Aktres Nabila Huda enggan melakukan kaedah Persenyawaan in Vitro (IVF) bagi mendapatkan zuriat meskipun sudah tujuh tahun berkahwin dengan suami Mohd. Izwan Johar.
Masing-masing sihat
Menurut Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil, 38, dia dan suami masing-masing sudah berusaha melakukan pemeriksaan kesihatan dan disahkan sihat oleh doktor untuk memiliki cahaya mata.
“Alhamdulillah masing-masing sihat. Doktor kata tiada masalah kesihatan. Cuma belum ada rezeki lagi. “Saya sudah berkahwin (buat kali kedua) selama tujuh tahun.
“Siapa yang tidak mahukan anak? Anak sulung saya, Keisha Laila pun sudah besar.
“Kalau boleh setiap tahun saya mahu dapat zuriat sebab nak anak ramai,” katanya.
Ads
Pada masa yang sama, Nabila memaklumkan dia mengikuti saranan suaminya yang tidak menyarankan untuk dia melakukan prosedur IVF memandangkan ia satu rawatan yang menyakitkan.
“Saya tidak mahu buat IVF sebab saya pernah hamil sebelum ini. Maknanya saya tiada masalah. Lagipun suami kata tak payah sebab sakit.
“Dia tidak mahu lihat saya menanggung kesakitan. Lagipun saya sibuk bekerja. Lainlah kalau saya suri rumah sepenuh masa,” katanya.
“Allah lebih tahu waktu tepat dikurniakan anak..”
Ads
Jelas pelakon filem Munafik ini lagi, dia memilih untuk positif dan reda apabila sehingga kini belum diberikan rezeki untuk menambah bilangan cahaya mata seperti yang diharapkan.
“Mungkin Allah lebih tahu bila waktu yang tepat untuk saya dikurniakan anak. “Siapa tahu entah-entah tahun depan saya hamil dan bersalin setiap tahun sampai tiada masa berlakon,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nabila pernah hamil sebanyak dua kali, namun mengalami keguguran pada April 2019 dan Oktober 2020.
Nabila juga berpendapat kesukarannya untuk hamil mungkin disebabkan faktor tidak menjalani rutin berpantang seperti biasa sewaktu mengalami keguguran sebelum ini.
Ads
Sebelum ini, Nabila dikurniakan anak perempuan, Keisha Laila yang kini berusia 12 tahun hasil perkahwinan pertama dengan Zaidy Zailani pada tahun 2008.
Apabila anak disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut atau HMFD, mereka akan ditumbuhi ulser pada bahagian dalam mulut. Doktor ini berikan cara untuk melegakannya.
HMFD yang semakin menular dan kes semakin meningkat. HMFD menyebabkan ulser di dalam mulut dan ia menyebabkan rasa sakit serta tidak selesa kepada bayi dan kanak-kanak. Justeru, ibu bapa boleh gunakan tip yang dikongsikan oleh Pegawai Pergigian Dr Iqbal Rosali ini.
BINTIK MERAH PADA LIDAH, LELANGIT DAN DALAM PIPI
Salah satu simptom penyakit ini ialah ulser di dalam mulut. Ulser bermula dengan beberapa bintik merah kelihatan pada lidah, lelangit atau pipi. Warna mukosa dalam mulut ialah merah jambu (pink). Bintik merah ini boleh dikesan dengan jelas.
BINTIK MERAH BERTUKAR MENJADI ULSER
Bintik merah akan bertukar kepada ulser, dan seperti ulser yang lain (seperti tergigit) akan datang dengan rasa sakit dan pedih juga.
Penyakit ini disebabkan oleh virus, oleh itu, rawatan untuk HFMD ialah dengan merawat gejala-gejala yang ada.
ANAK JADI KURANG SELERA UNTUK MAKAN & MINUM
Ulser di dalam mulut boleh menyebabkan anak kurang selera atau tidak mahu makan/minum kerana sakit dan pedih untuk menelan. Ini boleh menyebabkan dehidrasi.
