
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai ibu bapa dan guru sebenarnya menyambut baik pengumuman cuti tambahan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tambahan pula, cuti tersebut memberi ruang kepada warga pendidikan serta murid-murid untuk membuat persiapan pulang ke kampung lebih awal bersama keluarga.
Namun begitu, di sebalik berita baik ini, timbul juga beberapa keluhan daripada ibu bapa, khususnya mereka yang mempunyai anak bersekolah jauh dari kampung atau tinggal di asrama.
Perkara ini turut dikongsikan pempengaruh pendidikan, Mohd Fadli Salleh, menerusi satu hantaran di Facebook miliknya yang menyentuh tentang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan cuti tambahan tersebut.
Perkongsian Mohd Fadli Salleh Tentang Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia

Menurut beliau, keputusan memberi cuti tambahan sememangnya dihargai, namun perancangan yang dibuat pada saat akhir kadangkala memberi kesan kepada sesetengah pihak.
Dalam perkongsiannya, beliau menulis:
“KPM umum cuti tambahan pada Rabu 18 Mac ini untuk memberi ruang kepada warga pendidikan dan murid-murid buat persiapan raya.
Terima kasih KPM.
Cuma, komen brother ni kena ambil maklum juga. Sejak dulu KPM suka buat keputusan last minit terutamanya bab tambahan cuti.”
Beliau menjelaskan, bagi guru atau murid yang tinggal berhampiran sekolah, keputusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia ini mungkin tidak memberi kesan besar. Namun situasinya berbeza bagi mereka yang perlu pulang ke kampung halaman yang jauh.
Sebagai contoh, ada guru yang mengajar di Sabah tetapi kampung di Semenanjung, atau murid yang belajar di Johor tetapi keluarga berada di negeri lain yang jauh.
Kesan Cuti Tambahan Kepada Guru dan Murid
Perkara ini turut disentuh dalam hantaran tersebut:
“Bagi orang yang duduk sekitar sekolah, tak ada efek pun. Namun benda ni jadi efek besar pada guru-guru yang mengajar jauh dari kampung halaman.
Contohnya mengajar kat Tawau, kampung kat Negeri Sembilan.
Sama juga kepada murid-murid yang belajar di Johor, tapi kampung kat Perlis contohnya.”
Selain itu, ramai yang sudah membuat perancangan lebih awal termasuk membeli tiket bas atau penerbangan berdasarkan takwim sekolah yang sedia ada yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Apabila cuti tambahan diumumkan secara tiba-tiba, ada yang terpaksa menukar tiket atau lebih teruk lagi tiket yang dibeli tidak boleh digunakan.
“Mereka dah beli tiket awal-awal ikut takwim. Dah perabis duit banyak beli tiket, tahu-tahu ada cuti tambahan. Nak tukar tiket bukan mudah, bahkan mungkin tiket tu burn gitu ja bila tukar tarikh ni.”
Ibu Bapa Luah Rasa Tidak Puas Hati
Di ruangan komen pula, ada juga ibu bapa yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan situasi tersebut selepas pengumuman daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Seorang pengguna menulis:
“Setiap tahun isu last minit KPM ni. Buat keputusan ikut suka hati… yang jadi mangsa cikgu, pelajar dan parents.”
Tambahnya lagi:
“Sepatutnya 1 bulan sebelum dah boleh fikir dan plan. Sekarang sekolah dah urus pembelian tiket bas awal-awal, tiba-tiba ada cuti tambahan.”

Harapan Ibu Bapa dan Guru Pada Masa Hadapan
Walaupun begitu, kebanyakan ibu bapa dan guru tetap menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan cuti tambahan bagi memudahkan persiapan Aidilfitri.
Dalam masa yang sama, ramai berharap agar keputusan sebegini dapat diumumkan lebih awal pada masa akan datang supaya semua pihak dapat merancang perjalanan dan perbelanjaan dengan lebih baik.
Hakikatnya, setiap keputusan pasti ada pro dan kontra. Cuti tambahan memang memberi ruang kepada keluarga untuk bersiap lebih awal menyambut Aidilfitri, tetapi perancangan yang dibuat pada saat akhir juga boleh memberi kesan kepada sesetengah ibu bapa, guru dan pelajar — terutamanya yang perlu merentasi negeri untuk pulang ke kampung.
Perbincangan mengenai keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia ini sekali lagi menunjukkan betapa pentingnya perancangan awal supaya setiap pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan dapat membuat persediaan dengan lebih teratur.
Sumber: Mohd Fadli Salleh
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





