Dunia hari ini semuanya dihujung jari. Tanya sahaja Mr. Google pasti ada jawapannya. Kalau untuk orang dewasa tak mengapalah juga tahu apa yang boleh dan apa yang tidak baik untuk dilayari. Tapi bagaimana pula dengan anak-anak yang masih kecil? Selamatkah mereka di alam maya?
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN mengulas lanjut mengenai permasalahan yang pastinya menjadi kegusaran ramai ibu bapa.
Semakin kepesatan pembangunan dunia di sekeliling kita hari ini, cabaran membesarkan kanak-kanak juga semakin meningkat dan menjadi lebih sukar. Hari ini, kes-kes jenayah seperti ‘child grooming’ atau antun seksual kanak-kanak sudah tersebar walaupun masih boleh dikira sebagai terkawal kerana pemantauan pihak yang berwajib. Melalui Internet misalnya, orang dewasa yang berkecenderungan seksual songsang terhadap kanak-kanak aktif menjadikan kanak-kanak sebagai ‘rakan’ dengan tujuan untuk memujuk kanak-kanak yang terjebak supaya menjalinkan hubungan seksual!
Alam sebenar juga semakin mencabar kesihatan dan keselamatan kanak-kanak. Papa, mama dan guru prasekolah perlu sentiasa berwaspada dan memantau agar anak-anak kecil di bawah jagaan mereka tidak menjadi mangsa penculik atau pemangsa seksual (sexual predator) yang ingin mencabul kehormatan kanak-kanak di bawah umur.
Atas kesedaran ini, bulan ini izinkan saya untuk berkongsi beberapa tips agar cikgu tadika, mama dan papa di luar sana semakin berwaspada dan dapat memastikan keselamatan kanak-kanak yang berusia 0-6 tahun. Ini kerana pada peringkat usia ini, kanak-kanak masih suci fikiran dan peribadi mereka malah mereka masih tidak tahu apa-apa tentang pemangsa dan penjenayah yang mungkin sedang memerhatikan mereka tanpa kita sedari.
Tips #1: Hantar anak ke penjaga, taska atau tadika yang terbukti selamat
Apabila pasangan papa dan mama terpaksa keluar bekerja untuk menambah rezeki famili, maka si kecil terpaksa pula dihantar ke rumah penjaga atau pengasuh dan/atau taska serta tadika. Soalannya mudah, adakah anda pasti akan keselamatan si kecil kesayangan anda di tempat itu? Di rumah penjaga atau pengasuh yang tidak berdaftar, anak anda mungkin terdedah kepada 1001 bahaya termasuk juga bahaya pemangsaan seksual.
Di taska, tabika atau tadika juga tidak kurang bahayanya. Adakah institusi prasekolah itu sensitif kepada isu jenayah seksual? Di sesetengah negara-negara maju, menukar lampin pun perlu dilakukan oleh dua guru atau penjaga di institusi prasekolah; seorang menukar dan seorang lagi memantau. Disebabkan di negara kita peraturan masih keterbelakang, pastikan anda meminta cikgu prasekolah anak anda cuba melakukan perkara yang serupa.
Jenayah kadangkala memang tidak boleh dihidu dan dielakkan, tetapi ini tidak bermakna kita pula yang memberi peluang kepada golongan penjenayah atau pemangsa untuk mengambil kesempatan kepada kanak-kanak di bawah jagaan kita. Oleh itu jangan ambil lewa hal yang kritikal seperti keselamatan si kecil di rumah penjaga atau semasa di tadika.
Tips #2: Pantau penggunaan aplikasi komputer atau telefon pintar oleh si kecil
Ads
Anak saya amat menyukai aplikasi ‘Minecraft’ yang boleh dimainkan di telefon pintar atau tablet. Walaupun aplikasi permainan ini baik untuk melatih kreativiti dan membantu si kecil berfikir, ada juga pemain lain yang biadap! Permainan ini boleh dimainkan secara sosial (social gaming) dan kita boleh berkomunikasi dengan orang lain. Masalahnya bukan semua pemain yang berada di atas talian ialah orang yang baik lagi budiman.
Ada bukti-bukti yang jelas menunjukkan pemangsa seksual suka menyelinap masuk ke aplikasi permainan yang disukai oleh kanak-kanak. Tidak kurang juga ada aplikasi sosial yang membawa bahaya apabila kanak-kanak cenderung berkongsi maklumat peribadi seperti nama penuhnya, alamat rumah dan tadikanya serta lain-lain lagi. Pastikan anda memeriksa kalau-kalau si kecil anda mendapat mesej daripada orang yang tidak dikenali.
