
Dua kanak-kanak lelaki, masing-masing baru berusia 9 dan 10 tahun, ditemukan lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah, Johor Bahru awal pagi tadi. Kedua-duanya Muhammad Rayyan Iskandar dan Muhammad Khalish Rayqarl pergi bermain, namun tidak pernah kembali.
Bayangkan dua pasang selipar kecil yang tertinggal di tepi tasik, menjadi tanda terakhir sebelum segalanya sunyi.
Di saat ibu ayah lain sedang menidurkan anak, dua hati ini pula sedang menunggu anak yang takkan pulang.
Menurut laporan sinar harian, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shafie Md Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.44 malam Selasa.


Menurutnya, sebaik menerima panggilan itu, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), satu unit jentera utiliti serta seramai 14 anggota bomba, dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah dikejarkan ke lokasi sejauh tujuh kilometer.
“Apabila tiba di tempat kejadian pada jam 9.54 malam, pihak bomba menemukan dua pasang selipar dipercayai milik mangsa.
“Pihak bomba kemudiannya melakukan pencarian menggunakan teknik water surface searching pada jarak 25 kaki di sekelompok kawasan tasik, manakala PPDA menjalankan pencarian menggunakan teknik arch pattern pada jarak sama.
“Akhirnya, mangsa ditemukan di bawah batu pada kedalaman 10 kaki, kira-kira lima meter dari tebing, pada jam 2.28 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian seperti ini terlalu menyayat hati, terutama buat kita yang bergelar ibu bapa.
Kadang niat anak cuma nak bermain, tapi dalam sekelip mata dunia jadi gelap.
Anak-anak membesar dengan rasa ingin tahu, suka mencuba dan tak sedar bahayanya dunia luar. Tapi di sinilah peranan kita untuk pantau, untuk temankan, untuk ingatkan berkali-kali walau nampak remeh.
Semoga kisah Rayyan dan Khalish jadi peringatan buat kita semua bahawa nyawa anak terlalu berharga untuk kita lepaskan pandangan walau sesaat.
Al-Fatihah buat dua malaikat kecil ini.
Semoga syurga tempat kalian bermain tanpa batas lagi.
5 Panduan Keselamatan Air Untuk Anak-Anak
1. Pantau setiap kali anak berada dekat air.
Jangan lepaskan pandangan walau sekejap. Tasik, sungai, longkang besar — semua boleh jadi perangkap bahaya.
2. Elakkan anak bermain di kawasan air tanpa pengawasan.
Walaupun “nampak cetek”, anak kecil boleh tenggelam dalam air sedalam 2 inci sahaja.
3. Ajar anak tentang risiko air sejak kecil.
Gunakan bahasa mudah “air bahaya kalau tak pandai berenang”. Didik rasa hormat dan berjaga-jaga.
4. Pakaikan pelampung jika ke kawasan air terbuka.
Walaupun anak tahu berenang, pelampung boleh beri masa tambahan jika berlaku kecemasan.
5. Sentiasa periksa kawasan sekitar rumah.
Kolam ikan, baldi, atau tangki terbuka pun boleh jadi bahaya kepada anak kecil.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





