Keibubapaan

Dua Anak Kongsi Tarikh Lahir 9 September, Luahan Shuhada Shukri Undang Sebak!

Share

Tarikh 9 September pastinya cukup istimewa buat personaliti media sosial, Shuhada Shukri apabila kedua-dua cahaya matanya berkongsi tarikh lahir yang sama.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Shuhada atau mesra disapa Shu, 32, menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran dua anaknya, Humairah dan Umar.

Bukan sekadar ucapan hari lahir, hantaran tersebut turut membawa Shu mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu, termasuk pelbagai cabaran dan emosi yang pernah dilalui sepanjang membesarkan kedua-dua anak kesayangannya.

“9 September. Hari yang sama, aku lahirkan dua sebab terbesar untuk aku terus kuat.

“Hari ini kakak sembilan tahun manakala Umar sudah enam tahun,” titip Shu.

Shuhada Shukri Lihat Anak Membesar, Terkenang Perjalanan Sebagai Ibu

Melihat kembali rakaman anak-anak yang semakin membesar ternyata mengundang rasa sebak buat Shu.

Di sebalik senyuman Humairah dan Umar, Shu seakan melihat kembali dirinya sendiri yang pernah melalui hari-hari sukar, memikirkan masa depan dan mencari kekuatan untuk terus membesarkan anak-anak seorang diri.

“Aku tak tahu kenapa, bila tengok video ini aku bukan cuma nampak dua orang anak yang makin besar.

“Aku nampak diri aku yang pernah menangis diam-diam, pernah takut tentang masa depan, pernah tertanya-tanya macam mana nak besarkan dua anak seorang diri…tapi tetap bangun everyday and teruskan juga.

“Aku mungkin tak mampu bagi Umar and Humairah keluarga yang sempurna.

“Tapi aku akan pastikan kakak and abang tak pernah rasa kurang kasih sayang,” kongsi Shu.

Luahan Shuhada Shukri itu cukup menggambarkan bagaimana perjalanan seorang ibu tidak selalunya dipenuhi hari yang mudah.

Namun bagi Shu, satu perkara yang mahu sentiasa diberikan kepada kedua-dua anaknya ialah kasih sayang yang mencukupi.

“Maaf Kalau Ada Hari Ibu Terlalu Penat”

Dalam hantaran sama, pemilik nama penuh Nurul Shuhada Mat Shukri turut menitipkan permohonan maaf kepada Humairah dan Umar.

Sebagai seorang ibu, Shu mengakui ada waktunya dia terlalu penat, kurang sabar dan tidak tahu bagaimana mahu meneruskan perjalanan yang dilalui.

“Maaf kalau sepanjang perjalanan ni, ada hari ibu terlalu penat. Ada hari ibu tak cukup sabar. Ada hari ibu sendiri tak tahu macam mana nak teruskan.

“Tapi satu benda ibu nak Umar n Humairah tahu. Ibu tak pernah menyesal memilih untuk terus berjuang demi korang berdua. Kakak, sembilan tahun. Umar, enam tahun.

“Dulu ibu dukung korang dengan dua tangan ibu. Sekarang ibu cuma mampu doa, semoga suatu hari nanti kalian faham kenapa ibu berjuang sejauh ini.

“Happy birthday, my two little reasons to keep going.

“Kalau dunia tak selalu baik dengan Umar n Humairah, baliklah pada ibu. Ibu mungkin cuma sorang, tapi ibu akan tetap cuba jadi rumah untuk Umar and Humairah.

“9.9.2017 dan 9.9.2020. Dua tarikh yang mengubah seluruh hidup ibu,” tulisnya.

Bina Kehidupan Bersama Anak-Anak Di Australia

Sekadar info, Shu bersama dua cahaya matanya telah berhijrah ke Melbourne, Australia pada Julai 2024 untuk memulakan fasa baharu kehidupan mereka.

Shu sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon Hafidz Roshdi

sebelum pasangan berkenaan bercerai pada 24 Februari 2023 selepas tujuh tahun berumah tangga.

Kini, melihat Humairah menginjak usia sembilan tahun dan Umar enam tahun, tarikh 9 September bukan sahaja menjadi hari meraikan kelahiran dua anaknya, malah menjadi satu tarikh yang mengingatkan Shu tentang sejauh mana perjalanan mereka sebagai sebuah keluarga.

Semoga Humairah dan Umar terus membesar dengan penuh kasih sayang, dipermudahkan setiap langkah serta sentiasa menjadi sumber kekuatan buat ibu mereka.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!

Sumber: @shushukriiii

Published by
SRM