Penyakit gila meroyan boleh menyebabkan ibu terdengar suara halus berbisik menyuruhnya membunuh si anak yang asyik menangis sahaja.
Bukan pertama kali kita dengar berita ibu kelar anak tanpa sedar selepas dengar ada suara halus berbisik di telinganya.
Seluruh negara terkejut mendengar berita tersebut dan terfikir macam mana seorang ibu sanggup mengelar anak sendiri dengan pisau sampai mati.
Ia bukan perkara mustahil. Ibu tersebut dikatakan tidak sedar semasa mengelar leher anaknya. Ibu itu sebenarnya menghadapi masalah gila meroyan.
Dr Afiq Rahim pernah menulis mengenai hal gila meroyan di kalangan wanita baru bergelar ibu. Fahami betul-betul apa simptomnya supaya rawatan awal dapat mencegah daripada berlaku perkara lebih buruk.
Apa itu Gila Meroyan aka Postpartum Psychosis?
Para ibu selepas bersalin berisiko tinggi mengalami kemurungan teruk dalam tempoh 42 hari selepas kelahiran anak.
Ianya disebabkan perubahan hormon, masalah psikologi selepas bersalin dan pelbagai faktor lain yang mengundang stress/gangguan emosi kepada isteri.
Selepas bersalin, para ibu kehilangan banyak tenaga dan berada pada keadan mental & fizikal yang LEMAH.
Perkara ini menyebabkan mereka mudah mengalami kemurungan.
IKLAN
Sehingga pada satu tahap kritikal, si ibu berisiko mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Dan kanak-kanak adalah mangsa paling mudah dicederakan.
Oleh itu, pengesanan awal amat penting bagi mengelakkan kejadian buruk ini.
Tanda-Tanda Ibu Gila Meroyan
Antara tanda-tandanya adalah
– bercakap seorang diri
– berhalusinasi
– berfikir hal tidak rasional
– was-was
– keliru
– gagal menjalankan tanggungjawab
– tiada minat untuk melakukan apa-apa
– acap menangis
– sering mengadu
Dan pelbagai lagi masalah.
Antara komplikasi jika tidak segera dikawal adalah bertindak ganas seperti kes ini dan berisiko mendapat penyakit sakit jiwa yang lain seperti depresi.
Anggota keluarga terutama SUAMI yang merasakan perubahan pada isteri, WAJIB merujuk perkara berkenaan segera kepada pihak kesihatan.
IKLAN
Ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Rawatan Gila Meroyan
Rawat penyakit gila meroyan sebelum jadi melarat!
Antara rawatan kepada para ibu ini yang paling utama adalah sokongan padu kepada mereka.
Sokongan moral, emosi dan fizikal amat dibutuhkan oleh para ibu selepas bersalin.
Kemudian para ibu juga perlulah sentiasa berdamping dengan zikrullah, bacaan doa serta menambah ilmu agama di saat diri tidak boleh solat.
Jangan jadikan berpantang alasan untuk lalai kepada Tuhan. Kelak syaitan yang akan mengggangu nanti.
IKLAN
Cara lain adalah kaunseling dan ubat-ubatan jika masalah serius.
Ingat, kemurungan selepas bersalin boleh dielakkan.
Jika anda melihat ada tanda-tanda tersebut pada seorang ibu selepas bersalin, maklumkan segera kepada pihak kesihatan.
Dan wahai para suami, jangan abaikan tanggungjawab anda (ini adalah saranan umum dan tidak merujuk suami mangsa)
Isteri anda memerlukan pertolongan berterusan anda dalam menguruskan rumah tangga.
Ada sesetengah ibu sudah bagi bayi makan makanan pejal sebelum anaknya genap usia 6 bulan. Ibu kena tahu ia mempunyai risiko pada kesihatan si manja?
Pernah tak melalui pengalaman orang tua dengan selamba menyuruh anda memberikan bayi anda makan apabila dia tidak berhenti menangis. Padahal usia si kecil tak sampai sebulan lagi.
Alasannya anak lapar sebab itu dia menangis. Kalau zaman tok nenek kita memang menjadi lumrah mereka memberikan bayi makan sebelum usia enam bulan. Biasanya makanan yang diberi adalah nasi lembik atau pisang lenyek dan mereka memberitahu tiada sebarang masalah berlaku kepada anak-anak zaman tersebut.
Tetapi sekarang kita tidak boleh mengikut lagi saranan orang tua-tua tentang memberi bayi makan sebelum usia enam bulan kerana zaman sudah berubah. Ilmu perubatan dan teknologi juga turut mengalami perkembangan dan berubah berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh para penyelidik.