Teknologi memang membawa kebaikan dalam hidup manusia, tetapi apabila teknologi disalahgunakan oleh penjenayah, pemangsa seksual dan orang jahat lain, kesannya amat negatif kelak terutama sekali untuk kanak-kanak. Maka, pantaulah penggunaan aplikasi elektronik oleh si kecil comel anda pada setiap masa dan ketika tanpa sebarang alasan!
Tips #3: Didik si kecil anda agar dia tidak suka ‘berahsia’ pada setiap masa
Ada penjenayah atau pemangsa seksual yang cekap memanipulasi pemikiran si kecil dengan bermacam-macam pujukan dan rayuan. Salah satu strategi jahat manusia seperti ini ialah dengan menyuruh si kecil berahsia dan menyimpan cerita daripada orang lain. Hal ini boleh terjadi di dunia maya atas talian atau pun di alam sebenar di sekeliling kita.
Oleh itu, mulai sekarang pastikan si kecil manja anda tidak suka berahsia! Pastikan anak anda bercerita dengan selengkap-lengkapnya tentang hal-hal yang terjadi di tadika pada hari berkenaan. Sentiasa juga ambil peluang untuk menyapa cikgu tadika anak anda agar anda tahu hal-hal yang telah atau akan berlaku walaupun agak remeh-temeh. Jangan sekadar menghantar dan mengambil anak kecil anda sahaja ke tadikanya.
Ads
Hal-hal yang sudah berlaku semasa di rumah pengasuh, ketika bermain bersama di taman permainan, setelah berjalan mencari barang rumah di pasar raya atau di mana-mana sahaja – tolong jadikan tabiat berkongsi bercerita dan tidak menyimpan rahsia sebagai suatu usaha positif untuk memastikan keselamatan si kecil kesayangan anda. Patahkan usaha penjenayah dan pemangsa seksual untuk berbuat jahat kepada semua kanak-kanak.
Tips #4: Ajar anak anda membezakan sentuhan yang ‘okay’ dengan yang tidak
Orang kita memang pantang kalau disebut ‘pendidikan seksual’. Macam-macam pendapat dan pandangan serong yang pasti kita dengar. Tetapi tahukah anda, salah satu rasional utama pendidikan seksual ialah untuk memastikan kanak-kanak dan remaja tahu menjaga keselamatan diri mereka agar tidak terjebak menjadi mangsa jenayah seksual?
Memang kita akan menjadi geram melihat kanak-kanak yang comel dengan pipi yang gebu dan seakan-akan minta dicubit. Akan tetapi, jangan pula kita mencubit anak orang lain sesuka hati kita sahaja! Perkara ini bukan hanya tidak beradab tetapi salah di sisi moraliti dan undang-undang. Pada masa yang sama, si kecil perlu diajar bahawa ada sentuhan yang okay dan ada pula yang tidak okay dan perlu diberitahu kepada orang lain.
Apabila si kecil semakin meningkat usia, terangkan dengan sejelas mungkin bahagian-bahagian tubuh mana yang boleh disentuh dan yang mana tidak boleh sama sekali tanpa sebab yang munasabah dan oleh orang yang tidak dikenali. Usaha sepert ini, dengan izin Tuhan, akan menyediakan kanak-kanak di bawah jagaan anda untuk hidup dengan selamat dalam dunia yang ada penjenayah dan pemangsa seksual.
Ads
Tips #5: Pastikan anda sentiasa mahu mendengar keluh kesah hidup si kecil
Agak sedih apabila kita mendengar cerita bahawa ramai penjenayah paedofilia (orang dewasa yang bernafsu songsang terhadap kanak-kanak) dan pemangsa seksual terdiri daripada orang yang dikenali oleh kanak-kanak atau ahli keluarga kanak-kanak berkenaan. Tidak kurang pula ada ahli keluarga sendiri yang berperangai binatang dan mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang sepatutnya mereka jaga dan lindungi!
Lebih menyedihkan, apabila berlaku hal yang tragis ini, ahli keluarga sendiri menyatakan bahawa mereka “tak sangka” atau “tak tau pun” kejahatan teruk ini sedang berlaku di dalam rumah mereka. Maka, tolong pastikan anda mendengar segala cerita, keluh dan kesah si kecil tanpa menyuruh mereka diam setiap masa.