6 LANGKAH PERLU BUAT BILA ANAK TUMBUH ULSER KERANA HMFD
#1Pastikan anak-anak cukup pengambilan makanan dan minum air.
#2 Gunakan ubat tahan sakit dengan nasihat doktor. Dapatkan sapuan seperti bonjela untuk memberi kelegaan (walaupun sementara). Dapatkan nasihat doktor jika sakit tidak berkurangan dan anak menolak untuk makan/minum.
#3 Jika anak-anak sudah pandai berkumur dan meludah, boleh berikan pada mereka ubat kumur seperti Listerine atau Colgate Plax. Atau pun boleh gunakan air garam suam. Berkumur dalam 30 saat, dan pastikan mereka meludah kembali. Elakkan tertelan kerana akan lebih pedih terasa.
#4Kurangkan rasa sakit ulser dengan memberi minuman sejuk kegemaran mereka supaya mereka selesa untuk menelan. Ais krim pun boleh.
#5Sentiasa pantau tanda-tanda dehidrasi seperti bibir yang kering, lemah dan pucat.
#6Pantau ulser di dalam mulut sama ada makin berkurangan/sembuh atau makin bertambah ulser yang baru.
Penyakit disebabkan virus seperti HFMD adalah self-limiting. Ia akan sembuh sendiri dalam tempoh 7-10 hari. Ulser di dalam mulut akan sembuh tidak lebih dari 2 minggu. Jika berlarutan, dapatkan nasihat doktor.
Langkah-langkah pencegahan lain seperti di dalam poster oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM.
Penjagaan oral kanak-kanak perlu bermula sejak mereka masih bayi lagi. Sungguhpun bayi masih belum tumbuh gigi pertama, namun ibu bapa perlu mula menjaga kebersihan mulut dan gusi bayi. Penjagaan oral kanak-kanak sinonim dengan penggunaan berus gigi bayi, kain lembut dan juga ubat gigi.
Gigi bayi mungkin kecil, tetapi ia memainkan peranan penting dalam tumbesarannya kelak. Ia bertindak sebagai ruang letak untuk gigi dewasa nanti. Tanpa set gigi bayi yang sihat, anak anda akan mengalami masalah besar untuk mengunyah dan bercakap dengan jelas. Itu sebabnya penjagaan gigi bayi dan menjaganya agar bebas dari kerosakan adalah sangat penting. Walau bagaimanapun, seawal usia berapakah bayi boleh diberikan ubat gigi dan bagaimana anda ingin membersihkan gusi dan gigi bayi yang kecil?
Bagaimana menjaga gigi dan gusi bayi?
Ubat Gigi, Sesuai Digunakan Pada Bayi? – penjagaan gusi bayi
Ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga anak tumbuh gigi untuk memulakan penjagaan oral mereka. Anda sudah boleh mula menjaga gusi bayi sebelum gigi pertamanya tumbuh lagi. Tetapi pada permulaannya, ia tidak melibatkan penggunaan berus gigi dan ubat gigi.
Caranya adalah dengan:
Sebelum gigi bayi tumbuh, anda boleh mula bersihkan gusi dan mulutnya menggunakan kain basah lembut atau lembap atau sekeping kain kasa
Secara perlahan-lahan, lapkan dan gosokkan pada gusi dan sekitar mulut bayi.
Lakukannya sekurang-kurangnya dua kali sehari, terutamanya selepas penyusuan dan sebelum tidur. Jika bayi sudah tumbuh gigi, anda boleh mula perkenalkan berus gigi yang direka khas untuk bayi dengan berus lembut. Anda hanya perlu basahkan berus gigi dan kemudian gosokkan perlahan gigi bayi.
Cara ini akan dapat membantu membasuh, menyingkirkan dan menghalang bakteria daripada melekat pada gusi. Bakteria ini boleh menyebabkan plak yang melekit yang akan mengakibatkan kerosakan pada gigi apabila ia tumbuh nanti.
Bila perlu mula perkenalkan bayi dengan ubat gigi?
