Entonox adalah pelega kesakitan yang paling banyak digunakan di dalam proses kelahiran kerana pelbagai kelebihan. Ketahui cara sedut entonox dengan betul agar ia berfungsi lebih efektif.
Kelahiran akan menyebabkan kesakitan terutamanya kontraksi. Mempelajari tentang proses kelahiran akan membantu anda menyediakan minda dan fizikal terhadap bagaimana ia berjalan, kemungkinan yang akan berlaku dan alternatif kepada pelega kesakitan yang boleh diambil. Antara pelega kesakitan yang digunakan semasa proses kelahiran ialah bius epidural, suntikan pethidine dan gas entonox.
Menurut Dr Siti Eshah Bahari, Pakar Perbidanan & Sakit Puan KPJ Selangor Specialist cara sedut yang betul akan mengoptimumkan kesan yang entonox bagi melegakan kesakitan.
Entonox ialah campuran gas nitrous oxide dan oksigen. Ia digunakan meluas di dalam bidang perubatan dan kerap digunakan oleh ibu-ibu untuk melegakan sakit kontraksi semasa proses kelahiran.
Entonox banyak digunakan namun kegagalan para ibu menggunakannya dengan betul menyebabkan entonox tidak dapat berfungsi dengan betul.
Ads
KELEBIHAN GUNA ENTONOX SEBAGAI PELEGA KESAKITAN SEMASA BERSALIN
Ads
Mudah digunakan.
Kos efektif dan lebih murah berbanding bius epidural dan suntikan pethidine.
Lebih fleksibel dan memberi kesan yang cepat seawal 15 saat hingga tiga minit selepas disedut.
Pesakit boleh mengawal penggunaannya.
Tiada kesan sampingan yang berbahaya
Ia tidak mengganggu bayi di dalam kandungan.
Ia tidak menghilangkan kesakitan tetapi mengurangkannya ke tahap yang boleh dikawal.
Selamat untuk bayi dan oksigen yang disedut akan memberikan kebaikan kepada anda dan bayi. Ibu kurang resah dan jadi lebih tenang.
Entonox tidak perlu dipantau penggunaannya seperti epidural.
Tidak melibatkan jarum suntikan. Ia juga tidak memberikan kesan mengantuk atau kebas.
CARA SEDUT ENTONOX Entonox disarankan untuk diambil pada akhir peringkat kelahiran iaitu sebelum bukaan serviks sampai 10cm. Sekiranya pada peringkat awal ibu telah mengambil suntikan pethidine, pada akhir peringkat pertama kelahiran kontraksi yang lazimnya akan lebih kuat dan para ibu boleh mengambil pelega sakit ini.
Ads
Sebelum kontraksi, ibu perlu melekapkan topeng gas entonox ke muka.
Pastikan topeng dilekapkan dengan kedap tanpa ada rongga terbuka.
Sedut dengan dalam tetapi perlahan sehingga rasa sakit hilang atau anda berasa pening.
Topeng perlu dipegang sendiri oleh ibu agar dia boleh menyesuaikan sedutan mengikut keperluan.
Alihkan topeng apabila sakit mulai hilang. Elakkan daripada menyedutnya terus menerus kerana ia boleh menyebabkan khayal atau dos berlebihan.
Ibu hamil tonton video doktor kongsi amalan tip rangsang anak pintar sejak dalam kandungan lagi!
INFO: Walaupun entonox tidak mempunyai kesan sampingan yang besar, ia boleh menyebabkan anda pening. Ada sesetengah wanita rasa tidak selesa, mengantuk dan gagal untuk fokus. Jika tanda-tanda ini berlaku, hentikan penggunaan dan dapatkan bantuan petugas perubatan dengan segera.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyusuan susu ibu boleh jadi ‘journey’ menyeronokkan buat ibu dan anak jika dilalui dengan tenang tanpa ada rasa stres. Percayalah ibu yang positif sepanjang penyusuan, penghasilan susu juga pasti meriah dan anak turut mendapat manfaat darinya.
Menurut Kaunselor Laktasi, Puan Nad Masrom, dalam menyusu, untuk ibu yang pertama kali nak menyusukan bayi mereka, selalu rasa nak capai 2 tahun tu sesuatu yang mustahil atau perkara yang susah dicapai.