Memang ada kanak-kanak yang tidak suka diam dan suka bercerita. Tabiat seperti ini amat baik dan perlu dipupuk dalam jiwa semua kanak-kanak. Kita sebagai orang dewasa di rumah, di taska atau di tabika/tadika mesti mendengar cerita yang dikongsi oleh kanak-kanak. Siapa tahu kalau-kalau kanak-kanak berkenaan sedang didera atau menjadi mangsa perbuatan jahat tanpa kanak-kanak itu sedari? Jadikan ini tanggungjawab kita semua.
Tips #6: Perhatikan petanda-petanda gangguan keselamatan diri si kecil
Mari kita semua sama-sama berusaha dan berdoa agar kanak-kanak di bawah jagaan kita tidak menjadi mangsa perbuatan jahat oleh orang lain yang berperangai seperti binatang. Walau bagaimanapun, seperti tips kelima tadi, kita perlu mengambil tanggungjawab besar sebagai pelindung kanak-kanak yang sentiasa berwaspada dan sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan hidup kanak-kanak.
Jangan terlalu cepat menidakkan jika sesuatu hal buruk mungkin telah terjadi kepada si kecil yang amat kita sayangi. Tindakan pantas perlu diambil agar bantuan dapat diberikan kepada si kecil itu dan tindakan undang-undang boleh diambil kepada si pelaku yang berperangai seperti binatang sebelum dia memboloskan diri.
Perhatikan petanda-petanda yang menunjukkan si kecil mungkin menjadi mangsa jenayah atau penderaan seksual tidak kira anda guru prasekolah, mama atau papa. Perubahan personaliti yang mendadak, menjadi pendiam tanpa sebab, hilang selera makan dengan tiba-tiba dan banyak petanda lain lagi mungkin memberi petunjuk bahawa si kecil di bawah jagaan anda telah pun menjadi mangsa pencabulan atau jenayah fizikal lain.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Raya ni anak kita dapat banyak duit raya kan? Jangan bazirkan macam tu je beli mainan atau kita nanti terpakai, masukkan dalam bank, banyak nak pakai nanti dia remaja! Nak sambung belajar dan lain-lain.
Menabung dari kanak-kanak:
1) Bukalah akaun Tabung Haji anak dengan deposit RM100. Paling lewat waktu anak berumur 6 bulan.
2) Simpan duit anak secara konsisten ke Tabung Haji anak i.e RM30 sebulan (RM1 sehari).
3) Buat direct debit lebih memudahkan urusan.
4) Jika potong gaji setiap bulan lagi menyenangkan.
5) Selepas 17 tahun, perlu buat persediaan anak mahu melanjutkan pengajian, anak kita sudah ada lebih RM10k:
Nilai prinsipal: RM6220
Nilai dividen: RM4706
Jumlah simpanan: RM10926
6) Ini tidak masuk lagi duit raya anak, duit tabungan anak dan lain-lain, jumlahnya akan meningkat lagi.
7) Kalau terguna duit anak mesti kita ganti, anak pun tidak sedih hati.
😎 Ingatlah simpanan hari ini memudahkan hidup anak di kemudian hari.
Sebab apa?
HARAM JIKA IBU BAPA GUNA DUIT RAYA ANAK
Bagi anak-anak yang masih kecil, mereka masih belum pandai menguruskan duit raya yang mereka perolehi. Jadi, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menguruskan duit raya anak-anak mereka dengan baik. Perlu diingatkan bahawa duit raya anak adalah kepunyaan anak kita dan ibu bapa hanyalah sebagai pemegang amanah untuk menjaga duit raya sehinggalah mereka pandai untuk menguruskan duit mereka sendiri.
HUKUM GUNA DUIT RAYA ANAK
Hukumnya haram jika kita menggunakan duit raya anak-anak. Jika keadaan terlalu mendesak, kita boleh meminjam namun adalah wajib dibayar balik. Sebaik saja mereka mendapat duit raya, kita sebagai ibu bapa perlulah amanah untuk menguruskan wang tersebut. Tidak baik kita sebagai ibu bapa ‘makan’ duit yang orang telah berikan kepada anak-anak kita. Kalau terlalu terdesak, kita gantikan semula. Jangan buat-buat lupa, bimbang di akhirat kelak kita akan ditanya kenapa tidak amanah.
Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga pernah menjawab isu yang sama dalam ceramahnya. 🔊
“Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri. Namun boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar. Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak. Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Walau bagaimanapun ia perlu dibayar segera.” katanya.
CARA MENGURUSKAN DUIT RAYA ANAK YANG BETUL
• ASINGKAN
Pastikan duit raya untuk setiap anak anda diasingkan untuk mengelakkan percampuran duit raya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap anak kita mendapat jumlah duit raya yang sama (kerana biasanya orang akan bagi sama untuk setiap orang)
• TABUNG KHAS ✨
Sepertimana tabungan biasa, pastikan setiap anak kita mempunyai tabung yang berlainan. Menyediakan tabung untuk anak kita dapat mengajar anak kita untuk rajin menabung dan dalam masa sama memudahkan pengurusan duit raya anak kita.
• SIMPAN DALAM BANK
Setelah habis raya, kira dan simpan duit raya anak kita ke dalam bank yang memberikan pulangan yang baik setiap tahun. Pastikan akaun tersebut dibuat khas untuk anak anda (dengan ibu / bapa sebagai penjaga), bukannya duit raya tersebut dimasukkan ke dalam akaun ibu bapa. Bagi saya, antara tabungan terbaik
adalah di Tabung Haji. Anda bebas untuk memilih di mana anda nak simpan duit anak anda.
Sumber: Internet/Kelab Mama, Nur Izah
Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selepas hampir lima bulan melahirkan bayi sulung, pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah berkongsi wajah anak sulungnya Wan Khair Amir kepada tatapan umum
Suami bekas pengacara Nona ini, Wan Emir Astar memuat naik potret mereka sekeluarga di Instagram miliknya yang mendedahkan wajah anak tersayang kepada tatapan peminat.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Papa & Mama dan semua mendoakan moga @wankhairamir menjadi anak yang soleh, dan insan yang berbakti kepada agama, bangsa, dan Tanah Air. Papa & Mama sayang anak Papa Mama Wan Khair Amir, hingga ke akhir waktu.
— Papa & Mama
“Mira Junior Sangat”
Foto mereka sekeluarga mengenakan pakaian tradisional warna hijau muda dipercayai diambil dalam majlis akikah si comel yang manja dipanggil Amir berdasarkan perkongsian gambar-gambar pelamin dan sekitar majlis tersebut yang dimuat naik oleh beberapa tetamu jemputan.
Gambar-gambar tersebut diulang siar semula oleh Mira di Instagram Story.
Telatah Amir yang melemparkan senyuman manis dalam dukungan papanya menarik perhatian ramai peminat yang memuji kecomelan dan raut wajahnya yang saling tak tumpah seperti wajah mamanya.
Dengan busana baju melayu lengkap bersampin dan bersongkok, Amir kelihatan tidak meragam sepanjang majlis seolah memahami acara yang diadakan meraikan dirinya.
Perkongsian foto tersebut membuatkan ramai rakan-rakan artis dan peminat Mira mendoakan Amir menjadi anak soleh.
Mira dan Wan Emir mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020 dan dikurniakan anak pada 10 Mei 2022.
Sumber: IG Wan Emir Astar & Mira Filzah
Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di SINI
Jom, kongsikan foto comel si manja anda bertemakan Jungle Cuties di SINI! Ada hadiah menarik menanti.
Tenangnya hati seorang ibu yang kehilangan bayi akibat lemas dalam buaian ketika berada di bawah jagaan pengasuh.
Ibu muda yang terpilih menerima ujian dari Allah ini tetap menyatakan kesyukuran di atas kurniaan anak lelaki yang sempurna dariNya sebelum dikembalikan semula pinjaman Allah yang paling bernilai itu.
Tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku ke atas anak kesayangannya, Shazzy Wanie sekadar mahu menjelaskan apa sebenarnya yang sudah berlaku.
Mikhael Sufyan ditemui dalam keadaan terlangkup dalam buaian di rumah pengasuh pada 6 April 2018 sebelum disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati terdapat banyak lendir pada paru-paru bayi berkenaan.
“Syukur Dengan Nikmat Dalam Ujian Ini”
Assalamualaikum semua. Alhamdulillah selesai sudah urusan pengkebumian jenazah anak lelaki kesayangan kami Mikhael Sufyan pagi tadi.