Apabila gigi pertama atau turut dikenali sebagai gigi susu bayi mula muncul, anda boleh mula menggosok gigi bayi anda dengan berus gigi. Terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan berus gigi, iaitu:
-Berus lembut
-Kepala kecil
-Pemegang besar
Sebagai permulaannya, hanya basahkan berus gigi tanpa menggunakan sebarang ubat gigi. Bayi hanya boleh menggunakan ubat gigi jika sudah berusia 18 bulan dan ke atas. Sebelum mencapai usia yang dinyatakan, anda hanya boleh memperkenalkannya dengan ubat gigi jika disarankan oleh doktor gigi.
Apabila gigi susu tumbuh dengan banyak, anda boleh menggunakan ubat gigi pada jumlah sebesar sebutir beras. Jumlah penggunaan ubat gigi rendah atau bebas fluorida akan ditingkatkan kepada saiz kacang pis apabila anda anda berusia lebih 18 bulan. Berus gigi anak anda dengan lembut pada sekitar gigi susunya, di bahagian depan dan belakang.
Anda perlu membantu memberus gigi anak anda sehingga dia mampu untuk memegang berus sendiri. Tetapi pastikan anda mengawal proses memberus gigi itu sehingga anak anda dapat membilas dan meludah dengan sendiri dan tanpa sebarang bantuan.
Apa itu fluorida?
Fluorida adalah sejenis mineral yang dijumpai secara semula jadi di dalam air, tanah dan udara. Hampir semua air mengandungi fluorida, tetapi paras fluorida boleh berubah-ubah bergantung kepada dari mana air itu berasal.
Penggunaan fluorida ditambah ke dalam ubat gigi dengan tujuan untuk:
-Mencegah kaviti
-Menguatkan enamel gigi yang lemah
-Menterbalikkan kerosakan gigi awal
-Mengehadkan pertumbuhan bakteria oral
-Melambatkan kehilangan mineral daripada enamel gigi.
Bagaimanapun, terdapat perdebatan mengenai keselamatan fluorida, termasuklah ubat gigi berfluorida kepada manusia. Namun, American Dental Association masih menyarankan penggunaan ubat gigi ini kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Cuma, ia perlu digunakan dengan betul.
Selamatkah ubat gigi fluorida untuk bayi?
Seperti yang dikatakan awal tadi, kepentingan penjagaan kesihatan mulut yang baik adalah amat penting untuk dimulakan dari awal. Ia harus bermula sebelum bayi anda mula untuk tumbuh gigi susu yang pertamanya dengan mengelap gusi dan mulut dengan kain lembut dan lembap untuk membantu membuang bakteria.
Apabila gigi susu mula tumbuh, American Academy of Pediatrics menyarankan untuk beralih kepada penggunaan berus gigi dan ubat gigi bebas fluorida. Tetapi kuantiti ubat gigi yang digunakan adalah sangat sedikit dan tidak melebihi saiz sebutir beras. Penggunaan ubat gigi bebas fluorida ini harus digunakan sehingga anak anda mencapai usia 2 tahun.
Anda boleh menambah jumlah ubat gigi berfluorida jika usia kanak-kanak sekitar 3 hingga 6 tahun, kerana ketika ini mereka sudah pandai meludah semasa menggosok gigi. Pada tempoh usia ini, setiap kali anak anda ingin memberus gigi, kehadiran anda atau individu dewasa lain perlu ada sebagai pengawasan. Menurut American Dental Association, kanak-kanak di bawah usia 6 tahun cenderung untuk tertelan ubat gigi kerana tindak balas refleks menelan mereka masih belum berkembang sepenuhnya.
Ubat Gigi, Sesuai Digunakan Pada Bayi? – penggunaan ubat gigi
Bagaimana jika bayi saya tertelan ubat gigi?