Hasil kajian dan penyelidikan, akhirnya para pakar perubatan kanak-kanak menyarankan pemberian makanan pejal perlu diberi kepada bayi sebaik mereka mencecah usia enam bulan. Mengapa? Inilah sebab-sebabnya.
1. MEMBERI PERLINDUNGAN DARIPADA PENYAKIT
Pemberian makanan setelah bayi berusia enam bulan dapat memberikan perlindungan besar dariapda pelbagai jenis penyakit. Ini disebabkan sistem imun bayi kurang daripada enam bulan masih belum sempurna. Pemberian makanan pejal awal boleh menyebabkan masuknya pelbagai jenis kuman dalam badan bayi.
Bayi yang diberi makan sebelum usia enam bulan, cenderung untuk dijangkiti cirit-birit, sembelit, batuk dibandingkan bayi yang hanya mendapat susu ibu eksklusif sepanjang enam bulan usianya.
2. SISTEM PENCERNAAN SUDAH SEMPURNA
Sistem pencernaan dalam badan bayi yang berusia enam bulan ke atas sudah cukup sempurna dan bersedia untuk menerima makanan selain susu ibu. Beberapa enzim pencerna protein seperti asid gastrik, lipase, enzim amilase hanya akan sempurna berfungsi apabila bayi berusia enam bulan ke atas.
Jika bayi berusia bawah enam bulan diberi makan, sistem pencernaannya perlu bekerja lebih keras untuk mencerna makanan. Kesannya boleh menimbulkan gangguan pencernaan seperti sembelit atau kembung perut.
3. KURANG RISIKO ALAHAN PADA MAKANAN
Apabila bayi berusia kurang daripada enam bulan diberi makan, sel-sel di sekitar usus belum bersedia untuk menerima bahan-bahan makanan sehingga makanan yang masuk dalam perut boleh menyebabkan tindak balas imun dan berlakunya alahan.
4. MELINDUNGI BAYI DARIPADA OBESITI
Dengan menunda pemberian makanan pejal sehingga bayi berusia enam bulan dapat melindungi bayi daripada risiko obesiti di masa hadapan. Proses pemecahan bahan-bahan makanan belum sempurna jika bayi diberi makan sebelum usia enam bulan. Ia hanya akan menyebabkan risiko meningkatnya kandungan lemak dan berat badan.
Ada beberapa kes yang ekstrem memerlukan bayi menjalani pembedahan akibat pemberian makanan pejal terlalu awal. Oleh itu pastikan anda ada maklumat dan ilmu yang tepat dari sumber mereka yang pakar. Bukan sekadar dengar cerita dan pengalaman orang sahaja. Yang penting adalah kesihatan anak kita.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memulakan langkah untuk menyusu ketika memulakan proses berpantang sememangnya agak sukar. Tanpa pengalaman menyusu, kurangnya ilmu pengetahuan, buat berpantang dan proses penyusuan anak menjadi sedikit sukar. Pun begitu, jangan jadikan tempoh ini sebagai tempoh yang begitu sulit sebaliknya mulakan langkah demi langkah untuk menyusukan anak dengan baik.
Tempoh berpantang 44 hari yang diamalkan oleh ibu-ibu di negara kini sememangnya satu tempoh untuk berlatih menyusukan anak sepenuhnya dan juga berehat daripada melakukan kerja rumah yang berat.
Menurut Pn Suraya Ali, Konsultan Susu Ibu daripada Lunatots, inilah masa untuk ibu belajar. Jangan mudah rasa tertekan. Ambil masa anda sebaiknya untuk memulakan menyusu anak dengan baik dan lancar. Bagi ibu berpantang, jadikan tip ini sebagai panduan.
Utamakan Proses Penyusuan
Ketika berpantang, menyusukan bayi adalah keutamaan berbanding aktiviti yang lain. Ramai ibu sudah merangka aktiviti yang akan dijalankan semasa dalam tempoh berpantang namun ibu perlu utamakan penyusuan. Ini tempoh paling penting untuk ibu dan bayi sepanjang kehidupan kita. Semasa di dalam pantang, ibu mungkin mengalami dua keadaan ini.
Keadaan pertama ialah susu ibu terlalu banyak. Ada juga yang runsing kerana setiap kali menyusu bayi dengan sebelah payudara, sebelah lagi turut mengeluarkan susu. Namun ibu jangan risau, semasa di dalam pantang, susu ibu dihasilkan dua atau tiga kali ganda lebih banyak dari keperluan. Ketika ini badan ibu belum dapat mengandaikan jumlah bayi yang bakal lahir lalu susu lebih dihasilkan jika ibu melahirkan lebih dari seorang bayi.
