluaran air ludah terlalu banyak dan perlu dibuang setiap masa.
6. Pantang bau masakan
Bau jiran sebelah rumah menumis bawang dan cili sudah cukup membuatkan ibu hamil termuntah-muntah. Ia bukan mengada-ngada tetapi tindakan tersebut berlaku secara spontan.
7. Tak suka makanan kegemaran
Entah kenapa sebaik sahaja disahkan hamil, tekak rasa loya dan tak lalu hendak menjamah makanan kegemaran. Jika dulu, pantang sebut, mesti tak sabar hendak makan. Tetapi bila awal hamil, makanan kegemaran menjadi makanan tidak digemari.
8. Tak boleh bau suami
Ini paling sukar difahami. Tetapi ia berlaku kepada sesetengah orang. Tiba-tiba bau badan suami menjadi bau yang kurang enak dan boleh membuatkan mual dan hendak muntah. Jika isteri anda berperangai sebegini, banyakkan bersabar!
9. Tak boleh minum air masak
Di awal kehamilan, ramai bakal ibu yang tidak boleh minum air masak. Tekak yang payau semakin menjadi-jadi apabila terpaksa minum air masak. Lebih teruk, ada yang sampai muntah-muntah jika dipaksa minum juga.
10.Tak suka masuk rumah/bilik sendiri
Pelik tapi benar. Perasan tidak suka itu bukan dibuat-buat tetapi secara tiba-tiba rumah atau bilik tidur sendiri seperti menjadi kawasan paling tidak digemari.
Mujurlah perangai pelik isteri hamil ini biasanya berakhir sebaik usia kandungan masuk empat bulan. Kalau tidak jenuh juga suami hendak berhadapan dengan perangai pelik isteri sepanjang sembilan bulan.
Apa pun, suami perlu banyak bersabar dengan kerenah si isteri kerana ia hanyalah bersifat sementara sahaja. Fikirkanlah kesukaran yang dihadapi isteri anda untuk melahirkan zuriat tersayang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!