Rai kejayaan berperingkat
Raikanlah sekecil-kecil kejayaan yang dicapai. Kali pertama mungkin boleh letak target seminggu dahulu. Selepas berjaya, tambah jadi 2 minggu. Selepas berjaya, tambah jadi 1 bulan. Seterusnya dah berjaya, tambah jadi 3 bulan. Rasa nak reward diri masa ni? Silakan.
Kalian berhak sebab 3 bulan juga bukan tempoh yang mudah nak dilalui bila bayi asyik menangis dan mulalah orang cakap sebab tak cukup susu dah sebagainya. Kemudian tambah jadi 6 bulan.
Maka ibu pun gigih print sijil sendiri sebab dah berjaya capai ‘diploma’ dalam penyusuan.
Selepas 6 bulan ibu akan rasa, struggle tadi mula berkurang. Ibu dah tahu cara nak maintain hasil perahan. Bayi pula dah mula makan. Dah tak sesusah kali pertama tadi.
Lepas setahun, susu ibu ini hanya ‘kudap-kudapan’
Pejam celik, eh dah setahun. Masa tu ibu rasa, mudahnya penyusuan sebab selepas setahun, susu ibu ini hanyalah ‘kudap-kudapan’ bayi di mana pemakanan lebih utama.
Tahu-tahu dah 2 tahun. Eh, dah dapat PHD dalam penyusuan. Harap ibu yang dah berjaya menyusu ni dijauhkan dari PERASAAN HASAD DENGKI dengan ibu-ibu lain yang belum berjaya.
Mereka bukan nak bersenang-senang. Mereka mungkin tiada ilmu.Dan tak tahu nak letak target dalam penyusuan bagaimana. Jadi, bantulah mereka dengan berikan sumber penyusuan yang sahih. Jangan tak tahu, ada sahaja ajaran songsang dalam penyusuan susu ibu.
Kalau tak menyebabkan banyak mudarat, saya takkan kata mereka songsang. Tapi dah jadi banyak mudarat, sampaikan ada yang kena bengkak susu dan melarat, malah ada yang sampai kemurungan sebab anak tolak menyusu direct, maka saya tak boleh berkompromi dengan ‘mereka’.
Pastikan cari ilmu yang betul. Semoga kita semua dipermudahkan urusan oleh-Nya.
Meningitis, radang paru-paru, jangkitan kuman dalam darah, sinusitis & jangkitan telinga adalah antara penyakit-penyakit yang boleh menjangkiti kanak-kanak dan bayi. Perkongsian doktor ini amat bermanfaat untuk menanganinya.
Dr Syahr Musafir berkongsi mengenai bahayanya serangan bakteria streptococcus pneumoniae yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti meningitis, radang paru-paru, jangkitan kuman dalam darah, sinusitis & jangkitan telinga. Malah lebih teruk lagi ia boleh menyebabkan kecacatan sekiranya.
Tindakan ibu bapa memberikan anak suntikan vaksin pneumococcal berupaya mengurangkan risiko kesan dan komplikasi yang mungkin terjadi seperti kecacatan kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian. berikut ialah perkongsian beliau;
Esok nak masuk tahun baru 2019, sudah pasti ramai yang menyusun-nyusun azam baru. Buat para ibu bapa, saya nak kongsi vaksin pneumococcal (Pneumococcal Vaccine). Manalah tahu boleh dijadikan sebagai salah satu AZAM 2019.
Penyakit pneumokokus adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Streptococcus pneumoniae yang menjangkiti orang dewasa dan kanak-kanak. Tetapi lebih berisiko kepada kanak-kanak dan orang tua.
Bakteria ini boleh membawa pelbagai jenis jangkitan termasuk jangkitan paru-paru / peradangan (radang paru-paru), meningitis (keradangan membran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan sinus) dan otitis media (jangkitan telinga bahagian tengah).
Kalau tak silap, tahun ini ada viral kes meningitis yang melibatkan kanak-kanak.
SERANGANNYA BOLEH MENYEBABKAN KECACATAN KEKAL & KEMATIAN
Terdapat banyak jenis strain (jenis) Streptococcus pneumoniae (sekitar 90 jenis atau serotaip) tetapi hanya minoriti strain (kira-kira 20 serotaip) menyebabkan penyakit pneumokokus. Majoriti jangkitan ini serius dan memerlukan rawatan di hospital, kecacatan kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian.