Selepas tempoh berpantang, badan ibu akan mula pandai menghasilkan susu secukupnya untuk jumlah bayi yang dilahirkan. Keadaan kedua ialah susu yang dihasilkan terlalu sedikit. Keadaan ini dialami ibu pada awal kelahiran iaitu di minggu pertama usia bayi.
Ini berlaku kerana susu awal iaitu kolustrum dihasilkan berbanding susu ibu matang. Cara mengendalikan perkara ini ialah ibu perlu menyusukan bayi tanpa melihat berapa jumlah kuantiti yang dihasilkannya.
Perut bayi semasa di hari ketiga kelahiran masih kecil anggaran saiz guli, jadi ibu tidak perlu menghasilkan susu yang banyak malah tidak perlu risau susu tidak mencukupi untuk bayi. Sekiranya ibu masih merasakan susunya sedikit selepas bayi berusia dua ke tiga minggu, ibu boleh berjumpa konsultan susu ibu untuk menyemak semula keadaan penyusuan mereka. Ibu boleh memeriksa samada jumlah susu sedikit ataupun tidak menerusi jumlah bayi kencing kurang daripada enam kali setiap hari.
Mula Menyimpan Stok Susu
Stok susu ibu sudah mula disimpan bermula dari hari keempat kelahiran. Ada juga ibu memulakan sesi mengepam stok sejak bayi berusia dua minggu ke atas dan ini bergantung kepada jadual kesesuaian masa ibu. Ibu digalakkan mengepam tiga kali sehari semasa dalam pantang untuk membiasakan badan ibu menghasilkan susu yang banyak dan selebihnya secara terus kepada bayi.
Elakkan mengepam susu seminggu atau dua minggu sebelum masuk bekerja kerana pada ketika ini susu ibu sudahpun cukup-cukup untuk keperluan bayi minum sepanjang dalam tempoh berpantang. Jika ibu baru membuat keputusan untuk mengepam dikhuatiri ibu akan merasa kecewa dengan jumlah dan kuantiti yang bakal diperolehi. Jadi mulakan lebih awal supaya susu makin berganda.
Jika ibu konsisten mengepam sepanjang dalam pantang, ibu akan menghasilkan stok susu yang mencukupi untuk bayi. Anggaran susu sehari yang diperlukan oleh bayi adalah dari 12 ke 15 oz sepanjang 10 jam ibu bekerja. Jadi ibu perlu mengepam susu untuk stok sekurang-kurangnya 7 hari. Ini bermakna 15 oz x 7 hari iaitu 105 oz. Bagi ibu yang sering outstation perlu simpan stok susu yang lebih banyak.
Makan dengan Sihat
Ramai ibu menjaga pemakanan dengan cara memilih sesetengah makanan sahaja seperti tidak berkuah atau hanya ikan sahaja tanpa sayur dan buah.
Ibu hamil yang menyusu memerlukan khasiat yang cukup untuk memelihara bayi dan menghasilkan susu ibu. Ibu seharusnya makan lima warna berbeza dalam pinggan ibu iaitu sayur, nasi, ayam, buah dan daging atau ikan.
Minum setiap kali terasa dahaga dan usah dibiarkan kering tekak tanpa air. Tanda-tanda kurang nutrisi ialah bila ibu merasa lesu dan kulit kering terutama di bahagian kuku. Air kencing yang terlalu pekat warnanya dan berbau juga adalah tanda ibu kurang air dan nutrisi.
Berlatih Menyusu di Tempat Awam
Ianya adalah a must-have-practise. Lebih awal ibu berlatih, ibu akan menjadi lebih cekap. Ibu mesti pastikan apabila bahagian hadapan baju diangkat untuk menyusukan, bahagian belakang baju tidak terangkat. Mulakan dengan latihan di depan cermin di rumah terlebih dahulu.
Untuk permulaan, ibu boleh ke lokasi yang mempunyai bilik menyusu terlebih dahulu seperti di beberapa buah pasaraya.
Kemudian ibu boleh mula menyusu di kerusi awam yang disediakan dengan kain penghadang ketika menyusu. Kemahiran menyusu bayi di tempat awam ini penting kerana bayi akan menyusu selama 2 tahun dan jika setiap kali ibu menyusu perlu ke bilik menyusu, ibu mungkin akan merasa sukar jika tidak dibiasakan. Ada juga ibu yang malu menyusu di tempat awam lantas menyingkatkan tempoh penyusuan bayi dengan memberikan susu formula. Elakkan perkara sebegini berlaku dengan cara berlatih terlebih awal. Lama kelamaan ibu akan terbiasa.