Sekiranya ibu bapa mematuhi jumlah pemberian ubat gigi yang disarankan, adalah tidak mengapa jika bayi tertelan sedikit daripada saiz kecil ubat gigi yang ada pada berus gigi. Bagaimanapun, jika anda meletakkan jumlah ubat gigi yang lebih banyak, dan anak anda tertelan sedikit daripadanya, terdapat kemungkinan bayi mengalami sakit perut. Ini tidak semestinya berbahaya, tetapi anda boleh membawa bayi berjumpa doktor jika bimbang dengan keadaan kesihatan si manja anda.
Ubat gigi berfluorida adalah selamat untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Jika anda bimbang anak anda akan tertelan ubat gigi, sentiasa pantau anak kecil anda semasa memberus gigi, sehinggalah dia sudah boleh memberus giginya sendiri dan pandai meludah.
Apa yang perlu dilakukan jika bayi tidak suka memberus gigi?
Ia merupakan satu situasi normal yang berkemungkinan besar untuk berlaku. Tidak semua bayi menyukai apabila giginya dibersihkan. Keadaan ini akan cenderung untuk berlaku apabila bayi anda sedang dalam tempoh pertumbuhan gigi yang menyebabkan gusinya menjadi lembut dan sakit, sekali gus mengakibatkan bayi anda akan menolak untuk digosok giginya. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan untuk membantu anda mengendalikan situasi ini:
Jangan memaksa. Gusi bayi adalah sangat sensitif walaupun ia mungkin bukan tempoh pertumbuhan gigi, jadi seandainya bayi anda amat tidak menggemari aktiviti memberus gigi, anda perlu menggunakan kain lap yang lembut dan lembap dan menggosok serta mengelapnya secara perlahan-lahan.
Menyanyi. Bagi sesetengah bayi, sedikit gangguan adalah apa yang diperlukan untuk memudahkan proses memberus gigi. Cuba untuk mengalunkan sebarang lagu atau bunyi semasa membersihkan gigi bayi anda.
Contoh. Anda mungkin perlu menunjukkan contoh bagaimana proses memberus gigi dilakukan, dengan membenarkan anak anda melihat anda menggosok gigi dan menyukainya. Ia dipercayai dapat membantu anak anda untuk menyukai masa menggosok gigi.
Biarkan bermain. Bayi anda mungkin mempunyai sifat ingin tahu mengenai berus gigi atau berus jari tersebut. Tarik minatnya dengan membenarkan dia untuk memegang dan meneliti mengikut kemahuannya. Dia mungkin secara tidak langsung memasukkan berus tersebut ke dalam mulutnya dan memberus giginya secara sendiri.
Bayi yang baru dilahirkan memang belum cukup kuat sistem imunnya, mereka lebih mudah dijangkiti virus atau penyakit yang berjangkit. Oleh kerana itu ibu dan anak yang sedang berpantang memang tak digalakkan sangat berjumpa ramai orang. Bukan apa bimbang takut anak yang masih kecil itu dijangkiti.
Dalam satu perkongsian yang dibuat menerusi laman Facebook Kelab Ibu-ibu Mengandung Malaysia (KIMM), Najwa Ariefah berkongsi mengenai anaknya yang dilahirkan pada awal tahun ini.
Bermula dengan dijangkiti cacar air ketika usia anaknya yang diberi nama Azkayra 28 hari. Selepas 6 hari ditahan dihospital Kayra dibenarkan pulang. Namun kesihatan Kayra turun naik dan ada masalah pada pernafasan anak kecil itu.
Ketika Kayra jalani pemeriksaan pendengaran yang diwajibkan untuk semua bayi pada masa sekarang, ibu dan ayahnya mengesan sesuatu. Rupanya bukan masalah kecil, Kayra mempunyai masalah jantung berlubang dan juga cyst dalam saluran pernafasan.
Kongsi supaya ibu bapa lain lebih alert!
“Memandangkan tahun 2019 lagi beberapa bulan dah nak sampai penghujung, saya nak kongsikan cerita anak saya supaya kita sebagai ibu bapa lebih alert dengan kesihatan anak-anak. Nama anak saya Azkayra. Kisahnya anak saya Kayra nih sepatutnya due dia 24/01/2019. Mengandungkan dia memang tak ada masalah apa-apa. Tapi mungkin Kayra dah tak sabar nak melihat dunia dan jumpa ibu dengan abah dia, Kayra lahir di usia 36 minggu (30/12/2018) betul- betul hujung tahun. Proses kelahiran Kayra pun sangat lah mudah, dan sihat cukup anggota. Kuning pun hanya 2minggu sahaja.