Pada tahun 2008, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization (WHO)) menganggarkan bahawa daripada 8.8juta kematian tahunan di seluruh dunia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, 476000 kematian adalah disebabkan oleh jangkitan pneumokokal. Kadar kematian dan penyakit adalah lebih tinggi di negara-negara membangun dengan majoriti kematian yang dilaporkan di Afrika dan Asia.
WALAU PUN ANTIBIOTIK BOLEH MENGUBATI, VAKSIN PILIHAN TERBAIK
Walaupun rawatan antibiotik untuk penyakit pneumokokus boleh didapati, beberapa jenis bakteria ini ‘lebih kuat’ berbanding antibiotik. Maksudnya, antibiotik tak mampu menyelesaikan jangkitan bakteria.
Memandangkan penyakit pneumokokus adalah penyakit yang boleh dielakkan dengan pengambilan vaksin, vaksinasi adalah pilihan terbaik. Di Malaysia, penyakit pneumokokus adalah salah satu daripada penyakit yang boleh dielakkan melalui vaksin untuk membantu melindungi daripada penyakit serius, komplikasi dan menyelamatkan nyawa.
Vaksin ini mencegah penyakit. Antibiotik itu mengubati. Mencegah lebih baik daripada mengubati.
CARA PEREBAKAN BAKTERIA STREPTOCOCCUS PNEUMONIAE
Streptococcus pneumoniae boleh tersebar dengan mudah melalui permukaan yang dijangkiti, dan daripada orang ke orang apabila terdapat hubungan langsung atau melalui titisan, contohnya apabila orang yang dijangkiti bersin atau batuk. Bukan semua orang yang telah terdedah kepada bakteria, akan mengalami gejala penyakit pneumokokus.
Sesetengah orang membawa Streptococcus pneumoniae (biasanya dalam hidung dan tekak) tanpa menunjukkan tanda-tanda gejala penyakit itu sendiri tetapi boleh menyebarkannya kepada individu yang tidak dijangkiti.
Kanak-kanak sangat terdedah kepada jangkitan tersebut. Maka, vaksin memberi perlindungan terhadap risiko ini. Terutama anak-anak yang bersekolah, bersukan, aktiviti outdoor malah anak-anak yang ditinggalkan di pusat/rumah asuhan, nurseri dan sebagainya.
VAKSIN PNEUMOCOCCAL
Pada masa ini terdapat dua jenis vaksin pneumokokus: vaksin polysaccharide pneumokokus (pneumococcal polysaccharide vaccine) dan vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine). Untuk kanak-kanak dan orang normal (kurang dari 65 tahun) yang tiada risiko tinggi jangkitan kerana masalah imunisasi tersensitif, mendapatkan vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine) sudah cukup bagus.
Vaksin konjugasi pneumokokus (pneumococcal conjugate vaccine) pula ada dua jenis:
(1) Prevenar13, yang melindungi daripada 13 jenis serotaip bakteria.
(2) Synflorix, yang melindungi daripada 10 jenis bakteria Streptococcus pneumoniae.
VAKSIN PNEUMOCOCCAL INI ADALAH INISIATIF SENDIRI
Anak-anak kami, Along ST (7 tahun 5 bulan) dan Angah IY (5 tahun 2 bulan) mendapat vaksin ini secara percuma di Australia kerana perlindungan insurans – diberikan secara 3 dos berkala sebelum umur 2 tahun.
Namun di Malaysia, vaksin ini tidak tersenarai dalam vaksinasi percuma. Mungkin salah satu sebabnya adalah vaksin ini berkos tinggi dan masih tidak berisiko tinggi. Di Australia, caj yang dikenakan adalah AUD$380 hingga $450 untuk 1 suntikan vaksin ini jika bukan rakyat Australia yang tiada perlindungan insurans.
Jadi, untuk anak-anak kami yang lahir di Malaysia, perlu dapatkan vaksinasi ini melalui inisiatif sendiri.