Berhubung dengan Konsultan Susu Ibu
Ibu seharusnya ambil perhatian akan teknik dan posisi penyusuan dan boleh membuat temujanji dengan konsultan susu ibu sekiranya menghadapi masalah untuk menyusu. Bertemu dengan konsultan secara terus dapat membantu ibu yang sedang menghadapi masalah penyusuan berbanding semakan di internet sahaja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas 27 tahun negara kita diisytiharkan sebagai negara bebas Polio, satu kes telah disahkan dijangkiti virus polio di Sabah. Kes ini melibatkan seorang bayi lelaki yang hanya berumur 3 bulan dari Tuaran, Sabah yang mengalami demam dan selepas itu diikuti dengan lemah anggota badan.
Apakah itu polio?
Poliomyelitis ataupun lebih dikenali sebagai “polio” adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus yang dipanggil “poliovirus”. Polio telah hampir dipupuskan di dunia ini dengan hanya berendemik di negara Pakistan dan Afghanistan dengan jangkitan polio liar (wild type 1 poliovirus). Terdapat 3 strains virus polio dan jenis 2 dan 3 sudah pun dipupuskan masing-masing pada tahun 2015 dan tahun 2019.
Virus polio disebarkan melalui najis-tangan-mulut dan bukannya melalui penyebaran di udara. Ia mempunyai masa tempoh pengeraman (incubation period) selama 7 hingga 14 hari, di mana virus akan membiak di sistem limpa dalam sistem pencernaan kita sebelum menyebabkan penyakit.
Akan tetapi, 90 – 95% orang yang dijangkiti polio tidak akan mempunyai sebarang tanda. Segelintir kecil pula mengalami masalah seperti jangkitan virus biasa dengan sakit kepala, sakit tekak, demam dan keletihan.
Terdapat sekumpulan kecil yang dijangkiti virus polio, terutamanya kanak-kanak dibawah umur 5 tahun, akan mengalami masalah lumpuh badan dan otot lemah sehinggakan pernafasan terjejas yang kita panggilkan sebagai “paralytic polio”.
Keadaan inilah yang telah berlaku terhadap bayi 3 bulan di Tuaran. Paralytic polio ini seterusnya akan meningalkkan kesan yang berpanjangan terhadap otot dan sekaligus menyebabkan kecacatan otot yang berkekalan untuk lebih daripada 2/3 pesakit paralytic polio. Setakat ini, tiada ubat khas untuk jangkitan polio. Rawatan hanyalah pemantauan, bantuan pernafasan dan ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan.
Bagaimanakah kita dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti polio?
Vaksinasi adalah satu-satunya cara yang terbukti untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti polio.
Jangkitan polio adalah epidemik seluruh dunia sehingga tahun 1950an apabila vaksin untuk polio telah dicipta oleh Jonas Salk pada tahun 1952 sebagai “inactivated poliovirus vaccine” dan 1960 oleh Albert Sabin sebagai “oral polio virus”. Endemik yang terbesar berlaku pada tahun 1988, melibatkan 125 negara dan menyebabkan kecacatan otot berkekalan untuk lebih 350,000 kanak-kanak.
Pada tahun itu juga, World Health Organisation (WHO) telah melancarkan program “Global Polio Eradication Initiative (GPEI)”. Program ini telah berjaya menurunkan kes poliomyelitis lebih daripada 99.9% kepada kurang daripada 50 kes jangkitan polio liar (hanya 37 kes di Pakistan dan Afghanistan sehingga July 2019 untuk tahun ini). Kes terakhir di Malaysia berlaku pada 27 tahun yang lepas pada tahun 1992.
Setakat ini terdapat 2 jenis vaksin untuk mencegah penyakit Polio, Iaitu Oral Polio Vaksin (OPV) dan Inactivated Polio Vaksin (IPV).
OPV adalah virus polio yang telah dilemahkan dan diberi secara titisan cecair ke dalam mulut. Virus dalam OPV yang dilemahkan akan membiak di dalam usus dan seterusnya badan kita akan menghasilkan antibodi yang berkekalan untuk badan kita. Virus polio yang dilemahkan itu akan diproses dan dibuang sebagai najis. Di negara ataupun kawasan dengan sanitasi yang kekurangan, virus ini akan disebarkan kepada kanak-kanak lain untuk mendapatkan pelindungan secara pasif. Dalam erti kata yang lain, oral polio membantu untuk kanak-kanak lain yang tidak mendapat vaksin juga melalui cara “pasif” itu. Cara ini disarankan untuk negara yang lebih mundur dan endemic polio.