26/01/2019
Mungkin kecuaian ibu biarkan orang datang melawat Kayra masa dalam pantang sampai Kayra dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dikuarantinkan kerana dijangkiti cacar air (chicken pox) diusia 28hari selama 6hari. Selepas discaj Kayra memang dah makin sihat, dan makin aktif. Masa usia Kayra 2bulan ibu perhatikan bila Kayra menyusu, tercunggap cunggap macam tak cukup oksigen. Dada Kayra pun makin ketara berlekuk sangat dalam. Bila tidur, penafasan Kayra berbunyi seperti orang dewasa berdengkur.
26/03/2019
Temujanji Kayra untuk buat ujian pendengaran di Hospital Yan memandangkan ibu berpantang di sana. Kayra kena buat ujian pendengaran disebabkan dia lahir usia 36minggu. Dah jadi prosedur sekarang nih setiap kelahiran perlu buat ujian pendengaran. Tapi bila nak buat ujian nih, baby perlu tidur. Disebabkan pernafasan Kayra berbunyi doktor cakap tak boleh buat ujian nih. Kami pun tak tahu apa punca nafas Kayra berbunyi. Masa doktor referkan dekat kecemasan, diorang cuma buat imbasan x-ray dan bagi neb. Doktor cakap Kayra okay takda apa, x-ray tengok paru2 pun ok.
08/04/2019
Temujanji Kayra untuk ambil suntikan 3bulan. Nak dijadikan cerita berat Kayra masa 2bulan dan 3bulan statik ja takda perubahan, 4.3kg. Masa nih nurse pun dah hairan kenapa berat tak naik.
10/04/2019
Suhu badan Kayra dah mula panas. Dah mula batuk berkahak dan selsema sampai hilang suara. Bila badan tak sihat, Kayra cuma menangis dan merengek. Menangis yang tiada bunyi, kesian sangat tengok Kayra masa tuh. Susu Kayra taknak minum langsung. Ibu dengan abah cuma bawa ke klinik swasta saja memandangkan waktu tuh dh lewat malam. Doktor kata dengar dia pnya penafasan ok je, paru2 pun ok. Cuma demam agak panas 38.9°c. Disebabkan Kayra masih baby, doktor cuma bagi ubat demam tapi dalam kuantiti yang sedikit. Kalau esok pernafasan dia laju, cepat2 bawa ke hospital.
11/04/2019
Suhu Kayra dah makin turun, tapi penafasan dia makin laju. Ibu terus call abah untuk balik kerja separuh hari. Ibu dengan abah bawa Kayra ke Hospital Pulau Pinang. Sampai je kecemasan, ibu cuma maklumkan dekat orang bertugas di kaunter tuh anak 3bulan demam. Tak sangka pulak waktu tuh jadi saat genting. Nurse terus bawa Kayra masuk zon merah sebab dah kritikal. 8jam dalam kecemasan, doktor bagi oksigen masukkan jarum untuk drip air. Ambil sampel darah dan buat imbasan x-ray, terus tolak masuk Wad Pediatrik untuk pantau dia punya demam. Kemudian doktor nak siasat apa punca nafas Kayra berbunyi dan dada berlekuk.
12/04/2019
Pakar paru-paru (respiration system) datang bagi penerangan mengenai pernafasan Kayra agak sempit, menganggu kaedah penyusuan Kayra sama ada bf ataupun menggunakan botol. Bila penyusuan terganggu, berat badan akan statik dan sangat susah untuk naik. Pakar paru2 sarankan Kayra guna kaedah penyusuan menggunakan tiub melalui hidung. Dalam masa yang sama Kayra perlu pakai bantuan mesin CPAP (Continuous Positive Airway Pressure) untuk bantu laluan saluran pernafasan Kayra.