Hujan renyai turun sewaktu solat jenazah dijalankan dan cuaca redup di tanah perkuburan memudahkan segala urusan.
Syukur alhamdulillah Allah pinjamkan selama 10 bulan seorang anak lelaki cukup sempurna untuk kami bermanja dan berkasih sayang.
Dah tiba masa untuk dikembalikan pinjaman Allah yang paling bernilai tu.
Kurniaan Allah paling sempurna
Ramai yang bertanya apa yang terjadi. Berat untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. Kerana ajal dan maut telah ditentukanNya.
Cuma asbabnya saja mungkin berbeza-beza. Tiada niat saya untuk menyalahkan mana-mana pihak. Sekadar untuk perjelaskan apa sebenarnya yang dah berlaku supaya tidaklah ramai tertanya-tanya.
Dah jadi bahagian Mikhael meninggal dunia akibat lemas dalam buaian di rumah babysitter dan bahagian saya dan keluarga untuk menerima takdir dariNya.
Arwah ditemui dalam keadaan terlangkup di dalam buaian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi lagi sewaktu tiba di klinik berhampiran.
Walaupun bantuan masih diberikan dalam ambulance ke hospital, dan juga sewaktu tiba di hospital, malangnya, masih tiada respon dan anak kesayangan kami disahkan meninggal dunia pada hari Jumaat penuh barakah, 6/4/2018, jam 1.20 ptg. Hujan turun selebat-lebatnya turut menangisi pemergian anak kami.
Sungguh.. Cukup berat ujian dariNya buat kami sekeluarga. Namun, kami redha dgn ketentuan dariNya dan syukur dengan nikmat dalam ujian ni.
MIKHAEL SUFYAN ANAK YANG TERPILIH UNTUK JADI ANAK SYURGA dan kami IBUBAPA TERPILIH UNTUK MEMILIKI ANAK SYURGA.
Allahuakbar. Perkara yang paling mommy takutkan selama ni, berlaku akhirnya. Kehilangan seseorang yang sangat sangat sangat kami sayangi.
Moga Allah ganti dengan sebesar-besar ganjaran dan hikmah buat kami sekeluarga dan dititipkan ketabahan, kesabaran, ubati kerinduan dan kesedihan ini untuk harungi kehidupan mendatang. Aamin in sha allah.
Terima kasih buat semua yang bersama-sama kami dari awal hingga akhir urusan. Mohon sedekahkan AL FATIHAH untuk #MikhaelSufyan yea bila ade kelapangan. Terima kasih.
Update 8/4/18:
Terima kasih atas doa kalian semua. Sememangnya membantu saya lebih kuat menerima kehilangan. Maaf belum ade kekuatan untuk balas komen whatsapp dan lain-lain. Hati dan jiwa masih rapuh lagi-lagi dlm usaha pulihkan semangat anak sulung #MelissaSofea yang juga rindukan adik kesayangannya.
Kini hanya tinggal kenangan
Saya terbaca ramai yang bertanya tentang buaian. Saya memang tidak gunakan buaian untuk anak-anak di rumah sendiri tetapi atas permintaan babysitter untuk mudahkan urusan menjaga anak saya bersama anak-anak asuhan lain, saya benarkan untuk anak saya diletakkan di dalam buaian. Setahu saya buaian yang digunakan di rumah babysitter jenis berlubang tanpa bantal.
Berbalik pada hari kejadian, arwah dihantar ke rumah babysitter dalam keadaan aktif, happy, hanya selesema. Malah, malam sebelumnya merupakan hari pertama arwah berdiri sendiri tanpa support. Saja nak buat mommy daddy happy kot.
Anyway, hasil postmortem, paru-paru arwah banyak lendir dan itu jadi asbab arwah mudah sesak nafas dan lemas bila terlangkup di dalam buaian. Sedangkan memang habit tidurnya mengiring atau meniarap.
Macam yang saya katakan, itu semua asbab untuk pemergiannya yang sememangnya telah tertulis. Mungkin Allah tau saya tak cukup kuat jika arwah anak pergi sewaktu dalam jagaan saya, maka diambil kesayangan saya sewaktu dia bersama orang lain.
Allahuakbar… Allahuakbar…. Allahuakbar!!!
Semoga Shazzy dan seluruh keluarga tabah menerima ujian hebat dari Allah ini.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.