
Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek tampil menjelaskan salah faham yang timbul susulan perkongsiannya sebelum ini mengenai insiden pembantu rumah yang didakwa mencium anak lelakinya ketika berada di hospital.
Menurut Dr Afifah, hantaran yang mencetuskan kontroversi itu sebenarnya adalah luahan perasaan spontan sebagai seorang ibu yang sedang berada dalam keadaan cemas apabila anaknya dirawat akibat jangkitan paru-paru.

Katanya, situasi tersebut membuatkan dia berada dalam keadaan emosi yang sangat sensitif dan bimbang terhadap kesihatan anak, apatah lagi ketika berada di persekitaran hospital yang berisiko tinggi terhadap jangkitan.
Saya Tegur Atas Faktor Kesihatan, Bukan Isu Peribadi
Jelas Dr Afifah Hidayah, niat asal perkongsiannya adalah untuk memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih menjaga adab dan batasan ketika berada di hospital, terutamanya melibatkan kanak-kanak yang sedang tidak sihat.
“Saya cuma tidak berpuas hati. Sebagai seorang ibu dan doktor, saya rasa perkara ini penting untuk masyarakat tahu. Bila berada di hospital, tolong jaga adab,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai ibu, dia berhak menegur sesiapa sahaja yang dirasakan boleh meletakkan anaknya dalam keadaan berisiko, tanpa mengira hubungan individu tersebut dengan keluarganya.

Walaupun Rapat, Ia Tetap Anak Saya
Dr Afifah turut menegaskan bahawa soal hubungan rapat antara pembantu rumah dan anaknya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melanggar batas, lebih-lebih lagi melibatkan sentuhan fizikal seperti mencium.
“Sama ada bibik rapat dengan anak saya atau tidak, itu tetap anak saya. Tak timbul isu disebabkan rapat, bibik ada kelebihan untuk buat macam itu,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun terdapat pihak yang mempertikaikan keadaan anaknya yang tidak memakai pelitup muka ketika ke hospital, sebagai ibu dia berhak membuat keputusan jika merasakan sesuatu tindakan boleh membahayakan kesihatan anak.
Saya Tak Tahu Latar Belakang Kesihatan Bibik
Antara faktor utama kebimbangannya adalah latar belakang kesihatan pembantu rumah tersebut yang tidak diketahui sepenuhnya.
Dr Afifah Hidayah menjelaskan bahawa pembantu rumah itu tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anaknya dan dia tidak mengetahui sejarah kesihatan lampau individu berkenaan.
“Saya tak tahu sejarah kesihatan dia di Indonesia. Jadi saya rasa tak layaklah dia untuk berada dekat dengan anak saya dan mencium,” ujarnya.
Pertimbang Laporan Polis, Namun Akur Sukar Dibuktikan
Dalam pada itu, Dr Afifah memaklumkan bahawa dia ada mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut, namun akur situasi berkenaan sukar dibuktikan memandangkan tiada bukti kukuh.

Tambahnya, pada masa sama dia juga sibuk menguruskan proses anak keluar dari hospital ketika kejadian berlaku.
“Kalau dia menafikan pun, saya tak boleh nak cakap apa sebab tiada apa yang boleh dibuktikan,” katanya.
Perlu Lebih Sensitif, Terutama Libatkan Anak Sakit
Isu ini sekali lagi membuka mata ibu bapa tentang kepentingan menjaga batas, adab serta kebersihan ketika berada di hospital, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak yang sedang sakit.
Sebagai ibu bapa, naluri melindungi anak adalah keutamaan dan setiap kebimbangan wajar diraikan dengan empati, bukan kecaman.
Untuk rekod, Dr Afifah Hidayah dan Nubhan disahkan bercerai talak dua pada 2 Disember lalu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