15/04/2019
Kayra dibawa ke Jabatan Kardiologi untuk scan jantung. Selepas scan, doktor tunjukkan keputusan dekat jantung Kayra ada sedikit lubang tetapi agak kecil. Kayra perlu follow up dengan kardiologi sama ada jantung yang berlubang tuh akan makin besar atau tertutup.
22/04/2019
Pakar ENT (ear, nose and throat) ambil keputusan untuk masukkan Endoscope (kamera jenis tiub) yang dimasukkan melalui hidung untuk lihat apa punca masalah pernafasan Kayra. Pakar ENT menunjukkan gambar pada monitor endoscope terdapat Cyst pada saluran pernafasan Kayra, Vallercular Cyst. Doktor sarankan Kayra perlu membuat pembedahan untuk membuang Cyst tersebut secepat mungkin untuk elakkan ia pecah dan mengganggu paru2. Dari penjelasan doktor, memang mereka dah terangkan pembedahan dibuat bagaimana, risiko jika tak lakukan pembedahan, risiko jika lakukan pembedahan, risiko jika terdapat komplikasi pernafasan ketika pembedahan dijalan, dan banyak lagi detail untuk bagi ibu dan abah faham mengenai masalah nih. Dan jika pembedahan ini dilakukan, memang akan terus dimasukkan ke PICU sehingga stabil. Selepas berbincang antara suami isteri dan ahli keluarga, kami ambil keputusan bersetuju dan sign surat kebenaran untuk lakukan pembedahan ni demi kesihatan Kayra. Dalam masa yang sama, apa pun berlaku kami hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah.
25/04/2019
Doktor maklumkan ada katil kosong di PICU dan Kayra akan menjalani pembedahan pada hari ini. Jam 9pagi, Kayra dah mula berpuasa dan drip masukkan air supaya badan Kayra tak dehidrasi. Sample darah ibu juga diambil sekiranya Kayra mengalami komplikasi kekurangan darah ketika pembedahan dijalankan. Jam 3.30petang, Kayra dibawa ke dewan bedah. Jam 5.50petang pembedahan Kayra dah selesai dan ditolak masuk ke PICU. Kayra masih belum sedar. Ibu dan abah cuma boleh tunggu diruangan menunggu ketika nurse uruskan Kayra supaya dalam keadaan stabil dan Kayra masih dalam keadaan bius penuh. Jam 7petang, ibu dan abah dibenarkan masuk untuk mendengar penerangan semasa Kayra berada dalam PICU. Segala urusan Kayra, diuruskan oleh nurse. Ibu dan abah tak boleh tunggu. Ibu dan abah kena balik.
26/04/2019
Nurse call suruh ibu dan abah datang ke hospital, Kayra dah mula sedar dan stabil. Kayra akan ditolak masuk ke wad biasa. Penyusuan melalui tiub dan CPAP masih diteruskan supaya doktor boleh pantau keadaan Kayra.
29/04/2019
Keadaan Kayra semakin baik. Pakar paru2 galakkan Kayra dah boleh buka CPAP. Penyusuan Kayra sedikit masih perlu menggunakan tiub, dan perlu diajar menggunakan botol secara perlahan-lahan supaya tidak mengganggu penafasan Kayra ataupun boleh dikatakan untuk elakkan daripada tersedak susu.
02/05/2019
Kayra dah boleh cabut tiub penyusuan dan menyusu seperti biasa. Paru-paru dah cantik, pernafasan dan penyusuan dah okay, peratus SPO2 99/100, makin aktif dan berat badan Kayra pun makin naik. Mengikut rekod yang semakin baik, Kayra dibenarkan discaj.
Alhamdulillah, sekarang Kayra dah 9bulan lebih. Dah makin sihat dan aktif, berat sekarang dah 8kg. Setiap temujanji dan follow up Kayra menunjukkan keputusan yang positif dan makin sihat. Doakan Kayra semakin sihat dan membesar macam kanak-kanak yang lain ya.”