HARGA & DOS VAKSIN UNTUK KANAK-KANAK
Saya survey harganya dalam range RM270 hingga RM350 untuk Prevenar13, dan RM230 hingga RM280 bagi Synflorix. Saya mendapatkan khidmat vaksinasi ini di sebuah klinik swasta di Kota Bharu, dengan harga RM270 untuk Prevenar13 (Kena PM kalau nak tahu klinik mana) untuk anak ke-3 kami, Aboy HE (2 tahun). Tahun lepas RM250, tahun ni naik harga dah.
Jika tak silap saya, di Selangor, boleh dapatkan vaksinasi ini di hospital/klinik kerajaan dengan bayaran RM230 (Synflorix). RM230 ni kira murah sangat dah ni.
Untuk anak bawah 2 tahun, perlu pergi ke klinik 2 hingga 3 kali kerana suntikan vaksin ini dos berkala bagi anak berusia kurang 2 tahun. Tetapi apabila menjangkau 2 tahun, hanya 1 dos (1 suntikan) sahaja.
UNTUK ANAK 2 TAHUN KE BAWAH PERLU DOS BERKALA
Kalau nak mudah, boleh buat macam saya ni, pergi bila anak sudah berumur 2 tahun untuk 1 kali suntikan sahaja. Tetapi risikonya anak tiada perlindungan vaksin sebelum berumur 2 tahun. Ada risiko di situ, yang tak patut diambil tetapi diambil sebab kos. Saya ambil risiko ini sebab anak-anak saya dijaga sendiri oleh isteri saya di rumah, tidak dihantar ke pengasuh dan sebagainya.
Saya sekadar berkongsi, para ibu bapa boleh jadikan azam tahun 2019 untuk vaksinkan anak-anak secara tambahan. Boleh menabung RM25 setiap bulan supaya dapat kumpul RM300 pada bulan Disember 2019, boleh pergi suntikkan anak dengan vaksin ini penghujung tahun 2019. RM300 itu masih berbaki, boleh beli aiskrim. Heheh. Berbaloi.
Saya pula, dapat gaji bulan Januari nanti, akan mula asingkan RM15 menabung bagi tujuan vaksinasi ini, untuk anak ke-4 kami, Adik AL (1 bulan 24 hari), supaya cukup RM300 pada Disember 2020 (ketika umur 2 tahun). InsyaAllah.
Luka berkhatan anak lelaki, jika silap cara boleh menyebabkan bernanah dan bentan. Ikuti 10 tip penjagaan daripada Dr Kamarul Ariffin Sadan ini boleh mama papa ikuti.
Menjelang cuti sekolah, maka musim berkhatan pun bermula. Seram sejuk anak-anak lelaki bila diusik tentang pelbagai perkara berkaitan berkhatan. Mama papa juga tidak kurang berdebar, lebih-lebih lagi yang tiada pengalaman menjaga anak lelaki berkhatan.
Tanpa panduan yang jelas atau mungkin penjagaan yang salah, luka berkhatan boleh bernanah, lambat sembuh atau bentan. Ia sebenarnya perlu dicuci, luka perlu dibuka dan dipantau. Tidak terhad kepada penjagaan luka semata-mata, soal pemakanan & kesihatan si kecil juga perlu diberi perhatian.
Dr Kamarul Ariffin Sadan, Pengarah Operaasi GreatLife Physiotherapy & Rehabilitation dan bertugas di Klinik Maimunah & Rakan-Rakan telah berkongsi 10 tip penjagaan luka berkhatan yang tepat.
Sekarang ni musim berkhatan, ramai ibu bapa mohon saya tips penjagaan selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.
Jadi hari ni saya nak beri sedikit penerangan tentang penjagaan luka selepas berkhatan.
#1. Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
— Jangkitan/nanah
— Bengkak/bentan
— Jahitan terbuka
— Keruping melekat pada balutan
#2. Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
— Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
— Cuci luka dengan normal saline
— Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
— Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda
#3. Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
— Tahan sakit: diambil bila perlu
— Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
— Ubat cucian: lazimnya normal saline
— Elak sapu minyak/herba pada luka
#4. Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
#5. Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
#6. Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
#7. Pastikan minum air secukupnya. Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
#8. Jaga pengambilan makanan. Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
#9. Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor: — Sakit/bengkak melampau — Nanah yang banyak — Demam tinggi — Tak boleh kencing
#10. Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
— Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
— Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
— Gam: tak perlu jumpa doktor semula