Untuk IPV pula, vaksin ini diberikan secara suntikan. IPV digabungkan untuk dalam vaksin 5 serangkai mahupun 6 serangkai (di klinik/hospital swasta) untuk diberikan pada umur 2, 3, 5 bulan dan dos booster pada umur 18 bulan. IPV adalah virus polio yang telah dimatikan tetapi badan kita dapat mengenalpasti unsur-unsur virus polio apabila disuntik ke dalam badan. Badan kita akan menghasilkan antibodi secara semulajadi dan memberi perlindungan kepada kita untuk mengelakkan daripada terjangkit polio secara berkekalan. Di Malaysia, kita sudah bertukar dari OPV ke IPV sepenuhnya sejak tahun 2009.
Apa pula yang dimaksudkan dengan vaccine-derived poliovirus (VDPV)?
Untuk VDPV ataupun vaccine-derived poliovirus pula, ia tidak bermaksud vaksin polio membawa penyakit!!! VDPV ini hanya berlaku di negara yang menggunakan ORAL POLIO VAKSIN (OPV) kecuali terdapat jangkitan kes import dari negara lain. Negara kita sudah tidak menggunakan OPV sejak tahun 2009. IPV tidak akan menyebabkan vaccine-derived poliovirus!!!
VDPV berlaku apabila dalam sesebuah komuniti yang diberi oral polio virus dengan kadar vaksinasi yang rendah (<95%), oral polio virus yang dihasilkan sebagai najis diberikan kepada orang yang seterusnya melalui sebaran najis-tangan-mulut. Setiap kali virus dari OPV ini melalui pemprosesan dalam usus manusia, kandungan genetiknya akan berubah. Kitaran ini akan berterusan jika kadar imunisasi di kawasan itu sangat rendah dan sistem sanitasi dan tahap kebersihan masyarakat setempat itu rendah. Selepas satu masa yang lama dengan kitaran yang berulang-ulang, biasanya lebih daripada 12 bulan, virus polio itu akan bertukar kepada bentuk yang dapat menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit VDPV.
Jadi, masalah utamanya bukan dengan vaksin itu, tetapi disebabkan oleh kadar vaksinasi yang agak rendah dan tahap sanitasi yang kekurangan.
Mengapakah kes di Tuaran ini dapat berlaku sedangkan negara kita tidak menggunakan OPV?
Kes jangkitan polio yang berlaku di Tuaran mempunyai perkaitan genetik yang bersamaan dengan kes VDPV yang berlaku di Filipina baru-baru ini. Berkemungkinan besar (kes masih disiasat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia), kuman ini “diimport” oleh orang yang tidak divaksin dan terjangkit virus polio di Filipina. Ingat lagi, kebanyakan mereka yang dijangkiti polio tidak mempunyai tanda dan hidup seperti biasa. Tetapi, mereka akan menyebarkan penyakit ini melalui najis-tangan-mulut!!!
Kes di Tuaran melibatkan seorang kanak-kanak yang berumur 3 bulan. Jika bayi ini sudah divaksinkan, dia hanya mendapat suntikan pertama sahaja dan perlindungan daripada polio adalah rendah.
Siasatan awal pihak KKM pula mendapati 25 daripada 204 (12.3%) kanak-kanak di sekitar kawasan tempat tinggal kes tidak divaksinkan. Untuk mendapatkan perlindungan imuniti (Herd Imunity) semulajadi dari orang sekeliling, kawasan tersebut memerlukan kadar imunisasi lebih daripada 95%. Jadi, bagi mereka yang tidak dapat divaksinkan seperti bayi ini yang tidak cukup umur untuk divaksinakan penuh adalah berisiko besar untuk dijangkit jika didedahkan kepada kuman-kuman seperti polio.
Vaksinkanlah anak anda mengikut masa yang ditetapkan dan dapatkan nasihat daripada doktor secepat mungkin jika terdapat sebarang permasalahan terhadap vaksin. Jangan sebab anda tidak mahu vaksinkan anak anda, anak pula yang terpaksa menanggung segala kesusahan kelak masa.
“Vaccination Saves Live. Let’s make sure we vaccinate every child and end polio for good”
Dr Lim Wee Yi
Pakar Kanak-kanak,
SALAM Senawang Specialist Hospital
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!